Tuesday, March 10, 2009

Bingkisan Kisah Buat Para Murabbi

Hari ini saya terfikir untuk menulis satu post berkenaan guru dan syeikh yang saya bertalaqqi dengannya demi untuk mngumpul ilmu untuk bekalan perjuangan di masa depan. Sememangnya itu yang dikejar oleh setiap pelajar Azhar yang ingin menambah ilmu.

Di sini, sistem pembelajaran ada dua. Pertama sistem formal iaitu pengajian di kuliah di bawah seliaan Universiti Al Azhar dan yang ke dua adalah pengajian informal di Masjid Al Azhar dan masjid-masjid lain sekitar Kaherah.

Kami diberitahu bahawa nilai sebenar pengajian di Mesir adalah pengajian informal iaitu pengajian di Masjid Azhar. Pengajian inilah yang merupakan kunci ilmu sebenar di sini. Pengajian bentuk talaqqi ini yang mula-mula sekali diwujudkan ketika penubuhan Jami’ Al Azhar 1000 tahun yang lalu. Bentuk pengajian yang penuh keberkatan dan mengikut sunnah Rasulullah ini diteruskan hingga ke hari ini dan telah menghasilkan beribu-ribu ulama terkemuka di dunia yang banyak berjasa kepada dunia Islam.

Setelah beberapa kurun pengajian bentuk talaqqi ini berjalan, barulah pengajian formal berbentuk kuliah di Universiti Azhar diwujudkan untuk memenuhi tuntutan semasa dan perkembangan ilmu akademik yang lain seperti Tib (perubatan), Soldiliyah (Farmasi), Dirasat Islamiyah (pengajian Islam) dan sebagainya. Secara kasarnya, institusi pengajian Azhar terbahagi dua iaitu pengajian kuliah di universiti dan pengajian talaqqi di masjid.

Pengajian berbentuk talaqqi ini yang menjadikan Al Azhar sebagai universiti tertua di dunia yang ditubuhkan sekitar 970 masihi. Pengajian kuliah di universiti lebih kepada tiket untuk dating ke bumi Mesir, namun lubuk ilmu yang lebih utama adalah di Masjid Azhar itu sendiri.

Pengajian talaqqi di Masjid Azhar disampaikan oleh syeikh bertaraf mufti pakar dalam banyak pengkhususan ilmu Islam. Semua syeikh yang mengajar di masjid mesti mendapat perkenan Mufti Besar Mesir yang sekarang ini adalah Syeikh Maulana Al ‘Allamah Ali Jum’ah. Kebanyakan syeikh yang mengajar di Masjid Azhar sekarang merupakan anak didik Syeikh Ali sendiri.

Sebelum saya menceritakan tentang syeikh di sini, saya dahulukan dengan segala hormat untuk menceritakan sedikit perihal seorang tuan guru yang banyak menunjukkan jalan ilmu ini kepada saya. Beliau adalah Tuan Guru Ustaz Hj Zulkifli bin Hj Ismail yang merupakan tuan guru di pondok penuh barakah Baitul Qurra di Sungai Udang, Melaka.

Saya pertama kali diperkenalkan dengan beliau pada Disember 2004 oleh Akh Ust Mohd Noorazam bin Bahador yang merupakan senior saya di KISAS. Ketika itu saya kurang memberi komitmen dan jarang hadir kuliah di pondok tersebut kerana masih menuntut di tingkatan 5 di KISAS. Setelah tamat SPM dan berdaurah di sana, saya mula mendapat jalan dan bunga-bunga ilmu yang tidak saya dapat di tempat lain.

Beliau banyak memdidik anak muridnya tentang erti perjuangan Islam sebenar bersesuaian dengan konteks negara kita. Beliau amat menekankan budaya ilmu dan beramal berdasarkan ilmu. Bagi beliau, tiada cara pantas yang dapat mengubah negara kita kepada negara yang mengamalkan Islam melainkan dengan menyemai ilmu agama terutama ilmu aqidah kepada segenap lapisan masyarakat.

Banyak ilmu asas yang membawa kepada kefahaman Islam yang saya peroleh daripadanya. Sebelum ke Mesir, beliau banyak memberikan panduan akan keutamaan yang seharusnya saya kejar terlebih dahulu di sana. Baginya, peluang berada di Bumi Ulama ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menunpukan perhatian kepada pengajian ilmu terutama pengajian talaqqi di Masjid Azhar. Semoga segala langkah saya ke arah kebaikan selepas ini, Allah kurniakan ganjaran rahmat ke atasnya.

