Monday, October 19, 2009

Sorotan EGM Umno : Benarkah Pendukung Sekular Sama Taraf Seperti Haiwan?

Salam. Dikesempatan ini, saya ingin mengulas berkenaan satu isu lama yang tercetus di fikiran saya malam tadi untuk mencoretkannya di dalam blog saya. Isunya adalah berkenaan pihak sekular di negara kita yang sering dilabelkan dengan pelbagai jenis haiwan oleh sesetengah pihak.

Minggu lalu UMNO selamat mengadakan EGMnya yang dijalankan khusus untuk meminda perlembagaan UMNO demi menjadikan parti itu bertambah demokratik dan merefomasi UMNO agar menjadi parti yang kuat dan diterima rakyat.

Saban tahun saya ikuti perkembangan perhimpunan agong UMNO dan menantikan satu harapan iaitu penyelesaian muktamad yang boleh dijadikan ubat kuat buat UMNO yang dilihat kini semakin dimamah usia dan hampir-hampir ditalqinkan pada PRU12 lalu.

Namun, setiap tahun itulah saya kecewa melihat parti Melayu ini yang seolah-olah buta dan tidak pandai dalam menilai maajun yang mujarab untuk penyakit tuanya itu. Penantian saya hanya sia-sia pada tahun ini apabila UMNO dalam EGMnya langsung tidak terlafaz usul berkenaan ubat mujarab ini.

Yang kedengaran hanya usul-usul berkenaan cara pemilihan dan penghapusan kouta, laungan retorik yang menggegarkan tiang PWTC, laungan gagasan 1Malaysia dan pelbagai lagi gagasan yang tidak tahulah adakah ia sekadar manis di mulut atau benar-benar ikhlas.

Antara yang disebut Tok Jib kita adalah UMNO merupakan parti yang haq dan menepati perjuangan sebenar. Ini bukan kata-kata baru, lafaz ini juga pernah dilafazkan oleh Presiden UMNO sebelum ini. Namun, di sebalik kata-kata seperti ini, UMNO masih ditakuk lama, masih tidak berubah malah masih tidak lalu untuk mengambil tonik yang paling mujarab yang disediakan oleh 'Tabib' yang Maha Hebat.

Bagi saya, pindaan perlembagaan UMNO itu hanya pindaan pada perkara yang picisan, perkara ranting yang sama sekali tidak akan mengubah nasib UMNO di masa akan datang. Ibarat UMNO sebuah kereta sorong yang di'welding'kan lambang Mercedes di hadapannya dan dicanangkan kepada oarang ramai, "ini kereta Mercedes".

Ubat mujarab yang saya maksudkan ialah 'Buang sekular, beralih kepada Islam sebagai penyelesaian'. Perkara ini bukan baru. Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) berulang kali menyebutnya terutama di sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN). "Kalau UMNO nak Kelantan, tidak perlu bergaduh atau berperang. Tukar otak dari kebangsaan kepada Islam, kami serah terus Kelantan kepada UMNO".

Amat mudah untuk UMNO melakukannya. Hanya dengan mengusulkan usul menggantikan asas perjuangan UMNO daripada kebangsaan kepada Islam. Kemudian diserapkan perlaksanaan dasar itu dalam pentadbiran negara melalui kementerian-kementerian. Mentarbiyah rakyat sedikit demi sedikit sebagai persediaan melaksanaan hukum Allah secara menyeluruh di Malaysia.

Namun, EGM UMNO pada tahun ini, masih memperlihatkan UMNO masih lagi bongkak dengan sikapnya yang menolak Islam. Kita melihat kesannya pada negara kita setelah UMNO memerintah Malaysia selama 50 tahun dengan berpandukan kitab sekular yang diwasiatkan oleh sang penjajah.

Pembangunan di Malaysia saya lihat tidak banyak bezanya dengan tamadun lama Rom dan Parsi. Memang hebat dari segi infrastuktur dan ekonomi. Namun, isinya tiada. Isi mentauhidkan Allah, menjalankan syariat Islam dan pengamalan akhlak Islam amatlah kurang. Formula 'Amar Makruf Amar Mungkar' yang dipegang UMNO benar-benar racun yang merosakkan rakyat yang dapat kita lihat dengan mata kepala sendiri.

Tidak perlulah saya menyenaraikan kerosakan yang dimaksudkan. Anda sendiri mampu untuk memikirkan dan merenungkannya dengan ikhlas. Bagi pembaca yang memandang dan menilai politik UMNO dengan rasa taksub dan fanatik, saya yakin mereka akan menafikan apa yang saya katakan, namun saya terlebih yakin bahwa hati nurani mereka akan mengiakan semua ini.

Maka, saya tidak menolak kemungkinan bahawa ajal UMNO semakin tiba. Tandanya semakin jelas. Si tua yang mengidap penyakit kronik masih sombong menolak ubat yang diberikan oleh 'Tabib' yang Maha Berkuasa. Apakah lagi kesudahannya menurut uruf adat kita melainkan Izrail akan datang menjemputnya tidak lama lagi?

Saya tetap menyeru perkara yang sama. Saya melawan UMNO bukan kerana ia UMNO, tapi kerana UMNO tolak Islam. Formula mudah agar UMNO kembali kuat dan diterima rakyat hanyalah dengan mengubah dasar sekular kepada Islam. Jika ini berlaku, saya juga akan tampil mempertahankan UMNO.

TNGA dahulunya pernah menyamakan perjuangan UMNO dengan Orang Utan dan macam-macam lagi gelaran. Maka, bangunlah pendekar keris UMNO dan juak-juaknya menafikan dan bertempik di luar istana marahkan TNGA. Namun, bila dibuka pintu dan dijemput dengan penuh hormat ke dalam istana untuk bertikam hujah, tiada pula pendekar yang tampil.

Ada yang bertanyakan saya, wajarkah TNGA yang bertaraf ulama melafazkan kata-kata begitu? Saya tidak berhak untuk mengulas kata-kata TNGA kerana saya tidak tahu prkataan asal yang dilafazkannya. Namun, saya ingin mengulas dari beberapa sudut. Saya ingin jelaskan terlebih dahulu bahawa dalam penulisan saya, bila saya sebut UMNO, bukan bermakna UMNO secara keseluruhannya. Tapi, UMNO yang dimaksudkan adalah parti UMNO itu sendiri, para pemimpin dan mereka yang mendokong sekular dalam UMNO.

Dalam Al Quran, Allah ada menjelaskan dan menggelar golongan yang ada mata tapi tidak mlihat, ada telinga tapi tidak mendengar sebagai binatang dan lebih teruk dari itu. Golongan yang dimaksudkan adalah golongan yang diberikan akal, pancaindera yang sihat, namun tidak menggunakan semua nikmat itu untuk taat kepada Allah, malah mencari dasar lain sebagai ganti kepada Islam.

Maka, manusia ini sememangnya diberikan kemudahan dan nikmat akal yang mampu untuk berfikir baik dan buruk. Nikmat besar ini dikurniakan agar manusia dapat menerima segala aturan dan undang-undang yang Allah tetapkan kepada mereka dan taat dengan segala perintahnya.

Tambahan lagi, Islam ini adalah agama yang jelas dan mudah. Dalam surah Al Baqarah ada menyebut "Tiada paksaan dalam beragama (memeluk Islam), sesungguhnya telah jelas perbezaan antara yang benar dan sesat".

Jelaslah bahawa Islam ini amat mudah dan menepati fitrah hinggakan Allah mensyariatkan jangan ada paksaan terhadap orang kafir untuk memeluk Islam kerana Islam agama yang jelas dan manusia juga telah dikurniakan akal yang boleh memikirkannya.

Inikan pula terhadap orang Islam yang sedia mendapat hidayah dan mengetahui akan kebenaran Islam. Mereka telah melafazkan taat dan syahadah setiap hari dalam solat mereka, diberikan panduan AL Quran bersama para ulama sebagai ganti para Rasul dalam menerangkan agama kepada mereka. Maka, apakah gelaran agaknya yang paling layak untuk mereka yang telah pun bergelar Islam tapi masih mengambil sekular sebagai ganti kepada Islam?

Tepatlah isi Al Quran yang menggelar golongan ini sebagai binatang malah lebih teruk dari itu! Maka, adakah UMNO turut termasuk dalam golongan itu? Saya kembalikan soalan ini kepada persepsi pembaca. Jika pembaca menganggap UMNO adalah parti yang benar-benar memperjuangkan Islam, maka UMNO bukanlah tergolong dalam golongan yang dimaksudkan.

Namun realitinya, masing-masing akan tersenyum untuk memikirkannya. Hati nurani anda ada jawapannya. Mulut boleh berbohong, tapi kata hati dan iman tetap mengatakan yang benar. Bak kata Nabil "Lu fikirlah sendiri..."

Thursday, October 1, 2009

Melaka Ku Indah, Tapi.....


Setelah pulang ke Malaysia, saya berkesempatan berjalan dan bersiar sekitar Bandar Melaka yang telah setahun ditinggalkan. Walaupun tidak lama, namun Bandar Melaka ini telah bertukar wajah dengan drastik sekali, menepati identitinya sekarang yang bergelar Bandar Warisan Dunia.

Seminggu selepas tiba di Malaysia, sahabat baik saya Mohd Amin yang juga pulang ke Malaysia dari Texas telah datang ke Melaka. Niatnya untuk melawat saya dan yang paling penting nak makan ikan bakar Melaka. Hehe.. Kawan punya pasal, xde hal punye..Saya ambil kesempatan ini untuk turut sama jalan-jalan di sekitar Bandar Melaka.

Siapa sahaja yang melawat Melaka kini, pastinya akan terbit rasa kagum dengan pembangunannya terutama dari sudut kecantikan perancangan pembangunan pelancongannya. Melaka kini mempunyai pelbagai mercu tanda baru, saya akan ceritakan selepas ini.

Tempat pertama yang kami pergi adalah Menara Taming Sari yang bernilai RM 10 juta yang siap awal tahun 2009. Menara yang tingginya 100 meter ini adalah menara tinjau berputar yang membolehkan sesiapa yang menaikinya boleh melihat panorama seluruh Bandar Melaka yang kelihatan cantik terutamanya sebelah malam.

Dalam hatiku terdetik, "Indahnya bandar ni, tapi...." Kawan saya tidak henti2 memuji kecantikan Bandar Melaka ini. Saya hanya mampu tersenyum. Adik saya pula tidak kelip mata melihat pemandangan dari atas menara ini. Maklumlah, dia pun baru pertama kali naik.

Dari atas menara ini, kelihatan jelas kawasan Kompleks Dataran Pahlawan yang sudah setahun siap bagi menggantikan Padang Pahlawan yang menjadi tempat Tunku Abd Rahman mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu setelah pulang dari England pada tahun 1956. "Cantiknya Dataran Pahlawan, tapi...."


Juga kelihatan buaian yang terbesar di Malaysia, Eye On Malaysia yang tersergam di Muara Sungai Melaka, berdekatan dengan Pulau Melaka, pulau buatan yang menempatkan Masjid Selat, masjid terapung. Jika dulu Kerajaan Malaysia menyewa buaian ini untuk diletakkan di Tasik Titiwangsa sempena sambutan 50 tahun merdeka, Kerajaan Melaka membelinya terus untuk dijadiakn tarikan baru pelancongan di Melaka. "Hebatnya pemikiran pimpinan Kerajaan Melaka, tapi...."

Setelah itu, kelihatan juga Sungai Melaka yang dulunya kotor, penuh sampah dan bangkai haiwan, tapi kini berubah wajah, cantik dan menawan hati. Terdapat pelbagai pemandangan dan juga ada pertunjukan air pancut berima disepanjang sungai itu yang boleh dilihat dan disusuri dengan menaiki Malacca River Cruise. "Cantiknya sungai ni, tapi...."

Dari kejauhan, kelihatan juga kawasan Peringgit yang menempatkan Hypermarket Tesco, Melaka Sentral, dan juga Masjid Negeri. Nampak tersusun dan cantik pembangunan di sekitar kawasan Peringgit, tapi....


Setelah turun dari menara itu, saya bersama kawan dan adik berjalan kaki di sekitar Muzium Samudera iaitu muzium berbentuk kapal ala-ala kapal Belanda yang mempamerkan di dalamnya artifak lama berkaitan kegiatan maritim di zamana kesultanan Melayu Melaka dahulu. Cantik kelihatan muzium ini dengan limpahan cahaya lampu yang berwarna-warni, tapi....

Saya berjalan lagi ke kawasan replika binaan kota A Famosa yang dibina di sebelah Sungai Melaka. Disebelahnya terdapat tapak gali arkeologi kota asal A Famosa lama yang ditemui tahun lepas. Begitu hebat sejarah lama Melaka, tapi....


Kami teruskan berjalan di tepi Sungai Melaka. Dari situ, kelihatan cruise yang membawa pelancong menyusuri sepanjang Sungai Melaka hingga ke Pengakalan Rama. Kami tidak sempat menaikinya kerana kesuntukan masa. Tentu seronok jika dapat menaiki cruise itu, tapi....


Perjalanan diteruskan ke kawasan Kota A Famosa dan Muzium Melaka. Dari jauh, kedengaran kuat lagu nyanyian Zainal Abidin. Rupanya, memang Zainal sedang menyanyikan lagu 'Hijau' sempena perasmian Feista Pelancongan yang kebetulan diadakan pada malam itu juga di hadapan Memorial Kemerdekaan. Ramai juga yang datang walaupun tidak luas penghebahan majlis ini.

Sambil mendengarnya dari jauh, saya memandang sekeliling kawasan itu. Sangat meriah dengan kehadiran ramai orang tidak kira bangsa dan lapisan masyarakat. Tiba-tiba bunyi dentuman kedengaran. Rupanya ada pertunjukan bunga api juga malam ni. Saya berbisik pada kawan saya "macam menyambut kau datang je malam ni..hehe" Indah dan permai malam ini, tapi....

Dalam perjalanan balik, saya berbual dengan kawan saya berkenaan keadaan negeri Melaka sekarang. Dia memuji kecantikan bandar Melaka dan kebijaksanaan pemimpin kerajaan negeri dalam membangunkan negeri Melaka. Sedikit sebanyak saya merasa bangga, tapi...

Ya, Melaka kini sudah berubah. Cantik dan menawan hati sesiapa sahaja untuk melawat Melaka. Tidak hairanlah jika Melaka mendapat hasil sebanyak 80% dari KDNKnya hasil daripada pelancongan. Tapi...

Adakah saya tidak bersyukur? Saya bersyukur berada di Negeri Melaka yang cantik ini. Adakah pemimpin negeri ini tidak bijak dalam membawa pembangunan ekonomi negeri? Bagi saya, mereka sangat bijak dan cerdik dalam usaha membangunkan negeri.

Adakah saya tidak berterima kasih kepada mereka? Islam pastinya mengajar kita untuk berterima kasih kepada orang seperti mereka. Adakah mereka tidak berjasa kepada Melaka? Pastinya mereka banyak berjasa kepada negeri Melaka ini sehinggakan kawan saya memuji apa yang telah dialkukan mereka. Bukan kawan saya sahaja, semua yang pernah dan akan melihat wajah Bandar Melaka sekarang.

TAPI....semua ini bagi saya tidak bermakna selagi pemimpin yang diamanahkan oleh Allah dan rakyat Melaka ini tidak menjadikan Islam sebagai asas dan rujukan dalam pembangunan negara. UMNO tidak pernah memandang agama sebagai penyelesaian masalah manusia. UMNO juga tidak menjadikan Islam sebagai matlamat utama ayang perlu ditegakkan.

Walau berjuta jasa yang dibuat mereka, semuanya tidak bernilai disisi Allah selagi sekular menjadi anutan mereka. Walaupun berjuta pelancong yang dibawa mereka ke Melaka, semuanya itu hanya mengundang kemurkaan Allah selagi asas Islam dan Tauhid tidak menjadi tunjang dalam pentadbiran.

Walaupun berbilion wang masuk setiap tahun, semuanya itu tidak mendapat keberkatan selagi maksiat juga disuburkan hanya dengan beralasan bahwa pelancong memerlukan semua itu. Walaupun saya berterima kasih kepada pimpinan kerajaan negeri kerana memajukan infrastruktur negeri, namun saya tetap akan menentang mereka selagi mereka tidak menukarkan panduan sekular kepada Islam, agama semesta alam!!

Adakah disebabkan mereka membuat jasa yang sedikit (jasa pembangunan), maka pengkhianatan besar (meninggalkan Islam, mengambil sekular sebagai penyelesaian) perlu dilupakan? Adakah kerana mereka memajukan negeri dengan pelbagai kemajuan, maka kita perlu sujud syukur kepada mereka dan melupakan kekufuran besar mereka meninggalkan Islam sebagai panduan pentadbiran negeri?

Seperti kisah Nabi Ibrahim dengan ayahnya. Walaupun ayahnya membesarkan baginda, namun baginda tetap melawan dengan ayahnya kerana ayahnya tidak mahu meninggalkan penyembahan berhala. Begitu juga berlaku kepada Nabi Nuh dan anaknya, Nabi Luth dan isterinya dan juga Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Jahal.

Tanda berterima kasih kita kepada mereka bukan dalam bentuk menyokong segala perbuatan mereka, bukan juga membodek dan mengampu setiap masa, juga bukan diam seribu bahasa.

Tapi kita berterima kasih dengan berdakwah, menentang tindakan mereka yang mengurung agama di dalam masjid sahaja dan melawan segala tindakannya yang mengasingkan agama dari kehidupan. Tanda terima kasih kita adalah menegur dan melawan mereka agar mereka menghentikan segala kefasiqan mereka dan kembali kepada jaran Islam sebenar!

Adalah bodoh bagi orang yang mengatakan sayang kepada pemimpin sekular ini, tapi terus menerus menyokong tindakannya. Cinta kepada mereka, tapi tidak habis membodek dan mengampu setiap masa. Sayang pada mereka, adalah menghentikan mereka dari terus melakukan kekufuran mereka yang menggantikan agama dengan sekular sebagai panduan pentadbiran negeri.

Saya menentang mereka, bukan kerana mereka UMNO. Tetapi kerana mereka mengkhianati amanah Allah dengan mentadbir negeri menggunakan kitab sekular. Saya melawan mereka bukan kerana mereka Barisan Nasional, tetapi kerana mereka mengasingkan agama dari kehidupan.

Sampai bila nak melawan mereka? Jawapannya ada dua. Pertama, mereka terima Islam sebagai dasar, gunakan Islam sebagai panduan mentadbir negeri, menggunakan Islam sebagai penyelesaian semua masalah manusia. Jika ini berlaku, saya akan jadi penyokong kuat kepada mereka.

Kedua, jika mereka masih berdegil dan terus dengan dasar sekular yang menzalimi sekalian manusia ini, maka penentangan akan berterusan dan bertambah hebat, walaupun terpaksa mengambil masa yang lama, mengorbankan banyak nyawa, mengorbankan masa dan harta, walaupun hingga matahari terbit dari barat sekalipun, penentangan tetap akan diteruskan selamanya, hingga Islam menang bergaya!