Sunday, July 12, 2009

Penderitaan Natrah : Bukti Sialnya Perlembagaan Sekular!


Salam. Baru2 ni saya dikejutkan dengan berita kematian Natrah atau nama asalnya Maria Hertogh, insan yang pernah memahatkan sejarah hitam kedukaan umat Islam di rantau Tanah Melayu pada tahun 1950 dahulu. Kisah yang memaparkan konflik perebutan antara dua pihak iaitu Mak Minah yang merupakan ibu angkat kepada Natrah dan juga kerajaan Belanda iaitu negara asal usul Natrah.

Ramai memandang isu ini sebagai isu perebutan hak penjagaan seorang gadis Belanda, namun hakikatnya peristiwa itu merupakan perebutan antara iman dan syirik, aqidah dan kufur serta syurga dan neraka! Peristiwa itu juga berjaya mencetuskan gelombang kebangkitan umat Islam yang pada ketika itu belum merdeka, namun mereka memiliki kesedaran aqidah yang mantap, berbeza dengan kita di zaman kini.

Rentetan Peristiwa Natrah

Peristiwa Natrah bermula apabila Natrah yang ketika itu berumur 13 tahun bersama Mak Minah telah diperdaya untuk pergi ke Singapura. Natrah juga dikatakan telah berkahwin pada masa itu dengan seorang guru bernama Cikgu Mansor Adabi. Setibanya di sana, Natrah telah dipisahkan dari Mak Minah dan dikurung oleh pihak keselamatan Singapura. Bermula saat itu telah tersebar dan tercetus rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat Melayu Islam.

Dalam diam, kerajaan Belanda telah memfailkan kes tuntutan di mahkamah Singapura. Apa yang difailkan sebenarnya bukanlah berkaitan dengan isu agama. Mereka memfailkan kes tuntutan hak penjagaan terhadap Natrah @ Maria Hertogh kerana mereka berpendapat bahawa mereka berhak mendapat hak penjagaan itu sesuai dengan asal usul kelahiran Natrah sendiri.

Dalam mana2 mahkamah, apabila dibicarakan berkenaan tuntutan hak penjagaan terhadap kanak-kanak, maka aspek yang akan menjadi penentuan adalah kebajikan kanak-kanak tersebut. Ini menjadi asas setiap keputusan berkaitan dengan kes ini iaitu mahkamah akan memilih pihak yang dapat menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut sebagai pihak yang akan mendapat hak penjagaan.

Bagaimana Berubah Kepada Isu Agama?

Dalam penentuan pihak mana yang dapat memenuhi penjagaan kebajikan kanak-kanak, maka pihak mahkamah melihat pada agama apakah yang dianuti oleh kanak-kanak itu. Ini disebabkan agama sangat berkaitan dengan kebajikan manusia di mana segala kebajikan manusia akan diurus berdasarkan amalan agama yang dianutinya.

Dalam kes Natrah, mahkamah memutuskan untuk mengetahui apakah agama Natrah untuk menyelesaikan kes ini. Atau dengan ayat mudah, jika Natrah beragama Islam, maka Mak Minahlah yang akan menjaganya dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini, beberapa pihak telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Antaranya adalah Natrah sendiri. Dalam keteranganya, Natrah mengatakan bahawa dia sudah memeluk Islam dan beliau juga melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan hakim. Beliau juga membuat pengakuan bahawa dia rela dan sedar ketika berkahwin dengan suaminya.

Kemudian, seorang ulama (saya terlupa samada beliau ulama biasa atau kadi Singapura) yang dipanggil ke mahkamah untuk mengesahkan adakah Natrah benar sudah menganut agama Islam dan adakah perkahwinannya sah. Dalam keterangannya, beliau menjelaskan Natrah adalah beragama Islam kerana sudah akil baligh dan dia telah memilih agamanya sendiri. Perkahwinannya juga sah di sisi Islam. Maka, dari sudut penilaian Islam, amatlah jelas Natrah adalah seorang yang beragama Islam.

Sialnya Sekular!

