Wednesday, December 24, 2008

‘Hudud’, Adakah Hanya Tanggungjawab PAS?

Saya amat tertarik dengan debat yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Kelantan antara YB Dato’ Hj Husam bin Musa, Exco Kerajaan Kelantan, YB Khairy Jamaluddin, ahli Parlimen Rembau merangkap Naib Ketua Pemuda UMNO serta Prof Dr Abdul Aziz Bari, pensyarah UM bertajuk ’Transformasi Politik Tanah Air’. Pada mulanya agak susah saya ingin mencari salinan rakaman debat berkenaan di Bumi Mesir ini, namun rupanya pelajar kita di sini amat peka dan expert berkenaan hal ehwal politik tanah air kerana dalam masa saya mencari-cari, ramai pelajar Malaysia di Asrama Rumah Melayu Abbasiah ini sudah menyaksikan debat tersebut. Alhamdulillah, malam tadi saya dapat salinan rakaman lalu menonton debat tersebut dan tertarik untuk mengulas beberapa isu yang dibangkitkan dalam debat tersebut.




Dalam debat tersebut, Khairy memandang rendah akan komitmen PAS untuk melaksanakan hudud di negara kita. Katanya jika kita memerintah, maka hudud akan dilaksanakan, dalam nada seolah-olah melaksanakan hudud akan menimbulkan masalah kepada perpaduan negara. Kata-kata Khairy ini seolah-olah dia bukan dari kalangan umat Islam yang beriman kepada Allah dan beriman akan segala yang diturunkan Allah di dalam Al-Quran yang mana tiada keraguan sama sekali.




Di Malaysia, masyarakat menghadapi konflik dalam menilai sesuatu perkara terutama dalam persoalan mencari rujukan terbaik untuk digunakan dalam memandu kehidupan harian. Apakah panduan paling sesuai yang perlu digunakan dalam memandu kehidupan manusia? Secara logiknya, tiada sesiapa yang tahu akan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara melainkan tuan empunya sesuatu perkara tersebut. Sebagai contoh, dalam pertandingan F1 in School anjuran Kementerian Pelajaran, setiap sekolah yang bertanding mempunyai model keretanya sendiri dan ada cara pengendaliannya yang tersendiri. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan agar kereta mereka dapat memecut paling laju untuk muncul juara. Kalau hendak laju, tayar mestilah begini, tekanan angin mestilah begini, shape kereta mestilah begini, ada sukatan khas dalam setiap aspek untuk memastikan kereta dapat meluncur laju. Akal yang sihat dapat menerima, sekolah lain tidak dapat mengendalikan kereta sekolah lain dengan baik. MCKK tidak dapat handle kereta KISAS. SSAS tidak dapat menang dengan menggunakan kereta KTK. Pendek kata, jika semua sekolah yang bertanding bertukar kereta, maka akan tunggang langganglah pertadingan F1 in School ini.



Dalam sekecil perkara ini pun, akal yang sihat tidak dapat menerima sesuatu perkara dapat dikendalikan dengan baik oleh orang yang bukan tuannya, apatah lagi dalam perkara yang lebih besar yang melibatkan kehidupan manusia. Jika KISAS kelihatan bodoh jika cuba mengendalikan kereta MCKK dalam F1 in School, begitu juga manusia akan kelihatan amat bodoh jika cuba mencipta peraturan kehidupan sendiri kerana tuan empunya manusia bukanlah manusia itu sendiri tetapi Allah SWT. Adakah sesuatu yang lebih baik dalam mengaturkan kehidupan manusia selain Allah?



UMNO perlu ingat bahawa Islam tidak memandang masalah umat manusia dari sudut pandangan kebangsaaan seperti UMNO. Islam agama universal dan dapat diterima oleh semua manusia. Dalam Al Quran sudah diterangkan akan sebab Allah mencipta manusia berbilang kaum. Dalam surah Al Hujaraat ayat 13 mafhumnya "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).


Allah menjadikan manusia berbilang kaum hanya sebagai untuk membezakan identiti antara manusia agar saling bersuai kenal. Tidak ada kaum yang diiktiraf lebih baik berbanding kaum lain. Allah hanya mengiktiraf ’terbaik’ pada manusia yang bertaqwa bukan manusia yang bernama ’Melayu’!! Ini kerana semua manusia di dunia berpeluang jadi bertaqwa. Cina boleh taqwa, Melayu boleh taqwa, Eskimo boleh taqwa, Bangla boleh taqwa, Negro boleh taqwa. Tetapi Cina tidak boleh jadi Melayu dan Bangla tidak boleh jadi Cina. Sapulah Fair n Lovely banyak mana pun, kalau putih pun, tetaplah India tidak boleh jadi Cina. Di sinilah letaknya kebijaksanaan Allah dan kebodohan yang teramat sangat bagi manusia yang bertuhankan bangsa! Allah tidak berlaku zalim terhadap hambanya dengan meletakkan takrifan mulia berdasarkan bangsa.



Perjuangan atas nama bangsa inilah yang menyebabkan negara kita porak peranda dari sudut perpaduan kaum. Walaupun diwar-warkan sebagai harmoni, namun setiap bangsa menyimpan dendam terhadap bangsa lain. Dendam meluap-luap untuk menjadikan bangsanya terbaik dan mengatasi bangsa yang lain. Walaupun UMNO mengatakan mereka berkawan baik dengan bangsa lain, tetapi itu hanyalah retorik. Dalam kem Biro Tatanegara (BTN), mereka mencaci dan memaki kaum lain seolah-olah kaum lain adalah kaum merempat dan tidak mempunyai hak di negara kita. PRU12 digunakan sehabis-habisnya untuk meniup api perkauman dengan slogan-slogan bahawa Melayu kehilangan kuasa dan akan merempat di buminya sendiri. Andaikata ini berlaku pun, merekalah yang harus dipersalahkan kerana menghidupkan konsep perjuangan berdasarkan bangsa di Malaysia. Perkara ini telah menzalimi rakyat Malaysia sekian lama hinggakan berlakulah perbezaan taraf hidup yang ketara dalam masyarakat Malaysia. Kaum India adalah paling dizalimi dengan penarafan hidup yang dhoif. Yang kaya hanya India elit sedangkan India di estet-estet masih menjadi hamba kepada si kaya.



Kembali kepada perbahasan hudud, hudud bukanlah tidak dapat diterima oleh orang Cina dan India di Malaysia tetapi persepsi salah mereka terhadap hukum Islam yang membuatkan mereka menentang dan memandang hudud sebagai peraturan yang zalim. Dalam hal ini, UMNO jangan lupa bahawa merekalah yang mendidik rakyat Malaysia sehingga masyarkat memandang serong terhadap hukum Islam. Berkali-kali mereka berhujah bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerena kita mempunyai multietnik. Berbilang kaum menyebabkan hudud tidak dapat diterima oleh orang bukan Islam dan akan menzalimi mereka. Kenyataan mereka ini seolah-olah mereka berkata bahawa ’Allah tidak pandai dalam mengatur kehidupan manusia. Kenyataan ’jika melaksanakan hudud, habis semua batu di Malaysia kerana dibuat untuk merejam orang berzina’, ’jika nak rasa sup tangan, pergilah ke Kelantan’, ’kita tidak perlu potong tangan, tetapi beri peluang kerja’ telah menyebabkan orang bukan Islam juga turut serta memperlekeh dan memandang serong hukum hudud.