Di sini, syeikh yang paling banyak saya ikuti adalah Syeikh Al ‘Allamah Ahmad Al Hajain. Beliau merupakan seorang pakar ilmu Fiqh dan Hadith. Beliau menguasai 4 mazhab Fiqh dengan baik dan juga dikatakan menghafaz kedua-dua kitab terbesar ilmu Hadith iaitu Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Beliau juga antara murid Syeikh Ali Jum’ah yang diberi pengiktirafan boleh mengeluarkan fatwa.

Apa yang lebih menakjubkan adalah apabila saya mengetahui bahawa ulama besar ini sebenarnya berkerja sebagai pegawai bank dan sememangnya kebanyakan syeikh di sini berkerja dalam profesion yang hebat, namun cara hidup mereka amat sederhana dan yang lebih istimewa memilki ilmu agama bertaraf mufti!

Syeikh Ahmad amat rapat dengan pelajar Malaysia dan pelajar dalam setiap kuliahnya kebanyakannya adalah pelajar Malaysia. Beliau amat pakar dalam ilmu Fiqh sehinggakan boleh menerangkan hukum sesuatu perkara mengikut pandangan keempat-empat mazhab. Apabila meminta dalil hadith, beliau menjawab dengan lancar tanpa perlu merujuk kitab terlebih dahulu.

Selain ilmu Fiqh, syeikh juga mengajar kitab berkaitan Tasauf, Usul Fiqh dan Qawaid Fiqh. Cara berpakaiannya amat sederhana malah beliau pergi mengajar di masjid hanya dengan menaiki bas atau teksi. Penerangannya selalu diselitkan lawak jenaka dan beliau akan mengulang penerangannya sekitanya pelajar tidak faham.

Satu yang amat istimewa berkenaan syeikh Ahmad ini adalah wajahnya tidak lekang dengan senyuman. Amat manis dan tenang hati jika melihatnya tersenyum. Semoga Allah memberi keberkatan kepadanya dunia akhirat, Amin.

Syeikh Azhar kedua yang ingin saya ceritakan adalah Syeikh Al ’Allamah Usamah As Sayyid Al Azhari. Beliau merupakan antara anak murid Syiekh Ali Jum’ah yang termuda, berumur sekitar 30 tahun namun memiliki kelebihan otak yang bijak kerana diiktiraf boleh mengeluarkan fatwa dalam umur yang masih muda.

Beliau juga diminta oleh Syeikh Ali Jum’ah untuk menggantikannya memberi khutbah Jumaat dan kuliah mingguan di Masjid Sultan Hassan. Penampilannya sangat sederhana namun mempunyai zouq dan ’izzah yang menusuk hati bila melihatnya. Pertama kali saya menghadiri kuliahnya, sudah terkesan dalam hati dengan hanya melihat padanya. Seorang yang rendah diri dan amat memuliakan ulama lain walaupun dirinya sendiri merupakan seorang ulama hebat.

Beliau amat menghormati orang yang lebih tua dan mesra dengan kanak-kanak. Pernah berlaku dalam keadaan orang ramai berebut untuk bersalam dengannya, dia meluangkan masa untuk menjawab soalan yang ditanyakan oleh seorang tua. Jawapannya amat jelas dan sangat beradab malah beliau tidak berganjak sehinggalah pakcik itu memahami semua penerangannya.

Sentiasa kelihatan tunduk dan amat mudah tersentuh bila menyebut berkenaan dosa. Pernah dalam kuliahnya dihadiri oleh tetamu daripada Emirate dan syeikh memberi laluan kepada tetamu tersebut untuk berucap. Apabila tetamu tersebut menyentuh tentang persoalan dosa, kelihatan bergenang air matanya. Maha Suci Allah, kita yang banyak dosa ini pun tidak sebak sepertinya.

Kesimpulannya, beliau merupakan seorang ulama muda yang mempunyai daya tarikan dan ke’izzahan yang amat tinggi. Setiap kuliahnya dipenuhi dengan orang ramai untuk mendengar kupasan tentang ilmu yang diajarnya. Melihat wajah, penampilan dan senyumannya sudah cukup memberikan ketenangan dalam hati. Semoga Allah membantu kita menjadi sepertinya.

Ulama ketiga yang ingin saya ceritakan bukanlah seorang ulama Azhar, namun beliau merupakan seorang pelajar tahun tiga, Syukbah Hadith dalam Kuliah Usuluddin. Nama beliau adalah Habib Umar bin Zain bin Ibrahim bin Smit. Beliau merupakan anak kepada ulama besar Madinah iaitu Habib Zain Smit.

Beliau berumur 30 tahun dan sebelum ini mendapat didikan di Yaman dan menyambung pelajaran di Universiti Azhar untuk memperolehi sijil. Walaupun masih bergelar pelajar Azhar, namun ilmunya sudah bertaraf ulama. Dengan kehidupannya yang dikelilingi ilmu semenjak kecil dan didikan agama oleh ayahnya yang merupakan ulama besar, maka kealimannya dalam ilmu agama tidak dapat dipertikaikan lagi.

Beliau mengajar di Surau Rumah Pahang setiap malam Rabu dan Sabtu dan kelas tersebut dihadiri oleh pelajar Malaysia, Singapura dan Indonesia. Beliau mengajar pelbagai kitab dan penumpuannya banyak kepada tasauf. Sememangnya ulama keturunan habib amat menitikberatkan adab dalam kehidupan. Setiap penerangannya akan menyentuh berkenaan nasihat kepada pelajar dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.

Beliau bercakap dengan Bahasa Arab Fushah dan suka berjenaka. Sesekali terkenalah pelajar Malaysia dengan sindirannya terhadap sikap pelajar Malaysia yang suka makan dan tidur. Adakala beliau menyebut beberapa perkataan Bahasa Malaysia dalam sindiran itu seperti gendut, gado-gado, nasi dan macam-macam lagi.

Menuntut ilmu dengan beliau mendatangkan semangat untuk mengaji bersungguh-sungguh. Beliau sering menceritakan kisah ulama-ulama terdahulu dalam perjalanan mereka menuntut ilmu dan menggalakkan pelajar Malaysia agar bersungguh-sungguh dalam pengajian demi untuk mengusai ilmu. Semoga Allah alirkan keberkatan dalam dirinya kepada kita.

Ulama terakhir yang ingin saya ceritakan ialah seorang ulama Al Quran yang terkenal dengan pemegang sanad Al Quran tertinggi di dunia. Nama beliau adalah Syeikh Redha Ali Darwish. Merupakan tenaga pengajar di Maahad Qiraat di Syubra dan pernah berguru dengan pelbagai guru Al Quran yang hebat di empat negara Arab. Beliau juga dikatakan memiliki lebih 8 sanad Al Quran yang bersambung hingga kepada Rasulullah dan juga pakar dalam Qiraat 7.

Beliau memiliki ramai pelajar di kalangan pelajar Malaysia. Cara mengajaran beliau yang lembut dan tegas dalam bacaan membuatkan beliau disenangi oleh pelajarnya. Kelas pengajiannya adakala diadakan di rumah sewanya di Syubra dan adakalanya di rumah beliau sendiri di Darus Salam.

Setakat ini, saya hanya mampu berguru dengan mereka ini. Sebenarnya terdapat ramai lagi ulama yang pakar dalam pelbagai ilmu di sekitar Kaherah ini sehinggkan tidak mampu untuk mengikuti semuanya. Kebanyakan pelajar mengambil cara belajar secara berperingkat dari kitab ke kitab dan dari satu syeikh ke syeikh yang lain. Amat tidak masuk akal sekiranya ada di kalangan pelajar Malaysia berkata tidak dapat mengaji kerana tidak berjumpa dengan syeikh.

Dalam keadaan di kelilingi dengan ramai ulama, namun jika kami tidak memanfaatkan peluang ini, tergolonglah kami di kalangan hamba Allah yang kufur nikmat. Sememangnya menjadi tanggungjawab dan kewajipan kami untuk meresapkan semua ilmu yang ditaburkan oleh para ulama di sini demi sebagai bekalan untuk menunaikan tanggungjawab dakwah di Malaysia. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kami untuk mengikuti jalan menuntut ilmu sebagaimana yang dilalui oleh ulama terdahulu, Amin.

1 comment:

aliF_miM said...

MasyaAllah...hbt sgh mreka dbndingkan dgn diri ini y tlampau kcil dan hina..
moga nta istiqamah dlm mnuntut ilmu Allah...