Monday, September 21, 2009

Jahilnya Aku Si Penulis

Salam. Setelah lama tidak menulis, saya sempat melapangkan sedikit masa malam ni utk mencoretkan sedikit luahan yang sudah terpendam sekian lama.

Saya kurang berminat utk menulis sejak akhir2 ni disebabkan banyak faktor. Tapi faktor terkuat adalah disebabkan timbulnya rasa malu teramat sangat terhadap seorang senior saya di Mesir.

Sebelum pulang ke Malaysia, saya sempat rapat dengan senior ini disebabkan ada tugasan yang saya jalankan melibatkan beliau. Satu hari saya ingin berjumpa dengannya dan pergi ke biliknya. Sampai sahaja di biliknya, saya terpaku dan merasa sangat insaf.

Ketika itu, beliau sedang menulis post terbaru utk blognya, berkisar tentang isu politik di Malaysia. Yang membuatkan saya rasa terharu dan malu apabila dia menulis artikel di dalam blognya itu dalam keadaan tiga buat kitab tulisan ulama muktabar terbuyka di sisinya.

Antara kitab yang saya ingat yang dibukanya adalah kitab Majmuk, sebuah kitab fiqh terkenal yang membahaskan hukum dalam mazhab Syafie dengan detail beserta nas dan dalil, juga disertakan dalam kitab tersebut pendapat mazhab lain beserta nasakh dan mansukhnya.

Terdetik di hati saya, senior saya ini yang sememangnya terkenal dengan alim dan wara'nya di Mesir, namun ketika menulis hatta isu politik, beliau sangat berhati-hati dan tetap merujuk kepada kitab-kitab karangan ulama muktabar agar segala yang dilontarkan itu benar dan berdasarkan sandaran yang kuat dan tepat.

Mungkin di dalam fikirannya, perasaan takut sentiasa ada. Takut jika apa yang ditulisnya itu tidak tepat, atau lebih bergantung kepada akal semata-mata, ataupun terpesong daripada adab dan syariat Islam. Kitab ulama sentiasa dijadikan rujukan, bukan bersandarkan kepada akalnya sendiri.

Pelbagai perkara boleh saya tafsirkan di sini. Inilah contoh orang yang benar-benar menuntut ilmu. Sentiasa menganggap dirinya tidak tahu daripada mendabik dada bahawa 'Aku Tahu!'. Sentiasa hormat dan tunduk hati kepada para ulama yang tentunya lebih layak dirujuk daripada dirinya yang masih kekurangan.

Ini juga menggambarkan rasa tanggungjawabnya utk memastikan bahawa setiap yang ditulisnya itu benar, tepat dan tidak terdapat walau satu pun sentimen nafsu yang lebih suka bertempik, mendabik dada dan memfitnah orang lain.

Selain itu, beliau juga menunjukkan contoh matlamat dan niat sebenar dalam menulis terutama di laman blog. Yang terfikir dalam fikiran beliau, hanyalah ingin sampaikan kebenaran, bukan untuk melonjakkan nama atau merendahkan orang lain. Matlamatnya jelas, inginkan blognya dapat memberi manfaat dan ilmu kepada pembaca, bukan sekadar matlamat keduniaan semata-mata.

Saya lihat dan renungkan pada diri saya. Bila baca semula post yang saya tulis dalam blog ini, terasa malu yang teramat sangat. Diri ini masih lagi jahil, namun sudah teramat berani menulis dengan sesuka hati, tanpa dilapik dengan adab dan moral dalam dunia penulisan.

Saya berdoa semoga Allah memimpin saya dan sahabat-sahabat agar menjadi seperti beliau. Terbit azam di hati agar apa yang akan saya buat selepas ini, benar-benar mencerminkan sikap sebagai seorang Islam dan penuntut ilmu. Moga Allah merahmati saya, beliau dan sahabat semua.

p/s : Beliau yang dimaksudkan adalah Ust Mohd Nazrul bin Abd Nasir. Boleh lawati laman blognya di nazrulnasir.blogspot.com