Tuesday, March 31, 2009

Sorotan Perhimpunan Agong Sekular : Patutkah PMRAM Diharamkan?

Saya membaca laporan Perhimpunan Agong Sekular di mana seorang daripada perwakilan yang dikatakan bijak pandai dan cemerlang kerana belajar di PhD UK dengan keras mengkritik PMRAM (Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir), sebuah badan NGO yang banyak berbakti kepada penuntut Malaysia di Mesir.

Saya ingin mengulas sedikit kata-kata insan yang tidak tahu fakta ini. Sesuai dengan tittlenya selaku pelajar PhD (perasaan hasad dengki), memang kata-katanya langsung tidak menggambarkan pendiriannya sebagai seorang pelajar luar negara yang seharusnya berfikiran terbuka.

Dalam hal ini, saya lebih mengagumi Khairy Jamaluddin yang mana beliau sebagai bekas pelajar Oxford sangat terbuka dalam isu mahasiswa berpolitik. Dalam isu AUKU misalnya, beliau tidak bersetuju jika mahasiswa disekat daripada berpolitik kerana katanya, mahasiswa perlu berfikiran bebas dalam membuat keputusan mereka sendiri. Adapun jika ucapannya itu sekadar modal untuk menang ketua Budak-budak UMNO, maka itu luar pengamatan saya. Yang penting, ideanya itu lebih bernas daripada idea budak kurang bijak sorang ni.

Pertamanya, dia sebagai seorang pelajar di UK yang mana kita ketahui bahawa UK antara negara pengamal demokrasi yang telus berbanding Malaysia, sepatutnya berfikiran terbuka seperti rakyat UK. Di sana, setiap minggu diadakan debat antara ketua kerajaan dan ketua pembangkang (sebenarnya tiada istilah ketua pembangkang di sana) secara langsung di TV dan ketua pembangkang bebas bertanya apa jua berkaitan dengan segala tindakan kerajaan dalam pengurusan negara sepanjang seminggu yang lalu. Jika berlaku kesilapan, pihak kerajaan tidak berbohong seperti kerajaan di Malaysia, malah mengakui kesilapan dan akan memperbetulkannya seterusnya dibentang pembetulan itu dalam debat pada minggu berikutnya. Begitu hebat demokrasi di UK.

Maka saranannya agar suara mahasiswa Malaysia di Mesir disekat dengan cara mengharamkan PMRAM adalah amat memalukan beliau sebagai pelajar yang berpendidikan tinggi. Sangat dangkal budak-budak dalam UMNO sehinggakan yang berpelajaran tinggi pun ikut terbebal sekali.

Semua pelajar di Mesir maklum bahawa PMRAM adalah badan kebajikan pelajar yang mana berperanan besar dalam pengurusan pelajar sehinggakan pihak kedutaan pun jadi ’mudah kerja’ kerana banyak tugas mereka dibantu oleh PMRAM. Kebajikan yang dilakukan PMRAM adalah sangat banyak dan tidak boleh dibandingkan dengan kebajikan yang dilakukan oleh badan lain di Mesir hatta Kelab UMNO sendiri pun yang mana sedia maklum menabur bakti kepada puak UMNO sahaja.

Kedua, berkenaan gesaan agar PMRAM diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Ini juga kenyataan yang mempamerkan kedangkalan fikirannya. Dia perlu selidik dahulu perlembagaan dan latar belakang PMRAM sebelum mengeluarkan sesuatu idea. PMRAM adalah berdaftar di bawah Kementerian Kebudayaan Mesir, bukannya bernaung di bawah kedutaan.

Kerajaan Malaysia tiada kuasa sama sekali untuk mancampuri urusan PMRAM. Perlu diingatkan bahawa PMRAM begitu disenangi oleh Kerajaan Mesir sehinggakan jika ketiadaan pasport pun, kad keahlian PMRAM boleh dijadikan bukti bila melalui pemeriksaan polis Mesir.

Ketiga, gesaannya agar biasiswa pelajar yang aktif bersama PMRAM ditarik. Perlu diingatkan bahawa pelajar Malaysia di Mesir tidak kebulur pada biasiswa mereka kerana majoriti mereka yang belajar di Mesir adalah dengan duit sendiri, cari sumbangan merata tempat dan juga dengan wang zakat. Jika yang ditaja mereka pun adalah pelajar Medic yang kebanyakan mereka bernaung di bawah Persatuan Perubatan Malaysia, bukannya PMRAM.

Namun, jika yang dimaksudkan beliau adalah menarik balik bantuan zakat yang diberikan, maka tunggulah kita berhujah di hadapan Allah di hari kiamat nanti kerana keberaniannya menafikan hak pada orang yang menuntut ilmu.

Tidak tahukah dia bahawa orang yang belajar termasuk dalam salah satu asnaf zakat yang mana mereka berhak untuk mendapatkannya walaupun bapa mereka seorang jutawan! Ini khitob Allah yang tidak boleh diubah. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya ingin mengubah asnaf itu kepada pengampu UMNO sahaja yang boleh mendapat bantuan zakat.

Keempat, berkaitan dengan dakwaan bahawa wakil PMRAM sudah mula memikat mahasiswa seawal mereka tiba di airport lagi, itu adalah jasa dan kabajikan yang PMRAM buat kepada mahasiswa Malaysia di Mesir. Takkan lah nak buat baik pun salah.

Saya sendiri alami yang mana sepanjang pengurusan PMRAM dari mula kami sampai hingga kami masuk kuliah, tiada pun mereka seru kami untuk masuk PAS. Yang mereka laksanakan hanyalah kebajikan, bukannya mengada-ngada buat baik. Saya nak beritahu di sini, PMRAM bukan buat itu sahaja, malah makan minum, program penerangan, lawatan dan kebajikan semua dilakukan oleh mereka.

Saya memahami budaya UMNO yang buat baik untuk mendapat sokongan. Saya hormati budaya buruk dalam UMNO itu. Namun, janganlah kerana dia sudah biasa dengan budaya itu, maka dia samakan orang lain juga buat baik untuk mendapat sokongan.

Adapun jika PMRAM dihalang untuk laksanakan semua kebajikan itu, maka siapa nak menggantikannya? Kelab UMNO? Nak uruskan ARMA (Asrama Rumah Melayu Abbasiah) pun huru hara, inikan pula seluruh pelajar baru? Jika mereka uruskan, alamatnya lingkuplah kebajikan kami semua.

Kelima, dakwaan fitnahnya bahawa para pegawai kerajaan Malaysia pun takut dengan PMRAM. Ini kenyataan fitnah, cuba nak melagakan PMRAM dan kedutaan. PMRAM sentiasa berbuat baik dengan pihak kedutaan dan JPMK (Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah). Hatta sambutan Hari Raya PMRAM dan majlis keraian di rumah negeri pun, pihak PMRAM memanggil para pegawai kerajaan untuk merasmikan.

Saya tidak lihat ada persengketaan di situ. PMRAM tidak berdendam dengan kedutaan walaupun kedutaan kerap kali mengganggu perjalanan pengurusan PMRAM. Siapa yang takut siapa? Siapa yang dendam siapa? PMRAM hormati para pegawai kita yang bertugas di Mesir. Ini adalah kenyataan fitnah yang perlu budak bengong ni tarik balik.

Yang terakhir ini merupakan fitnah terbesar dan amat kontra dengan hakikat sebenar. Dakwaan bahawa puak yang menyokong UMNO tidak mendapat tempat di asrama kerajaan negeri yang diperintah pembangkang adalah tidak pernah timbul sama sekali.

Apa yang berlaku adalah mereka yang penyokong UMNO dan ahli Kelab UMNO ini dengan sendiri memencil diri, tinggal di rumah-rumah sewa dan tidak mahu bergelumang dengan pelajar lain yang kelihatan ’bernajis’ bersama PMRAM. Mereka lebih suka berpuak terutama di ARMA dan menjalankan aktiviti sendirian tanpa ingin duduk bersekali dengan PMRAM.

Namun semua boleh menilai perbezaan antara pengurusan PMRAM terhadap semua lapisan mahasiswa dan pengurusan budak-budak Kelab UMNO terutama di ARMA. Amat berbeza dan kontra. ARMA mati dengan persaudaraan, penghuninya hidup sendiri-sendiri, tiada seruan dakwah hinggakan budaya ajak kawan bersolat pun mati.

Perkara yang sebenar yang berlaku adalah, mahasiswa yang aktif PMRAM yang dihalau dari asrama yang dikuasai puak UMNO. Ketika Selangor masih di bawah Be End, rumah negeri Selangor yang dijaga oleh pegawai pakar bodek UMNO ni menyaksikan kezaliman demi kezaliman yang berlaku terhadap pelajar. Ada pelajar yang dihalau keluar dan hanya dapat tidur di lobi bawah sahaja.

ARMA yang dijaga oleh puak UMNO ini juga seolah-olah telah dikuatkuasakan sebagai tanah haram terhadap PMRAM walaupun hakikatnya tanah ARMA itu adalah ihsan PMRAM kepada kerajaan Malaysia. Hak PMRAM di ARMA seperti yang termaktub dalam perjanjian telah dinafikan Sedangkan menurut sejarahnya, Kedutaan, JPMK wujud adalah disebabkan jasa PMRAM! Semua kene sedar dan akui sejarah ini.

Aktiviti PMRAM diharamkan sama sekali untuk dijalankan di ARMA hatta iklan program PMRAM pun tidak dibenarkan. Pernah ada NGO menjalankan program di ARMA dan dijemput Presiden PMRAM untuk berucap, pengarah program tersebut dipanggil dan hampir dibuang daripada tinggal di ARMA.

Banyak lagi tindakan mereka yang dangkal yang boleh saya katakan. Semua menunjukkan perkara yang bertentangan dengan yang didakwa oleh budak dunggu ni. Maka saya merasakan fitnah ini amat berat dan budak tidak berapa bijak ini perlu menarik balik dan bertaubat. Ingatlah, dosa fitnah lebih besar daripada membunuh!

Kalau iapun dia ingin mengejar kepentingan dalam UMNO, janganlah bersandar kepada usaha yang bodoh. Kejarlah apa yang kau nak kejar dalam UMNO tu, tapi biarlah menggunakan kekuatan sendiri, bukannya mengangkat diri dengan cara memfitnah orang lain.

Ingatlah, kamu tu pelajar PhD, belajar di UK pula tu. Tapi janganlah bercakap macam orang yang tiada otak. Jagalah sedikit maruah kamu. Bercakaplah sebagai orang yang gentle, berani dan berkarisma. Orang sekarang sudah bijak hatta pakcik di kampung pun dah dapat berfikir waras. Janganlah pula orang berkata, ”Ini ke kata budak belajar kat negara orang putih? Anak aku kat bendang tu pun lagi bagus!”

Tuesday, March 10, 2009

Salam Maulidur Rasul

Salam Maulidur Rasul. Biarpun lambat sehari video ini dipostkan dalam blog ini, namun moga dipandang Allah sebagai satu bukti kecintaan kepada Rasulullah SAW. Diharapkan kita bukan sahaja menyambut Maulidur Rasul, malah menyambut semua sunnah dan ajaran Nabi Muhammad dalam setiap gerak geri, setiap denyutan nadi dan setiap sedutan nafas kita. Moga kita dikurniakan tempat bersama-sama Nabi di dalam syurga. Amin.

Bingkisan Kisah Buat Para Murabbi

Hari ini saya terfikir untuk menulis satu post berkenaan guru dan syeikh yang saya bertalaqqi dengannya demi untuk mngumpul ilmu untuk bekalan perjuangan di masa depan. Sememangnya itu yang dikejar oleh setiap pelajar Azhar yang ingin menambah ilmu.

Di sini, sistem pembelajaran ada dua. Pertama sistem formal iaitu pengajian di kuliah di bawah seliaan Universiti Al Azhar dan yang ke dua adalah pengajian informal di Masjid Al Azhar dan masjid-masjid lain sekitar Kaherah.

Kami diberitahu bahawa nilai sebenar pengajian di Mesir adalah pengajian informal iaitu pengajian di Masjid Azhar. Pengajian inilah yang merupakan kunci ilmu sebenar di sini. Pengajian bentuk talaqqi ini yang mula-mula sekali diwujudkan ketika penubuhan Jami’ Al Azhar 1000 tahun yang lalu. Bentuk pengajian yang penuh keberkatan dan mengikut sunnah Rasulullah ini diteruskan hingga ke hari ini dan telah menghasilkan beribu-ribu ulama terkemuka di dunia yang banyak berjasa kepada dunia Islam.

Setelah beberapa kurun pengajian bentuk talaqqi ini berjalan, barulah pengajian formal berbentuk kuliah di Universiti Azhar diwujudkan untuk memenuhi tuntutan semasa dan perkembangan ilmu akademik yang lain seperti Tib (perubatan), Soldiliyah (Farmasi), Dirasat Islamiyah (pengajian Islam) dan sebagainya. Secara kasarnya, institusi pengajian Azhar terbahagi dua iaitu pengajian kuliah di universiti dan pengajian talaqqi di masjid.

Pengajian berbentuk talaqqi ini yang menjadikan Al Azhar sebagai universiti tertua di dunia yang ditubuhkan sekitar 970 masihi. Pengajian kuliah di universiti lebih kepada tiket untuk dating ke bumi Mesir, namun lubuk ilmu yang lebih utama adalah di Masjid Azhar itu sendiri.

Pengajian talaqqi di Masjid Azhar disampaikan oleh syeikh bertaraf mufti pakar dalam banyak pengkhususan ilmu Islam. Semua syeikh yang mengajar di masjid mesti mendapat perkenan Mufti Besar Mesir yang sekarang ini adalah Syeikh Maulana Al ‘Allamah Ali Jum’ah. Kebanyakan syeikh yang mengajar di Masjid Azhar sekarang merupakan anak didik Syeikh Ali sendiri.

Sebelum saya menceritakan tentang syeikh di sini, saya dahulukan dengan segala hormat untuk menceritakan sedikit perihal seorang tuan guru yang banyak menunjukkan jalan ilmu ini kepada saya. Beliau adalah Tuan Guru Ustaz Hj Zulkifli bin Hj Ismail yang merupakan tuan guru di pondok penuh barakah Baitul Qurra di Sungai Udang, Melaka.

Saya pertama kali diperkenalkan dengan beliau pada Disember 2004 oleh Akh Ust Mohd Noorazam bin Bahador yang merupakan senior saya di KISAS. Ketika itu saya kurang memberi komitmen dan jarang hadir kuliah di pondok tersebut kerana masih menuntut di tingkatan 5 di KISAS. Setelah tamat SPM dan berdaurah di sana, saya mula mendapat jalan dan bunga-bunga ilmu yang tidak saya dapat di tempat lain.

Beliau banyak memdidik anak muridnya tentang erti perjuangan Islam sebenar bersesuaian dengan konteks negara kita. Beliau amat menekankan budaya ilmu dan beramal berdasarkan ilmu. Bagi beliau, tiada cara pantas yang dapat mengubah negara kita kepada negara yang mengamalkan Islam melainkan dengan menyemai ilmu agama terutama ilmu aqidah kepada segenap lapisan masyarakat.

Banyak ilmu asas yang membawa kepada kefahaman Islam yang saya peroleh daripadanya. Sebelum ke Mesir, beliau banyak memberikan panduan akan keutamaan yang seharusnya saya kejar terlebih dahulu di sana. Baginya, peluang berada di Bumi Ulama ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menunpukan perhatian kepada pengajian ilmu terutama pengajian talaqqi di Masjid Azhar. Semoga segala langkah saya ke arah kebaikan selepas ini, Allah kurniakan ganjaran rahmat ke atasnya.

Di sini, syeikh yang paling banyak saya ikuti adalah Syeikh Al ‘Allamah Ahmad Al Hajain. Beliau merupakan seorang pakar ilmu Fiqh dan Hadith. Beliau menguasai 4 mazhab Fiqh dengan baik dan juga dikatakan menghafaz kedua-dua kitab terbesar ilmu Hadith iaitu Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Beliau juga antara murid Syeikh Ali Jum’ah yang diberi pengiktirafan boleh mengeluarkan fatwa.

Apa yang lebih menakjubkan adalah apabila saya mengetahui bahawa ulama besar ini sebenarnya berkerja sebagai pegawai bank dan sememangnya kebanyakan syeikh di sini berkerja dalam profesion yang hebat, namun cara hidup mereka amat sederhana dan yang lebih istimewa memilki ilmu agama bertaraf mufti!

Syeikh Ahmad amat rapat dengan pelajar Malaysia dan pelajar dalam setiap kuliahnya kebanyakannya adalah pelajar Malaysia. Beliau amat pakar dalam ilmu Fiqh sehinggakan boleh menerangkan hukum sesuatu perkara mengikut pandangan keempat-empat mazhab. Apabila meminta dalil hadith, beliau menjawab dengan lancar tanpa perlu merujuk kitab terlebih dahulu.

Selain ilmu Fiqh, syeikh juga mengajar kitab berkaitan Tasauf, Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh. Cara berpakaiannya amat sederhana malah beliau pergi mengajar di masjid hanya dengan menaiki bas atau teksi. Penerangannya selalu diselitkan lawak jenaka dan beliau akan mengulang penerangannya sekitanya pelajar tidak faham.

Satu yang amat istimewa berkenaan syeikh Ahmad ini adalah wajahnya tidak lekang dengan senyuman. Amat manis dan tenang hati jika melihatnya tersenyum. Semoga Allah memberi keberkatan kepadanya dunia akhirat, Amin.

Syeikh Azhar kedua yang ingin saya ceritakan adalah Syeikh Al ’Allamah Usamah As Sayyid Al Azhari. Beliau merupakan antara anak murid Syiekh Ali Jum’ah yang termuda, berumur sekitar 30 tahun namun memiliki kelebihan otak yang bijak kerana diiktiraf boleh mengeluarkan fatwa dalam umur yang masih muda.

Beliau juga diminta oleh Syeikh Ali Jum’ah untuk menggantikannya memberi khutbah Jumaat dan kuliah mingguan di Masjid Sultan Hassan. Penampilannya sangat sederhana namun mempunyai zouq dan ’izzah yang menusuk hati bila melihatnya. Pertama kali saya menghadiri kuliahnya, sudah terkesan dalam hati dengan hanya melihat padanya. Seorang yang rendah diri dan amat memuliakan ulama lain walaupun dirinya sendiri merupakan seorang ulama hebat.

Beliau amat menghormati orang yang lebih tua dan mesra dengan kanak-kanak. Pernah berlaku dalam keadaan orang ramai berebut untuk bersalam dengannya, dia meluangkan masa untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh seorang tua. Jawapannya amat jelas dan sangat beradab malah beliau tidak berganjak sehinggalah pakcik itu memahami semua penerangannya.

Sentiasa kelihatan tunduk dan amat mudah tersentuh bila menyebut berkenaan dosa. Pernah dalam kuliahnya dihadiri oleh tetamu daripada Emirate dan syeikh memberi laluan kepada tetamu tersebut untuk berucap. Apabila tetamu tersebut menyentuh tentang persoalan dosa, kelihatan bergenang air matanya. Maha Suci Allah, kita yang banyak dosa ini pun tidak sebak sepertinya.

Kesimpulannya, beliau merupakan seorang ulama muda yang mempunyai daya tarikan dan ke’izzahan yang amat tinggi. Setiap kuliahnya dipenuhi dengan orang ramai untuk mendengar kupasan tentang ilmu yang diajarnya. Melihat wajah, penampilan dan senyumannya sudah cukup memberikan ketenangan dalam hati. Semoga Allah membantu kita menjadi sepertinya.

Ulama ketiga yang ingin saya ceritakan bukanlah seorang ulama Azhar, namun beliau merupakan seorang pelajar tahun tiga, Syukbah Hadith dalam Kuliah Usuluddin. Nama beliau adalah Habib Umar bin Zain bin Ibrahim bin Smit. Beliau merupakan anak kepada ulama besar Madinah iaitu Habib Zain Smit.

Beliau berumur 30 tahun dan sebelum ini mendapat didikan di Yaman dan menyambung pelajaran di Universiti Azhar untuk memperolehi sijil. Walaupun masih bergelar pelajar Azhar, namun ilmunya sudah bertaraf ulama. Dengan kehidupannya yang dikelilingi ilmu semenjak kecil dan didikan agama oleh ayahnya yang merupakan ulama besar, maka kealimannya dalam ilmu agama tidak dapat dipertikaikan lagi.

Beliau mengajar di Surau Rumah Pahang setiap malam Rabu dan Sabtu dan kelas tersebut dihadiri oleh pelajar Malaysia, Singapura dan Indonesia. Beliau mengajar pelbagai kitab dan penumpuannya banyak kepada tasauf. Sememangnya ulama keturunan habib amat menitikberatkan adab dalam kehidupan. Setiap penerangannya akan menyentuh berkenaan nasihat kepada pelajar dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

Beliau bercakap dengan Bahasa Arab Fushah dan suka berjenaka. Sesekali terkenalah pelajar Malaysia dengan sindirannya terhadap sikap pelajar Malaysia yang suka makan dan tidur. Adakala beliau menyebut beberapa perkataan Bahasa Malaysia dalam sindiran itu seperti gendut, gado-gado, nasi dan macam-macam lagi.

Menuntut ilmu dengan beliau mendatangkan semangat untuk mengaji bersungguh-sungguh. Beliau sering menceritakan kisah ulama-ulama terdahulu dalam perjalanan mereka menuntut ilmu dan menggalakkan pelajar Malaysia agar bersungguh-sungguh dalam pengajian demi untuk mengusai ilmu. Semoga Allah alirkan keberkatan dalam dirinya kepada kita.

Ulama terakhir yang ingin saya ceritakan ialah seorang ulama Al Quran yang terkenal dengan pemegang sanad Al Quran tertinggi di dunia. Nama beliau adalah Syeikh Redha Ali Darwish. Merupakan tenaga pengajar di Maahad Qiraat di Syubra dan pernah berguru dengan pelbagai guru Al Quran yang hebat di empat negara Arab. Beliau juga dikatakan memiliki lebih 8 sanad Al Quran yang bersambung hingga kepada Rasulullah dan juga pakar dalam Qiraat 7.

Beliau memiliki ramai pelajar di kalangan pelajar Malaysia. Cara mengajaran beliau yang lembut dan tegas dalam bacaan membuatkan beliau disenangi oleh pelajarnya. Kelas pengajiannya adakala diadakan di rumah sewanya di Syubra dan adakalanya di rumah beliau sendiri di Darus Salam.

Setakat ini, saya hanya mampu berguru dengan mereka ini. Sebenarnya terdapat ramai lagi ulama yang pakar dalam pelbagai ilmu di sekitar Kaherah ini sehinggkan tidak mampu untuk mengikuti semuanya. Kebanyakan pelajar mengambil cara belajar secara berperingkat dari kitab ke kitab dan dari satu syeikh ke syeikh yang lain. Amat tidak masuk akal sekiranya ada di kalangan pelajar Malaysia berkata tidak dapat mengaji kerana tidak berjumpa dengan syeikh.

Dalam keadaan di kelilingi dengan ramai ulama, namun jika kami tidak memanfaatkan peluang ini, tergolonglah kami di kalangan hamba Allah yang kufur nikmat. Sememangnya menjadi tanggungjawab dan kewajipan kami untuk meresapkan semua ilmu yang ditaburkan oleh para ulama di sini demi sebagai bekalan untuk menunaikan tanggungjawab dakwah di Malaysia. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami untuk mengikuti jalan menuntut ilmu sebagaimana yang dilalui oleh ulama terdahulu, Amin.

Thursday, March 5, 2009

Menjawab Persoalan Jihad dan Jahiliyyah

Salam. Saya postkan artikel dari blog http://ruhhuldaie.blogspot.com tentang persoalan jahiliyyah dan saya serta komen saya terhadap artikel ini..

Jahiliah datang dari perkataan Jahala yang maksudnya bodoh or bahasa baik tak tahu. Dari sudut Istilah maksudnya orang yang sesat dari jalan Allah yang sebenar-benar jalan. Okla, malas nak cakap panjang-panjang sebab bila aku sebut Jahiliah, semua mesti pikir masa zaman Nabi Muhammad yang mana Baginda telah padamkan amalan Jahiliah masyarakat Arab Quraisy pada masa tu. Tapi hakikatnya, orang Jahiliah nie masih ada sampai laa zaman sekarang & even kat negara Demokrasi Berparlimen yang adil & xde rasuah(ye k???) seperti di Malaysia nie pun ada jugak orang Jahiliah nie. Tapi sape diorang nie??? pandai2 laa korang pikir sendiri nanti.

So aku akan bagi korang hint sape dia Masyarakat Jahiliah dalam zaman moden nih. Kalo sape tanya rujukan aku, aku leh bagi on the spot...

Nie Rujukan Aku :-
Kitab Risalah Usrah
Karangan Abu Urwah
dalam tajuk Pengertian Kalimah Syahadah
dalam sub-topik Masyarakat Jahiliah

lepas nie jangan tanya nie rujukan mana, ajaran sesat ke ape. Rujukan aku Ulama' yang mana betul2 berpandu pada Al-Quran & Sunnah.

ok Masyarakat Jahiliah dalam zaman Mutaakkhirin nih kalau ikut kepada Abu Urwah ada 4 golongan Masyarakat Jahiliah...sapa mereka itu...jom kita Layan...Zasss!!!!

1. Semua negara Komunis. Sebab pe, sebab dioranhg nie tak mengaku kewujudan zat Allah. Pastu Komunisme nie berlandas kepada fahaman material (nak harta je). Lepas tue sistem nih mengabdikan diri pada Parti Komunis & bukan pada Allah. Lps 2 Sistem nie merupakan satu penghinaan kepada status manusia yang menyamakan keperluan asasi manusia dengan haiwan, terhad kepada mencari makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal & seks tanpa ada ruang untuk diisi dengan keperluan rohaniah. Lebih teruk, sistem nie menjadikan manusia itu sebagai alat. Alat ape..manusia dijadikan alat jentera ekonomi..
2. Yang ke-2 nie semua maklum laa kot iaitu masyarakat yang masih lagi menyembah berhala sekarang nie. Diorang nie nampak jahil dari segi konsep & iktikad diorang yang mempertuhankan benda lain selain Allah. Tak kira laa dengan menyekutukan Allah ke (banyak agama ngaku Allah ada tapi sembah benda len gak) atau menyembah dewa-dewa, mahaguru-mahaguru & apa aje yang dianggap ada kuasa ketuhanan (cam matahari ke ape2 laa). Lepas tue diorang nie ikut sistem2 perundangan & peraturan yang tak berpandukan Syariat Allah.
3. Yang ke-3 nie lagi patut kena tau laa sebab diorang nie jahil dari segi penyelewengan diorang dalam mentauhidkan Allah sampaikan menjadikan bagi Allah macam2 sekutu dalam macam2 bentuk yang syirik tak kira laa apa sekalipun konsep keputeraan Allah (Sonship of Allah) ke konsep Trinity. tue sume penyelewengan yang berlaku. Mesti da tau agama ape kan nie..sudah tentu agama Kristian & Yahudi. Masyarakat nie jugak beri hak kepada para pendeta, paderi & rahib diorang buat peraturan & undang2 yang tak diredhai Allah. Cthnya fatwa pendeta Yahudi yang kata halal bagi tentera Yahudi bunuh kanak-kanak & wanita. Lebih kurang cam 2 laa...
4. Yang ke-4 ni pulak dalam masyarakat Islam sendiri. Tapi yang dikatakan Jahiliah nie adalah masyarakat Islam yang bernaung di bawah sistem buatan manusia (Kapitalisme, Liberalisme & Prakmatisme). Masyarakat nie jahil sebab iktikad diorang pada Allah tue tak sepenuhnya or bahasa lain diorang tak membulatkan pengabdian diorang sepenuhnya pada Allah dalam sistem kehidupan tapi maybe half bulat, 3 suku bulat or suku bulat etc...Diorang yakin dengan kuasa Allah malah melafazkan Kalimah Syahadah tapi menjadikan sistem buatan manusia sebagai sistem pemerintahan & diorang patuh dengan sistem 2 sedangkan Allah dah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 44, sapa yang tak memutuskan utk menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. Dalam masyarakat Islam sekarang ada yang terang-terangan mendukung fahaman Sekular nie. Islam hanya di bibir diorang je. Bagi diorang perkara dunia mesti brlandaskan Sains & xde kena mengena dengan agama. jadi masyarakat yang macam nie bagi Abu Urwah beliau menjelaskan "Islam menolak & tidak mengakui KeIslaman masyarakat itu sepenuhnya"

Bila baca yang ke-4 tue aku terkaku jap...sebab apa..Aku nie duk kat negara yang mana Perlembagaan tu duk kat atas sekali bukan Al-Quran. Makna kata aku hidup dengan berdasarkan kehidupan yang menggunakan peraturan & undang2 sistem buatan manusia. Aku nie dikira sebagai Masyarakat Jahiliah jugak ke.

Tue Satu Persoalan yang duk serabut dalam kepala otak aku....Sape leh tolong jawabkan...aku nak jawapan yang ilmiah yang boleh menerangkan situasi Masyarakat Islam kat Malaysia nih yang betul2 ikut Islam tapi masih bernaung bawah Sistem Sekular nih...camne nie..

Lepas tue ada persoalan lain yang aku nak bagi kat sini... Apa prinsip sebenar yang patut kita ikut dalam idup kita, Agama Allah atau Sistem Buatan Manusia????

Haa...Jawab laa....

Komen saya :

Salam

Persoalan yang amat menarik untuk diulas. Itulah yang dinamakan kefardhuan jihad. Tidak berapa tepat jika kita hanya dok menjaga iman sendiri sahaja sedangkan dari sudut suasana di Malaysia kita boleh buat macam-macam untuk lawan kekufuran ini.

Selamah-lemah rakyat Malaysia yang beragama Islam itu di Malaysia masih boleh menyumbang ke arah mendaulat Islam ke tempat yang tertinggi dalam perlembagaan kita.

Nak beritahu kat sini, punca utama kefasikan masih wujud di bumi Malaysia adalah 'perlembagaan sekular yang dipertahankan oleh kerajaan sekular'. Sistem di Malaysia adalah demokrasi berparlimen. Maka kerajaan yang mendapat majoriti dalam setiap pilihan raya umum adalah berhak untuk samada mempertahankan ataupun mengubah perlembagaan Malaysia mengikut dasar parti yang mendapat majoriti itu.

