Friday, December 26, 2008

PMRAM Disisihkan?

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan persatuan yang banyak berjasa kepada semua warga pelajar yang pernah menuntut di Bumi Anbia ini. Tidak dinafikan segala jasanya yang tidak terhitung setelah 78 tahun penubuhannya di Mesir. Dari kejauhan sebelum saya berada di sini, saya ada mendengar perihal berkenaan persatuan ini. Daripada apa yang dikhabarkan, persatuan ini memang hebat dan mempunyai sejarah perjuangan yang agung. Bahkan, tempat tinggal saya kini, Asrama Rumah Melayu Abbasiah (ARMA) merupakan antara jasa terbesar PMRAM dalam menonjolkan nama baik negara kita di peringkat antarabangsa.

Penglibatan PMRAM dalam membantu pihak kerajaan Mesir dalam Perang Tiga Serangkai antara Mesir, Perancis dan Israel amat disanjung sehingga kerajaan Mesir menghadiahkan sebidang tanah di kawasan Abbasiah kepada PMRAM sebagai lambang pengiktirafan terhadap persatuan ini. Namun, disebabkan faktor implikasi undang-undang dan demi kebaikan tanah ini di masa hadapan, PMRAM bersetuju untuk memindah nama hak milik tanah kepada kerajaan Malaysia.

Dahulunya, ARMA megah dengan pelbagai kegiatan dakwah yang menghidupkan biah solehah di sini. PMRAM memainkan peranan besar dalam memastikan pengamalan Islam sentiasa berkembang demi kebaikan penuntut-penuntut Malaysia. Pejabatnya yang tersergam indah di ARMA menjadi pusat bagi pemimpin PMRAM berfikir dan memerah keringat untuk menjana kekuatan gerakan dakwah di sini.

Namun, semuanya kini berubah. PMRAM yang banyak berjasa seolah-olah telah disisihkan. Bumi ARMA yang secara perinsipnya adalah hak PMRAM telah dinafikan haknya dan seolah-olah diusir secara ’terhormat’ dari sini. Tiada lagi program-program tarbiah dan kerohanian berkumandang dalam dewan. Ikhtilat yang selama ini dijaga selihatan semakin longgar. Paling menyedihkan, ukhuwwah sesama penghuni ARMA ’cedera’ dengan amat parah. Tiada budaya memberi salam, tiada bertegur sapa, kawan sebelah bilik langsung tak kenal, solat berjemaah amat parah. Kenapa ini berlaku? Kenapa PMRAM tidak lagi boleh membawa tarbiah di ARMA?

Sebelum saya ke sini, saya juga ada mendengar beberapa cerita berkenaan keburukan PMRAM terutama dalam kem BTN. Saya dikhabarkan PMRAM adalah pertubuhan haram yang tidak berdaftar. PMRAM juga adalah persatuan politik pembangkang yang wujud di bumi Mesir. Bagi mereka, kami tidak sepatutnya menyertai PMRAM kerana akan dikira bersalah menyertai persatuan yang tidak berdaftar. Saya jadi pening. Yang mana satu betul? Tidak mengapa, saya akan perhatikan sendiri ketika sampai di Mesir nanti.

Setibanya disini, saya terdampar di Cairo Airport selama lebih kurang 4 jam. Kesilapan maklumat yang diterima oleh pihak yang akan menyambut kami menyebabkan mereka hanya sampai ke airport pada jam 8 pagi. Tidak mengapalah, kesilapan teknikal je. Bila masuk je ’trenco’ (van penumpang yang amat popular di sini), saya diberi satu pamplet berkenaan ’persataun tidak berdaftar’ ini. ”USMB PMRAM”. Saya membacanya dan mendapati ianya adalah pemplet berkenaan Unit Sambutan Mahasiswa Baru PMRAM. Bagusnya ’persatuan tidak berdaftar’ ini, siap ada unit sambutan untuk mahasiswa baru!

Sesampai je kat Rumah Perak (saya pergi ke Mesir melalui Jabatan Agama Islam Perak), semua orang kuat ’persatuan tidak berdaftar’ ini sudah menunggu. Semuanya berkenaan apa yang kami perlu buat mereka bantu dan beriakn penerangan hinggakan beg kami pun mereka angkat sampai ke bilik. Mereka menguruskan saratoga (selimut musim sejuk), penempatan, makanan kami hingga tauzi’ (tarikh di mana pelajar akan dihantar ke cawangan Azhar yang mereka mohon) dan segalanya yang berkaitan dengan kebajikan kami.

Bukan setakat itu saja, urusan tauzi’, urusan kuliah, urusan tukar jurusan, dan taklimat berkenaan Azhar serta setiap jurusan pun mereka uruskan. Paling besar adalah program KEJORA yang bertujuan memperkenalkan mahasiswa baru dengan keadaan Mesir, situasi kuliah, sistem Azhar dan memperbetulkan halatuju kami di Mesir agar kami fokus dan memahami tugas sebenar kami di sini. Setelah semua ini, saya mendapati tiada apa-apa yang merbahaya yang telah PMRAM ajarkan kepada kami. PMRAM tidak ajar kami menggunakan senjata, berdemostrasi, dan apa jua kegiatan yang ekstrem. Malah kami berasa selesa dan berterima kasih yang tidak terhingga kepada PMRAM kerana membantu menguruskan kami hingga ke hari ini.

Jasa PMRAM tidak tamat di situ sahaja. Baru-baru ini PMRAM juga terlibat dalam menguruskan zakat Azhar kepada semua penuntut Malaysia. Ini bukan pertama kali, malah setiap tahun PMRAM menguruskannya. Bulan lepas, ada penuntut Malaysia ditahan pihak berkuasa kerana tiada visa. PMRAM juga yang membantu mereka hingga dibebaskan walaupun ada di kalangan mereka orang yang selalu menghentam dan bersikap talam dua muka terhadap PMRAM. PMRAM juga membantu mencari penempatan bagi penuntut yang berkahwin dan menolong penuntut yang pertama kali melahirkan anak. Bagi penuntut yang mempunyai masalah kewangan, ’persatuan tidak berdaftar’ ini juga yang membantu. Sampai satu tahap, hendak mencari pasangan untuk berkahwin pun ada sistemnya dalam PMRAM. Unik sungguh PMRAM. Ada persatuan lain di Mesir ini yang melakukan kerja kebajikan sehebat PMRAM?

Kalau nak sebut semua jasa PMRAM, tidak tertulis dalam aktikel ini. Terlalu banyak. Tetapi, kita pelik, kenapa ’persatuan tidak berdaftar’ yang berjasa ini tidak diberi ruang yang luas untuk berjasa malah disisihkan seolah-olah ia pertubuhan pengganas? Baru-baru ini ketika program korban sempena Aidiladha di Haiyu Asyir, nama PMRAM sebagai persatuan induk penuntut di Mesir langsung tidak tertulis dalam kain rentang program. Semua ini berlaku dengan dua alasan. PMRAM persatuan tidak berdaftar dan terlibat dengan politik pembangkang. Betulkah? Bila saya selidik, saya dapati memanglah PMRAM tidak berdaftar di bawah kerajaan Malaysia, namun PMRAM berdaftar di bawah Kementerian Kemasyarakatan Mesir. Macam mana hendak daftar di bawah kerajaan Malaysia sedangkan PMRAM ditubuhkan sebelum kerajaan Malaysia wujud iaitu pada 1930. Andai ia tidak berdaftar di Malaysia, PMRAM berdaftar di Mesir. Jadi, apa masalahnya? Masih dikira tidak berdaftarkah?

Satu lagi tuduhan, PMRAM adalah persatuan parti pembangkang. Setahu saya, antara yang termaktub dalam perlembagaan PMRAM, tidak boleh menyertai dengan mana-mana pertubuhan politik selaras dengan akta persatuan kerajaan Mesir. Jika ada yang berpolitik di kalangan ahli PMRAM, itu hak peribadinya. Takkan lah disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Ada yang mengatakan ramai pemimpin PMRAM menjadi pemimpin politik pembangkang di Malayisa, saya ulangi sekali lagi itu adalah hak peribadi dan berlaku di Malaysia. Di Mesir, tiada yang dilakukan PMRAM melainkan membantu dan menguruskan kebajikan penuntut Malaysia di Mesir.

Jika pihak berkenaan, masih beranggap PMRAM adalah pertubuhan politik, saya harap pihak berkenaan bertindak adil. Di Mesir terdapat pertubuhan Kelab UMNO Mesir. Saya nak bertanya, mana yang lebih jelas berpolitik, PMRAM atau Kelab UMNO yang nyata-nyata terpampang nama parti politik sekular pada namanya? Masing-masing boleh jawab. Jika mereka berhujah, Kelab UMNO diberi ruang kerana melaksanakan kebajikan, bukannya berpolitik, saya ingin menjawab PMRAM yang lebih banyak buat kebajikan pun harus diberikan ruang sama dengan Kelab UMNO. Jika kata mereka, PMRAM pertubuhan politik dan harus disekat, saya ingin menjawab, Kelab UMNO lagi jelas sebagai pertubuhan politik dan harus juga diharamkan! Dalam bahasa Arab ada satu kaedah ’فما هو جوابكم, فهو جوابنا’ bermaksud ‘apa yang kamu jawab, begitu jugalah jawabku’



Satu sahaja harapan saya, berlaku adillah terhadap PMRAM. PMRAM ingin melaksanakan kebajikan dan jangan dihalang niat suci tersebut. Biarkan PMRAM melebarkan jasanya terhadap penuntut Malaysia di seluruh Mesir. Moga kita sama-sama mendapat manfaat.

No comments: