Monday, January 18, 2010

Kuliah Syarah Waraqat Oleh Ust Hairul Dan Juga Penerangan Isu Kalimah Allah Di islam4peace.net


Alhamdulillah, di sebalik kesibukan exam, sempat juga menyiapkan slot terbaru terbitan islam4peace.net iaitu yang pertama adalah siri kedua kuliah mingguan di dalam rancangan Bingkisan Taman Syurga. Ia merupakan bacaan kitab Syarah Waraqat karangan Imam Al Mahalli Hafizallah oleh Ust Hairul Nizam bin Mat Husain, pelajar Master Usul Fiqh, Universiti Al Azhar Kaherah.

Kuliah ini akan diupload setiap minggu dari mula hingga tamat kitab. Sahabat semua boleh menontonnya dengan melayari www.islam4peace.net di bahagian video@i4p di bawah rancangan Bingkisan Taman Syurga.

Saya juga ambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ust Hairul dan zaujahnya di atas kelahiran anak pertama beliau. Semoga menjadi anak yang solehah yang bakal menjadi srikandi agama di masa akan datang. Kalau berkesempatan, insyaAllah saya akan menziarahi mereka.


Kedua ialah rancangan baru terbitan islam4peace iaitu Detik Semasa. Rancangan ini diterbitkan untuk mengupas apa jua isu semasa berkaitan dengan agama Islam dan untuk terbitan pertama, rancangan ini mengupas isu penggunaan kalimah Allah yang disampaikan oleh Ust Mohd Nazrul bin Abd Nasir, pelajar kuliah Usuluddin syukbah Tafsir, Universiti Al Azhar Kaherah.

Rancangan ini boleh ditonton di islam4peace.net di bahagian video@i4p di dalam folder Detik Semasa.

Semoga sedikit usaha ini dipandang oleh Allah sebagai bukti cinta pada agamanya dan para sahabat juga boleh berbakti dengan menghebahkan perkara ini kepada yang lain. Semoga ikhlas sentiasa berada di dalam hati kita. Doakan kami yang sedang berjihad di dewan exam dan selamat menghadapi peperiksaan buat semua mahasiswa dan mahasiswi Al Azhar, Mesir.

Wednesday, January 6, 2010

Isu Kalimah 'Allah" : Ini Bukan Sekadar Isu Kalimah!

(kemaskini 6 Jan 11.07 pm)
Saya terpanggil untuk memberikan pendapat berkenaan isu hangat yang diperkatakan sekarang iaitu Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa majalah Herald-The Catholic Weekly berhak menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada perkataan 'God'.

Apa yang saya lihat, isu ini bukanlah sekadar isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam majalah itu, namun ada implikasi yang lebih besar yang perlu kita fahami di sini. Sebelum saya mengulasnya, saya ingin berkongsi dahulu berkenaan hukum bukan Islam terutamanya Yahudi dan Nasrani menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka.

Hukum Ahli Kitab Menggunakan Kalimah Allah

Saya masih tidak dapat mencari pendapat secara ilmiah berkenaan hukumnya. Ini juga mungkin disebabkan di Mesir ini tidak timbul langsung masalah ini kerana terjemahan bahasa Arab dan juga uruf adat di sini yang berbeza dengan di Malaysia.

Setakat yang saya boleh berpegang adalah kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) yang menyatakan boleh bagi ahli kitab menggunakan kalimah Allah kerana agama mereka adalah berasal dari agama Samawi yang telah diselewengkan.

Juga berdasarkan suasana di Mesir di mana penganut Kristian juga menggunakan kalimah Allah dalam agama mereka. Malah Azhar sendiri tidak pernah menghalang mereka dalam hal ini. Namun, saya memahami perkara ini dan tidak merasa hairan dengan situasi ini kerana perbezaan besar antara bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Di dalam bahasa Arab, secara umumnya 'God' diterjemahkan sebagai 'رب' bermaksud 'Tuhan' dalam bahasa Melayu. Namun, keistimewaan dalam bahasa Arab terhadap kalimah 'رب' adalah apabila kalimah ini disebut secara mutlak tanpa apa-apa 'قيد' (tanpa dikaitkan dengan kalimah lain), maka ia akan bermaksud 'Allah'.

Adapun apabila ia diqaidkan dengan kalimah lain seperti 'رب العمل', maka ia sudah bermaksud 'majikan' dan tidak lagi bermaksud 'Allah' ataupun 'Tuhan'. Maka dapat difahamkan di sini mengapa Kristian di Mesir dan Negara Arab lain juga menggunakan kalimah 'Allah' sebagai ganti perkataan 'God'. Ianya tidak lebih dari sekadar penyatuan dari sudut bahasa, bukan penyatuan dari sudut makna.

Ilmu Dan Fatwa Adalah Berbeza

Walaupun secara umumnya ahli kitab boleh menggunakan kalimah Allah, namun bagi masalah dan waqi semasa di Malaysia, ia satu perkara yang amat berbeza. Maka, apabila ada pihak di kalangan umat Islam sendiri yang menyokong perkara ini, saya berpendapat mereka tersalah tafsir dan tersalah faham akan permasalahan sebenar dalam isu ini.

Perlu diingatkan, ilmu adalah ilmu dan fatwa (يطبيق) adalah fatwa. Ilmu tidak sama dengan fatwa. Dari sudut ilmu, memang tepatlah apa yang diperkatakan. Namun dari sudut memberi pendapat terhadap isu ini terhadap orang ramai yang masih cetek pengetahuan Islam, ia adalah termasuk dalam hal ehwal fatwa yang memerlukan kaedah dan pemerhatian yang mendalam.

Dalam pengajian di Masjid Azhar, Maulana Syeikh Yusri Hafizallah yang mana beliau merupakan seorang pakar hadith pernah menjawab ketika ditanyakan fatwa oleh anak muridnya tentang isu yang berkaitan dengan apa yang diajarnya ketika itu. Beliau menjawab “Aku hanya mengajar ilmu. Jika mahu fatwa, pergi ke Darul Ifta’ (institut yang berautoriti untuk mengeluarkan fatwa di Mesir)”. Maksudnya adalah, ketika itu adalah majlis pengajian ilmu dan jika mahukan fatwa, pergi ke tempat yang sepatutnya.

Bukan Sekadar Isu Kalimah 'Allah'

Lebih malang lagi apabila ada di kalangan umat Islam yang memandang ringan akan masalah ini dan menganggap ia sekadar masalah pengunaan kalimah. Lebih mengecewakan, ada lagi jenis manusia yang memandang isu ini dari perspetif politik tidak kiralah dari pihak BN ataupun Pakatan! Walaupun saya juga tidak menafikan bahawa kemungkinan ada pihak yang bermain politik dalam isu ini, namun saya lebih mengaulakan untuk menentang usaha majalah itu menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

Ingin saya menegaskan, kita sudah terlalu banyak berpolitik hinggakan pada perkara yang memerlukan kita membebaskan diri dari pandangan politik pun, kita telah mempolitikkannya. Ini adalah masalah aqidah! Jika isu ini berlegar sekadar reality luaran, bagi saya kita masih boleh selesaikan dengan mudah.

Namun, hakikatnya isu ini adalah bukan sekadar isu kalimah. Ia adalah isu yang lebih besar dari itu. Isunya adalah keselamatan aqidah umat Islam kerana perkara ini kini dalam perbicaraan mahkamah. Ramai yang tidak tahu dan tidak menyedari akan kesan dan akibat yang kita akan terima jika mereka terus memenangi kes ini dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Implikasi perundangan adalah sesuatu yang mengikat kita dari sudut perlembagaan tidak kiralah siapa sahaja yang memerintah negara ini. Saya akan mengulasnya di bawah nanti.

Untuk membahaskan perkara ini dengan lebih jelas, saya ingin mengulasnya dari tiga aspek penilaian. Pertama adalah tujuan mereka beria-ia mahu menterjemahkan perkataan 'God' kepada 'Allah' dalam penerbitan edisi Bahasa Melayu majalah mereka. Kedua, masalah waqi semasa dan kefahaman aqidah Islam yang begitu nipis di kalangan umat Islam di Malaysia. Ketiga adalah implikasi perundangan dalam masalah ini.

Apakah Tujuan Mereka Guna Kalimah 'Allah'?

Pertama, apakah tujuan penterjemahan majalah itu kepada Bahasa Melayu? Katanya adalah untuk kegunaan penganut Kristian sahaja. Berapa ramaikah orang Melayu yang Kristian sekarang hinggakan majalah ini hendak diterbitkan dalam bahasa Melayu? Walaupun pernah terbit isu orang Melayu murtad seramai 200 ribu orang, namun adakah semua yang murtad itu benar-benar mengamalkan ajaran Kristian, atau mereka sendiri murtad sekadar mahukan habuan dunia yang ditabur oleh golongan misionari dan langsung tidak beramal dengan ajaran Kristian?

Ada dua jawapan untuk soalan ini. Pertama, jika pihak penerbit ikhlas mahu menerbitkan majalah itu kepada penganut Kristian sahaja. Atau yang kedua, yang menjadi isu, adalah jika mereka sebenarnya berhasrat untuk menyebarkan dakyah kepada orang Islam yang majoritinya Melayu dan juga ‘mengukuhkan’ aqidah sesat para saudara kita yang telah dimurtadkan mereka. Saya akan menjawab persoalan pertama ini dari sudut dua jawapan ini.

Untuk jawapan pertama, jika mereka benar-benar sekadar untuk kegunaan penganutnya sahaja, saya boleh bersetuju dengan pendapat umum yang membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah sesame mereka sahaja. Memang telah disebutkan dalam Al Quran dan Hadith bahawa Allah adalah Tuhan bagi seluruh alam, hinggakan yang kafir pun mengaku bahawa Allah adalah pencipta alam ini. Ini adalah dalam keadaan penggunaan itu berkisar dalam hal ehwal agama mereka dan bersama penganutnya sahaja, tidak termasuk penggunaan kalimah Allah untuk mengelirukan umat Islam. Ini adalah kerana Allah tetap Tuhan bagi setiap makhluk cuma tindakan mereka yang men’tathliskan’ Allah itu mereka akan tanggung sendiri balasan Allah di akhirat.

Kalimah 'Allah' Digunakan Untuk Mengelirukan

Namun, jika mereka bertujuan untuk menyebarkan dakyah kepada orang Islam, hujah yang digunakan tidak bertepatan malah dalilnya pun tidak menepati kaedah dan waqi semasa isu ini. Aqidah umat Islam adalah menjadi tangungjawab kita untuk mempertahankan hatta aqidah saudara kita yang telah dimurtadkan juga perlu kita usahakan untuk menyelamatkannya.

Isu yang sebenar adalah kebarangkalian yang tinggi untuk mereka menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk mengelirukan umat Islam dan sebagai strategi mereka untuk menyamakan konsep ketuhanan Islam dengan Kristian. Walaupun ini sekadar andaian saya dan mereka tidak nyatakan dengan jelas matlamat ini namun kita boleh melihat keadaan realiti yang berlaku.

Berapa ramai umat Islam yang dimurtadkan? Sudah berapa kes yang dibicarakan di mahkamah berkenaan permohonan untuk murtad? Lebih buruk lagi, berapa banyak kes yang mereka bawa ke mahkamah untuk memurtadkan orang Islam yang ini menunjukkan keberanian mereka dalam memurtadkan umat Islam? Aisyah Bukhari, Lina Joy dan ramai lagi murtaddin yang kita tidak tahu disebabkan kes mereka tidak diketahui umum?

Usaha mereka yang berterusan untuk mendakyahkan agama mereka ini menggunakan pelbagai cara. Memperdaya anak gadis dengan cinta, menggunakan wang dan harta juga kemuncaknya menghalalkan tindakan mereka dengan membawa kes keh mahkamah. Lalu perlembagaan secular kita pun menghalalkan segala tindakan mereka ini hinggakan mereka kini mengorak langkah dengan lebih berani dan kreatif untuk memurtadkan umat Islam.

Maka, saya amat yakin bahawa mereka tetap ada hasrat untuk menggunakan kalimah Allah ini sebagai strategi untuk mengelirukan umat dan menyamakan konsep ketuhanan Islam dan Kristian. Maka, adakah perkara ini boleh kita kiaskan daripada pandangan yang mengatakan boleh orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Saya tidak nafikan bahawa memang orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah dalam beberapa keadaan, namun dalam isu ini, ia berbeza sama sekali. Tidak tepat kita menggunakan pandangan umum terhadap masalah yang kompleks seperti ini.

Kuatkah Aqidah Umat Islam Di Malaysia?

Persoalan kedua adalah keadaan umat Islam di Malaysia yang nipis kefahaman aqidah mereka. Ada pihak berhujah bahawa kita tidak perlu menghalang mereka menggunakan kalimah Allah kerana yang penting adalah kita mesti memberi kefahaman kepada umat Islam bahawa Allah itu Tuhan kepada seluruh manusia.

Bagi saya, ini adalah pendapat yang tidak bertepatan dalam masalah ini. Keadaan umat Islam sekarang adalah mereka sangat cetek kefahaman mereka dalam aqidah Tauhid. Begitu nipis hinggakan iman mereka boleh dirobek hanya dengan serangan cinta dan material. Berapa ramai aqidah umat Islam yang terkorban kini? Terlalu ramai dan semuanya ini hanya disebabkan tipu daya yang kecil dari pihak missionary Kristian.

Maka, berdasarkan dengan keadaan ini, adakah bijak tindakan membenarkan mereka menggunakan kalimah Allah yang pastinya akan menimbulkan salah faham yang lebih besar umat Islam terhadap Allah? Adakah tindakan yang kononnya 'toleransi agama' ini lebih penting daripada tindakan menyelamatkan umat Islam yang nipis imannya dari ancaman kecelaruan fahaman mereka terhadap Allah?

Jika dibenarkan, maka akan bertaburanlah majalah missionary dalam pasaran dengan sewenang-wenangnya menggunakan kalimah Allah tetapi dengan bermaksud Allah yang mempunyai anak. Maka, anak-anak muda remaja sekarang yang nipis imannya pun membacanya dan bertambahlah kecelaruan aqidah mereka yang sememangnya sudah celaru itu.

Ada yang berhujah kita punyai kuasa untuk mengawal dan menguatkuasakan sekatan. Persoalannya, efektifkah kawalan itu? Sedangkan peruntukan undang-undang yang sedia ada iaitu umdang-undang yang melarang penyebaran agama lain terhadap umat Islam pun kita tidak dapat menguatkuasakannya dengan efektif, inikan pula penyebaran majalah? Mampukah kita menghalang majalah ini daripada disebarkan secara haram dan sulit kepada para remaja kita?

Sepatutnya kita menghalang penggunaan kalimah Allah oleh mereka demi menjaga aqidah umat Islam. Kita ada kuasa, kita menguasai lebih majority mudah dalam Parlimen Malaysia jika dipecahkan sempadan kepartian kita. Kita ada pelbagai badan berkanun yang mampu menyekat penggunaan kalimah Allah oleh mereka ini. Semua ini kita wajib lakukan demi keselamatan aqidah saudara seIslam kita.

Kemudian, menjadi tanggungjawab semua untuk memantapkan kefahaman aqidah umat Islam di Malaysia. Pihak kerajaan perlulah mengukuhkan lagi system pendidikan Islam di sekolah dengan memantapkan kefahaman aqidah di kalangan pelajar. Begitu juga dengan peranan ibu bapa dan masyarakat. Terlalu banyak perkara yang perlu diambil berat oleh pelbagai pihak yang tidak mampu untuk saya nyatakan di sini.

Implikasi Undang-undang

Persoalan ketiga, adalah persoalan implikasi undang-undang terhadap kes ini. Perlu diingatkan bahawa jika mereka memenangi kes ini diperingkat Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi yang tidak boleh drayu lagi akan keputusannya, maka kes ini akan menjadi 'President Casses' (PC).

Kesan PC amat besar terhadap kes seumpamanya yang timbul di masa akan datang iaitu jika ada kes yang menyerupai kes ini timbul di masa depan, maka kebarangkalian adalah tinggi untuk keputusan perbicaraan itu nanti akan mengikut keputusan kes pada hari ini!

Seperti kes Natrah 1950 yang dibatalkan keIslamannya oleh mahkamah tinggi Singapura berdasarkan ordinan yang menghalang orang yang berumur bawah 18 tahun daripada melakukan sesuatu yang boleh mengubah identity dirinya termasuk agama. Kes ini menjadi PC yang popular dalam kes-kes yang mendatang selepas tahun 1950.

Antara kes yang terkesan dengan PC ini adalah kes Suzy Teoh ataupun nama Islamnya Noraini Abdullah pada tahun 1987. Dalam kes ini, Noraini telah memeluk Islam ketika berumur 16 tahun. Ibu bapa Noraini yang beragama Budha memohon perintah mahkamah untuk Noraini kembali kepada keluarga mereka dan kembali menganut agama Budha.

Ketika persidangan, pihak peguam bela telah mengkemukakan beberapa saksi sebagai bukti bahawa Noraini benar-benar telah menganut Islam secara suka rela dan ini juga disahkan oleh Noraini sendiri yang melafazkan dua kalimah syahadah di dalam mahkamah. Maka, secara Islamnya, Noraini adalah sah beragama Islam.

Namun, pihak pendakwa raya berhujah bahawa memang tidak dinafikan bahawa Noraini adalah Islam di sisi undang-undang Islam, namun undang-undang apakah yang diamalkan ketika itu? Yang diamalkan adalah Perlembagaan Malaysia yang berundang-undangkan sivil, bukannya undang-undang Islam.

Hujah ini diperkuatkan lagi dengan peruntukan Artikel 4 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut "Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu"

Maka, mereka berhujah keislaman Noraini adalah bercanggah dengan perlembagaan dalam Artikel 11 yang menyebut "Tiap-tiap orang yang berumur 18 tahun ke atas adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya". Mafhum sebaliknya dari artikel ini adalah "Tiap-tiap orang yang berumur 17 tahun ke bawah adalah tidak berhak menganuti dan mengamalkan agamanya". Dengan ini, keIslaman Noraini mengikut undang-undang Islam adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan setiap yang berlawanan ini hendaklah terbatal!

Mereka juga berhujah dengan menggunakan PC kes Natrah bagi menguatkan dakwaan mereka. Persamaan yang wujud antara kedua yang membawa kepada perlunya kes Noraini mengikut keputusan kes Natrah adalah "kedua-duanya belum berumur 18 tahun dan tidak berhak untuk menukar agama mereka".

Setelah itu, kertas keputusan perbicaraan itu, tertulislah keputusan yang menetapkan terbatal Islam Noraini dan dia diperintahkan untuk kembali kepada keluarga dan agama Buddha! Namun, dengan keprihatinan Ketua Hakim Negara ketika itu iaitu Tun Salleh Abas, fail kes Noraini ini disembunyikan selama dua tahun hinggalah dibacakan keputusannya ketika Noraini berumur 18 tahun.

Semasa mengumumkan keputusan itu, hakim meminta Noraini menyatakan agama pilihannya kerana dia sudah berumur 18 tahun ketika itu. Maka, dengan lancer Noraini melafazkan dua kalimah syahadah dan selamatlah aqidah seorang umat Islam daripada dimurtadkan oleh system secular kita. Berdasarkan kes inilah, timbul kenyataan seorang hakim kanan bahwa negara kita tidak pernah mengamalkan undang-undang Islam da Malaysia adalah sebuah negara secular!

Kita Juga Akan Jadi Seperti Kes Natrah!

Berdasarkan contoh ini, maka kita boleh membayangkan akan apa yang akan berlaku jika mereka memenangi kes ini. Apabila mereka memenangi kes ini, maka implikasi perundangannya adalah mereka bebas untuk menggunakan kalimah Allah sebagai ganti 'God' dengan membawa makna 'Allah yang ada anak' (bukan seperti i'tikaq sebenar iaitu Allah yang Esa) dalam setiap penerbitan mereka dan juga di luar penerbitan mereka sewenang-wenangnya tanpa batasan dan ini semua dibenarkan oleh undang-undang!

Inginkah kita jadi seperti Indonesia? Dakyah Kristianisasi yang berlaku terlalu dahsyat hingga sukar dibendung. Antara senjata utama mereka adalah penerbitan mereka yang menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan yang punyai anak. Penerbitan yang pelbagai disebarkan dan antaranya adalah dalam bentuk komek kartun yang pastinya akan disukai oleh kanak-kanak.

Perlu saya tegaskan, ini yang akan berlaku jika mereka memenangi kes ini. Ini yang perlu kita sekat dan haling dengan segala daya upaya kita. Inilah isu sebenar yang wajib kita perjuangkan. Ini bukjan sekadar isu penggunaan kalimah, ini adalah isu aqidah! Ini bukan masa kita kononnya nak tunjukkan toleransi hingga menggadai aqidah generasi akan datang. Ini juga bukan medan untuk kita hendak berpolitik murahan dan gilakan sokongan serta undi mereka!

Amaran Kepada Si Jerung!

Saya ingin memberi amaran kepada mereka yang 'ada suara' dalam isu ini agar bertanggungjawab dalam setiap kata-kata mereka. Artikel saya ini mungkin ibarat jeritan bilis yang tidak akan didengari oleh si paus. Namun, mereka yang bersuara jerung, yang boleh menyebabkan si paus terjaga hendaklah memikirkan dengan rasional dan mengikut waqi semasa.

Jangan sekadar berfikir secara ilmiah tanpa memandang kepada reality, juga jangan hanya sekadar berfikiran sempit politiknya sahaja! Saya juga penyokong PAS dan penentang secular UMNO. Namun, takkanlah dalam hal ini pun kita masih mahu berdalih "Itu ayat pro-UMNO", "ini toleransi agama", sedangkan realitinya aqidah umat Islam sedang diancam dengan cara yang boleh menghalalkan tindakan mereka iaitu perundangan seperti yang saya ulas di atas.

Maka, pendirian saya di sini adalah saya menentang apa jua usaha dan tindakan yang menyokong serta menjayakan pihak pendakwa untuk memenangi kes ini. Segala usaha yang boleh menyekat perkara ini hendaklah dilaksanakan agar paling kurang pun kita Berjaya mengurangkan ancaman aqidah yang menyerang umat Islam hari ini.

Kembalilah Kepada Perjuangan Islam

Juga ingatan kepada parti secular UMNO, kamu sudah memerintah selama lebih 50 tahun dan kamu berbangga kononnya telah mengubah nasib orang Melayu-Islam. Namun, bolehkah kamu berbangga dengan kemajuan ini sedangkan keadaan aqidah umat Islam di Malaysia kini berada dalam keadaan amat tenat.

Lihatlah apa yang berlaku kini, walaupun kamu mempunyai kuasa 2/3 dalam Parlimen di dalam setiap penggal Pilihan Raya Umum (kecuali penggal ke 12), kamu berkuasa untuk menggubal undang-undang untuk menjaga aqidah umat Islam, namun kini aqidah umat Islam hampir akan digadaikan dan dihalalkan oleh undang-undang ciptaaan kamu sendiri! Ke manakah pergi maruah dan tanggungjawab kamu terhadap umat Islam. Apa yang kamu akan jawab di hadapan Allah kelak?

Ubahlah diri dan kembali kepada perjuangan Islam. Usah berkeras dengan perjuangan secular yang akn menggadaikan aqidah. Ingatlah, kamu sebagai pemerintah akan dipertanggungjawabkan oleh Allah akan segala yang kamu lakukan dan akan dihisab di akhirat.

Bagi PAS, saya akan terus setia dan amat berharap PAS terus istiqamah dengan dasar mendirikan negara Islam walaupun dengan mengubah beberapa pendekatan dan strategi seperti sekarang. Kepada rakan dalam Pakatan, saya masih boleh bersama kamu selagi kamu menyokong perjuangan Islam. Namun, akan datang, jika kamu khianat pada perjuangan Islam kami, kerjasama ini juga pasti akan tamat dan musnah!

Kini, masa untuk kita tinggalkan sebentar segala kepentingan lain dan kembali kita kepada masalah asal iaitu menjaga aqidah umat Islam. Pada mereka yang masih berhujah untuk menyokong keputusan mahkamah tinggi itu, saya tidak akan bersetuju dengan kamu dan kamu harus menjawab dan bertanggungjawab terhadap tergadainya aqidah umat Islam akan datang, antaranya disebabkan sokongan buta kamu dalam perkara ini!

Saya baru sahaja post artikel ini 2 jam yang lalu, kemudian saya baru melihat komen Dato Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu ini. Saya terpanggil untuk memberikan komentar kepada apa yang diperkatakan beliau.



Dalam ucapannya, DSAI cuba untuk mengambarkan persamaan konsep keadilan dan kesaksamaan dalam agama lain seperti Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain. Pada hemat saya, persamaan itu memang wujud dan hampir semua agama di dunia ini mempromosi keamanan dan keadilan.

Namun, jika mahu diqiaskan persamaan ini dengan persamaan dari konsep ketuhanan, ia amatlah berlainan sama sekali. Perbezaan besar dari aspek ketuhanan inilah yang membuatkan kita berbeza segalanya dari mula aspek ibadah hinggalah kepada aspek lain dalam kehidupan kita.

Perlu diingatkan bahawa dalamn Islam, segalanya yang kita buat hatta yang berkaitan dengan aktiviti rutin kehidupan juga boleh dikira ibadah dan mendapat pahala jika semua yang kita laksanakan itu kerana Allah, demi mentaati suruhan Allah dan juga menepati hukum hakam yang Dia tetapkan kepada kita.

Adapun bagi bukan Islam, setinggi langit mana pun kebaikan yang mereka laksanakan, jika mereka mati dalam kekufuran, maka tetaplah neraka selama-lamanya untuk mereka. Ini disebabakan mereka mengingkari perkara paling asas dalam i'tikad yang menjadi asbab kita sebagai manusia ini dijadikan oleh Allah.

Perkara asas itu adalah beriman kepada Allah sebagai Tuhan Yang Maha Esa dan mengabdikan diri kepadaNya dalam setiap perbuatan dan detik hati kita sepanjang hidup ini. Jika mereka yang 'lulus' semua ujian keduniaan dengan berkelakuan baik namun 'gagal' dalam perkara asas ini, maka segalanya tidak dikira kerana mereka telah mengingkari perkara pokok dalam penciptaan manusia oleh Allah iaitu beriman dengan Allah yang Maha Esa.

Ibarat bangunan yang amat cantik dibina, namun asasnya tidak kukuh sama sekali. Maka, setinggi mana pun pujian manusia terhadap bangunan ini, lambat laun semuanya akan musnah runtuh bersama asasnya yang tidak kukuh tadi.

Maka, membandingkan persamaan konsep keadilan dalam semua agama dengan konsep ketuhanan, ia amatlah berbeza dan tidak kena. Konsep keadilan adalah perkara lain. Takkanlah disebabkan kita ada persamaan dari beberapa sudut, maka kita boleh bertoleransi dalam semua perkara?

Tambahan pula seperti yang saya sebutkan di atas, ini bukanlah persoalan kalimah semata-mata, ini adalah isu perundangan yang akan memberikan kita implikasi yang mengikat kita untuk taat walaupun DSAI sendiri jadi Perdana Menteri akan datang.

Ini juga adalah isu golongan misionari Kristian menggunakan kalimah Allah sebagai strategi untuk menyamakan konsep ketuhanan Islam dan Kristian. Ini seterusnya mencetus kesan kecelaruan yang hebat di kalangan umat Islam yang sedia rosak kefahaman Islamnya.

Memang mudah untuk kita menyebut, jika umat Islam tidak faham, maka kita perlu berdakwah. Kata-kata ini amat mudah untuk dilafazkan sebagai penyelesaian untuk mematikan hujah! Secara praktikalnya, boleh DSAI terangkan? Mungkin disebabkan DSAI politicion, tidak memahami beratnya tugas pendakwah kita yang sedia terpikul dengan pelbagai masalah umat yang tidak pernah reda. Ditambah lagi dengan kualiti dan kuantiti pendakwah yang betul-betul ikhlas amatlah kurang di negara kita, serta pelbagai lagi penyakit yang telah sedia ada seperti kebebasan bersuara, hiburan, pergaulan bebas, maksiat, dan pelbagai lagi.

Kenyataan ini saya lihat lebih kepada teknik 'berlepas tangan' dengan melepaskan masalah yang berat ini terus kepada para pendakwah. Sedangkan mereka sebagai politician yang bersuara jerung, apakah yang mereka lakukan dalam usaha menyelamatkan umat Islam? Manakah yang lebih bijak antara melakukan pencegahan dari awal ataupun baru mahu mencari ubat dan penawar setelah virus murtad tersebar di negara kita ini?

DSAI juga mengatakan bahwa di negara Arab, muslim dan non-muslim juga menggunakan kalimah Allah tanpa sekatan. Perkara ini sudah saya ulas di atas, namun saya suka untuk menjelaskan sekali lagi bahawa terjemahan 'God' dalam bahasa Arab adalah 'Rabb' bermakna 'Tuhan' dalam bahasa Melayu. Namun, jika perkataan Rabb digunakan secara tunggal tanpa disandarkan kepada mana-mana nama lain, maka ia secara mutlak bermaksud Allah!

Maka tidak hairanlah mengapa berlaku muslim dan non-muslim di negara Arab menggunakan kalimah Allah. Ini adalah kerana di dalam bahasa Arab, perkataan 'God' akan diterjemah kepada 'Rabb' dan seterusnya membawa maksud 'Allah' kerana kalimah Rabb itu secara mutlak hanya digunakan kepada Allah dalam bahasa Arab.

Dengan kata lain, apabila diterjemahkan 'God' ke dalam bahasa Arab, ini tidak akan memberi makna lain selain hanya 'Allah'. Maka, penggunaan mereka ini sememangnya tidak terdapat halangan disebabkan konteks bahasa ini. Ini hanya sekadar penyatuan nama, bukanlah penyatuan makna. Namun, apabila hujah ini terus dipakai untuk situasi di Malaysia terutama dalam isu perundangan ini, maka ia amatlah berlainan.

Apa yang berlaku di Malaysia adalah pihak gereja mahu menggunakan kalimah Allah sebagai ganti perkataan 'God' dalam penerbitan mereka dan berkemungkinan besar mereka akan menjadikannya sebagai strategi untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam serta menyamakan konsep ketuhanan mereka dengan konsep kutuhanan Islam!

Menyamakan konsep ketuhanan yang saya maksudkan adalah memberi gambaran kepada golongan umat Islam di Malaysia yang lemah kefahaman Tauhidnya bahawa Allah itu terdiri dari 3 jelmaan iaitu Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus. Bagi mereka yang mengaji agama dan tahu serba sedikit persoalan aqidah, bolehlah mereka menyangkal dakwaan ini. Namun, bagaimana pula dengan kanak-kanak, para remaja yang liar dan juga pada mereka yang baru nak dekati Islam?

Hujah DSAI yang merujuk kepada situasi negara lain yang memberikan kebenaran kepada non-muslim menggunakan kalimah Allah adalah hujah yang tidak menepati waqi semasa di Malaysia. Baguskah kita mahu menjadi seperti Indonesia yang kita dihambat virus murtad yang membarah?

Di Indonesia, boleh didapati dengan mudah komek terbitan gereja yang memuatkan cerita kanak-kanak yang menyelitkan dakyah agama mereka secara halus. Ini baru contoh kecil jika ingin dibandingkan banyak lagi perkara besar yang menjadikan angka murtad di Indonesia semakin membarah dengan cepat! Mahukah kita jadi sepertinya???

DSAI juga menggariskan perkara lain yang perlu diberikan perhatian iaitu rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Saya bersetuju bahawa semua ini juga adalah jenayah dalam Islam dan wajib diperangi. Namun, adakah tepat kita memandang besar perkara ini tetapi dalam isu kalimah ini kita memandangnya dengan pandangan yang kecil?

Dalam Islam, ada perkara usul dan ada perkara furu'. Hatta jika seseorang itu hidupnya penuh dengan maksiat, selagi tidak syirik, maka jika dia mati dalam keadaan imannya masih mengakui Allah sebagai Tuhan Maha Esa dan Nabi Muhammad SAW pesuruh Allah, maka wajib syurga baginya setelah direndam berjuta tahun dalam neraka.

Perkara aqidah ini adalah perkara usul. Adalah amat tidak tepat jika kita membesarkan perkara yang furu' dan mengecilkan perkara usul ini. Sepatutnya perkara usul ini menjadi perjuangan utama kita dan di masa yang sama juga memperjuangkan perkara furu'. Aulakan perkara usul ini yang memerlukan perhatian khusus dan kemudiankan perkara yang tidak perlukan tindakan segera.

Dalam masa yang sama, saya juga sudah makin nampak bibit-bibit ada pihak cuba menjadikan isu ini sebagai modal politik untuk mengukuhkan sokongan terhadap mereka. Golongan yang kononnya memperjuangkan aqidah, namun aqidah perjuangan mereka sendiri bertuhankan sekular! Saya akan mengulasnya di masa akan datang sekiranya perbuatan mereka mengeksploitasi isu ini menjadi semakin jelas dan nyata!

Saya berdoa semoga umat Islam di Malaysia disatukan dalam isu ini agar kita sama-sama berjuang dan ketepikan sama sekali kepentingan politik buat sementara waktu. Ikhlaslah dalam tindakan, tanpa mengharapkan apa-apa balasan dalam isu ini. Ini kerana yang kita bertahankan bukanlah diri kita, ahli keluarga kita mahupun kerajaan dan kuasa kita, namun yang kita wajib pertahankan kini adalah aqidah umat Islam yang ingin dikelirukan serta kesucian nama Allah, Rabbul Jalil!