Monday, June 20, 2011

Temuramah Isu Negara Berkebajikan Bersama Dr Haron Din! Penawar Kepada Mereka Yang Masih 'Pening'

Secara jujur saya akui, saya antara mereka yang agak tertanya-tanya akan apa yang berlaku di dalam muktamar PAS baru-baru ini. Saya faham akan apa yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan itu, cuma agak tertanya-tanya akan rasionalnya perubahan slogan itu dilakukan. Perasaan bimbang semakin terasa apabila memikirkan akan reaksi masyarakat Islam yang mungkin tidak dapat memahami perubahan slogan ini sepenuhnya, ditambah dengan putar belit media putar alam di Malaysia.

Alhamdulillah, setelah mencari dan membaca pandangan para pimpinan dan ulama di dalam PAS, akhirnya saya kembali tenang dan yakin akan keputusan yang telah diputuskan oleh keseluruhan pimpinan terutama Majlis Syura Ulama, bukannya diputuskan oleh Tuan Guru Datuk Seri Hj Abd Hadi seorang melalui ucapannya seperti yang digambarkan oleh media pencacai.

Gambarannya mudah, memfokuskan khusus daripada yang umum. Secara analogi, di sekolah rendah, para pelajar selalu diingatkan berkenaan 'jaga keselamatan di jalan raya'. hari-hari cikgu berkata perkara yang sama, namun pelajar yang masih berusia 7 tahun itu semua tidak dapat gambaran jelas akan apa sebenarnya 'jaga keselamatan' itu.

Akhirnya, si cikgu pun mengubah caranya dengan lebih praktikal agar si murid faham akan maksud 'keselamatan di jalan raya'. Cikgu itu memulakan dengan penerangan 'cara melintas jalan'. Setelah murid-murid faham dan melihat praktikalnya, cikgu itu maju lagi dengan penerangan 'cara menaiki basikal di jalan raya'... Begitulah seterusnya sehingga si murid faham akan apa itu 'Keselamatan di jalan raya' secara keseluruhannya.

Begitu juga dengan Negara Islam. Terlalu luas makna dan perinciannya sehingga tidak tercapai minda sesetengah masyarakat kita untuk memahaminya. Ditambah dengan kenyataan pemimpin yang mendabik dada sebagai 'pembela bangsa dan agama' bersama para media pencacai mereka yang meletakkan gambaran buruk kepada makna Negara Islam itu sendiri.

Akhirnya, PAS bertindak untuk mengubah caranya dengan lebih praktikal agar lebih mudah difahami dan diterima oleh masyarakat. Dimulakan dengan penerangan 'Negara Berkebajikan' yang termasuk di dalamnya pentadbiran yang bersih, tiada rasuah, cekap, amanah, pendidikan agama yang mantap, ekonomi yang berlandaskan Islam dan banyak lagi. Setelah menang dan semua ini dapat dilaksanakan, barulah melangkah ke langkah seterusnya iaitu 'Islam sebagai jalan hidup', 'Islam sebagai penyelesaian masalah manusia', 'perundangan Islam' hingga perlaksanaan Islam itu dapat digarap dengan menyeluruh di dalam kehidupan masyarakat dan pentadbiran negara.

Adakah PAS sudah tidak menerangkan dan tidak membawa Islam? Tidak! PAS masih membawa Islam, tetepi berperingkat dalam perlaksanaan. Mengubah fokus daripada yang umum kepada yang khusus! Ini amat mudah difahami jika kita ikhlas dalam mencari kebenaran, bukannya mencari publisiti murahan sebagai pejuang agama seperti UMNO lakukan sekarang! Cuma, cabaran pada PAS untuk menerangkan keadaan sebenar ini kepada masyarakat dan ini sedang berjalan Alhamdulillah. Kita doakan proses penerangan ini berjalan dengan jayanya.

Jika UMNO merasakan PAS sudah meninggalkan negara Islam, kita tertanya-tanya pula dimanakah 'Negara Islam' yang UMNO hendak lakukan? Dalam BTN dulu ada dikatakan kepada peserta bahawa hudud yang PAS hendak laksanakan di Kelantan adalah hudud PAS, maka saya bertanya semula di manakah hudud UMNO? Jadi jangan kita terpengaruh dan buang masa melayan UMNO bertempik. Saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk membaca temuramah bersama Tuan Guru Dato Dr Haron Din berkenaan isu ini yang dipetik dari blog Tinta Merah. Sama-sama kita baca dan fahami isinya. Semoga kita semua mendapat manfaat.

P/s : Maaf, terlebih ulas pula =)


“Negara Berkebajikan: Pas tidak melencung dari dasar”

SEBAIK saya memaklumkan saya telah mengadakan temuramah dengan Timbalan Musryidul Am Pas Datuk Dr Haron Din untuk mendapat penjelasan berhubung polimek Negara Berkebajikan beberapa orang penjenguk yang berada di seberang laut yang tidak dapat membaca Siasah menghubungi saya. Mereka berharap kalau temuramah berkenaan dapatkan dimuatkan dalam Siasah. Untuk memenuhi permintaan mereka berikut disiarkan bahagian pertama temuramah berkenaan. Salam MSO.


SIASAH: Secara umumnya macam mana Datuk melihat kepada barisan kepimpinan Pas yang baru dipilih dalam muktamar lalu. Semacam ada pemecahan tradisi di mana golongan ulama di kesampingkan?


DATUK Dr HARON DIN: Setiap kali berlakunya perubahan dalam herarki pimpinan parti maka setiap itulah ada struktur yang berbagai-bagai. Di antaran olahan terkini seolah-olah ahli-ahli Pas telah mengkesampingkan ulama. Mungkin dari segi bahasa itu bertepatan hasil pemilihan muktamar itu, daripada presiden dan timbalan presiden.. itu betul berlaku daripada bukan golongan ulama. Tetapi satu fakta yang perlu disebut bahawa faktor pecah undi itu jelas. Jika disatukan undi ulama itu menujukan majoriti masih menyokong ulama.

Sama juga dengan pertandingan naib presiden, juga pecah undi di kalangan calon ulama berdua itu berlaku. Tapi jika seorang saja calon, ulama.. masih menang. Tetapi apa pun ini boleh saya katakan faktor sementara. Setiap dua tahun sekali diadakan pemilihan. Bagi kali ini ada kewajaran kita melihatkan perkembangan politik yang telah sampai ke ambang pilihan raya ke-13.

Jadi dengan suasana politik semasa yang kita perlu undi tambah daripada undi bukan Islam, dan itulah yang menjadi satu perkara yang dirasakan boleh mengubahkan keadaan, maka dilihat itu perlu kepada barisan yang pada umumnya orang Islam boleh terima, tak ada masalah, orang bukan Islam boleh terima, berbanding kalau barisan ulama kesemuanya, kita tak ada masalah tetapi takut bukan muslim ada masalah. Sebab itu tawaran ini seperti disebut oleh Presiden kabinet pilihan raya.

Maka itu saya mengatakan soal menyisih ulama tidak berlaku, sebab di dalam Syura Ulama dipegang, dipimpin, didokong oleh 17 orang yang semuanya seratus peratus ulama. Mereka inilah yang menentukan hala tuju parti. Maka selama-lamanya tidak timbul menyampingkan ulama.

Jadi tanggapan mengatakan Pas telah meminggirkan golongan ulama dalam kepimpinan atau parti itu tidak benar?

Amat tidak betul kerana tidak ada usaha dalaman yang kita nampak, mencemuhkan atau mesej tidak mahu ulama yang dihantar. Tetapi kenapa berlaku seperti disebut tadi kerana faktor pecah undi, tidak berpakat, atau ikut nak jadi apa pun maka terjadi demikian. Tetapi kalau itu satu kebaikan kepada Pas, apa salahnya kita terima. Kalau tidak ada kebaikan, kita boleh rombak balik.

Dalam konteks ulama ini bila berlaku pecah undi, adakah Datuk melihat tidak ada konsensus atau syura di kalangan ulama?

Kita telah fikir sebelumnya, dan daripada awal berlaku, saya memantau. Walau ada pada mulanya trend ke arah pertembungan antara ulama tetapi kita dengar dari awal ada usaha beberapa orang ulama yang dicalonkan telah menyatakan mereka hendak menarik diri. Terutamnya Datuk Seri Azizan Razak, terus tarik diri. Sama juga dengan Yang Berbahagia, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dia menyatakan dua kali akan menarik diri. Pada ketika itu semua orang melihat kalau berlaku pertandingan pun dua penjuru dan tidak sangat mengusarkan. Tetapi bila tiba saat akhir, tiga penjuru itu kita tidak sempat buat apa dan kita serahkan kepada takdir.

Datuk ada menyatakan baru-baru ini, pemilihan ini dalam konteks apa yang Datuk Sri Presiden menyatakan bahawa kepimpinan untuk pilihan raya. Datuk ada mengatakan kombinasi ini satu percubaan yang baik, apakah signifikennya?

Saya melihat daripada realiti politik orang ramai memilih keadaan begitu, ini pada saya merupakan pilihan yang diilhamkan oleh keadaan yang Allah menentukan demikian itu mesti ada kebaikannya. Saya melihat mesti adalah ‘maslahah’. Sebab ini yang dipanggilkan, kalau dalam Islam ia ada perkataan ‘ijmak’. Ijmak itu semua maufakatnya ulama. Nabi menyebut (membaca hadith): “umatku tidak akan beramai-ramai melakukan perkara yang sesat.”

Walaupun tidak tepat sangat dengan apa yang berlaku tetapi ada imbas-imbas, kalau sudah ramai sangat mengatakan itulah pilihan mereka maka saya menambah ada hikmahnya kenapa berlaku demikian.

Berbalik kepada ucapan dasar Datuk Sri Presiden yang mengangkat satu tema baru Membangun Negara Kebajikan, nampaknya tema itu telah menimbulkan kontroversi dengan mengaitkan Pas telah meninggalkan Islam, jadi bagaimana Datuk melihat perkara ini?

Sinilah saya mengatakan apa yang berlaku pelik sedikit. Di mana orang yang sepatutnya merasa sensitif dan mudah sangat terasa ialah orang-orang yang telah mendokong perjuangan Pas ini sejak zaman berzaman. Saya sebagai seorang telah lama kekecimpung dan diamanahkan sebagai Timbalan Musydiul Am, sepanjang kita mengikuti ucapan dasar disampaikan, saya tenguk riak di bawah dan di atas, takut ada riak yang menunjukkan rasa tidak senang. Tetapi di sepanjang ucapan dasar itu disampaikan tidak ada pun mana-mana yang memberi reaksi yang tidak baik, semuanya memberi tumpuh sepenuhnya.

Kedua, bila ini tidak mengubah haluan, kita tenguk perbahasan pastilah orang pertama mengambil bahagian akan sebut yang itu, apakah ini maksudnya presiden hendak bawa Pas keluar dari landasan? Malahan kesemua yang bercakap baik dihari pertama dan hari akhir muktamar, dari semua golongan, tidak separuh suara pun yang membantah, malah menerima sebulat suara. Mana mungkin orang Pas boleh menerima sesuatu yang mereka tidak setuju, hatta dalam muktamar... saya sendiri pun bila ada orang menafsirkan apa yang saya buat tidak betul orang mengkritik saya dalam muktamar. Tok Guru presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pun dikritik dalam muktamar, Ustaz Nasha (Nasharudin Mat Isa) pun dikritik dalam muktamar.

Contoh dalam mukatamar dulu saya dikritik kerana saya menulis satu kertas kerja untuk dibentang dalam permukiman (retreat) Pas, dalam itu saya sebut; “hendaklah kita berhati-hati dengan musuh terutama musuh yang mungkin berada dalam Pas sendiri.” Jadi dengan bahasa begitu Datuk Husam Musa bangun minta penjelasan, apakah ada musuh di dalam Pas, sila tunjukkan kalau ada. Saya jawab dengan ayat Quran dengan mengatakan, (membaca ayat Quran); “sesungguhnya kata Allah antara pasangan hidup kamu dan anak-anak kamu musuh kepada kamu maka hati-hatilah menghadapi mereka.” Kalau Allah sebut demikian boleh, apakah saya nak ingatkan begitu tidak boleh. Setelah saya jawab demikian semua selesai.

Apa yang hendak dimaksudkan kalau berlaku perubahan itu, bukan perubahan dasar parti. Itu pandangan peribadi. Kalau ini merupakan perubahan dasar parti atau Pas telah keluar daripada garis perjuangan asalnya, mungkin bukan tunjuk perasaan berlaku di muktamar tetapi mungkin akan berlaku kekecuhan yang lebih besar.

Bila semua diterima dengan baik, kita orang dalam amat faham dan amat yakin Negara Berkebajikan tidak ada beza dengan negara Islam atau dengan apa yang hendak kita perjuangkan itu. Keduanya substand, iaini apa yang hendak diisi. Negara Islam memang berkebajikan. Malahan dilihat dalam Quran juga memang disebut negara berkebajikan ini, walaupun tidak disebut negara Islam tetapi isinya negara Islam. Bila tidak disebut bukan pula bermakna tidak boleh dibuat. Bila kita sebut Negara Berkebajikan selaras dengan Quran, kita sebut Negara Berkebajikan tidak ada perubahan dasar dan tidak ada sebarang penyelewengan dan kita puas hati dengan Negara Berkabjikan itu sesuai dalam konteks kita pada hari ini. Peliknya orang dalam tak ada masalah langsung, orang luar yang nampak bergelabah (ketawa).

Jadi tidak benar kalau Pas telah lari dari dasar Islamnya selamanya ini sebab tema itu sendiri menempati dasar parti?

Saya melihat begini, bila musuh politik sama macam kita juga, musuh kita Umno, dalam perjuangan politik kita senantiasa melihat di mana langkah musuh yang sumbang maka di situlah kita mengambil peluang untuk menghentamnya.

Selama ini mereka tiada peluang untuk mengatakan kepada Pas ini...pemimpin ke, perjuangan ke.. memang tidak ada isu besar. Lebih-lebih lagi dekat dengan pilihan raya, melainkan ini mereka tafsirkan sebagai salah langkah. Tetapi salah langkah apa, kami tahu apa yang kami tidak salah langkah. Sebab sebarang perubahan dasar dalam parti kita bukan semudah atau diselesaikan dengan ucapan dasar.

Sebagai contoh, dulu Pas tidak beri muslimat bertanding, bila Pas nak beri muslimat (zaman Khatijah Sidik) bertanding awal tahun 70-an Dewan Ulama bersidang kemudian dibawa dalam muktamar, baru diputuskan. Mislanya soal tahalul siayasi... tahaluls siyasi ini bukan menyentuh dasar tetapi soal strategi dan aktiviti tetapi dibawa ke syura, dibincang, bagi pandangan, buat kertas dan kertas diseminarkan pula.

Begitu juga apabila Pas hendak menerima bukan Islam sebagai ahli, ia dibincang secara menghalusi, sampai diterima atas nama kelab penyokong. Bila semakin ramai penyokong, bolehkah pula ditubuh dewan yang sama dengan taraf dengan dewan-dewan lain dalam Pas. Keputusan itu bukan diputuskan dalam satu muktamar tetapi di bawa ke dalam Majlis Syura. Syura bincangkan dulu. Jadi kalau itu kita buat, dan kalau perubahan dasar ini apakah logik kalau ia berlaku dengan hanya seorang saja yang mengemukakan dalam ucapannya.

Sebab itu perkara bini dibawa ke dalam syura dahulu barulah keluar isu Negara Berkebajikan di dalam muktamar dan selepas iu berlaku hentaman-hentaman dari para juhala-juhala ini (ketawa). Itulah prosesnya bukan sesenang dan semudah itu.

Tetapi diluar masih ada yang tidak faham dengan perjuangan Pas struktur Pas yang dikukuhkan oleh Majlis Syura Ulama dan sebagainya. Apakah Datuk rasakan Pas perlu mengadakan penerangan dalam hal ini?

Betul memang ada orang yang tidak faham. Dan dalam pepatah Arab bermaksud; “manusia ini dia bermusuh dengan apa yang dia tidak tahu. Samalah dia tidak tahu mengenai negara Islam dia jadi musuh. Keduanya, tentang penjelasan dan keterangan lanjut memang perlu. Memang telah dan sedang dibuat dan akan diperhebatkan. Semasa mesyuarat pun kita buat... dan penjelasan akan dibuat beberapa peringkat akan turun ke akar umbi memberi kefahaman kepada orang kita dan kepada masyarakat seluruhnya.

Memang perlu kerana sesuatu yang belum pernah orang berjumpa dalam hidup kita ini, sebuah negara nama Islam atau berkebajikan, atau negara yang memerintah bersendi kepada hukum-hukum Islam kita tidak pernah berjumpa. Sebab itu bila kita hendak laksanakan ini orang yang tidak tahu akan jadi musuh lebih-lebih lagi musuh yang terasa ini suatu langkah yang amat baik, sesuai dengan masa, dan pandai lontar idea pada waktunya dan mungkin mereka rasa akan kecundang.

Kebimbangan itulah maka akhirnya ... menyebabkan mereka rasa sayang dan terkilan dengan negara Islam yang kononnya hendak kita tinggalkan. Kalau sayang sangat ambilah.. (ketawa). Maknanya sama seperti kata orang, musang tidak boleh ambil buah anggur itu kerana semut banyak atau buah masam... begitulah. Akhirnya ia merupakan satu fitnah, merupakan memburukkan musuh yang sepatutnya, cara itu tidak gentlemen. Kalau kita sudah mengatakan kita tak ubah dasar kenapa nak sibuknya, dia pula mengatakan kita ubah dasar. Dasar termaktub dalam perlembagaan...[wm.kl.10:11 am 19/06/11]

Monday, June 13, 2011

Penerangan Padu Untuk Mereka Yang Masih Suka Mengelirukan Diri

Isu pertukaran saf kepimpinan PAS dan pemfokusan PAS kepada idea 'Negara Berkebajikan' disantap dengan penuh selera oleh UMNO-BN. Mereka yang selama ini tidak pernah berselera dengan Islam, tiba-tiba amat berselera seolah-olah isu 'Negara Islam' telah ditambah dengan bergantang-gantang Ajinamoto.

Satu sahaja nak sebut bagi sesiapa yang sudah termakan umpan Utusan Malaysia dan kata-kata 'main bedal' UMNO dan puak-puak yang mengaku 'Bebas' hinggakan tergambar seolah-olah PAS sudah tinggalkan Islam dan UMNO pula juara memperjuangkan Islam. Sejak bila UMNO bersungguh perjuangkan Islam yang PAS nak bawa dan sejak bila UMNO sokong ulama dalam PAS? Sesiapa menyedari ini, maka akan terus faham akan tindakan munafik UMNO sekarang dalam menghadapi isu ini.

Tiada lain kerana terdesak dan tiada isu hinggakan apa jua terlintas di hadapan mata akan dibahamnya. Terlalu terdesak hingga tidak perasan tindakannya menggambarkan lagi akan kemunafikan dan kebodohan diri. Saya malas nak ulas panjang, saja nak link di sini satu artikel yang mengambarkan jelas akan keadaan yang berlaku di dalam PAS. Amat jauh daripada apa yang dimomokkan oleh 'Momok UMNO' ini. Selamat membaca... =)


Betulkah PAS tolak negara Islam?

Perwakilan PAS telah memilih ahli-ahli jawatankuasa kerja PAS pusat yang baru untuk penggal 2011-2013. Majoriti pasukan ini terdiri daripada golongan profesional (jurutera, doktor dan sebagainya). Mereka merupakan ahli-ahli PAS yang bukan berkelulusan agama atau berpangkatkan ulama.

Ekoran ini, sesetengah pihak mendakwa bahawa parti PAS sudah menggadaikan agama Islam. Mereka kononnya kecewa bahawa PAS telah mengkhianati cita-cita parti untuk membentuk sebuah negara Islam kerana PAS mengenengahkan konsep 'negara berkebajikan'.

Paling ketara melemparkan kritikan ini tanpa sebarang bukti ialah Datuk Ibrahim Ali, presiden PERKASA dan Tun Dr Mahathir Mohamad, maskot persatuan tersebut.

Seperti kedua-dua pemimpin tersebut, rakyat Malaysia pun mungkin keliru tentang kedudukan PAS berhubung cita-cita melaksanakan negara Islam.

Rencana ini bertujuan menjawab soalan “sama ada PAS sudah benar-benar menyeleweng dari dasar Islam dan matlamat negara Islam, atau sebaliknya”.

A. Adakah perlembagaan PAS menolak Islam dan cita-cita menubuhkan negara Islam?

PAS tidak boleh lari daripada asas dan matlamat parti seperti yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Oleh itu kita perlu meninjau dan memahami sedikit kandungan perlembagaan PAS.

“Dasar”, “tujuan-tujuan” dan “usaha-usaha” PAS adalah tersenarai seperti di dalam Fasal-fasal 3 hingga 6 perlembagaannya. Fasal-fasal inilah yang merangkumi asas dan matlamat PAS. Jika diteliti, ketiga-tiga perkara ini tidak berubah; semuanya tetap sama seperti dahulu.

Misalnya, dasar PAS masih tercatat sebagai 'Islam'. Tidak pun dipinda kepada 'Kebajikan' ataupun 'Melayu'. Dua tujuan parti PAS masih ialah perjuangan untuk mewujudkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang menurut nilai-nilai hidup Islam, serta mempertahankan kesucian Islam.

Usaha-usaha parti pula menghuraikan langkah-langkah yang akan diambil oleh PAS untuk mencapai tujuan-tujuan parti. Di antara usaha-usaha utama PAS ialah untuk mendakwah kepada semua “umat manusia” (dengan menitikberatkan bukan Muslim), menjadikan Islam “sebagai panduan berpolitik dan bernegara”, dan “memperkenalkan nilai-nilai keIslaman” dalam usaha menegakkan keadilan dan membawa kemajuan ke dalam semua bidang termasuk “pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi, sosial, serta pelajaran dan pendidikan”.

Menurut Fasal 7 yang berhubung Hukum dan Kekuasaan pula, hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran dan Sunnah, dan kekuasaan PAS yang dipegang oleh muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum tertinggi tersebut.

Secara ringkasnya, kesemua yang disebutkan di atas merupakan rangka dan rancangan-rancangan penting dalam membentuk sebuah negara Islam.

Jalan untuk meminda atau membatalkan dasar, tujuan-tujuan dan usaha-usaha PAS bukanlah mudah.

Menurut Fasal 86, cadangan pindaan perlu dikemukakan oleh ahli parti kepada setiausaha agung parti, dan jika terima, persetujuan dua pertiga (66.7%) suara yang hadir di dalam muktamar tahunan PAS diperlukan untuk meluluskan sebarang pindaan.

Hasrat mana-mana ahli profesional jawatankuasa kerja pusat untuk membatalkan mana-mana fasal perlembagaan PAS yang berkenaan dengan Islam pasti akan dimatikan oleh perwakilan PAS. Tambahan, masa depan politik ahli profesional itu bersama-sama dengan puak profesional secara amnya juga mungkin terkubur.

B. Majlis syura ulama lebih berkuasa daripada jawatankuasa kerja pusat

Majlis syura ulama PAS ialah badan yang tertinggi di dalam hierarki kuasa PAS. Jawatankuasa kerja pusat, termasuk presiden dan timbalan presidennya, terletak pada peringkat yang kedua. Pada peringkat seterusnya ialah Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat (wanita).

Berbeza daripada jawatankuasa kerja pusat, majlis syura lazimnya diwakili 100% oleh para ulama (Fasal 8(3)). Puak profesional tidak berpeluang untuk menguasai badan ini, apatah lagi menganggotainya.

Ahli-ahli majlis syura dipilih dan dilantik tidak lebih daripada lima orang oleh majlis syura ulama sendiri; empat orang oleh jawatankuasa kerja ulama pusat; empat lagi oleh jawatankuasa kerja pusat; dan dua masing-masing oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS (Fasal 8(4)).

Perhatikan bahawa pemilihan ahli-ahli majlis syura bukan melalui pertandingan demokratik sepertimana ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih oleh ahli-ahli PAS di muktamar. Namun majlis syuralah yang mengawal halatuju jawatankuasa kerja pusat dan PAS seluruhnya.

Juga, lebih daripada 50% daripada ulama di dalam majlis syura dipilih oleh golongan ulama sendiri (sembilan ahli daripada 17 ahlinya dipilih oleh majlis syura dan jawatankuasa ulama pusat). Dominasi golongan ulama cukup kuat di dalam PAS walaupun jika jawatankuasa kerja PAS pusat dikuasai 100% oleh puak profesional.

Penguasaan kepimpinan ulama diperkukuhkan lagi oleh peranan majlis syura. Antara tugas utama majlis syura ulama ialah untuk 'menjamin' kekuasaan PAS tidak terkeluar daripada mematuhi hukum tertinggi iaitu Al-Quran dan Sunnah, dan muktamar tahunan adalah tertakluk kepada hukum itu (Fasal 8(1a)).

Majlis syura juga bertanggungjawab mengeluarkan perintah supaya dasar Islam PAS dan peruntukan yang berkenaan dengannya (seperti tujuan-tujuan dan usaha-usaha parti) “dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS”, dan majlis syura perlu 'mengawasi' supaya dasar dan ketetapan serta kehendak-kehendak di dalam perlembagaan “dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS” (Fasal 8(1b)).

Dalam erti kata lain, majlis syura tidak akan membenarkan jawatankuasa kerja pusat menyimpang daripada dasar dan tujuan-tujuan parti seperti penubuhan negara Islam walaupun sejengkal. Dengan itu, soal puak profesional menidakkan atau melawan matlamat negara Islam tidak timbul sama sekali. Mereka perlu melangkah mayat majlis syura dahulu.

Mampukah Datuk Nik Aziz Nik Mat menutup mata kepada peminggiran matlamat negara Islam? Tidak mungkin. Menurut perlembagaan PAS Fasal 9(1c), tugas Mursyidul Am ialah untuk “mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS”.

Apakah pendirian Mat Sabu – yang memenangi kerusi timbalan presiden PAS baru-baru ini – mengenai hal ini?

Mengikut temuramah akhbar, beliau “terus mendokong konsep kepimpinan ulama” dan berpendapat bahawa “Majlis syura perlu diperkukuhkan agar PAS tidak terkeluar daripada dasar perjuangan Islam”. Jelas bahawa Mat Sabu bukan ancaman kepada aspirasi negara Islam.

C. Kesimpulan

Nik Aziz, Ppresiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presidennya Mat Sabu atau mana-mana ahli jawatankuasa kerja PAS pusat tidak pernah menolak atau menafikan harapan PAS untuk menubuhkan satu negara Islam suatu hari kelak.

Konsep 'negara berkebajikan' yang diwar-warkan PAS ialah satu dasar sosio-ekonomi semata-mata yang tidak bercanggah dengan ataupun membatalkan matlamat utama mewujudkan sebuah negara Islam.

Ibrahim Ali, Mahathir Mohamad dan pemimpin-pemimpin Umno yang lain tidak perlu gelisah tentang halatuju PAS. Ini selagi majlis syura PAS yang menjadi nadi cita-cita negara Islam masih wujud dan tidak dibubarkan. Jawatankuasa kerja pusat hanya melaksanakan kehendak parti dan wajib mematuhi semangat perlembagaan parti.

Konsep 'negara berkebajikan' dan pemilihan puak profesional ke dalam jawatankuasa kerja pusat lebih merupakan satu strategi PAS untuk memancing undi kelompok bukan Muslim dan Muslim golongan sederhana yang was-was terhadap 'pengIslaman' Malaysia yang radikal atau menyeluruh.

PAS amat sedar bahawa negara Islam perlu dilaksanakan dengan lembut dan perlahan agar tidak ditentang masyarakat Malaysia yang tidak mendokong sebuah negara Malaysia yang berlandaskan Islam teokratik (yang tidak sejajar dengan semangat perlembagaan persekutuan Malaysia).

Tidak ada konflik langsung di antara golongan profesional dengan fahaman 'kepimpinan ulama'. Bezanya hanya dari segi pendekatan, iaitu sebahagian daripada golongan ulama lebih cenderung berpakat dengan Umno untuk mendapatkan kuasa manakala puak profesional berpegang bahawa PAS perlu menolak pinangan Umno dan mengalahkan Umno untuk merampas tampuk kuasa.

Para pemimpin Umno yang kononnya melahirkan rasa dukacita terhadap slogan 'negara berkebajikan' PAS sebenarnya takut dengan pendekatan golongan profesional yang lebih agresif dan menolak usaha 'perpaduan' Melayu-Islam yang dipelopori Umno. Mereka berasa bimbang hilang undi jika penyokong Melayu atau bumiputera Umno lebih teruja dengan PAS yang 'berimej lembut' dan Pakatan Rakyat secara amnya.

Friday, June 3, 2011

Perubahan Makluman Umrah

Assalamualaikum. Maklumat terkini buat peserta umrah bersama Ust Mohd Nazrul bin Abd Nasir. Kami mendapat maklumat baru semalam bahawa urusan ta’syir ‘audah tidak perlu dilakukan bagi pemegang visa bukan pelancong (الإقامة المؤقتة لغير السياحة) yang ingin keluar dari Mesir dan melawat ke negara lain. Terima kasih kepada salah seorang peserta umrah yang memaklumkan kepada kami setelah beliau mendapat maklumat ini daripada pihak Jawazat di Iskandaria.

Ta’syir ‘audah hanya perlu dimohon oleh pemegang visa pelancong di Mesir yang ingin keluar ke negara lain. Manakala pemegang visa bukan pelancong tidak perlu memohonnya jika ingin keluar dan masuk semula ke Mesir dalam tempoh visanya masih sah dan juga tidak menetap di negara lain itu lebih daripada 6 bulan. Para peserta boleh merujuk ke laman web rasmi Kementerian Dalam Negeri Mesir.

Kami memohon maaf akan kesilapan maklumat yang berlaku. Kami hanya mengikut prosedur biasa yang dilakukan sebelum ini oleh pelajar Malaysia yang ingin menunaikan umrah dari Mesir. Namun, alhamdulillah kami bersyukur kerana para peserta tidak perlu bersusah untuk membuat urusan ta’syir ‘audah ini dan dapat menumpukan terus kepada peperiksaan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Disebabkan perubahan ini, maka kami ingin mentahqiqkan semula makluman untuk penyerahan passport, dokumen dan bayaran penuh. Untuk memudahkan para peserta, maka kami memutuskan agar para peserta menyerahkan semua itu pada wakil yang kami lantik di tempat masing. Tarikh serahan dan nama wakil adalah seperti berikut :
1. Sayyidah Zainab
• Wakil ikhwah adalah Dr Shahir +2014 8050728
• Wakil akahwat adalah Dr Amarlina +2011 9947082
• Tarikh dan waktu serahan pada hari Jumaat 10 Jun 2011 bermula jam 8 pagi.
2. Rumah Amanah Raya, Sabiek dan Asyir
• Wakil tunggal kami adalah Ust Nazrul Aizad +2011 6748207
• Tarikh dan waktu serahan pada hari Jumaat 10 Jun 2011 bermula jam 8 pagi.
3. ARMA
• Wakil tunggal kami adalah Ust Mohd Nur Azuan +2014 1553616
• Tarikh dan waktu serahan pada hari Jumaat 10 Jun 2011 bermula jam 8 pagi.
4. Tanta
• Wakil kami adalah Mohd Azrul Azuan +2011 105399 dan Ust Habib Mustaqim
• Tarikh dan waktu serahan pada hari Khamis 9 Jun 2011 selepas Maghrib. Tempat akan dimaklumkan kemudian.
5. Zaqaziq
• Wakil kami adalah Mohd Azrul Azuan +2011 105399 dan Ust Habib Mustaqim
• Tarikh dan waktu serahan pada hari Jumaat 10 Jun 2011 selepas solat Jumaat. Tempat akan dimaklumkan kemudian.
6. Iskandaria
• Diminta untuk menghubungi Mohd Azrul Azuan +2011 105399 untuk tetapan tarikh serahan.

Dokumen dan perkara yang wajib diserahkan adalah seperti berikut :
1. Passport Malaysia yang masih sah sekurang-kurangnya 6 bulan selepas tarikh berlepas iaitu 23 Julai 2011 bersama dengan visa Mesir yang masih sah sekurang-kurangnya dua minggu selepas tarikh pulang iaitu 6 Ogos 2011. Diharapkan para peserta memiliki salinan passport masing-masing untuk apa jua urusan peribadi sepanjang tempoh pengurusan visa umrah ini. Passport hanya akan diserahkan ketika di airport semasa hari berlepas ke Jeddah.
2. 2 salinan kad pengenalan Malaysia.
3. 5 keping gambar bersaiz passport dengan latar belakang putih dan muka memenuhi 75% gambar. Bagi ikhwah, lebih baik gambar tidak menutup kepala. Bagi akhawat, pastikan bertudung gelap. (4 gambar untuk urusan visa umrah dan sekeping untuk name tag umrah)
4. Tambahan khusus untuk akhawat. 2 salinan surat beranak dan 2 salinan kad pengenalan bapa (untuk yang kematian bapa, boleh digantikan dengan kad pengenalan wali samada abang dan pakcik)
5. Baki bayaran penuh.

Untuk bayaran penuh, kami memutuskan untuk menetapkan terus kadar bayaran untuk mereka yang membayar dengan menggunakan EGP iaitu dengan kadar USD 1 bersamaan LE 5.94. Maka, jumlah penuh untuk bayaran ikhwah USD 1150 adalah LE 6831 dan untuk akhawat USD 1170 adalah LE 6949.

Kami meminta para peserta untuk menyediakan semua dokumen dan baki bayaran penuh (dengan nilai yang tepat tanpa lebih atau kurang) di dalam satu sampul untuk memudahkan penyerahan.

Kami mengharapkan para peserta jelas dengan makluman ini dan dapat memberikan tindakan seperti yang diminta agar pengurusan umrah kita dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Jika terdapat apa-apa masalah dan halangan berkenaan makluman ini, diharapkan dapat menghubungi Mohd Azrul Azuan +2011 1053999 untuk perbincangan dan penyelesaian.

Sekian untuk makluman kali ini. Makluman seterusnya akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Semoga segala urusan berjalan lancar dan para peserta dapat menghadapi peperiksaan dengan tenang. Doakan bersama kejayaan umrah kita. Jazakumullah.

p/s : makluman terbaru ini menasakhkan makluman sebelum ini.