Friday, November 5, 2010

Isu Duit Zakat Dikatakan Rasuah : UMNO Ibarat Orang Yang Kentut Tapi Menunding Jari Kepada Orang Lain!

Ditakdirkan Allah, PAS tewas di Galas. Saya pada mula lagi memang tidak menaruh harapan bahawa PAS akan menang. Faktor KuLi, isu tanah dan Gua Musang yang terkenal sebagai kubu kuat BN, semua itu memberikan signal awal, PAS susah untuk mempertahankan Galas.

Hujah mengatakan PAS mampu bertahan disebabkan pernah menang semasa PRU 12, tidak boleh dijadikan ukuran kerana situasi PRU dan PRK adalah berbeza. Semsa PRU, strategi mana-mana parti adalah sama, masing-masing jaga tempat masing-masing kecuali kawasan yang dijadikan target. Manakala ketika PRK, satu negara menumpukan perhatian kepada satu kawasan. Tambahan pula, BN pastinya akan menurunkan semua jentera kerajaan. Walaupun yang bertanding adalah parti UMNO, namun semua jentera kerajaan bertukar menjadi jentera UMNO.

Apa yang saya ingin ulas di sini adalah tuduhan ataupun salakan UMNO berkenaan isu duit zakat yang diberikan kepada muallaf dikatakan sebagai rasuah. Lalu bertempiklah semua pengampu dan tukang kipas UMNO termasuklah akhbar arus perdana, SPR dan pasukan beruniform.

Saya tidak mahu mengulas panjang. Secara ringkasnya, zakat adalah menjadi hak bagi mana-mana orang yang baru memeluk Islam. Tidak kiralah jika dia memeluk Islam ketika pilihanraya, ketika final bola sepak Piala Malaysia, atau ketika hari nak kiamat, mereka berhak menerima zakat.

Maka, Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) yang menjadi penantaraan untuk mengislamkan mereka, menghulurkan wang zakat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pemerintah yang berkuasa terhadap wang zakat. Ini menjadi perkara biasa, terdapat kaitan lazim wal malzum di dalam hal ini. Masuk Islam akan pastinya mendapat zakat.

Maka, apabila pihak UMNO menyalak bahawa TGNA memberikan rasuah kepada orang asli di Galas, nampak sangat akan kebodohan mereka dalam ilmu agama. Ditambah kebodohan itu dengan kenyataan memihak SPR kepada UMNO.

Analogi mudahnya, andai seorang bapa yang merupakan ahli PAS memberikan nafkah berbentuk wang ringgit kepada anaknya yang merupakan ahli Pemuda UMNO, kebetulan ketika itu berlangsung PRK di kawasan mereka, maka adakah ini bermakna si bapa merasuah anak untuk mengundi PAS hanya kerana si anak menerima wang belanja bulanan dari ayahnya?

Saya ingin memberikan sifir mudah kepada pembaca agar dapat mengingati lumrah tindakan UMNO dalam menabur fitnah. Pertama, UMNO akan cuba membuktikan bahawa PAS sama seperti UMNO dalam berpolitik. Kedua, UMNO akan menggunakan modal yang sama seperti realiti yang berlaku di dalam UMNO, seperti sorang penipu yang tidak akan menipu melainkan berkenaan perkara yang sudah selalu dijadikan modal untuk menipu orang lain.

Jadi di dalam hal ini, siapa tidak mengetahui bahawa UMNO adalah parti rasuah? Satu dunia tahu UMNO itu rasuah, malah amat mustahil untuk dihindarkan UMNO dengan rasuah. Maka sekarang, UMNO ingin membuktikan PAS juga rasuah sepertinya, dan ingin memberikan gambaran bahawa PAS juga mengikut cara berpolitik sepertinya.

Apabila rasuah itu sudah menjadi trade mark UMNO, maka UMNO akan menggunakan modal rasuah juga untuk memburukkan PAS. Dengan tidak usul periksa dan tidak dinasihati oleh para ulama muda di dalam UMNO, mereka menggunakan isu zakat ini untuk dijadikan bukti bahawa PAS juga rasuah (kita boleh lihat 'peranan sebenar' ulama muda UMNO di dalam isu ini!!)

Sebenarnya, mereka ketandusan isu dan hampir mustahil untuk mengaitkan PAS dengan rasuah. Selama 20 tahun pemerintahan bersih TGNA, mereka tidak pernah dapat membuktikan walau sekali bahawa TGNA adalah perasuah. Isu haji tahun lepas pun mereka tidak berjaya, maka apa jua isu picisan atau isu bodoh yang mereka boleh jadikan sandaran, maka mereka tetap akan gunakan sepenuhnya walaupun tindakan itu akan memperlihatkan kebodohan sendiri.

Kedengkian mereka kepada TGNA tidak pernah terpadam kerana mereka tahu TGNA adalah faktor PAS bertahan di Kelantan. Apa pun, rakyat tidak akan percaya. Semakin mereka memfitnah TGNA, selagi itulah rakyat semakin nampak akan wajah penipu UMNO. Mereka menang di Galas bukan disebabkan faktor isu zakat ini, tetapi atas faktor yang saya sebutkan pada mula tadi.

Semasa kecil, di kalangan kawan-kawan sekampung ada istilah yang popular dipakai, iaitu siapa yang terkentut, dia lah yang akan perasan dahulu dan menundingkan jari kepada orang lain. Maka, semua yang ada akan menyelidiki siapa yang kentut itu dengan cara menegakkan jari telunjuk. Jari siapa yang menggigil dan terketar-ketar, dialah yang terkentut. Selalunya budak yang paling kecoh mencari orang yang terkentut, jari dialah yang paling terketar.

Samalah macam UMNO, sibuk mengatakan orang lain rasuah. Namun jika kita perika jari telunjuk pemimpin UMNO, pastinya jari mereka yang paling terketar macam orang yang baru terkentut. Betul x? =)