Jika kes ini dibicarakan di mahkamah syariah (ketika itu belum wujud sama sekali mahkamah syariah) maka kes akan tamat. Segalanya telah jelas dan pastinya Natrah akan diserahkan kepada Mak Minah. Namun, peguam yang mewakili kerajaan Belanda berhujah, adakah sah semua keterangan itu di sisi mahkamah Singapura?

Katanya, tidak dinafikan bahawa Natrah sah Islamnya di sisi agama Islam, namun undang-undang yang digunakan di dalam mahkamah Singapura mengatakan sebaliknya. Ketika itu, kes itu telah dirujuk kepada Ordinan Penjagaan Kana-kanak di mana ordinan tersebut pastinya tidak berpandukan syariat Islam.

Di dalam ordinan itu, dengan jelas telah ditetapkan bahawa kanak-kanak yang berumur bawah 18 tahun tidak boleh berbuat sesuatu yang boleh mengubah status asalnya. Di dalam kes Natrah ini, disebabkan Natrah baru berumur 13 tahun ketika itu secara automatik tertakluk di bawah ordinan tersebut. Maka, mahkamah Singapura memutuskan bahawa Islam Natrah tidak sah dan perkahwinannya juga dibatalkan!

Natrah dianggap tidak beragama selepas pembatalan pengIslamannya itu. Maka mahkamah sekali lagi ingin memutuskan status agama Natrah untuk menetukan pihak yang akan menjaganya. Maka sekali lagi juga mahkamah merujuk kepada ordinan tersebut yang mana di dalamnya telah ditetapkan bahawa agama kanak-kanak adalah tertakluk kepada agama ibu bapanya ketika dia dilahirkan.

Maka, mahkamah mengarahkan Natrah untuk kembali kepada agama Kristian dan hak penjagaan Natrah telah diberikan kepada kerajaan Belanda. Terkorban aqidah seorang gadis kerana perlembagaan dan undang2 sial!


Selepas itu, berlakulah rusuhan atau perang mempertahankan aqidah di Singapura. 8 orang telah terbunuh dan beratus orang telah ditangkap. Ada di kalangan mereka datang ke Singapura dengan menumpang lori, berbasikal dan ada juga yang berjalan kaki. Semuanya bukan untuk wang dan harta, tapi demi untuk mempertahankan aqidah seorang gadis yang dicabut aqidahnya oleh perlembagaan sekular yang sial! Kita doakan mereka yang terkorban dianugerahkan mati syahid oleh Allah. Amin.

Natrah Menderita

Natrah telah dirampas dengan cara yang sangat zalim oleh pihak syaitan Barat yang mengaku memperjuangkan hak asasi manusia. Natrah selepas itu dikatakan berkahwin dengan ramai lelaki Belanda namun semuanya tidak kekal. Beliau sangat tertekan dan masih tidak dapat menerima bahawa beliau telah dipisahkan dari Mak Minah kesayangannya.

Natrah akhirnya meninggalkan segalanya termasuk suami dan anaknya. Beliau melarikan diri, membawa diri sendiri ke merata tempat dikatakan pernah bekerja dengan pelbagai jenis pekerjaan. Hidupnya yang dahulu bahagia telah musnah disebabkan dasar sekular yang telah dipaksakan ke atasnya.

Peristiwa hitam ini menghantui hidupnya dan membuatkannya tidak lagi bahagia walau di mana pun beliau berada. Hinggalah ke akhir hayatnya kini, dia pergi bersama air mata darahnya dan kepiluan yang perpanjangan. Tidak dapat dipastikan samada beliau sempat untuk kembali kepada Islam atau tidak, semuanya kita serahkan kepada Allah.

Sopankah Perkataan SIAL?

Saya menggunakan perkataan SIAL pada tajuk post ini. Mungkin ada yang mengatakan saya tidak sopan atau mungkin tersilap pilih perkataan. Tidak, saya memang memilih perkataan tersebut kerana SIAL amat sesuai untuk disinonimkan dengan sekular seperti najis disinonimkan dengan dadah!

Perkataan yang kita lihat tidak sopan, adakalanya menjadi mulia jika ditempatkan di suasana yang tepat. Ibarat menghebahkan kejahatan orang lain, ia akan jadi mulia malah menjadi kewajipan jika kejahatan yang dihebahkan itu adalah orang zalim yang menzalimi manusia lain.

Dalam Al Quran, terdapat banyak ayat dan uslub Al Quran yang kita pandang secara zahirnya dalah ayat yang tidak sopan, namun menjadi mulia kerana ia digunakan terhadap pihak yang sesuai dengan ayat itu. Sebagai contoh, dalam Al Quran Allah menyamakan manusia yang tidak menggunakan mata, akal dan telinga untuk mendapatkan kebenaran sebagai 'binatang dan lebih teruk dari itu'.

Perkataan ini sangat mulia kerana Allah yang memilihnya, maka tidak salah jika orang yang membuang Islam dan ambil kebangsaan sebagai dasar perjuangan, kita menyamakan mereka dengan binatang! Jadi, saya juga merasakan tidak salah jika saya menggunakan perkataan SIAL ini untuk dipalitkan kepada sekular yang sememangnya membawa sial kepada kehidupan manusia seluruhnya!

Sekular Menggadai Aqidah

Kita sering mendengar kes murtad di negara kita berkenaan permohonan seseorang untuk menjadi murtad. Namun dalam kes Natrah, ia adalah sebaliknya. Natrah telah dimurtadkan oleh satu sistem dan dasar perundangan yang menjadikan sekular sebagai penduan utamanya! Kita tidak terasa betapa sialnya perlembagaan sekular ini kerana tidak merasa kesannya terhadap kita. Mungkin juga bila berlaku kes murtad di kalangan keluarga terdekat kita seperti dalam kes Aisyah Bukhari, barulah kita akan terpekik menangis macam orang gila.

Perlembagaan sial yang telah memurtadkan Natrah masih lagi kekal dalam negaraku, Malaysia. Mungkin wajahnya tidak sama, tetapi sialnya telap sama, telah meresap jauh ke dalam sistem kehidupan masyarakat kita hingga kita jadi lalai dan terleka.

Dalam perlembagan kita dengan jelas masih menggunakan Artikel 11 berbunyi "Setiap orang yang berumur 18 tahun ke atas berhak untuk menganuti agama pilihannya". Dari sudut ayatnya, nampak macam tiada apa2 kesan seperti kes Natrah. Namun, setiap baris perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan, terdapat disebaliknya dua makna lain iaitu makna berlawanan dengan artikel tersebut dan juga pentafsiran perkataan yang digunakan.

Makna lain yang terselindung di sebalik Artikel 11 tersebut adalah pada perkataan "setiap orang yang berumur 18 tahun ke atas berhak untuk menganuti...". Jika kita perhatikan, makna lain yang bertentangan dengan ayat ini adalah "Setiap orang yang berumur 18 tahun ke bawah tidak berhak untuk menganuti agama pilihannya". Maka, saya ingin bertanya, adakah perbezaan artikel ini dengan ordinan yang telah memurtadkan Natrah?

Artikel ini hampir meragut aqidah seorang gadis bernama Naraini Abdullah @ Suzy Teow pada tahun 1980-an dahulu. Saya pernah mencoretkan penerangan berkenaan kes ini dalam artikel yang lepas. Sesiapa yang berminat boleh rujuk semula pada artikel ini.

Banyak lagi artikel dan peruntukan dalam perlembagaan kita yang menghalalkan penggadaian aqidah ini. Ia amatlah merbahaya kepada aqidah kita dan jika kita tidak berjaga2, maka aqidah kita boleh tergadai. Apa yang saya kemukakan ini hanya sebahagian bukti sialnya sekular dalam pentadbiran dan perlembagaan kita, bagaimanakah pula keadaan dan pengaruh sekular dalam bidang kehidupan kita yang lain. Demi Allah, sekular telah merosakkan setiap bucu dan sudut lapangan kehidupan umat Islam!

Sialnya Pihak Yang Mempertahankan Sekular!

