Thursday, January 27, 2011

Multaqa Alumni Azhar : Impian Yang Tertunai


Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang mengaturkan perjalanan hidup aku begitu cantik sehingga aku sendiri tidak pernah terfikir akan merasakan nikmat begini. Seperti mafhum hadith Si Kekasih SAW bermaksud jika Allah inginkan kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan memfaqihkannya dalam agama Islam.

Ya, aku masih lagi tidak faqih sebagaimana yang dimaksudkan, namun apabila Allah mentaqdirkan perjalanan hidup yang begitu cantik ini kepada aku, aku memohon semoga aku termasuk di dalam mafhum hadith Kekasih SAW ini.

Permulaan hidup aku yang pada mulanya memandang kebendaan sebagai perkara yang paling utama, Allah ubah dengan bukan kerelaan aku. Aku yang pada mulanya mengimpikan hidup yang 'sempurna' sebagaimana yang dipasakkan oleh masyarakat hari ini, diubah dengan begitu mudah oleh Allah. Akhirnya, kini aku tunduk mengaku akan kesucian Allah dan segala kehendakNya.


Ahad lepas, aku menghadiri satu muhadharah yang dianjurkan oleh Persatuan Alumni Al Azhar yang disampaikan oleh Maulana Syeikh Al Allama Ahmad Ar Raisuni, kami pelajar Al Azhar dikhabarkan berkenaan satu multaqa yang akan diadakan pada keesokkan harinya di Azhar Convention Centre. Lebih mengembirakan, multaqa itu akan dihadiri oleh Al Allama Maulana Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi, seorang ulama akbar dunia yang amat dikenali akan kehebatan ilmunya.

Keesokkannya, selepas meraikan sahabat aku yang akan bernagkat pulang ke Malaysia, aku dan kawan-kawan bertolak ke ACC untuk bersua muka dengan para aulia ini. Alhamdulillah, kami sempat sampai ketika azan Maghrib berkumandang dan terus solat Maghrib. Sesudah solat, kami segera ke dewan multaqa. Suasana di dalam dewan cukup indah dengan kehadiran ramai pelajar Azhar ke majlis ini.


Setelah menunggu sekian lama, para ulama telah mula masuk ke dewan. Hinggalah kepada ketibaan Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi yang menerima tepukan hormat daripada semua hadirin.

Setelah multaqa bermula dengan ucapan Al Imamul Akbar Syeikhul Azhar, Syeikh Dr Ahmad Thoyyib, tiba pula seorang ulama mujtahid iaitu Maulana Syeikh Al Allama Dr Muhammad Sayyid Ramadhan Al Buti. Baru semalam aku berkata kepada kawan aku bahawa aku amat teringin untuk bertemu dengan Syeikh Ramadhan Al Buti, alhamdulillah Allah mengkabulkannya dalam masa hanya sehari.

Terasa kerdil berada di dalam majlis yang penuh keberkatan dengan dihadiri oleh puluhan ulama besar dunia seperti, Syeikhul Akbar Dr Ahmad Thoyyib, Syeikh Ali Jumaah, Syeikh Dr Sayyid Ramadhan Al Buti dan yang paling utama Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi.


Berada di dalam satu dewan bersama para aulia ini adalah satu rahmat yang terbesar di dalam hidup aku. Paling tidak jika aku tidak dapat menjadi seperti mereka, berada di dalam majlis bersama mereka pun sudah jadi satu kenangan terindah. Mendengar kalam-kalam mereka ibarat mendapat sentuhan nasihat yang terus menerjah ke hati.

Apabila tamat majlis, para hadirin menyerbu ke pentas untuk bersalaman dengan mereka. Apakan daya, kami yang tidak sempat untuk ke pentas, hanya lambaian yang mampu dilayangkan. Tidak mengapa, tidak dapat bersalaman dengan mereka boleh diganti dengan berusaha mengikut jejak langkah mereka. Andai tidak dapat bersalaman di dunia, pastikan dapat bersama dengan mereka dan Kekasih SAW di syurga yang kekal selamanya...


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Hayyu Qal'ah, Kaherah.
Khamis, 27 Jan 2011, 11.00pm.

Thursday, January 13, 2011

Islam4peace Kembali Beroperasi!

Salam. Setelah 10 bulan tidak beroperasi, islam4peace.net akan kembali menemui anda dengan kelas-kelas pengajian kitab asas khusus kepada semua pelajar. InsyaAllah, kelas pengajian Syamail Meuhammadiah dan juga Syarah Waraqat telah bersambung semula dan boleh didapati di bahagian Video @ I4P di dalam folder Bingkisan Taman Syurga.

Perancangan kami untuk menaiktaraf web ini terpaksa kami tunda kerana masalah teknikal dan kewangan. Ini adalah kerana kami mengutamakan pembinaan webtv tvalazhar yang masih dalam pembinaan. InsyaAllah, kami akan mengumumkan webtv tersebut apabila siap sepenuhnya.

Bagi mereka yang mempunyai artikel yang sesuai, bolehlah menyiarkannya di bahagian artikel. Begitu juga dengan forum. Semoga kita semua ikhlas di dalam menyebarkan agama Allah ini, insyaAllah.