Friday, October 19, 2012

Empat Perbuatan Yang Melambangkan Diri Kita

Terdapat empat perbuatan yang selalu kita lakukan, yang kita anggap kecil, tetapi ia sebenarnya berkemungkinan besar memberikan gambaran akan diri kita yang sebenar. Ini adalah kerana perbuatan tersebut yang lahir secara spontan ini merupakan kesan dari peribadi dan sikap diri kita yang mungkin kita tidak sedar.

Pertama - Apabila kita mendengar azan dari komputer kita, dalam masa yang sama kita sedang mendengar lagu atau menonton cerita, maka kita akan segera 'off'kan azan tersebut kerana tidak mahu azan itu menganggu aktiviti kita.

Kedua - Sedang kita mencari-cari siaran radio semasa memandu kereta, maka terbuka siaran IKIM yang sedang memperdengarkan bacaan Al Quran. Lalu, kita ubah kepada siaran lain yang lebih menarik.

Ketiga - Selepas tamat menonton satu drama di Astro Oasis, rancangan seterusnya adalah 'Indahnya Iman' yang memperdengarkan zikrullah. Lalu kita ubah kepada channel yang lain.

Keempat - Selepas solat di masjid, diumumkan bahawakan diadakan majlis ilmu selepas solat. Lantas kita pulang ke rumah walaupun ketika itu kita tiada apa-apa urusan.

Melengahkan Solat Dan Tidak Khusyuk Dalam Solat

Perbuatan kita yang pertama tadi berkemungkinan besar melambangkan kita adalah seorang yang suka melengahkan solat dan tidak khusyuk dalam solat. Bunyi azan adalah simbol kepada seruan solat. Jika kita seorang yang cinta dengan solat dan suka melakukan solat diawal waktu, kita pasti akan menghayati azan tersebut, lantas bersiap untuk melakukan solat.

Perbuatan kita menutup bunyi azan tadi adalah disebabkan hati kita merasa berat dengan solat. Laungan azan itu membuatkan kita terasa berat dan malas untuk bergerak. Cerita atau lagu yang ditonton lebih menarik minat kita berbanding seruan azan. Ini membuktikan kita seorang yang tidak khusyuk di dalam solat dan berasa sangat berat apabila masuknya waktu solat.

Firman Allah SWT di dalam surah AL Baqarah ayat 45 :
واستعينوا بالصبر والصلاة وإنها لكبيرة إلا على الخاشعين
Bermaksud : Bertolang bantulah kamu dengan bersabar dan menunaikan solat, sesungguhnya keduanya ini amat besar kecuali bagi orang yang khusyuk.

Tindakan yang seharusnya kita buat adalah apabila mendengar azan, tidak kira dari mana sekalipun, hendaklah kita menghayati dan menjawab setiap lafaz azan tersebut seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Selepas tamat azan, hendaklah kita membaca 'doa selepas azan'. Kemudian, segera menunaikan solat dengan khusyuk dan menghadirkan diri kita bersama Allah SWT. Ini adalah kerana, solatlah ibadah yang menghubungkan secara terus hati manusia bersama Tuhannya.

Hati Kita Tidak Terhibur Dengan Al Quran

Hiburan di dalam Islam mempunyai makna yang sangat luas. Manakala hiburan yang utama buat orang yang beriman adalah hiburan yang datang dari Tuhannya iaitu bacaan Al Quran. Al Quran merupakan Kalamullah yang diturunkan Allah SWT khusus buat kita umat Rasulullah SAW. Al Quran bukan sahaja mengandungi hukum hakam, malah menjadi hiburan utama buat Rasulullah SAW.

Saidina Umar Al Khattab ketika sebelum memeluk Islam, beliau memerangi Islam dengan penuh kebencian. Setelah mendapat tahu adiknya sendiri memeluk Islam, beliau lantas ke rumah adiknya, namun terhenti di pintu rumah adiknya lantaran mendengar bacana Al Quran yang sangat indah. Bacaan Al Quran dari surah Toha itu berjaya melembutkan hati Saidina Umar yang keras, lantas Allah SWT menurunkan hidayah buatnya. Hati yang keras mampu dileburkan dengan bacaan Al Quran.

Namun apabila kita mendengar siaran bacaan Al Quran, lantas menukarnya dengan siaran lain yang lebih menarik, apakah petandanya? Itu petanda kecil bahawa hati kita adalah keras dan tidak mampu terhibur dengan Al Quran. Mendengar Al Quran membuatkan kita gelisah dan serta merta menjadi bosan. Gelora hati kita itu akhirnya membuatkan kita lebih tertarik kepada hiburan lain yang akan menghiburkan hati kita secara kosmetik, sedangkan hakikatnya kita tidak pernah terhibur dengannya.

Sepatutnya, apabila mendengar bacaan ayat Al Quran, kita mengikut saranan Allah di dalam surah Al A'raf ayat 204 :
وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا لعلكم ترحمون
Bermaksud : Apabila dibacakan Al Quran (kepadamu), maka dengarlah padanya dan diamlah, semoga kamu dirahmati.

Para ulama amat menitik beratkan adab ketika mendengar bacaan Al Quran. iaitu mendengar dengan teliti, mengamati bacaan dan tajwidnya, menikmati kemerduan suara qari yang mengalunkan bacaan tersebut, dan jika mampu, kita hendaklah menghayati maksudnya. Dengan adab beginilah, kita mampu menjadikan bacaan Al Quran itu sebagai hiburan dan sumber hidayah buat kita.

Hati Kita Keras Dari Mendengar Zikrullah

Sifat orang beriman, apabila mendengar ayat dan nama Allah SWT, maka akan bergetar hatinya. Bergetar kerana berasa kagum dan takut akan kebesaran Allah. Firman Allah SWT di dalam surah Al Anfal ayat 2 :
إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانا وعلى ربهم يتوكلون
Bermaksud : Sesungguhnya orang yang beriman jika disebutkan padanya nama Allah akan bergetarlah hatinya, dana apabila dibacakan ayat-ayatNya akan bertambah imannya dan kepada Tuhannya mereka bertawakkal.

Di dalam ayat lain, Allah SWT mengingatkan kita bahawa hanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa kita akan menjadi tenang. Maka, apakah signifikannya apabila kita tidak merasa tertarik dengan alunan zikrullah? Ini menunjukkan hati kita keras dan tidak mempu menjadi tenang dengan zikrullah. Malah, kita lebih berminat untuk meneliti siaran lain yang lebih menarik minat kita untuk menontonnya.

Sedikit sebanyak, hati kita sudah terjerat dengan virus sekular yang sangat halus. Apabila kita sudah mampu menggantikan makanan hati kita daripada zikrullah kepada keduniaan, bukankah itu bermakna kita sudah mula menerima ada yang lain lebih baik dari apa yang Islam ajarkan. Ianya sangat halus, sukar untuk dikesan. Ia menghasilkan perbuatan yang kecil ini, namun memberikan signifikan yang sangat besar buat diri kita.

Sepatutnya, kita memaksakan diri kita untuk menghayati alunan zikir tersebut. Benar, akan timbul rasa berat dan malas untuk mendengarnya. Namun, bertepatan dengan janji Allah SWT, jika kita terus menerus mendengarnya dengan penghayatan, lama-kelamaan akan datang perasaan tenang, menyelinap masuk ke dalam hati kita. Ianya akan menghadirkan rasa keinsafan dan penghayatan yang mendalam, sehingga mampu mengalirkan air mata.

Sombong Dari Mendapat Hidayah Allah

Imam Al Ghazali menggariskan beberapa petua untuk mendapatkan kekuatan di dalam mujahadah. Pertama adalah berpakaian dengan pakaian muslim. Kedua merapati para ulama. Manakala yang ketiga adalah melazimi majlis ilmu.

Signifikan majlis ilmu dikatakan sebagai salah satu petua untuk kekal dalam mujahadah adalah kerana majlis ilmu merupakan antara tempat yang paling banyak diturunkan hidayah. Majlis ilmu juga disebut sebagai salah satu daripada taman-taman syurga. Tidak berada seseorang itu di dalam majlis ilmu melainkan didoakan keampunan untuknya oleh ikan-ikan di laut. Banyak lagi ganjaran yang disebutkan di dalam hadith berkenaan kelebihan majlis ilmu.

Majlis ilmu juga adalah medan untuk kita mendapatkan peringatan dan ilmu untuk kita muhasabah dan memperbaiki diri. Firman Allah SWT di dalam surah Az Zariyat ayat 55 :
وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين
Bermaksud : Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mu'min.

Tindakan kita beredar dari majlis ilmu walaupun ketika itu kita berkelapangan, bukakah itu petanda bahawa kita sombong dengan rahmat dan hidayah Allah SWT? Majlis ilmu yang memberikan peringatan kepada kita dan mampu membuat kita muhasabah diri, namun kita melarikan diri. Majlis ilmu dinamakan sebagai majlis pengagihan 'harta' peninggalan Rasulullah SAW yang sepatutnya kita rebut dan manfaatkan, namun kita bertindak sebaliknya.

Biarpun kita mempunyai urusan, rasanya tidak luak masa kita jika kita duduk sebentar dan mendengar pengisian ilmu yang ingin disampaikan. Di dalam majlis yang penuh dengan rahmat dan hidayah itu, walaupun kita duduk hanya sebentar, tidak mustahil ianya menjadi asbab untuk kita peroleh hidayah, seterusnya memperbaiki diri dan meningkatkan iman kita.

Empat perbuatan di atas hanyalah simbolik kepada empat isi yang ingin saya sampaikan. Namun, jika kita berfikir sejenak dan bermuhasabah, kita tidak akan melakukan empat perkara di atas melainkan kita mempunyai sedikit penyakit-penyakit hati seperti yang dijelaskan.

Hakikatnya, itulah perbuatan yang pernah berlaku kepada diri kita dalam aktiviti harian kita. Maka, hendaklah kita bermujahadah dalam melakukan solat, sentiasa mebasahkan lidah kita dengan zikrullah dan bacaan Al Quran, malah jangan sesekali kita meninggalkan majlis ilmu yang penuh barakah. Semoga dengan usaha mujahadah kita, kita akan dipelihara Allah SWT dari sebarang ancaman iman dan meningkatkan kedudukan kita di sisiNya, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.30 am, 20 Oktober 2012

Friday, October 5, 2012

4 Cara Untuk Istiqamah Dalam Ketaatan - Habib Ali Al Jufri



Al Allama Habib Ali Al Jufri menggariskan 4 perkara yang mengandungi cara untuk kita mengekalkan ketaatan kita kepada Allah SWT. Manusia sememangnya terkenal dengan sifat putus asa dan futur, terutama di dalam perihal ibadah kepada Allah SWT. Perkataan 'An Nas' itu sendiri berasal dari 'nasiya' bermaksud lupa.

Maka, kita selaku umat Islam yang masih lagi bertatih di dalam usaha mendapatkan kekuatan iman dari Allah SWT amat memerlukan panduan dari para ulama yang telah melalui pengalaman mujahadah yang penuh liku lebih awal dari kita. Menjadi sifat mereka mengamalkan setiap apa yang dilafazkan, dan apa yang dikeluar dari mulut mereka itu pastinya merupakan antara cara terbaik yang boleh kita amalkan dalam usaha merebut redha Allah SWT.

Pertama : Berdoa Kepada Allah

Tiada ketaatan yang dapat dibina melainkan dengan ketentuan dan izin Allah SWT. Dengan kata lain, kita tidak mampu untuk melakukan walau satu ketaatan melainkan dengan izin Allah dan tidak mampu untuk kita meninggalkan walau satu maksiat melainkan dengan kekuatan dari Allah dan izinNya.

Maka, kita hendaklah sentiasa berdoa mengharapkan Allah mempermudahkan urusan ketaatan kita, memberikan khusyuk dalam ibadah, memberikan kekuatan untuk beramal dan memberikan kekuatan untuk bermujahadah melawan nafsu dan syaitan. Al Allama Habib memberikan contoh berkenaan wasita yang Rasulullah SAW berikan kepada Saidina Muaz bin Jabal di dalam hadith yang bermaksud :

Mu’az bin Jabal ra menceritakan bahawa suatu hari Rasulullah saw memegang tangannya seraya mengucapkan, “Hai Mu’az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar mencintaimu. Demi Allah, aku benar-benar mencintaimu.” Lalu beliau bersabda, “Aku wasiatkan kepadamu hai Mu’az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa, ‘Allahumma a’in ni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik’ (Ya Allah, bantulah aku untuk mengingatMu, bersyukur kepadaMu, dan beribadah dengan baik kepadaMu).” (HR Abu Daud)

Doa ini adalah doa yang mustajab bagi memohon kepada Allah untuk memimpin kita di dalam melakukan ketaatan. Sikap yang ditunjukkan Rasulullah SAW ini jelas mengajar kita untuk menghayati hakikat kehambaan yang ada dalam diri manusia. Baginda sendiri sebagai rasul utusan Allah, pastinya tidak mempunyai masalah di dalam kekuatan beramal, di mana Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan kekuatan kepada baginda.

Namun, ini langsung tidak menyebabkan Rasulullah SAW berhenti daripada mengharap kepada Allah, malah baginda menjadi hambaNya yang paling banyak berdoa dan mengharap kepadaNya. Ini teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW, semakin tinggi darjatnya di sisi Allah, maka semakin tunjuk hatinya kepada Allah.

Seperti yang dikatakan oleh Al Allama Syeikh Muhammad Sayyid Ramadhan Al Buti, Rasulullah SAW dipilih oleh Allah untuk bertemu denganNya di dalam peristiwa Isra Mikraj disebabkan sifat kehambaan yang terlalu tinggi berada dalam diri Rasulullah SAW. Ini dibuktikan dengan firman Allah di dalam surah Al Isra ayat pertama yang menyebut diri baginda sebagai 'hamba' bukannya sebagai 'rasul'.

Kedua : Menjaga Mata, Telinga dan Mulut

Tiga pancaindera ini merupakan pancaindera utama yang membentuk peribadi seseorang manusia. Dengan mata, kita dapat melihat alam ini dan mempelajari pelbagai perkara yang dapat kita lihat. Dengan bantuan telinga, manusia dapat mendengar dan memberikan respon terhadap apa yang disuarakan dan dimaklumkan kepada kita. Dengan mulut pula, kita dapat berinteraksi sesama manusia dan dapat menzahirkan segala keinginan dengan cara melafazakannya melalui mulut.

Kata Habib Ali Al Jurfi, hendaklah kita menjaga tiga perkara ini daripada melakukan kemungkaran kepada Allah. Mata yang dikurnaikan Allah ini janganlah digunakan untuk melihat kepada perkara yang haram. Begitu juga dengan telinga, janganlah mendengar kepada perkara yang haram, perkara yang keji, atau mendengar keburukan orang lain. Mulut yang dikurniakan Allah hendaklah dipelihara dari bercakap perkara yang sia-sia, menyakiti hati orang lain, berbohong, mengumpat, memfitnah dan bercakap perkara yang melalaikan.

Manusia yang dapat menjaga tiga pancaindera ini daripada perkara mungkar yang tidak disukai Allah, maka hatinya akan diberihkan, seterusnya dia akan dipermudahkan untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Sesunggunya, hati yang kotor kerana perbuatan tiga anggota ini merupakan antara asbab utama kita tidak mampu istiqamah di dalam ketaatan. Hati yang kotor lebih mudah untuk cenderung kepada maksiat dan sangat berat untuk melakukan ketaatan kerana tiada nur iman yang menyinarinya.

Ketiga : Hati Sentiasa Hadir Bersama Allah Ketika Beribadah

Kebanyakan di kalangan kita menjadikan ibadah itu sebagai adat dan kebiasaan, melakukannya kerana sudah dirutinkan dan diprogram di dalam aktiviti harian kita. Ini menyebabkan kita beribadah sekadar untuk melepaskan diri daripada kewajipan,seterusnya ibadah itu berlalu tanpa memberikan kesan ke dalam hati kita. Ibadah demi ibadah dilakukan, tetapi hati tetap jauh dari Allah SWT.

Kita selalunya menunaikan solat sekadar mana yang boleh melepaskan diri kita dari kefardhuannya. Maka, solat yang dilakukan tidak sempurna, fikiran jauh melayang entah ke mana, semua masalah datang di dalam fikiran di dalam solat, difikirkan masalah tersebut hingga tamat solat dalam keadaan kita tidak sedar langsung apakah perbuatan yang kita lakukan sepanjang solat sebentar tadi. Adakah sempurna rukun dan syaratnya? Apatah lagi perkara sunat di dalam solat, langsung tidak dilakukan, berpada dengan perkara wajib sahaja.

Hendaklah kita melakukan solat itu seperti para sahabat dan tabiin, bukan sekadar melaksanakan rakaat demi rakaat. Malah, setiap rakaat itu memberikan bekas ke dalam hati kita dan meningkatkan iman kita. Kita perlu menghadirkan ke dalam hati kita bahawa kita sedang menyembah Allah, Tuhan sekelian alam, Raja segala raja. Berdirinya kita sebagai hamba yang pandangan sentiasa tunduk ke bawah, tanda akur dengan kebesaran dan kekuasaan Allah. Rukuk kita dengan perasaan takzim kepada Allah, Tuhan yang Maha Agung. Sujud kita dengan perasaan penuh kehambaan dan kehinaan di hadapan Allah Yang Maha Tinggi.

Membaca Al Quran itu bukan sekadar membaca huruf demi huruf dan ayat demi ayat. Malah menghayati setiap bacaan itu dengan penuh teliti. Jika seseorang itu memahami Bahasa Arab, maka hendaklah membaca Al Quran itu dengan penghayatan kepada maknanya dan apa yang diceritakan di dalamnya. Jika tidak memahami Bahasa Arab, lafazkan bacaan Quran itu dengan tartil, sempurna tajwid dan makhrajnya. Jika boleh membuat bacaan berlagu, maka lagukan bacaan Al Quran dengan baik. Setiap bacaan kita itu kita sedari bahawa kita sedang membaca kalam-kalam Allah, iaitu kalam yang teragung di seluruh alam semesta.

Diceritakan bahawa Saidina Ikrimah RA ketika ingin membaca Al Quran, selepas membukanya, terus masuk kebesaran dan keagungan Allah ke dalam hatinya. Lantas berkata "Ini kalam Tuhanku. Ini kalam Tuhanku. Ini kalam TuhanKu." Lantas beliau menangis lantaran rasa ketakutan dan bergetar hatinya terhadap kebesaran Allah walaupun belum membacanya lagi, kerana beliau dpaat merasakan bahawa kalam Allah berada di hadapanya dan ianya teramat agung.

Begitulah dengan ibadah lain, hendaklah dilakukan dengan menghadirkan hati kita bersama Allah. Benar, ianya bukan syarat sah ibadah, namun di situlah kesempurnaan ibadah. Ibadah yang sempurna sahaja yang dapat membina ikatan kukuh antara hamba dan Penciptanya. Manakala ibadah yang tiada penghayatan, umpama baju buruk yang bertampal sana sini. Cukup sekadar menutup aurat, namun kelihatan hodoh sekali

Menghadirkan hati bersama Allah di dalam ibadah sememangnya sukar dilakukan. Ia memerlukan mujahadah dan kesungguhan kita sebagai hamba Allah. Kemungkinan besar ianya tidak akan hadir semasa kita ingin membacanya pada hari ini, esok, lusa dan minggu hadapan. Namun, berkat usaha kita yang berterusan, Allah yang Maha Pemurah pasti akan memberikan nikmat ini kepada kita selepas kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ianya berbeza kepada mereka yang malu kepada Allah tidak bertempat dan putus asa dengan rahmatNya, dengan tidak berusaha untuk mendapatkan nikmat ini, pastinya nikmat ini tidak akan hadir selamanya.

Keempat : Meletakkan Had Minima Ibadah Harian

Cara keempat yang ditambah oleh Habib Ali Al Jufri adalah meletakkan kadar minimum untuk setiap ibadah harian kita supaya ianya tidak berkurang dari had tersebut dan mengelakkan diri kita dari meninggalkannya terus. Ini merupakan salah satu cara yang berkesan untuk mendapatkan istiqamah. Ini adalah kerana di dalam konsep istiqamah, bukan kuantiti ibadah menjadi keutamaan, tetapi penerusan di dalam pengamalan walaupun sedikit.

Hendaklah kita meletakkan had pada ibadah kita seperti tidak akan meninggalkan sama sekali solat fardhu secara berjemaah. Lewat mana sekali pun kita solat, mungkin disebabkan urusan yang tidak dapat dilewatkan, maka hendaklah kita mengusahakan agar solat itu dilakukan secara berjemaah.

Kita boleh meletakkan had bahawa wajib untuk kita membaca Al Quran paling sedikit satu muka surat dalam sehari. Maka, apa jua perkara yang berlaku, pastinya kita membaca Al Quran setiap hari dan tidak melanggar had minima ini, dalam keadaan kita hendaklah sentiasa mencari peluang untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran dan tidak berpada dengan satu muka surat setiap hari.

Demikian perkongsian Al Habib Ali Al Jufri berkenaan cara untuk mengekalkan ketaatan dan istiqamah di dalam amalan. Semoga kita dapat mengamalkannya, seterusnya mengekalkan ketaatan kita kepada Allah hingga hujung nyawa kita.

* Tazkirah Habib Ali Al Jufri ini adalah mengkhususkan cara istiqamah amalan semasa bulan Ramadhan. Namun saya luaskan skopnya kepada amalan harian kita sepanjang tahun. Artikel di atas adalah bercampur-campur antara isi yang disampaikan oleh Al Fadhil Habib dan juga huraian saya sendiri. Untuk tazkirah asal Al Fadhil Habib, boleh ikuti di sini. Jazakumullah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
5 Oktober 2012, 11.35 pm.