Diakui bahawa hudud masih tidak diterima oleh sebahagian orang bukan Islam di negara kita, namun iainya berlaku bukan disebabkan hudud tidak adil tetapi lebih kepada ketidakfahaman mereka terhadap hudud sendiri. Dalam BN, MCA dan MIC begitu menentang hudud. Saya masih ingat ucapan bekas Menteri Perumahan, Dato Seri Ong Ka Ting yang mengatakan bahawa hudud tidak boleh dilaksanakan kerana tidak sesuai dengan Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Begitu juga MIC, hari ini dalam Berita Harian presidennya, Dato Seri S Sammy Vellu mengatakan PAS tidak menghormati sensitiviti kaum lain dengan masih tegas ingin melaksanakan hukum hudud jika dapat memerintah Malaysia bersama Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga DAP yang lantang menolak hudud dan begitu takut dengan konsep negara Islam. Pengerusinya, Karpal Singh menolak mentah-mentah hukum hudud dan meminta Penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan pendirian PKR terhadap hudud. Di sini, kita dapati terdapat sindrom Islamphobia di kalangan pemimpin politik berkenaan. Namun apabila kita bertanya, mengapa tidak setuju, apa yang tak kena dengan Islam? Tiada jawapan yang kedengaran. Yang diulang hanya 'tidak sesuai di negara pelbagai kaum'. Saya sudah menerangkan di atas betapa Islam sesuai dengan semua kaum di negara kita.


Yang menjadi masalah di sini, mereka tidak memahami hudud itu sendiri. Dengan ayat yang lebih mudah, mereka tidak kenal undang-undang apa yang mereka tentang ini. Sebagai anologi mudah, seorang bapa menghadiahkan si anak muda pada hari lahirnya sebatang kunci. Si anak marah lalu membuang kunci tersebut kerana yang diingininya adalah sebuah kereta. Si anak tidak tahu bahawa yang dibuang itu adalah kunci kereta yang ayahnya hadiahkan kepadanya. Begitu juga hudud, ia merupakan kunci undang-undang yang adil. Tapi kerana mereka tidak memahaminya, lalu mereka buang dan mengatakanya tidak sesuai. Untuk menyelesaikan masalah ini, kefahaman Islam perlu dibentuk dan Islam perlu diperkenalkan kepada bukan Islam agar mereka memahami konsep keadilan dalam Islam. Dalam hal ini, PAS sudah memulakan langkah dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kalangan bukan Islam. Langkah ini berjaya sehingga ramai bukan Islam sudah mula memahami konsep keadilan Islam hinggakan rakyat bukan Islam di Kelantan begitu selesa dan terus menyokong PAS dalam PRU12 lepas kerana mereka sudah merasai nikmat pentadbiran Islam di Kelantan yang mana hak mereka dijaga sepenuhnya dan mereka tidak dizalimi sedikit pun. Ini menjadi bukti betapa Islam menjadi pelindung semua manusia.



Tuan Guru ada mempelawa Karpal Singh untuk melawat Kelantan dan melihat sendiri bentuk mentadbiran Islam di Kelantan. Namun dia masih tidak berminat dan tidak menjawab pelawaan itu. Nampak sangat Karpal Singh menolak hudud bukan kerana prinsip tetapi lebih kerana bencinya terhadap Islam. Sebenarnya dia sama sekali tidak dapat menafikan bahwa Islam membawa keadilan kepada semua. Tetapi disebabkan tegarnya pendirian dan usahanya untuk menjadikan Malaysia sebagai negara sekular, dia menolak hudud yang mana dia sendiri tidak memahami hudud tersebut. Bekas Menteri Perumahan juga berkata hudud tidak dapat dilaksanakan kerana tidak sesuai. Nampak sangat tidak berpelajaran bekas menteri ini. Hudud tidak pernah dilaksanakan di negara kita, bagaimana dia boleh pasti hudud akan gagal sedangkan ianya belum pernah dicuba untuk dilaksanakan? Sesuatu itu kita hanya dapat mengetahui akan kejayaan dan kegagalan setelah dicuba. Adalah tidak adil untuk mengatakan gagal kepada sesuatu yang belum dicuba. Saya setuju dengan cabaran Dato Husam Musa agar kerajaan memberi izin kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud di sana. Biarkan Kelantan laksanakan sebagai contoh, kemudian kita lihat hasilnya. Saya yakin, berduyun rakyat akan menyokong setelah kejayaan dan keadilan hukum Allah terzahir.



