Friday, December 26, 2008

Demo Palestin : Aku Bangga Jadi Pelajar Azhar!

Satu hari pada pertengahan November lepas, saya melangkah masuk ke Universiti Azhar dan mendapati ada kelainan sedikit. Bilangan pelajar agak ramai dan seolah-olah akan berlaku sesuatu. Sangkaan saya tepat apabila sedang mendengar penerangan doktor dalam kuliah, saya mendengar laungan bergema bersama dengan sahutan yang gegak gempita. Rakan sebelah berbisik ”ada demo hari ni”. Hati saya memang ingin mengetahui dan melihat apa yang berlaku diluar, namun dibatalkan niat itu dan terus memberi perhatian pada kuliah.



Setelah tamat kuliah, saya berlari keluar dan melihat apa yang berlaku. Benarlah, pelajar Azhar sedang melakukan demonstrasi. Saya menyangkakan itu demo membantah kerajaan atau pentadbiran Azhar, rupanya setelah saya merapati mereka, saya dapati mereka mengadakan demo untuk membantah kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza. Laungan mereka begitu bersemangat dan membangkitkan keinsafan. Saya sempat merakamkan demo tersebut dan mengambil beberapa keping gambar. Setalah 5 minit, kawan saya menarik tangan saya dan meminta saya berhenti dan segera beredar. ”Bahaya kalau semangat sangat”. Di Mesir, memang kita tidak boleh terlalu nyata bersemangat ke depan. Silap-silap penjara bawah tanah akibatnya.



Saya pergi ke Masjid Azhar dan solat Zohor. Ketika bertemu dengan kawan-kawan lain di masjid, semuanya bercerita berkenaan demo terbabit. Kata mereka, setelah berarak, peserta demo mengadakan ucapan dan diselangi dengan persembahan sketsa. Sekeras-keras hati orang Arab, hati mereka lembut dan mengalirkan air mata ketika mengenangkan penderitaan saudara mereka.



Saya memutuskan untuk pulang ke ARMA selepas solat. Dalam perjalanan, saya lalu di hadapan Azhar dan melihat peserta demo sudah mara ke hadapan dan berkumpul di pintu utama. Agak kalut juga dengan kehadiran ramai polis ala-ala FRU dan orang ramai yang menyaksikan demo tersebut. Saya melihat mereka dengan bangga kerana mereka begitu bersemngat dan saya yakin, orang-orang inilah yang akan muncul sebagai pembela Islam di masa depan.



Saya berjalan pulang dengan berfikir, berapa ramai remaja kita yang boleh mengalirkan air mata bila mengenangkan saudaranya di Palestin? Sedangkan di sekolah dulu, nak buat program penerangan Palestin pun dikatakan membuang masa, baru-baru ni pun hendak minta derma 20sen seminggu pun sudah ada yang report kat mak ayah, adakah kita akan merasa sakit juga seperti sakit mereka di sana? Orang yang kedekut dan kata program penerangan membuang masa ini mungkin tidak merasakan keperitannya kerana tidak berlaku pada keluarga mereka. Saya merasa malu terhadap orang ini dan berdoa moga suatu hari nanti mereka akan sedar dan merasai sendiri betapa peritnya penderitaan rakyat Palestin. Jika mereka terus bersikap seperti itu, mereka akan berhadapan dengan pendakwaan oleh seluruh rakyat Palestin di padang Mahsyar nanti kerana mengkhianati perjuangan mereka dan tidak memperdulikan penderitaan mereka di dunia.



Merasa sayang terhadap sesama saudara akan membuatkan kita lebih peka terhadap saudara seagama kita. Perasaan ini akan membuahkan peningkatan iman di dalam hati dan iltizam yang kukuh untuk berjaya di dunia dan akhirat. Saya sampai bila-bila pun akan mempertahankan program seumpama ini dijalankan bagi menyedarkan kita betapa pentingnya ukhuwwah sesama Islam dan betapa pentingnya tanah Palestin harus dipertahankan. Saya berdoa semoga saya menjadi seperti pelajar Azhar tadi yang begitu bersemangat menunjukkan penentangan mereka terhadap Israel. Saya bangga jadi pelajar Azhar!

No comments: