Friday, June 21, 2013

Kamu Bangga Balik Ke Malaysia Memegang Sijil Dari Azhar?

Saya tidak pasti kesahihan apa yang dikatakan komentar atau kritikan daripada Sheikh Taha Jabir Alalwani, seorang ulama kelahiran Azhar terhadap institusi Azhar yang kelihatan agak tajam dan keras. Kritikan yang saya maksudkan adalah seperti berikut :

"Al Azhar hari ini tidak mampu menghasilkan ulama' yang memberi impak besar terhadap negara. Sistem pembelajaran yang terkebelakang, kualiti ilmu yang tidak kontemporari, dan Al Azhar sendiri tidak memberi impak besar. International students yang datang mengkaji institusi alAzhar itu sendiri jauh lebih kehadapan dari para masyaikh di Azhar.
Saya merasa sedih bila mendapat tahu hampir 7000 pelajar Malaysia belajar di Azhar dalam bidang agama. Balik nanti kamu nak jadi apa? Saya lihat sendiri ulama' PAS yang berjumpa dengan saya untuk merujuk. Mereka jumud dan tak sesuai dengan masyarakat Malaysia.
Saya degree, master, dan PHD dari Universiti Al-Azhar. Kalau anda tanya apa yg saya dapat dari Azhar? "Nothing......" Kebanyakan ilmu yang saya dapat dan bermanfaat ialah di luar Azhar. Kamu bangga balik ke Malaysia memegang sijil dari Azhar?"

Saya berkeyakinan sekiranya komentar itu benar dari Al Fadhil Sheikh, pastinya ia lahir daripada penilaian beliau mengikut pertimbangan ilmu beliau demi melihat Azhar menjadi institusi ilmu yang ulung. Cuma, saya tidak dapat memastikan tasawwur sebenar soalan yang dikemukakan kepada sheikh dan mengapa dikaitkan ulama PAS dalam komentarnya. Namun, ulasan yang akan saya berikan akan difokuskan berkenaan institusi Azhar sahaja.

Saya sebagai pelajar yang masih bertatih dalam menuntut ilmu di Azhar, suka untuk saya menyampaikan sisi pandangan saya yang kerdil berkenaan institusi Azhar dan fungsinya sebagai antara institusi ilmu yang menjadi gudang ilmu dunia Islam.

Pertama berkenaan kemampuan Azhar untuk melahirkan ulama yang mampu menjadi tempat rujukan ummah. Saya pernah mengikuti Muktamar Khariji Azhar yang menghimpunkan hampir seluruh ulama kibar dunia kelahiran Azhar. Sebahagian mereka memegang jawatan yang tinggi dalam institusi Islam peringkat internasional.

Antaranya Sheikh Dr Yusuf Al Qardhawi, As Syahid Sheikh Dr Muhammad Sa'id Ramadhan Al Buti, Sheikh Dr Ahmad Al Raisuni, Sheikh Dr Ali Jumaah, Sheikh Dr Hassan Syafie dan ramai lagi yang saya sendiri tidak kenal. Mereka ini adalah ulama yang banyak memainkan peranan penting dalam dakwah dan memberikan khidmat kepada ummah melalui pelbagai pertubuhan Islam.

Ini tidak termasuk di kalangan ulama muda yang lahir dari Azhar dalam setahun dua ini. Antaranya Sheikh Dr Usamah As Sayyid Al Azhari, Sheikh Amru Al Wirdani, Sheikh Sayyid Syaltut dan beberapa lagi nama yang kini banyak memainkan peranan sebagai penggerak utama pengajian ilmu di Azhar.

Kecemerlangan Azhar juga diakui oleh ulama yang lahir dari institusi selain Azhar dan sering menziarahi Azhar atas jemputan para masyaikh Azhar untuk menyampaikan daurah kepada abnaul Azhar. Antaranya adalah Sheikh Said Fudah, Sheikh Abul Huda Al Yaakubi, Shekh Nururddin Itr, Sheikh Muhammad Ibrahim Al Kattani, Habib Umar Al Hafidz, Habib Ali Al Jufri dan ramai lagi.

Oleh itu bagi saya, semua ini sudah cukup dijadikan bukti akan kemampuan Azhar dalam melahirkan ulama bertaraf dunia dan peranan ulama Azhar dalam menyumbang kepada dunia ilmu Islam serta dakwah Islamiyah.

Keduanya berkenaan manhaj pengajian ilmu di Azhar. Banyak kedengaran kritikan berkenaan teknikal pengajian di Universiti Al Azhar dan saya sendiri akui terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki. Namun, menyimpulkan institusi Azhar dengan berdasarkan teknikal pengajian di Universiti Al Azhar bagi saya adalah kesimpulan yang tidak menyeluruh.

Ini adalah kerana, institusi Azhar itu sendiri bukan sekadar pengajian di universiti semata-mata. Ianya juga termasuk pengajian tidak formal yang dijalankan di masjid-masjid terutamanya Masjid Azhar yang diseliakan oleh ulama Azhar di bawah pantauan bekas mufti iaitu Al Allamah Sheikh Dr Ali Jumaah.

Menurut kefahaman saya berdasarkan makalah bertajuk Al Ihya Al Kabir tulisan Al Allamah Sheikh Dr Usamah Al Azhari, pengajian ilmu di Azhar tidak cukup sekadar memperoleh segulung sijil setelah lulus peperiksaan, tetapi pengajian ilmu di Azhar merangkumi 8 manhaj yang perlu dicapai oleh setiap anbaul Azhar untuk melayakkan mereka bergelar Azhari selepas tamat pengajian mereka.

Pengajian ilmu di Azhar menekankan penguasaan manhaj Azhar yang akan melahirkan pelajar yang mempunyai pemikiran pertengahan (wasatiah), mampu berfikir seperti para ulama dalam memandang tasawwur masalah, menyediakan penyelesaian secara syumul merangkumi pandangan dari semua sudut, dan tidak bersikap keras dalam menghadapi perbezaan dalam agama.

Dari sudut ini, saya bersetuju dengan komentar Al Fadhil Sheikh bahawa pelajar Azhar terutamanya dari Malaysia tidak menguasai ilmu sepenuhnya ketika belajar di Azhar. Majoriti di kalangan kita bergantung sepenuhnya kepada peperiksaan sebagai penilaian tunggal akan penguasaan kita terhadap ilmu. 

Kemudian, apabila pulang ke tanah air, kita menjadikan sijil yang kita peroleh daripada peperiksaan itu sebagai tahap keilmuan kita dan terjun ke dalam masyarakat dengan berbekalkan sijil tersebut yang hakikatnya sama sekali tidak menggambarkan tahap ilmu kita yang sebenarnya sangat rendah. Ini adalah kerana peperiksaan yang berpandukan satu kitab untuk setiap subjek, malah difokuskan pula kepada bahagian muqarar sahaja sangat tidak mencukupi sebagai bekalan ilmu yang akan kita gunakan untuk memandu masyarakat.

Saya menyeru kepada diri saya dan semua pelajar Malaysia di Azhar agar berusaha memenuhi tanggungjawab kita sebagai penuntut ilmu di Azhar. Seperti kalam Dr Usamah, tidak layak kita menggelarkan diri kita sebagai Azhari jika pada diri kita hanya ada segulung sijil, tetapi manhaj Azhar yang perlu kita kuasai sama sekali tidak wujud dalam diri kita.

Sijil itu penting sebagai wasilah untuk kita diterima dalam masyarakat, tetapi kita juga kena akui bahawa ianya mampu diperoleh dengan menguasai teknik menjawab peperiksaan. Namun, ilmu yang benar yang perlu kita sampaikan kepada masyarakat yang merupakan amanah dari Allah sama sekali tidak mampu kita peroleh melainkan mewajibkan diri kita bersuhbah dengan para ulama dan mengambil buah-buah ilmu secara terus dari mereka.

Ambillah kritikan Sheikh Dr Taha Jabir sebagai satu cabaran yang perlu disahut dengan melipatgandakan usaha dalam menuntut ilmu di Azhar. Perlu kita semua sedar, nikmat bermusafir mencari ilmu di Mesir adalah kurniaan Allah yang disertai dengan amanah ummah kepada kita. Menjadi fardhu waqt kepada kita untuk menguasai ilmu sebanyak mana yang mampu untuk melunaskan amanah ini.

Jika masyarakat kita kekal jahil selepas kita pulang ke kampung halaman dan kita pula tidak mampu untuk menyampaikan ilmu yang benar kepada mereka lantaran kosong dada kita dengan ilmu, maka tidak mustahil masyarakat kita akan menyalahkan kita di Padang Masyar kelak atas pengkhianatan yang kita lakukan kepada mereka lantaran sikap culas dan malas kita dalam menuntut ilmu di Bumi Anbia ini.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
1.00 am, 21 Jun 2013.
Hussien, Kaherah.

Sunday, June 9, 2013

Antara Konda Kondi dan iPad

Saya rasa, zaman persekolahan saya merupakan antara zaman akhir kehidupan kanak-kanak yang berpersekitaran tradisional. Ayat permainan kami pasca tadika paling canggih pun Lego System. Permainan dalam rumah pula paling seronok adalah bina rumah kecil dengan menggunakan kusyen dan main bola gunakan bantal.

Permainan di luar rumah popular dengan Kayu Tiga, Konda Kondi, Rounders, guli, gasing, bola pot, layang-layang. Kalau permainan yang sedikit 'ekstrem', kami pergi mandi parit atau sungai, berbasikal jelajah kampung, berkhemah di hujung kampung. Kalau yang sukan yang moden, main badminton dengan jadikan basikal di tengah-tengah sebagai net.

Permainan yang memupuk kerjasama rakan sebaya pula pastinya bola sepak. Siap ada jelajah kampung dan berlawan dengan kampung seberang. Padang 'rasmi' budak kampung kami pula adalah halaman sebuah rumah tinggal yang kami renovate jadi padang bola, siap ada tiang gol buatan sendiri dari kayu buluh.

Ada satu lagi yang best, kami sesama budak-budak kampung pernah anjurkan Sukan Desa, kumpul duit sama-sama untuk membeli jajan sebagai hadiah. Ada pertandingan merentas desa, masuk air dalam botol, bawa bola pingpong dalam sudu, rebut kerusi, lari dalam guni.

Permainan yang berteras pendidikan pastinya main 'Cikgu-cikgu'. Belajar jadi cikgu, ajar kawan-kawan lain BM, BI, Matematik dan lukisan. Lengkap ada exam hujung minggu. Minggu seterusnya Hari Penyampaian Hadiah.

Acara tahunan yang memupuk semangat cintakan negara pula pastinya ketika musim bulan kemerdekaan. Kami bangga sangat kibar bendera Malaysia di basikal. Lebih besar bendera, lebih bangga rasanya. Pergi sekolah, semua dengan basikal yang dipasang bendera. Bagi mereka yang kreatif tu, siap pasang lampu neon di basikal. Malam Merdeka dan siang Hari Merdeka ada konvoi berbasikal keliling kampung. Bukan anjuran JKKK pun, kami yang anjur sendiri.

Kami membesar dengan persekitaran ini. Ya, ianya amat tradisional dan kampungan, tetapi dengan semua inilah kami membesar dengan normal. Kami diajar untuk berdikari dalam bermain, menggunakan apa yang ada di sekeliling kami untuk dijadikan permainan. Minda kami dididik dengan inovasi, kreativiti dan fleksibiliti. Unsur pendidikan, pembangunan minda, kepimpinan, patriotik dan keagamaan lengkap dalam pakej permainan harian kami yang memberikan persedian dan asas kukuh sebelum kami melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar.

Itu semua cerita dahulu, cerita era 1990 hingga 2000. Ketika saya masuk sekolah menengah, peralihan zaman berlaku. Teknologi bercambah sehingga ke kampung saya, makin pesat sehingga kini. Tidak boleh dinafikan, percambahan teknologi adalah berkadar songsang dengan perkembangan pendidikan tradisional.

Kini, kanak-kanak dibesarkan dengan handphone, iPhone, iPad, internet, Facebook dan pelbagai lagi teknologi terkini. Permainan mereka kini semuanya di hadapan mata dan di hujung jari. Tidak perlu lagi berpanas, berhujan, berpenat untuk keliling kampung dan memerah otak mencari permainan baru untuk dimain.

Hanya pergi ke iTunes atau Play Store, jutaan permainan moden terbaru samada percuma atau berbayar boleh dimuatnaik dalam masa beberapa minit. Mereka sangat arif bagaimana untuk memenangi sesuatu games, memikirkan strateginya, dan mencipta kod untuk menang dengan jalan pintas. Fikiran mereka maju, tetapi semuanya hanya di screen iPad, bukan di alam realiti.

Saya mula berfikir, jika kanak-kanak sekarang membesar, apa agaknya keadaan mereka 10 atau 20 tahun akan datang? Berdaya saingkah mereka, mampukah mereka berfikiran kreatif dan inovatif, mampukah mereka memupuk gaya dan ciri kepimpinan dalam diri mereka? Jika mereka tercampak di tengah-tengah dunia moden tanpa sebarang kawalan dan mereka perlu berdikari, mampukah mereka mengekalkan jati diri mereka sebagai seorang muslim dan adat ketimuran mereka sebagai orang Melayu?

Mampukah mereka hidup bermasyarakat dengan baik, berinteraksi dengan persekitaran mereka? Atau mereka akan menjadi kera sumbang yang tidak reti untuk menyuaikan diri mereka di tengah-tengah kejiranan tempat tinggal mereka? Apabila mereka besar dan berkerja dengan kerja yang hebat, adakah mereka gunakan kelebihan itu untuk menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat atau disimpan untuk kemewahan dan kenikmatan diri mereka sahaja?

Kanak-kanak kini belajar melalui fantasi terlebih dahulu, sebelum merasai realiti. Segala kehebatan yang mereka bina dalam diri mereka tidak lebih daripada kehebatan di ruang fantasi minda mereka dan di alam maya sahaja. Adakah generasi seperti ini akan hidup dengan normal apabila mereka terjun ke alam realiti? Mereka akan menjadi manusia tulen atau menjadi manusia yang berfikiran robot?

Saya agak buntu apabila memikirkan perkara ini dan apa yang perlu saya sediakan kepada anak-anak saya yang bakal lahir kelak agar mereka membesar secara normal, terbina kekuatan minda dan fizikal, rohani dan jasmani secara sekata. Persoalan ini perlu kita semua jawab dan fikirkan bersama, samada kita ingin kekal dalam arus moden yang tidak terkawal atau menjenguk sebentar ke zaman lampau, mengambil apa yang mujarab untuk dijadikan pedoman bagi kita meneruskan langkah..

Antara konda-kondi dan iPad apakah pilihan kita?


Mohd Azrul Azuan bin Idris
9 Jun 2013, 9.30 pm.
Hussien, Kaherah, Mesir.

Monday, January 28, 2013

Perlukah Semua Perkara Dipolitikkan?


Pilihanraya Umum ke 13 semakin hampir. Hampir semua topik perbualan harian masyarakat di Malaysia adalah politik dan perubahan. Zaman kini bukan seperti zaman dahulu. Kecanggihan teknologi dan keberkesanan sebaran maklumat menjadikan rakyat kini semakin celik maklumat dan pintar berpolitik.

Kehangatan politik ini adakala berjangkit kepada semua urusan kehidupan kita. Dari satu sudut, ianya baik untuk menggalakkan kita berfikir, tetapi dari satu sudut ia sebenarnya membahayakan kesihatan akal kita dalam berfikir. Persoalan yang timbul dalam benak saya, perlukah semua perkara dipolitikkan?

Dalam keadaan kehangatan politik sekarang, seharusnya kita tidak terlalu larut dengan berpolitik sehingga semua perkara mesti dinilai dengan kacamata politik. Bagi saya, apabila membaca atau mengetahui mana-mana isu, fikir dahulu dengan teliti ianya isu apa, kepentingannya dan perlu dilihat dari kacamata apa.

Selepas melakukan semua ini, kemudiannya kita dapat memastikan ianya perlu dilihat dari sudut politik, maka teruskanlah mengulas dan berfikir dengan lebih lanjut tentangnya. Semoga dengan sikap cakna kita ini mampu menjadikan kita seorang rakyat yang celik dan sayang akan negaranya.

Sebaliknya pula, jika kita mendapati ianya bukan berkaitan dengan isu politik, dan seharusnya dibebaskan dari penilaian politik, maka mujahadahlah untuk berlaku adil dalam mengulasnya. Ini adalah kerana isu-isu seperti ini adakalanya berkaitan dengan kita dan keseluruhan masyarakat. Maka, ia perlu dinilai dengan adil tanpa berat sebelah, agar tanggungjawab terhadapnya diambil oleh semua pihak tanpa pengecualian dan tuduh menuduh.

Namun begitu, realitinya, penilaian adil ini susah berlaku lebih-lebih lagi jika isu itu boleh meraih keuntungan politik buat kita. Keghairahan politik zaman kini kadang kala membuatkan kita akan menilai terus mana-mana isu dengan menggunakan kacamata politik terlebih dahulu. Kemudiannya apa jua hujah dan ulasan akan diarahkan kepada membenarkan pandangan kita walaupun sebenarnya pandangan kita itu salah.

Contoh yang mudah, perbandingan antara kes pembunuhan Altantuya dan kes kematian adik William di Sungai Klang. Kes pembunuhan Altantuya sememangnya boleh kita nilai dari sudut kacamata politik kerana terdapat banyak kekeliruan dan penyembunyian fakta dalam perbicaraan mengenainya. Tambahan pula, terdapat bukti mengaitkan kes itu dengan kepentingan negara iaitu pembelian kapal selam yang kini sedang melalui perbicaraan di mahkamah Perancis.

Tetapi dalam kes adik William, saya memandang kes ini lebih kepada soal tanggungjawab ibu bapa menjaga anak-anaknya ketika berada di luar rumah. Walaupun ada kaitan 'bau-bau bacang' dengan tanggungjawab polis, tetapi faktor utama kehilangannya adalah kecuaian ibu bapanya yang membiarkan anak-anak kecil mereka sendirian di dalam kereta.

Jika kita ghairah mengaitkan kes ini dengan menghalakan kecaman kepada pemimpin negara, saya berfikir andai pula kes yang sama berlaku ketika Pakatan Rakyat memimpin Malaysia, adakah kita akan memberi pandangan yang sama seperti sekarang? Mungkin kita akan akui kes ini adalah berpunca daripada kecuaian ibu bapa ketika menjaga anaknya.

Zaman kini adalah zaman perubahan. Bukan perubahan kerajaan sahaja, minda kita pun perlu diubah. Memandang semua isu dari kacamata politik adalah satu didikan kepada minda kita untuk menjadi taksub, tidak rasional dan mendahulukan emosi dari berfikir. Semoga harapan kita untuk melihat perubahan kepada negara kita ini seiring dengan usaha kita mengubah paradigma pemikiran kita.

Saya penyokong PAS, mahukan perubahan dalam kepimpinan negara dan minda kita semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
8.43 am, 28 Januari 2013.

Thursday, January 24, 2013

Manifestasi Cinta Kepada Rasulullah

Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. Tenang dan gembira rasa hati apabila alunan selawat dialunkan di mana-mana, baik dalam televisyen, radio dan juga majlis-majlis sambutan. InsyaAllah, kecintaan kepada baginda yang diserapkan ke dalam masyarakat, semoga menjadi asbab turunnya hidayah mencurah-curah kepada kita semua. 

Di kesempatan ini, ingin saya mengulas berkenaan beberapa kekeliruan yang timbul berkenaan sambutan Hari Keputraan Rasulullah SAW, di mana terdapat segelintir di kalangan umat Islam yang melarang dan membidaahkan sambutan ini berdasarkan beberapa nas yang mungkin tidak dipandang secara menyeluruh.

Nabi Melarang Mengagungkannya?

Dalil popular yang dinaqalkan adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Ahmad yang menyebut :

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengagung-agungkan aku seperti mana kaum Nasrani mengagung-agungkan Ibn Maryam (Nabi Isa a.s), sesungguhnya aku adalah hambaNya maka katalah: Hamba Allah dan RasulNya”. [al-Bukhari & Ahmad].

Secara kasar, hadith ini kelihatan larangan Rasulullah SAW kepada umatnya untuk mengagungkan baginda. Namun begitu, jika diteliti dengan baik maka kita akn peroleh kefahaman yang sebenar akan maksud hadith ini.

Hadith ini mengaitkan larangan mengagungkan baginda dengan perbandingan kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa. Oleh itu, cuba kita telitikan pula bagaimana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa yang dilarang itu? Disebut dengan jelas dalam banyak ayat Al Quran berkenaan celaan kepada kaum Nasara yang mengangkat Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan mentaqdiskan baginda setaraf dengan Allah.

Antara ayat Al Quran yang menjelaskan penafian Nabi Isa di hari kiamat berkenaan dakwaan kaum Nasara bahawa baginda mengaku sebagai anak Allah adalah ayat 116 dan 117 dari Surah Al Maaidah bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: "Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?". Isa menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib". Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al Maa'idah ayat 116-117)

Ini yang dimaksudkan sebenarnya dalam hadith di atas iaitu Rasulullah SAW melarang umatNya mengagungkan baginda seperti mana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Ini diperkuatkan lagi dengan ayat di hujung hadith tersebut yang menyatakan "seseungguhnya aku adalah hambaNya, maka katalah : Hamba Allah dan rasulNya." Larangan ini sama sekali tidak bermaksud larangan berlebihan dalam mencintai Rasulullah SAW.

Apatah lagi jika ingin dinisbahkan dengan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini adalah manifestasi kecintaan kepada baginda yang sama sekali tidak sampai kepada menganggap baginda sebagai Tuhan, seperti yang dilakukan oleh kaum Nasara. Aktiviti berqasidah, berselawat, menganjurkan jamuan, berarak dan lain-lain aktiviti adalah perkara yang harus dilakukan, malah mendapat pahala sekiranya niat kita ikhlas dalam melakukan semua ini.

Mengkhususkan Ibadah

Banyak persoalan timbul berkenaan hukum mengkhususkan ibadah sunat di hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Maulidur Rasul. Di sini saya suka untuk menurunkan kalam Al Allamah Sheikh Dr Sayyid Muhammad Ramadhan Al Buti ketika berforum bersama Al Allamah Al Mahbub Habib Ali Al Jufri dalam satu slot forum di salah satu stesen TV UAE.

Terdapat satu hadith berkenaan fadhilat puasa sunat Isnin iaitu :

Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul."

Sheikh memandang hadith ini dari sudut kacamata usul sunnah iaitu Rasulullah menzahirkan rasa gembira di hari tersebut dengan melakukan ibadah iaitu puasa.

Maka umat Islam diharuskan untuk mengkhususkan ibadah sunat ketika ingin meraikan sesuatu yang mengembirakan dengan syarat perkara yang mengembirakan itu bukan perkara yang haram di sisi agama. Kita juga tidak boleh menghukumkan ibadah sunat yang ingin dilakukan itu sebagai wajib dan jauhi sama sekali menisbahkan ibadah sunat yang dikhususkan itu sebagai sesuatu yang pernah dilakukan Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, kita gembira dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka kita raikan dengan solat sunat tasbih. Kita gembira menyambut Maal Hijrah, maka kita berpuasa pada hari tersebut. Kita gembira dengan kedatangan Maulidur Rasul, maka kita alunkan selawat khusus yang istimewa untuk meraikannya. Maka, semua ini diharuskan dalam Islam.

Malahan, jika dinilai dari satu sudut, ianya membawa satu sikap yang mulia iaitu apabila rasa gembira dan dikurniakan nikmat oleh Allah, kita menyambutnya dengan melakukan ibadah, mengingati Allah dan mengabdikan diri padaNya.

Berlapang Dada Sikap Terbaik

Namun begitu, ini termasuk dalam perkara khilafiat di mana kita bebas untuk memilih samada untuk bersetuju atau tidak. Jika kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan selawat khusus atau berpuasa atau apa sahaja ibadah sunat lain, dipersilakan. Jika kita ingin menyambut dengan cara yang lain pun dipersilakan. Jika tidak mahu menyambut pun, tiada masalah sama sekali.

Apa jua bentuk sambutan kita, perkara yang terlebih utama tetaplah menyerapkan ajaran Islam dan akhlak Rasulullah dalam kehidupan seharian kita. Apa yang menjadi masalah adalah apabila kita tidak berlapang dada dan menghukumkan sesat kepada mereka yang tidak sependapat dengan kita, apatah lagi perkara ini hanyalah salah satu dari permasalahan khilafiat.

Salam Maulidur Rasul untuk semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.22 pm, 12 Rabiul Awal 1434H
24 Januari 2013

Thursday, January 10, 2013

Isu Kalimah Allah Dan Tanggungjawab Kita

Secara ringkasnya, isu kalimah Allah perlu dinilai dari sudut ilmu dan juga realiti semasa. Dari sudut ilmu, tidak dinafikan Islam tidak melarang golongan Nasara menggunakan kalimah Allah, tetapi ianya diikuti dengan ancaman azab yang pedih kepada mereka kerana menggunakan nama Allah dengan maksud yang mensyirikkanNya.

Dari sudut realiti semasa juga, tidak dapat dinafikan memang wujud usaha pihak tertentu untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan menyalahgunakannya terhadap aqidah umat Islam. Dalam keadaan ini, sasaran mereka bukan orang bijak pandai di dalam FB dan alam maya, tetapi di kalangan anak muda dan remaja Islam yang tipis ilmu agamanya, tidak terkawal hidupnya dan terumbang ambing hala tujunya tanpa matlamat.

Maka, bagi saya pandangan membenarkan penggunaan kalimah Allah dengan syarat tidak menyalahgunakannya adalah terbaik. Tetapi ianya tidak berhenti setakat itu, ianya diikuti tanggungjawab yang besar yang waib dipikul oleh umat Islam terutamanya para daie :

1. Umat Islam perlu memahami bahawa 'tiada halangan' adalah berada di dalam konteks 'lakum dinukum waliyadiin' iaitu bagi kamu, penggunaan nama Allah oleh kamu itu adalah salah dan kamu akan diazab atas kesyirikan kamu, manakala bagi kami Alah itu adalah Tuhan yang Maha Esa, tiada anak dan tidak diperanakan.

2. 'Tiada halangan' sama sekali tidak bermaksud Allah itu adalah Tuhan bagi semua manusia termasuk muslim dan Kristian dengan iktikad kedua-dua agama ini adalah sama dan apa jua pentafsiran terhadapNya adalah benar, sama, dan tiada perbezaan.

3. Para daie wajib menerangkan hakikat dalam perkara 1 dan 2 tadi kepada masyarakat Islam khususnya, agar penggunaan kalimah Allah oleh pihak Kristian itu menjadikan umat Islam semakin jelas terhadap kesesatan agama Kristian.

4. Para daie juga, jika mampu, perlu menerangkan hakikat keeasaan Allah kepada masyarakat Kristian agar mereka akan menyedari kesalahan fahaman mereka terhadap Allah.

5. Para penguasa agama dan pemimpin perlu mempergiatkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan kegiatan penyalahgunaan kalimah Allah terhadap umat Islam dan juga semua usaha yang boleh menggugat aqidah umat Islam.

6. Para pemimpin terutama yang memegang tampuk pemerintahan, hentikan segala hidangan kelalaian dan maksiat kepada rakyat dan kembalilah kepada jalan hidup Islam. Jangan mempergunakan isu ini untuk menunjukkan yang kamu kononnya memperjuangkan aqidah umat, tetapi kamu juga yang menjadi pengkhianat, menyajikan rakyat dengan maksiat yang menjadi asbab utama lemahnya iman masyarakat Islam di Malaysia.

Semua tanggungjawab di atas terpikul di bahu semua umat Islam terutamanya para daie. Jangan hanya pandai bercakap berkenaan isu ini, tetapi kita sendiri tidak menyedari hakikat tanggungjawab yang kita wajib jalankan. Jika semua di atas ini tidak dijalankan, tanpa isu ini pun, umat Islam akan runtuh aqidahnya, tergadai imannya.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
11.00 pm, 10 Januari 2013

Wednesday, January 2, 2013

Sambutan Tahun Baru : Apabila Orang Berbondong Menerima Islam


Hampir bergenang air mata ini melihat video-video yang mempamerkan suasana sambutan Tahun Baru 2013 di Dataran Shah Alam yang dipenuhi dengan majlis ilmu, bual bicara, majlis bersama ulama, solat berjemaah, nasyid dan zikir. Lebih mengembirakan hati apabila majlis ini dihadiri oleh seluruh lapisan masyarakat.

Yang di atas pentasnya dibarisi oleh para ulama, ustaz-ustaz, pemimpin negeri, ahli sukan, penggiat seni, penyanyi, pelakon dan pelbagai lagi profesion, manakala yang menonton di bawah terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat samada tua, muda, Mat Rempit, yang singgle, yang berkeluarga, yang sempurna, yang kurang upaya, apatah lagi kanak-kanak yang membanjiri lokasi majlis.

Sepanjang 55 tahun merdeka, tidak pernah kita dididik dengan pengamalan agama yang sebegini. Kita ditanamkan sejak kecil bahawa, jika ada sambutan hari utama dalam negara, wajib ada konsert dan artis, wajib ada pergaulan bebas, wajib ada itu ini. Akhirnya di zaman kini, berkat usaha dakwah yang dijalankan semua pihak, paradigma rakyat Malaysia berjaya diubah.


Rakyat Memilih Islam

Dalam masa yang sama, pihak sebelah lain terus menerus menyajikan perkara yang sama yang mereka sajikan sejak 50 tahun lalu. Dihimpunkan rakyat di dalam program maksiat, yang tiada sama sekali seruan kepada iman. Rakyat terus dihidangkan dengan kelalaian, hedonisme, hiburan melampau, tari menari, membuka aurat dan pelbagai lagi kerosakan.

Jika dahulu, mungkin kita boleh bersangka baik bahawa mereka tidak ditunjukkan alternatif dan contoh untuk mengubah sambutan tahun baru yang bertepatan syariat. Namun, mengapa kini setelah alternatif ditunjukkan dan rakyat sudah menunjukkan minat ke arah Islam, tetapi minat masyarakat ini tidak disambut, dlemparkan di dalam tong sampah. Kerosakan moral dan kelalaian terus menerus disajikan. Kemudian, orang yang sama terpekik terlolong bersama dengan krew-krew sekapalnya bahawa aqidah umat terancam, Islam dihina dan moral rakyat berada ditahap rendah. Dasar lidah biawak!

Saya meneliti rakaman konsert dan sambutan Tahun Baru ala-ala UMNO-BN yang dipamerkan di Youtube. Alhamdulillah, 17 orang sahaja menunjukkan 'like' manakala 1224 yang lain menunjuk 'unlike'. Saya yakin video lain yang memaparkan sambutan Tahun Baru begini turut menerima nasib yang sama, kecuali si pemuatnaiknya tidak mengaktifkan butang 'like' kerana tidak mahu ditimpa nasib yang sama.

Alhamdulillah, syukur dipanjatkan kepada Allah Tuhan Sekelian alam, rakyat negaraku Malaysia mula menerima Islam secara berbondong-bondong. Jika dihidang dengan dua sajian iaitu sajian iman dan maksiat, rakyat sudah memilih iman dan berbangga dengannya. Adakah lagi yang lebih mengembirakan kita selain dari Islam sudah diterima oleh masyarakat?

UMNO-BN Raikan Naluri Orang Muda?

Sejak dahulu, orang muda negara kita dianggap sebagai peminat tegar hiburan. Orang muda digambarkan sebagai hamba kepada hiburan dan tidak boleh dipisahkan dengan hiburan. Ke mana sahaja hiburan disajikan, maka akan berkerumunlah orang muda mengejar hiburan. Mungkin dengan alasan inilah, pihak UMNO-BN menggunakan hiburan sebagai senjata ampuh untuk menarik orang muda. Alasan mereka, naluri anak muda perlu diraikan dan jangan dihalang.

Benar teori itu, naluri anak muda perlu diraikan, namun adakah memuja maksiat itu merupakan naluri fitrah orang muda? Ataupun naluri orang muda yang terkeliru ini perlu disuluh dengan cahaya dakwah agar naluri mereka dibersihkan dan berpaling ke arah iman? Di sini saya melihat sangka buruk yang melampau UMNO-BN kepada anak muda sehingga mereka tiada usaha membawa anak muda mendekati Allah secara praktikal. Bagi mereka, Forum Perdana Ehwal Islam dan Al Kuliyyah TV3 sudah cukup sebagai usaha dakwah. Maka untuk hiburan, biarkan anak muda memilih kesukaan mereka.

Belia dan remaja adalah zaman penuh genting. Di zaman inilah mereka mencari identiti mereka. Di awal umur remaja, mereka sangat terbuka samada memilih hidayah atau maksiat. Maka, apa yang disajikan kepada mereka di peringkat umur ini akan membentuk jiwa mereka di zaman akan datang. Oleh itu, mengapa menjadikan kemahuan mereka sebagai alasan sedangkan mereka memang dididik untuk meminati maksiat sejak dari mereka mengenal dunia?

Dakwah Adalah Dambaan Orang Muda

Sudah terbukti kini apabila mereka diberikan alternatif hiburan yang mendidik jiwa dan meraikan iman, mereka mampu berpaling dari maksiat dan memilih untuk mengikuti jalan yang diredhai Allah. Naluri remaja tidak boleh diikuti sepenuhnya, ia perlu dibimbing. Mereka perlu ditarik ke arah iman dan Islam dengan dakwah yang hikmah, penuh teladan. Dengan didikan dan dakwahlah, sekali hati mereka terusik dan merasa tenang dengan Islam, selamanya mereka akan mengikut Islam.

Remaja dan belia perlukan bimbingan dan dorongan. Begitu juga para penggiat seni, artis, pelakon, ahli sukan dan sebagainya. Dakwah dan ilmu yang mereka dambakan dan perlu kita berikan. Bukannya terus menerus mengikut naluri palsu mereka yang UMNO-BN bentukkan. Alhamdulillah, berkat dakwah yang dijalankan, mereka yang disebutkan di atas mampu bersama para ulama di atas satu pentas menyampai mesej dakwah dan iman.

Inilah yang tidak dilakukan oleh UMNO-BN, malah tidak mahu dilakukan mereka walaupun setelah ditunjukkan caranya. Saya sebolehnya ingin bersangka baik dengan UMNO seperti mana yang disarankan oleh sebuah NGO untuk memberikan UMNO peluang dan masa untuk berubah. Namun, sangkaan baik apa lagi yang mampu kita lakukan. Dalam kita bersangka baik dan menunjukkan teladan, UMNO tetap tidak berubah dan terus dengan tradisi menghayutkan orang muda dalam arus deras hiburan dan kelalaian.

Hasil Tahalluf Siyasi

Saya meneliti bahawa gelombang dakwah yang diterima masyarakat kini sangat berkait rapat dengan dasar tahalluf siyasi yang dilakukan PAS. Walaupun PAS sudah memerintah lama di Kelantan, faktor geografi dan juga kekangan media yang tidak membuat liputan berkenaan dasar Islam yang dilaksanakan di Kelantan menyebabkan berita kejayaan dakwah di sana tidak sampai menyeluruh ke seluruh negara. Kelantan mempelopori kejayaan dakwah dalam banyak aspek termasuklah hiburan. Tentu semua masih ingat konsert pertama yang menampilkan Mawi berjalan dengan jayanya dan menjadi role model hiburan Islam sehingga kini.

Allah mentakdirkan PAS membentuk kerajaan bersama gagasan Pakatan Rakyat di Selangor sejak 2008 hingga kini. Biarpun PAS merupakan suara minoriti yang adakala tewas di dalam isu-isu yang meperlihatkan pertembungan dengan rakan dalam Pakatan, tetapi PAS sama sekali tidak mensia-siakan peluang sebagai sebahagian daripada anggota pemerintah untuk menjalankan dakwah. Bagi PAS, kalau tidak dapat semua, jangan ditinggalkan semua.

Dakwah sangat penting untuk dijalankan kerana jika seruan dakwah berjaya dan rakyat menerima Islam, maka pemerintah juga wajib mengikut kehendak rakyat selari dengan prinsip demokrasi. PAS memulakan dakwah dengan membuka seluas-luasnya pintu semua masjid di Selangor kepada para pendakwah dari seluruh negara bagi memberikan pengisian ilmu kepada rakyat Selangor.

Saya masih ingat bagaimana terkejutnya saya dengan bilangan jemaah yang hadir solat Subuh di sebuah masjid di Bangi, angka yang membolehkan untuk diadakan solat Jumaat malah lebih ramai daripada itu. Saya lantas melihat papan kenyataan masjid, di mana tercatat jadual pengajian ilmu setiap hari dan hampir setiap waktu di masjid tersebut. Saya tersenyum ketika melihat ini kerana saya teringat kata-kata Tuan Guru Hj Zulkifli Ismail yang mengatakan bahawa jika ingin melihat kebangkitan Islam di satu-satu tempat, maka lihatlah bagaimana masjidnya digunakan untuk menyampaikan ilmu.

Disebutkan oleh Al Imam Al Ghazali bahawa cara untuk istiqamah dengan kebaikan di zaman penuh maksiat ini ada tiga perkara. Pertama, zahirkan penampilan yang berimej Islam. Kedua, lazimi majlis ilmu. Ketiga, rapati kedua lutut dengan para ulama. Dari tiga cara ini, dua daripadanya berkaitan dengan ilmu, memperlihatkan bagaimana masjlis ilmu menjadi antara asbab utama datangnya hidayah kepada kita.

Transformasi Hiburan

Meminjam istilah yang sering disebutkan YAB Dato Seri Najib, setelah PAS menjalankan usaha di lapangan majlis ilmu, PAS mengorak langkah memperkenalkan transformasi dan alternatif terhadap hiburan dan majlis keraian. Setelah mendapat pengajaran dan pengalaman yang dibuat di Kelantan, PAS memulakan langkah dengan menganjurkan Sambutan Ambang Tahun Baru 2012 dengan menampilkan daie sejuta umat, Ustaz Azhar Idrus dan ikon pelawak tempatan, Zizan Raja Lawak untuk membawakan satu kelainan sambutan Tahun Baru mengikut acuan Islam.

Majlis itu berjalan dengan gemilang dan dijayakan oleh kehadiran ramai ikon dari pelbagai profesion yang ikhlas ingin menjayakan acara julung-julung kalinya diadakan di negara kita. Sambutan Tahun baru di Malaysia mendapat suntikan dan kejutan baru, dengan penampilan yang lebih mendidik, santai dan penuh dengan puji-pujian kepada Allah.

Acara seperti itu tidak terhenti di situ, lantas dianjurkan program seumpamanya untuk majlis keraian lain yang setaraf dengannya. Semenjak itu saya kira, deruan anak muda dan remaja ke majlis ilmu semakin meningkat. Contoh dan teladan yang dibuat seolah-olah memberikan satu panadol kepada anak muda sehingga menyembuhkan mereka dari demam hedonisme yang mereka hidapi selama ini. Majlis ilmu kini menjadi trend anak muda dan menjadi keutamaan mereka dari perkara lain.

Saya mendengar satu peristiwa di mana sebuah perlawanan bola sepak yang diaturkan sekian lama di salah satu tempat di Melaka, ditunda penganjurannya kerana bertembung dengan majlis ilmu Ustaz Azhar Idrus pada malam yang sama. Anak muda sepakat menunda perlawanan itu kerana tidak mahu ketinggalan menghadiri majlis ilmu yang diadakan di perkarangan Madrasah Ar Rahmah, Ayer Molek, Melaka. Adik saya juga katanya, pernah terselamat daripada disaman oleh JPJ hanya kerana keretanya ditampal pelekat Ustaz Azhar Idrus dengan cagankata 'Jom Gi Kuliah'. Begitulah penangan majlis ilmu zaman kini!

Semoga Berjaya PAS!

Ramai yang bertanya dan mengkritik PAS berkenaan gaya kepimpinan Islam apa yang akan dibawa PAS sekiranya ditakdirkan memenangi Pilihanraya Umum ke 13 bersama gagasan Pakatan Rakyat. Rasanya modelnya sudah berada di hadapan mata, samada ingin melihat dengan mata hati atau ingin melihat dengan mata yang tertutup.

PAS akan menjalankan tanggungjawab sebagai salah satu bahagian daripada pemerintah dengan terus menerus melaksanakan dakwah yang menyeluruh kepada rakyat. Dengan bidang tugas pemerintah yang luas, peruntukan yang banyak dan jabatan-jabatan yang dikuasai akan digunakan sepenuhnya untuk menyerapkan Islam hingga ke akar umbi masyarakat. Jika di Selangor, kejayaan dakwah dapat dilihat dengan jelas dalam masa yang singkat dan kemudahan yang masih terbatal, insyaAllah di peringkat pusat kejayaan akan lebih gemillang jika semua peluang dakwah dimanfaatkan.

Manakala bagi perkara yang mungkin akan berlaku pertembungan dengan rakan politik di dalam Pakatan Rakyat, PAS akan terus bertegas pada perkara pokok yang memerlukan ketegasan dan akan menggunakan cara hikmah pada perkara cabang yang boleh dilaksanakan secara berperingkat. Rekod kejayaan PAS di Kelantan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain akan dijadikan panduan untuk mengemudi jentera dakwah dan siyasah di peringkat pusat.

Ramai juga yang menganggap bahawa PAS jika menjadi suara minoriti akan sentiasa tunduk dengan tuntutan majoriti. Bagi saya, kata-kata ini tidak diteliti dari sudut pandangan politik yang betul. Di dalam politik, tidak bermakna minoriti itu kecil dan majoriti itu besar kerana adakala majoriti perlu tunduk kepada minoriti kerana minoriti itu tetap sebahagian daripada majoriti. Pengalaman 2008 mengajar kita bagaimana PAS yang merupakan minoriti di dalam DUN Selangor dan Perak, menjadi rebutan kedua-dua pihak kerana pihak mana yang PAS bergabung dengannya, merekalah menjadi pemerintah.

Dengan kebijaksanaan dan tawakkal yang ada pada pimpinan dan ulama dalam PAS, saya meyakini PAS mampu bergerak dengan cemerlang di dalam medan siyasah dan juga bidang kekuasaan kerajaan pusat kelak, tidak kira PAS itu minoriti atau majoriti. PAS yang dipandu oleh ulama dan dikendalikan oleh pemimpin yang pelbagai profesion mampu untuk menjadi pemerintah yang cemerlang untuk membawa negara ke arah 'baidatun thoyyibatun wa rabbun ghofur'.

Bagi mereka yang sering mengkritik cara dan dasar siyasah PAS, sila kemukakan model siyasah yang lebih baik dari apa yang PAS laksanakan sebelum pantas berkata itu ini. Bagi saya, dengan penelitian realiti dan apa yang PAS telah lakukan terhadap negara kita, tiada model lain yang lebih  baik dari model yang PAS tunjukkan dalam membawa Islam secara syumul di lapangan dakwah dan siyasah. Semoga berjaya PAS! 


Mohd Azrul Azuan bin Idris
3.53pm, 2 Januari 2013.