Ini adalah sistem di negara kita yang mana tiada cara lain yang boleh mengubah perlembagaan kita melainkan dengan mendapat kuasa majoriti dalam Parlimen dan mengubahnya.

Apa pentingnya perlembagaan? Perlembagaan merupakan rujukan asas setiap negara merdeka di dunia. Bermaksud, segala tindakan, perlaksanaan dasar, undang-undang, sistem sosial di Malaysia akan dirujuk kepada perlembagaan. Sekiranya bertepatan, maka akan dilaksanakan. Begitulah sebaliknya.

Tetapi bukan bermakna kita tidak boleh sama sekali meletakkan Islam sebagai rujukan tertinggi kerana perlembagaan itu hanyalah sistem. Disebabkan perlembagaan itu rujukan tertinggi, maka yang menjadi kefardhuan jihad kita adalah memastikan perlembagaan itu berteraskan Islam iaitu Al Quran dan Sunnah seperti mana perlembagaan yang paling sempurna yang pernah digubal dalam dunia ini iaitu Piagam Madinah.

Ini yang dinamakan kefardhuan jihad yang tertinggi dalam konteks negara kita. Itu yang ana tegaskan, tidak salah kepada mana-mana jemaah untuk menjalankan dakwah dalam apa jua bentuk samada NGO, kepartian. Yang lebih utama, apa jua dakwah yang mereka jalankan, adalah fadhu ain bagi mereka untuk memasukkan matlamat untuk menjayakan jihad khas ini dalam agenda jemaah masing-masing.

Maka, sistem yang ada membenarkan untuk kita mengubah perlembagaan sekular ini dan menjatuhkan kerajaan yang memepertahankannya dengan melalui jalan politik. Maka kefardhuan bagi kita untuk menyertai ataupun paling kutrang menyumbang untuk kejayaan jihad siasah ini. Bila bercakap tentang ini, janganlah kita membodohkan diri dengan mengatakan ini cakap politik! Ini adalah bicara agama dan bicara kefardhuan jihad!

Perlu difahami dengan jujur akan natijahnya sekiranya kita hanya menumpukan jihad am tetapi tidak bersungguh-sungguh untuk melawan puak sekular yang mempertahankan perlembagaan sekular ini. Dakwah kita tidak akan berjaya kerana segala kefasikan dan kemungkaran yang berlaku di negara kita dihalalkan oleh perlembagaan kita.

Sebagai contoh, murtad. Jika kita dok berdakwah macam mana hebat pun, murtad tetap tidak dapat hapuskan kerana perlembagaan kita membenarkannya. Lihat sahaja pada kes Lina Joy, walaupun mahkamah memutuskan dia tidak boleh murtad, tapi dia tetap menjalankan kehidupan hariannya sebagai seorang Kristian dan tiada siapa yang boleh menghalangnya kerana perlembagaan Artikel 11 mempertahankannya.

Begitu juga dengan konsert maksiat yang berlangsung di negara kita. Berdakwahlah kita macam mana pun, maksiat ini tetap tidak dapat dihentikan. Ini kerana berdasarkan peruntukan perlembagaan dalam hal berkaitan hak asasi manusia, pihak kementerian penerangan kita memberi garis panduan berpakaian kepada artis wanita adalah mesti berpakaian yang menutup pangkal dada HINGGA LUTUT! adakah garis panduan ini selaras dengan ISlam. Jika tidak bolehkah kita mengubahnya jika perlembagaan sendiri membenarkannya?

Maka jika ingin mengubah perlembagaan sekular ini, hendaklah mereka meruntuhkan kerajaan yang mempertahankanya. Tidak dinafikan perlu juga segolongan kita yang berdakwah kepada kerajaan agar mereka menerima perlaksanaan Islam yang menyeluruh. Namun, setelah sekian lama, kerajaan kita masih membutakan mata daripada berusaha untuk menegakkan Islam dalam perlembagaan kita, maka kerajaan ini perlu dijatuhkan. Ini bukan cakap politik, tapi ini soal aqidah dan iman!

Maka, sesiapa yang menyertai atau paling kurang pun menyumbang ke arah kejayaan jihad siasah ini, maka dia bukanlah tergolong di kalangan masyarakat jahiliyyah. Namun, bagi mereka yang berpeluk tubuh, tidak melaksanakan kefardhuan jihad ini bahkan redha dengan situasi sekaranag, maka dia adalah sebahagian daripada masyarakat jahiliyyah ini.

Sekian.