Saya juga ingin mengulas kenyataan palsu dan retorik oleh bakal PM kita iaitu Datuk Seri Najib Al-Tantuya yang mengatakan PAS hanya meletakkan huhu sebagai slogan, bukannya untuk dilaksanakan. Katanya, walaupun PAS sudah mempunyai negeri yang ditadbir, namun masih tidak melaksanakan hudud tersebut. Saya merumuskan bahawa Najib adalah antara orang Melayu yang disifatkan ’Mudah Lupa’ oleh bekas PM Tun Dr Mahathir. Tidak tahukah Najib kerajaan PAS Kelantan sudah meluluskan enakmen Hudud Kelantan sejak tahun 1993 lagi? Najib dah jadi mak nenek ke hingga lupa bahawa kerajaan PAS Terengganu juga sudah meluluskan enakmen hudud negeri sejak tahun 2001? Ini adalah fakta!! Apa yang lebih besar yang ingin saya tanya pada Najib, siapakah yang menghalang akta hudud ini dilaksanakan? UMNO lah orangnya!! Kedua-dua kerajaan negeri ini telah diberi amaran oleh kerajaan UMNO dan akan dikenakan tindakan jika hudud dilaksanakan kerana bagi mereka hudud ini akan menzalimi bukan Islam dan ini hanyalah hudud PAS. Saya ingin bertanya, jika mereka berkata hudud yang didraf itu adalah bukan hudud sebenar dan itu hanyalah hudud PAS, mana pula hudud UMNO? Jika PAS membawa hudud palsu, adakah UMNO akan membawa hudud sebenar? Kenapa UMNO tidak memperjuangkan perlaksanaan hukum Allah ini dan hanya meletakkannya pada PAS? Jika UMNO parti yang memperjuangkan Islam, kenapa tidak dibentangkan akta Hudud di Parlimen sedangkan mereka mempunyai kuasa? Jawapannya, mereka tidak akan melakukannya kerana melaksanakan hukum Allah sama sekali tidak termasuk dalam dairi perjuangan UMNO. Kenyataanya adalah, UMNO parti sekular yang menolak hukum Allah dan semangnya takut untuk melaksanakannya! Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengatakan ”aku akan bawa draf ni di hadapan Allah dan menunding jari kepada dia (Dr Mahathir) dangan berkata Ya Allah, dialah yang halang aku nak laksanakan hukumMu” UMNO berani ke nak berhadapan dengan Allah di padang mahsyar nanti?



Saya juga menyifatkan Najib sebagai bodoh undang-undang walaupun kerajaannya sendiri yang menggubal undang-undang. Tidak tahukah Najib bahawa bidang kuasa undang-undang jenayah adalah bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat seperti yang tertakluk pada Perlembagaan Persekutuan? Maka, tidak hairanlah jika PAS tidak dapat melaksanakan hudud di negeri yang diperintahnya tanpa izin kerajaan pusat kerana bidang kuasanya di bawah federal. Jika sungguh mereka memperjuangkan Islam, sila izinkan hudud dilaksanakan di peringkat negeri sebagai percubaan dan seterusnya dilaksanakan di peringkat pusat. Perlaksanaan hukum Allah adalah tanggungjawab semua umat Islam, bukannya pada PAS sahaja.