Bagaimana sekular dalam negara kita masih bertahan dan berkembang hingga ke hari ini? Ini adalah kerana pihak yang kita amanahkan untuk menjaga negara kita, menggubal perlembagaan dan undang2 negara kita tidak melaksanakan semua itu berpandukan panduan Al Quran dan Sunnah, tetapi berpandukan pemikiran sekular yang telah diwariskan oleh sang penjajah!

Ada pengomen dalam artikel yang lepas (lupa artikel yang mana) bertanya kepada saya, sejauh manakah kebenaran mengenai UMNO itu sekular dan tidak mahu melaksanakan Islam? Apakah tidak ada langsung atau tidak mencukupi? Berapakah peratusan yg saya akan letakkan berkenaan Islam dalam UMNO? Dan akhir sekali adakah ruang untuk UMNO dibaiki atau menumbangkannya adalah penyelesaian?

Sekular paling jelas dalam kerajaan yang mentadbir hari ini adalah mengasingkan agama dari pentadbiran negara. Ditambah lagi mereka berpandukan perlembagaan yang jelas bertentangan dengan Isalm dan tidak menjaga aqidah umat Islam.

Saya tidak dapat meletakkan peratusan perlaksanaan Islam oleh UMNO, namun kita boleh berfikir dengan akal yang waras berkenaan ini. Lihat sahaja perlaksaan Islam dalam negara kita. Walaupun berapa banyak kebaikan yang dibuat, namun disebabkan usul agama itu sendiri diabaikan seperti perlembagaan Islam, persoalan hukum hakam, persoalan ibadah dan persoalan nahi mungkar, maka tidak berguna sedikit pun segala kemajuan dan pembangunan yang kita capai di sisi Allah.

Bagi saya, bukan persoalan UMNO perlu diganti atau tidak, yang lebih penting adakah UMNO sedia untuk melaksanakan Islam, ubah perlembagaan sekular kepada Islam, menjaga negara dan aqidah umat Islam. Jika UMNO sedia melakukan semua ini, maka bertakhtalah UMNO selama mana pun, saya sendiri akan menyokongnya.

Namun, kita melihat UMNO seolah-olah dunggu dalam perkara ini. Tidak pernah memandang agama sebagai penyelesaian. Tidak berusaha menggunakan kuasanya untuk menggubal perlembagaan yang berteraskan Islam dan mampu menjaga aqidah umat Islam walaupun UMNO sudah berkuasa lebih 50 tahun. Maka, saya ingin bertanya semula, perlukah kita mempertahankan UMNO? Jika mereka tidak sedia bernaung bawah Islam, maka penentangan habis-habisan hinggalah UMNO dikuburkan perlulah kita laksanakan!

Tiada Maaf Untuk Sekular

Aqidah adalah harta yang paling bernilai dalam kehidupan umat Islam. Selagi mana kita beraqidah dengan aqidah yang betul, maka sebanyak mana maksiat kita lakukan pun, kita tetap akan mendapat nikmat syurga setelah direndam dalam neraka selama mana mengikut kadar maksiat yang dilakukan.

Perlulah diingatkan, sekular ini menyerang secara terus kepada aqidah kita. Jika kita tidak berjaga-jaga dengan sekular, silap-silap kita akan jadi penganut fahaman ini yang bertopengkan dengan pelbagai istilah lunak yang sebenarnya berisi racun! Sekular adalah virus mungkar paling merbahaya. Sekular dan puak yang mempertahankannya perlu dan wajib dijatuhkan demi perjuangan mempertahankan aqidah kita.

Jika ada sesiapa masih memandang enteng persoalan sekular ini, jangan menangis jika akan datang saudara amara kita atau keluarga kita sendiri tergadai aqidahnya kerana terpedaya dengan fahaman pemisahan agama dari kehidupan ini. Lebih teruk, kita pula akan ditetapkan sebagai kufur di hadapan Allah di mahkamah mahsyar nanti akibat sikap dunggu kita terhadap fahaman menyesatkan ini. Na'uzubillah!