Wednesday, September 19, 2012

Adakah Kita Mempromosi Rasulullah SAW?




Sedih melihat reaksi berlebihan daripada umat Islam yang jahil berkenaan video menghina Rasulullah SAW. Ya, video itu menyakitkan Rasulullah SAW, tetapi apakah maknanya kita marah jika jalan kita pilih untuk tunjukkan kemarahan itu juga menyakiti Rasulullah SAW.

Mereka yang membuat video itu kemungkinan besar memang bersifat dengki dan sengaja untuk menghina Rasulullah SAW. Bagi saya, jika kita menekan sekuat mana sekalipun untuk mereka mengaku salah dan memohon maaf, mereka tidak akan lakukan. Tambahan pula, mereka berada di negara Amerika yang mengagungkan kebebasan bersuara tanpa had. Dengan ayat mudah, jika kita bertindak sehingga meletup seluruh Amerika sekalipun, tidak dapat mengubah pendirian mereka yang akan terus menerus menyerang agama Islam.

Tindakan yang dizahirkan umat Islam, sehingga membunuh dan merosakkan harta benda, inilah yang mereka harapkan. Mereka sememangnya tidak mengharapkan filem mereka itu dapat membuat masyarakat dunia percaya akan fitnah yang mereka lemparkan terhadap Rasulullah SAW dan Islam. Bagi mereka, tindak balas ganas yang dilakukan umat Islam jauh lebih berkesan untuk membuktikan bahawa Islam itu ganas.

Memarahi dan menghentam lawan kita, tetapi mengikut jalan yang sama dengannya malah lebih teruk lagi. Bukankah ianya ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri? Mereka menggambarkan di dalam video itu bahawa orang Islam itu ganas, menyeksa orang lain, merompak sana sini. Kita membalas dengan memusnahkan pejabat kedutaan mereka, membunuh duta mereka dan merompak harta benda mereka, tidakkah semua ini membenarkan dakwaan mereka?

Demi Allah, kita telah menyakiti Nabi Muhammad SAW jauh lebih teruk dari mereka. Mereka menghina Rasulullah SAW disebabkan mereka itu kafir dan sentiasa memusuhi Islam. Tiada siapa pun akan pelik dengan apa yang mereka lakukan. Namun, kita yang muslim ini, yang mengaku sayangkan Rasulullah SAW, mengaku faham akan ajaran Islam, mengaku bahawa Islam itu agama kedamaian, tetapi melakukan perkara yang tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW. Kita sedang memusnahkan imej agama Islam yang mulia, yang penat lelah dibina oleh Rasulullah SAW.

Tunjukkan kemarahan itu penting, namun cukuplah sekadar untuk menunjukkan kesatuan kita, senstiviti kita, dan amaran kita kepada pihak berkenaan agar tidak mengulanginya di masa akan datang, bukannya untuk menunjukkan keganasan kita seperti yang mereka dakwa!

Apa yang lebih penting untuk kita lakukan adalah menyebarkan maklumat sebanyak dan seluas yang mungkin berkenaan Islam dan Rasulullah SAW sebagai penerangan balas terhadap apa yang mereka sebarkan. Fokus kita di sini adalah untuk memperbetulkan tanggapan masyarakat umum di dunia yang mungkin terpengaruh dan mempercayai apa yang mereka tayangkan dalam video tersebut. Mereka menerima apa yang dilakonkan itu adalah disebabkan kejahilan mereka terhadap Islam. Maka, siapakah yang bersalah jika mereka terus menerus salah faham terhadap Islam?

Kitalah yang salah. Salahnya kita kerana tidak menjalankan tugas kita. Tugas kita adalah berdakwah dan terus menerus memberikan penerangan berkenaan Islam terhadap mereka. Pihak musuh menjalankan tugas hakiki mereka iaitu memburukkan Islam, bagaimana pula kita boleh duduk bersila panggung berehat, kemudian mengharapkan orang bukan Islam untuk faham agama Islam? Mereka salah faham terhadap Islam kerana kejahilan mereka, maka ubatnya adalah ilmu yang boleh tersebar dengan dakwah dan penerangan.

Saya meneliti filem tersebut di mana page view mereka sudah mencecah 1 juta lebih. Ya, tidak semua yang menonton itu bersetuju di mana mereka yang menekan butang 'dislike' jauh lebih besar berbanding 'like'. Namun, paling kurang populariti video itu meningkat dengan pantas dan disebarkan dengan meluas. Cuba kita teliti, berapa pula page view untuk filem The Messenger yang dimuat naik 3 bulan lebih awal. Hanya 33 ribu sahaja!

Di sini kita sudah boleh menilai bagaimana berjaya mereka mempromosi filem mereka walaupun ianya mencetuskan kontroversi, dan bagaimana pula kita gagal mempromosikan filem yang mengisahkan sirah sebenar Nabi Muhammad SAW. Kita sibuk memarahi mereka, namun untuk tugas mudah iaitu mempromosikan filem sirah Nabi Muhammad SAW yang di dalam Bahasa Inggeris ini pun kita gagal.

Jika mereka memfitnah kita bahawa Islam itu ganas, maka kita hendaklah membalas dengan membuktikan bahawa Islam itu damai dan kasih sayang. Jika masyarakat bukan Islam menerima fitnah itu kerana kejahilan mereka, maka hendaklah kita atasi dengan memberi mereka maklumat dan kebenaran. Untuk permulaan ini, apa kata kita promosi filem sirah The Messenger seluas yang boleh. Walaupun ianya usaha yang kecil, namun mampu memberikan kesan jika kita bersama-sama menyebarkannya.

Islam agama rahmat buat sekelian alam. Maka buktikannya dengan menyebarkan kerahmatannya, bukannya membenarkan dakwaan mereka dengan terus menerus melakukan keganasan.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
19 September 2012, 11.15 am.

Tuesday, September 18, 2012

Benarkah Rasuah Bukan Persoalan Besar Di Malaysia?

Saya terbaca satu ulasan, kononnya rasuah di Malaysia bukan satu isu besar kerana banyak negara maju yang rasuahnya lebih teruk. Dia cuba memberitahu bahawa setiap orang yang mendapat kuasa pasti akhirnya akan terpalit sebab rasuah kerana lumrah manusia akan tewas dengan harta.

Tak pasti apa tujuan kesimpulan begitu dibuat. Adakah untuk menghalalkan gejala rasuah di Malaysia ini? Atau menanam sika
p 'tak mengapa' kerana rasuah masih tak teruk. Inilah agaknya yang mendasari perangai orang Melayu apabila kita bercakap tentang ambil peduli hal ehwal negara sendiri, pasti akan dikata "Alah, tak teruk mana la. Lagi pun itu bukan duit aku. Ada aku kisah..."

Rasuah ni ibarat najis. Seperti mana kata Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kalau kita kata dadah itu najis kerana nak bagi orang benci pada dadah, kita kena sebut rasuah itu tahi dengan tujuan yang sama, iaitu untuk bagi orang benci dengan rasuah. Maka, sedikit atau banyak tahi itu, ia tetap najis yang perlu dipandang buruk dan dijauhi.

Seperti arak, apabila sudah dihukumkan sebagai najis oleh syarak, maka bolehkah kita teguk setitik dengan berkata bahawa tiada kesan apa-apa pun kerana hanya setitik. Atau jika setitik arak jatuh ke dalam sup ayam kita, bolehkah kita kata tidak mengapa kerana hanya setitik.

Cuba bayangkan pula sedikit najis terjatuh dalam masakan kita, adakah kita boleh menjamahnya dengan menggunakan hujah yang sama iaitu sedikit sahaja najis yang jatuh ke dalamnya. Akal yang sihat pasti akan menolak dan tidak menerima sama sekali makanan itu kerana sudah ada najis dalamnya.

Nampak jijik bukan contoh yang saya berikan? Jika anda berasa jijik, itu tandanya anda normal. Fitrah anda sihat dan mampu bezakan antara baik dan buruk. Malah reseptor perasaan anda sangat sensitif dan mampu untuk berasa mual apabila membaca contoh seperti di atas. Jika ada yang sedang makan sambil membaca artikel ini, pastinya anda akan memuntahkan apa yang telah anda telan tadi.

Jika reaksi kita pada perkara yang najis zahir ini begitu, sepatutnya reaksi yang sama diberikan kepada najis rasuah ini. Akal kita sepatutnya dapat terus menolak rasuah ini sama seperti kita menolak makanan yang bercampur najis. Ini kerana, kedua-duanya adalah sama. Ianya kotor dan menjijikkan. Cumanya, makanan itu kotornya adalah hakiki dan rasuah pula, kotornya adalah majazi.

Idea bahawa rasuah ini bukan isu besar kerana negara lain lebih teruk rasuahnya, seolah-olah kita setuju untuk membiarkan negara ini dirosakkan seperti mana negara lain sedang dirosakkan. Ini pemikiran katak di bawah tempurung. Sepatutnya fikiran yang maju akan berfikir untuk tidak menjadi lebih teruk seperti negara lain, maka rasuah perlu diperangi habis-habisan.

Dalam penilaian rasuah, kita tidak boleh mengambil angka-angka statistik yang menunjukkan angka kecil yang menyedapkan hati. Ini adalah kerana apabila kita dibentangkan dengan kes rasuah di dalam negara kita, perasaan sebaliknya yang akan berlaku. Kita akan rasa terkejut, tersentap dan terperanjat melihat angka wang negara yang dirompak secara terhormat oleh pengkhianat-pengkhianat negara.

Ya, mereka pengkhianat. Itu panggilan saya terhadap mereka. Mungkin tidak bertepatan dengan tafsiran oleh Perkasa dan UMNO kerana bagi mereka pengkhianat hanya pada orang yang mempersoalkan nombor plat kereta sultan. Tidak khianatkah mereka apabila mereka diamanahkan sebagai pemimpin yang menjaga amanah rakyat, kemudian menjadi penyamun yang merompak duit negara dan membiarkan rakyat marhain hidup susah melarat?

Seperti yang saya tulis sebelum ini, satu program yang dinamakan Penutur Jati di bawah satu unit di dalam Kementerian Pelajaran menelan belanja hampir 1 bilion dalam keadaan program itu bukan keperluan mendesak. Berapa rumah kos rendah yang dapat dibuat dan diberikan secara percuma kepada rakyat yang miskin tegar dengan gunakan kos yang sama? Adakah berikan rakyat rumah dan pendidikan percuma akan jadikan negara bangkrap, manakala para menteri songlap duit berbilion, negara tak bangkrap? Cis!!

Sultan Johor mendedahkan bahawa kereta peronda tentera dibeli dengan harga RM 650 000 dalam keadaan harga pasaran hanya RM 150 000. Jawab Pak Menteri, mungkin berbeza harga disebabkan berbeza spesifikasi. Bodoh sangatkah kita untuk percaya bahawa harga perbezaan spesifikasi sahaja lebih tinggi dari harga asal kereta? Pernahkah harga kereta Honda Civic type R melambung dua kali ganda dari harga Honda Civic yang biasa? Itu tidak termasuk skru driver boleh dibeli dengan harga RM 40. Hati panas membara apabila mengetahui pelbagai lagi, malah ribuan kes-kes rasuah yang berlaku dan berlalu begitu sahaja. Cis!

Benar, negara kita sekarang maju walaupun ada rasuah. Tetapi itu tidak bermakna kita perlu jadi rakyat yang dunggu, duduk, mengangguk dan membiarkan sahaja apa yang berlaku. Islam tidak pernah mengajar untuk menjadi manusia tidak bermaruah seperti itu. Hakikat yang sebenar adalah Malaysia akan menjadi jauh lebih maju, rakyatnya akan jadi jauh lebih senang jika rasuah ini diperangi habis-habisan. Kezaliman dan pengkhianatan ini perlu dilawan tidak kira siapa yang melakukannya.

Saya akui, sikap manusia adalah tamak dan haloba. Namun, untuk memukul rata bahawa semua manusia akan korup apabila dibentangkan dengan harta benda, itu adalah penilaian yang tidak adil. Penilaian dari otak sekular sahaja yang meletakkan secara mutlak bahawa mana-mana orang yang jadi pemimpin akan terpalit dengan rasuah. Baginya, itu fitrah manusia yang tiada pengubat. Inilah kesimpulan jahil dari orang yang bertuhankan kebendaan.

Orang Islam diajar bahawa agama itu adalah penyembuh. Pengawal rumah adalah pagar, namun pengawal hati adalah iman. Pemimpin yang memagar dirinya dengan iman akan selamat dari virus rasuah ini. Jangan sesekali berkata rasuah tidak boleh diubati sekiranya anda sendiri cuba menghalalkannya dengan teori 'ada negara lebih teruk lagi'. Jangan berkata rasuah tiada pengubat jika anda tidak berusaha menjadikan Islam sebagai dasar kepimpinan dan gaya pentadbiran negara.

Islam dan iman perlu dijadikan dasar utama dalam pentadbiran kerana dengan Islam, kemungkaran akan mati. Islam itu amat kontra dengan penindasan dan pengkhianatan. Kerajaan yang mempunyai pemimpin, para menteri dan amilin di bawahnya yang amanah dan kukuh iman di dada, akan membunuh virus rasuah ini. Ya, kemungkinan rasuah tidak dapat dibunuh sehabisnya. Maka, konsep mujahadah itu perlu dipakai iaitu kemungkaran memang tidak boleh dihilangkan kerana fitrah manusia itu membuat kesilapan. Namun, perjuangan untuk melawan kemungkaran itu perlu diteruskan, dulu, kini dan selamanya.

Selagi Islam diamalkan, selagi itulah perjuangan melawan ketidakadilan dan penindasan akan berterusan. Rasuah perlu ditentang walau siapapun yang melakukannya. Dalam hal ini, teladan Rasulullah SAW wajib diikuti iaitu sekiranya Fatimah mencuri sekalipun, pasti baginda akan memotong tangannya.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
18 September 2012, 8.36 am.

Saturday, September 15, 2012

Filem Menghina Nabi Bukti Terdesaknya Mereka

Selepas menonton trailer filem biadap yang menghina Nabi Muhammad SAW, secara tidak langsung ia mencerminkan imej tidak bertamadun pembuat filem itu dalam berhadapan dengan persaingan yang diberikan oleh agama Islam terhadap mereka. Pelik, dalam keadaan mereka menjual imej profesional mereka, tetapi rupanya tersembunyi di sebalik itu sikap kuno dan rimba mereka terhadap orang Islam.

Agama Islam dikenali sebagai agama yang paling cepat berkembang di dunia. Peristiwa 11 September direka oleh Bush dan kerajaan Amerika bertujuan untuk merosakkan imej Islam di mata masyarakat dunia. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Masyarakat dunia yang celik maklumat dan bersikap kritis lantas mengkaji akan apa yang dimomokkan oleh media Barat terhadap Islam dan hasilnya, bukan keburukan yang ditemui namun keindahan Islam tersingkap dan menyinari hati mereka.

Para musuh Islam menjadi semakin tertekan. Strategi menjatuhkan imej yang mereka jalankan tidak berapa berjaya, malah memberikan kesan yang lebih buruk terhadap jumlah penganut agama mereka. Agama Islam kekal berkembang dan umat Islam juga semakin bertambah, lebih-lebih lagi di Eropah dan Amerika.

Maka, muncul sekelompok orang yang terdesak, melakukan perkara yang bagi mereka amat memuaskan hati mereka, namun dipandang jelek oleh masyarakat dunia. Filem penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang dibuat mereka, mencerminkan mentaliti dan kepandiran pembuatnya sendiri.

Pembohongan terhadap sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW, memutar belit ayat Al Quran, melakukan fitnah kepada baginda, mereka-reka cerita yang melampau terhadap Islam dan pelbagai lagi perbuatan jelek, semuanya tidak lain hanya akan menggambarkan wajah mereka sendiri.

Masyarakat dunia yang akan menonton, tidak semuanya rela menjadi bodoh dan percaya dengan apa yang dilakonkan. Mungkin ramai yang rela diperbodohkan dan akan bergelak ketawa dengan aksi yang ditunjukkan, merasa puas melihat Islam dipermaiankan. Namun, lebih ramai lagi akan mencari dan terus mencari, apakah benar apa yang dilakonkan mereka itu?

Benarkah peribadi Nabi Muhammad SAW begitu, benarkah ajaran Islam itu ganas dan zalim, benarkah wanita dalam Islam dihina, benarkah warga tua dan kanak-kanak dibunuh dengan kejam di dalam undang-undnag peperangan Islam, benarkah Islam mengajar kehidupan songsang kepada penganutnya, semua perosalan ini akan mereka cari dan kaji sendiri melalui sejarah Islam sebenar yang kini boleh didapati meluas di alam maya.

Hasilnya, kebenaran akan tersingkap. Keindahan Islam dan kemuliaan peribadi Nabi Muhammad SAW akan tersebar. Sejarah membuktikan bagaimana seorang penulis Yahudi, Michael H. Hart menulis di dalam bukunya 'The 100' pada tahun 1978 berkenaan tokoh manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah dunia, telah meletakkan Nabi Muhammad SAW di kedudukan pertama selaku manusia paling berpengaruh di sepanjang sejarah manusia di atas muka bumi ini.

Kebenaran yang akan terpancar itu akan mencurahkan hidayah buat mereka yang mengkaji dan terus menerus mahukan kebenaran. Andai hidayah lewat menjengah mereka, mereka sendiri menjadi pembela agama Islam daripada fitnah-fitnah jahat ini walaupun mereka sendiri bukan penganutnya.

Perkara sebaliknya yang berlaku pula adalah, akan terserlah sikap tidak bertamadun dan akal rimba pembuat filem yang biadap dan terdesak ini. Hinanya mereka disebabkan ingin menandingi ajaran Islam yang berpaksikan kebenaran, dengan berbekalkan tipu daya, fitnah, penghinaan dan ejekan yang penuh kebudak-budakkan. Profesionalkah mereka? Tidak sama sekali, yang kelihatan jelas hanyalah kebodohan yang sangat kebudak-budakkan.

Dalam menzahirkan tindak balas, kita sebagai umat Islam diajar dengan baik oleh Allah berkenaan ini. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 108:

وَلاَ تَسُبُّوْا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوْا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Bermaksud "Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan".

Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya “Tafsir Al-Quranil Azim (Jilid 2, m/s 262)”: “Allah melarang Nabi s.a.w dan orang-orang yang beriman daripada menghina sembahan orang-orang musyrikin, walaupun ada kepentingannya, sekiranya kemudharatan lebih besar, iaitu tindakbalas orang kafir yang akan menghina Allah S.W.T.

Maka, apa yang perlu kita lakukan adalah menzahirkan kemarahan dengan penuh bertanggungjawab dan hikmah, namun jangan sesekali membalas dengan menghina pula agama mereka. Tunjukkan kemarahan kita sebagai respon dan tanda kesatuan umat Islam, agar musuh Islam ini tidak mudah untuk mengulanginya di masa hadapan. Paling penting, kita ikhlas dalam perbuatan kita dan marah kita itu kerana Allah semata-mata. Biarlah marah itu menjadi saksi akan cinta kita kepada agama kita di hadapan Allah kelak.

Kemudian, bagi yang mampu berhujah dan berjidal, berjidallah dengan baik. Penghinaan mereka kepada Islam itu berdasarkan kejahilan, maka perlulah dibalas dengan penerangan dan menyingkapkan kebenaran. Jika kita membenci tindakan mereka, jangan pula kita mengambil mereka sebagai guru dengan cara meniru apa yang mereka lakukan iaitu menghina dan mengejek agama mereka.

Islam adalah agama bermaruah dan juga rahmat. Dalam kita menzahirkan kemarahan kita dalam membela agama kita, jangan lupa pula menyebarkan kerahmatan Islam kepada mereka.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
13 September 2012, 2.30 pm.

Benarkah 'Gangnam Style' Sekadar Suka-suka?

Sebulan dua ni, kecoh tentang Gangnam Style. Seperti biasa, masyarakat Islam Melayu terutama yang keliru identiti, tenggelam hanyut dibawa arus tarian kuda ini. Bila kita mengkritik, mereka menjawab "kami hanya meminatinya, adakah itu menjadi kesalahan?". Persoalan utamanya adalah, adakah ia sekadar satu minat, ataupun lebih dari itu?

Bagi saya, saya tidak memandang penyebaran sebarang bentuk budaya hedonisme yang kemudiannya diterima sebagai satu hiburan, ianya sekadar minat atau suka-suka. Perlu difahami di sini, kita sebagai umat Islam, neraca pertimbangan kita adalah iman, bukannya akal semata-mata. Akal yang dikawal dengan iman akan melihat situasi ini dengan sudut pandang yang lebih luas.

Ia membawa kepada budaya 'menerima yang lain lebih baik dari Islam' secara halus, masuk ke dalam hati sanubari umat Islam. Ianya amat halus, sehingga kita tidak perasan akan ancamannya. Apabila satu budaya hedonisme, atau apa jua budaya yang bercanggah dengan Islam mula diterima umat Islam, secara halus ia membawa satu trend menerima yang lain itu lebih baik dari Islam.

Sebagai contoh, jika seorang remaja muslim itu sudah menerima dengan positif budaya tarian kuda ini atau apa jua bentuk hedonisme, ketika masa lapang apa yang akan dilakukannya? Menonton video-video Gangnam Style atau mengambil Al Quran lantas membacanya? Ketika ingin berpakaian, adakah dia akan memilih berpakaian yang memperlihatkan imej muslim atau sebaliknya?

Dengan ayat mudah, apabila diberi pilihan antara cara Islam dan cara bukan Islam di dalam kehidupan sehariannya, adakah kita akan memilih cara Islam ataupun menjadi semakin malu untuk menampilkan cara hidup Islam? Tidakkah ia telah menyuntik satu penerimaan bahawa cara Islam itu memalukan dan terdapat cara hidup yang lain lebih meyakinkan? Tepuk dada tanyalah iman.

Ya, ia satu suntikan budaya, budaya menerima selain dari Islam. Jika dilihat kepada sikap anak muda kita, mereka sangat obses apabila meminati sesuatu perkara. Akan dikaji siapa yang mengasaskan Gangnam Style ini, ditiru pemakaian dan budayanya, ingin belajar bahasa pertuturannya (kononnya satu budaya yang baik iaitu menguasai bahasa lain), menghabiskan duit untuk membeli VCD, sanggup ke Korea untuk menyertai konsertnya dan macam-macam lagi perangai 'gila' yang meresap ke minda anak muda kita.

Cara hidup Islam, hiburan cara Islam, budaya Islam, pemakaian muslim, bahasa Arab, membaca Al Quran, berzikir, ibadah dan pelbagai lagi tuntutan agama, ianya mula dipandang sebagai tidak sesuai dan memalukan. Ia tidak lahir dengan kata-kata, tetapi akan lahir dari tindakan, pegangan dan pendirian yang jauh tersembunyi di lubuk hati. Cara Islam hanya pada solat, puasa dan zakat, selain dari itu budaya kaum bermata sepet ini menjadi ikutan.

Inilah bentuk sekularisme yang diterapkan melalui 'hantu hedonisme'. Ianya amat halus hingga tidak nampak dengan mata, namun boleh diteropong dengan mata hati yang disinari iman. Sepatutnya kita sebagai umat Islam amat sensitit jika hati kita ingin disuntik dengan apa jua virus sekular ini. Kita segera menolak mana-mana perkara yang cuba ditampilkan sebagai trend terkini yang bercanggah dengan Islam.

Kita ada cara kita. Cara kita adalah cara Rabbani, cara hidup yang digariskan oleh Allah SWT, tuhan sekelian alam. Bukankah dinamakan 'bodoh' bagi orang yang memilih kaca dalam keadaan sudah mengenali emas yang terpampang di hadapan mata?

Mohd Azrul Azuan bin Idris
12 September 2012, 3.00pm.

Mencantas Bisikan Nafsu

Nafsu meronta dan syaitan terus menerus membisikkan galakan melakukan maksiat? Cantas segera perasaan itu!!

Pertama, ambil semua asbab yang membawa kebaikan dan tutup semua asbab kepada kemaksiatan. Jika keluar duduk di tepi pantai itu membawa ketenangan, segeralah ke sana. Jika duduk di hadapan komputer boleh membawa kepada maksiat, tutup segera komputer itu.

Kedua, sibukkan diri dengan perkara kebaikan dan ibadah seperti solat, zikir dan membaca Al Quran. Jika terasa berat, sibukkan diri dengan perkara mubah pun sudah memadai. Akal mudah digerakkan oleh nafsu dan syaitan ke arah memikirkan perkara maksiat ketika akal kita berehat, tidak melakukan apa-apa. Maka, elakkannya dengan menyibukkan diri dengan perkara-perkara bermanfaat.

Ketiga, buat sesuatu yang membawa ingatan kepada Allah, Rasulullah SAW dan juga kematian. Tidak kira dengan apa jua cara. Lagu nasyid, zikir, movie dakwah. Tentunya paling mujarab adalah mendengar alunan Al Quran dari qari yang anda sukai, apabila mendengar bacaan Quran darinya, bergetar hati, terasa sayu bagai nak tumpah air mata.

Keempat, duduk dalam majlis ilmu. Walaupun hati terasa menyampah, kaki terasa berat melangkah, mata tetiba mengantuk bagai sebuni beras bergayut kat kelopak mata, paksakan diri untuk duduk hingga tamat. Sesungguhnya hati akan tunduk dengan hidayah dan tempat yang paling banyak hidayah adalah majlis ilmu. InsyaAllah dengan duduknya kita di dalam majlis ilmu, dalam berjuta hidayah yang diturunkan Allah di dalamnya, pasti satu akan menerjah ke hati.

Kelima, ziarahi para ulama. Melihat wajah dan mata orang soleh antara asbab datangnya hidayah. Hati menjadi tenang. Kalam bicaranya penuh hikmah dan nasihat yang mampu menundukkan hati. Qudwah adab dan akhlak yang mereka amalkan dalam setiap perbuatan juga dapat kita saksikan dan pelajari secara praktikal. InsyaAllah, pulangnya kita dari menziarahinya dapat menambah semangat untuk terus bermujahadah.

Renung-renungkan dan selamat beramal. =)

Polemik Hudud : Apa Tugas Ahli Agama Dan Para Daie?

Tahun 2001, Amerika mencipta Tragedi 11 Sept untuk dijadikan senjata dan lesen dalam memerangi Islam. Ia juga bertujuan untuk mendatangkan imej buruk Islam di mata masyarakat dunia. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Selepas peristiwa 11 Sept, jumlah penganut agama Islam khususnya di Barat meningkat dengan lebih mendadak berbanding sebelum ini.

Peristiwa 11 Spet yang diharapkan untuk menghancurkan imej Islam tidak menjadi. Ini adalah kerana penyebaran fitnah yang melampau menyebabkan masyarakat dunia terutamanya di kalangan yang celik akal tidak mudah untuk menerimanya, malah mereka mula mencari dan mengkaji akan kesahihan fitnah yang disebarkan.

Mereka mendalami Sirah Islam, Sirah Nubuwwah, Sirah Nabi Muhammad SAW, Fiqh Islam, Fiqh Siyasah, Fiqh Jihad dan tidak lupa juga mereka mengkaji Al Quran. Kesannya, mereka dapat mengetahui akan kisah dan rupa sebenar berkenaan keindahan Islam dan ajarannya. Mereka mendapati ianya sangat berbeza dengan apa yang disebarkan oleh media dan mula memandang betapa bahayanya media yang menggambarkan muslim itu sebagai musuh masyarakat dunia.

Sebagai contoh, mereka mengkaji konsep jihad di dalam Islam yang menjadi point utama serangan fitnah oleh dunia Barat. Sebelum mengkaji, mereka difahamkan bahawa jihad di dalam Islam adalah menyebarkan agama Islam dengan membunuh semua penganut agama lain.

Setelah mengkaji, mereka mendapati jihad di dalam Islam tidak akan dilaksanakan melainkan ada asbab dan peraturan yang wajib diikuti. Jihad terhadap orang kafir akan dilakukan jika berlaku pencabulan hak beragama dan hak kemanusiaan kepada masyarakat tidak kira samada muslim dan bukan Islam. Jihad Islam juga mempunyai undang-undang di mana yang terlibat hanya sebahagian dari kelompok masyarakat. Orang tua, wanita dan kanak-kanak diharamkan untuk disentuh semasa peperangan.

Hak beragama dan hak makhluk lain juga dijaga. Ternakan haram untuk dibunuh. Tumbuh-tumbuhan dan ladang haram untuk dihapuskan. Manakala rumah ibdah dan gereja juga dipelihara dari diceroboh, malah jika ada sesiapa yang bersembunyi di dalamnya, ia dikira sebagai 'pihak yang menyerah kalah' dan tidak akan disentuh.

Fokusnya di sini adalah, kekeliruan terhadap jihad yang disebarkan oleh media Barat dapat ditangkis dengan kajian dan penelitian yang dilakukan. Penjelasan dan penerangan yang diperoleh mampu menunjukkan wajah sebenar keindahan Islam, malah menjadi senjata ampuh untuk menawan hati orang bukan Islam. Buktinya, setelah kajian dan penelitian dilakukan oleh masyarakat Barat, mereka semakin mengenali Islam dan akhirnya menerima Islam untuk diajdikan agama yang mereka anuti.

Dapatlah kita simpulkan bahawa kekeliruan terhadap Islam dapat dihuraikan dengan penjelasan dan penerangan, jika perlu, perbahasan dan pendebatan yang baik juga perlu dilaksanakan. Adalah tidak tepat jika kita mendiamkan diri terhadap kekeliruan yang berlaku dan membiarkan masyarakat yang dikelirukan ini berterusan meraba-raba di dalam gelap. Biarpun ketidakpedulikan ini sebagai meraikan strategi politik semasa, namun kekeliruan masyarakat terhadap hal ehwal agama perlu diperjelas bagi mengelakkan salah faham yang lebih besar.

Apabila kita membawa kepada keadaan kita di Malaysia, polemik hudud dan negara Islam yang ditimbulkan baru-baru ini perlu dijelaskan kepada masyarakat, sekadar untuk merungkaikan kekeliruan yang melanda, bukannya untuk melayan permainan politik yang dimainkan. Apabila penjelasan dibuat, ini tidak bermakna kita termakan dengan perangkap politik yang dipasang oleh musuh, tetapi kita menunaikan tanggungjawab untuk menerangkan salah faham yang berlaku berkaitan dengan hukum Allah ini.

Benar, polemik ini ditimbulkan sebagai perangkap politik untuk menjerat PAS, namun kesan dari polemik ini sangat mendalam terhadap kefahaman masyarakat kepada hukum Allah. Menjadi tugas kita terutamanya ahli agama di dalam PAS untuk menghadapi masalah yang ditimbulkan ini dengan bijak agar kefahaman masyarakat terhadap agama terjaga dan strategi politik juga kita perkemaskan. Inilah bezanya jemaah Islam yang menyertai politik berbanding golongan sekular iaitu keperluan dakwah dan politik berjalan dengan seiring.

Penerangan perlu difokuskan untuk menerangkan apa itu hukum hudud, martabatnya di sisi syariat Islam, teknikal perlaksanaannya, perbezaannya dengan hukum yang dicipta manusia, dan juga perkara yang perlu dilakukan secara berperingkat sebelum ianya dilaksankan sepenuhnya. Penerangan ini akan memadamkan kekeliruan yang ditaburkan seperti hudud tidak sesuai di zaman sekarang, tidak berkesan untuk tangani jenayah dan sebagainya.

Manakala polemik siapa yang perlu laksanakan, siapa yang bersalah jika tidak laksanakan, adakah PAS akan laksanakan selepas PR memerintah, UMNO tidak berniat untuk laksanakan hudud, dan sebagainya tidak perlu diberi fokus yang berlebihan. Ini adalah kerana ianya tidak memberikan faedah secara langsung kepada perlaksanaan hudud di negara kita.

Penerangan dan dakwah yang dijalankan PAS sebelum ini sudah nampak memberikan kesan dan seharusnya ianya diteruskan. Kini, masyarakat Islam dan bukan Islam di negara kita tidak lagi takut kepada hukum hudud dan negara Islam. Masyarakat mulai faham akan kepentingan hukum Allah ini. Cuma yang perlu diperkemaskan adalah beberapa kekeliruan yang ditimbulkan oleh orang-orang politik.

Seharusnya polemik hudud yang timbul sekarang dilihat sebagai peluang keemasan oleh ahli agama untuk memberikan penjelasan. Ini adalah kerana, dalam keadaan inilah masyarakat yang tidak memahami hukum Allah ini mula mencari dan cuba memahami realitinya. Sayang sangat ketika masyarakat mencari, kita pula mendiamkan diri dan tidak memberikan layanan yang sepatutnya.

Mohd Azrul Azuan bin Idris
29 Ogos 2012, 1.53 pm.

*Sekadar lontaran pendapat. Boleh diterima atau ditolak.