Satu lagi fakta yang jelas menggambarkan stand UMNO terhadap hukum Allah ini. Enakmen Hudud Kelantan pernah ditentang dan dicabar di mahkamah. Siapakah orangnya? Dia adalah Dato Zaid Ibrahim, bekas ahli parlimen Kota Bharu dan juga bekas ahli UMNO!! Begitu sekali bencinya UMNO terhadap hukum Allah ini. Masih ada ruangkah untuk kita sandarkan harapan kepada UMNO untuk melaksanakan hukum Allah ini? Saya rasa tidak. UMNO dulu, kini dan selamanya tidak akan melaksanakan hukum Allah dan sama sekali tidak berusaha ke arah itu. Mereka sama sekali tidak pernah membincangkannya dalam Mesyuarat Agong UMNO dan begitulah selama-lamanya selagi mereka meletakkan bangsa sebagai dasar perjuangan. Ini dijelaskan lagi dalam debat tersebut apabila Prof Agus Yusof bertanyakan kepada Khairy samada dia akan menjadikan perlaksanaan hudud sebagai agenda perjuangannya jika dia memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Dengan muka ’minta penumbuk’, dia berkata dia akan meneruskan apa yang sedia ada kerana itu dasar kerajaan Barisan Nasional (ataupun lebih dikenali kerajaan Barang Naik J) Terang lagi bersuluh, UMNO-BN sama sekali tidak akan memperjuangkan hukum Allah ini.



Khairy dan UMNO sepatutnya malu kerana dia diajar oleh Cina tentang Islam apabila pengerusi Kelab Penyokong PAS (lupa plak namanya...) berhujuh bahawa manusia semuanya dicipta oleh Allah dan berhak mendiami mana-mana tempat di atas bumi ini kerana bumi ini juga dicipta oleh Allah. Dia juga berkata Islam adalah yang tertinggi dan membawa nilai murni kepada manusia sedangkan UMNO meletakkan Melayu yang tertinggi. Saya berasa amat terharu dengan kefahaman Islam yang jelas dalam minda beliau. Tiada yang lebih membahagiakan melainkan apabila orang bukan Islam pun memahami akan keadilan dalam Islam. Betapa murninya perjuangan Tuan Guru hinggakan dapat mendidik Cina untuk memahami Islam. Begitulah hakikatnya, Islam agama yang dapat difahami oleh semua manusia.



Apa yang saya katakan di sini, hendaklah dipandang dari perspektif Islam. Apa jua penilaian kita, hendaklah kembali kepada Islam. Kita menghentam UMNO bukanlah kerana dia UMNO, tapi kerana UMNO biadap kepada Allah SWT dan UMNO tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan. Lebih malang lagi, UMNO mengambil sesuatu yang lain dari Islam untuk disajikan kepada masyarakat. Ini yang kita sebagai umat Islam sama sekali tidak dapat menerimanya. Kita menyokong PAS kerana PAS membawa Islam. Andaikata PAS menurar dasarnya kepada lain, maka wajib bagi kita keluar dan menentang PAS. Andaikata pula UMNO mengubah dasarnya kepada Islam, PAS perlu dibubarkan atau wajib bergabung dan menyokong perlaksanaan Islam oleh UMNO. Penyatuan orang Melayu adalah atas Islam dan di situlah juga asas penyatuan UMNO dan PAS. Sekarang, semuanya terletak pada UMNO samada meneruskan dasar sekularnya atau bertukar kepada Islam. PAS selama-lamanya tidak akan menerima UMNO selagi UMNO bertunjangkan dasar sekular. PAS pernah cuba membetulkan UMNO dengan menyertai BN pada tahun 1972 tetapi ditendang keluar pada 1979. Kini giliran UMNO pula untuk berubah. Tidak perlu untuk masuk PAS, tetapi tukar dasar kepada Islam dan perjuangkan Islam sebenar di negara kita. Jika ini berlaku, saya seru kepada semua rakan-rakan sebagai pengundi muda untuk kita menyertai UMNO dan menyokong parti ini dalam piilihan raya akan datang. Namun, jika UMNO masih dengan sifat degilnya ini, maka mari sama-sama kita jatuhkannya dengan memberikan kuasa kepada PAS untuk melaksanakan Islam selagi mana PAS beristiqamah dengan dasar Islamnya. Perlu diingati, jika UMNO tidak berubah kepada Islam, tindakan kita menyokong dan mengundi UMNO yang mana UMNO akan menggunakan kuasa yang diberi itu untuk meneruskan dasar sekularnya, sama seperti mengisytihar permusuhan dengan Allah kerana menyokong pihak yang menzalimiNya. Ada sesiapa berani?

No comments: