Tuesday, February 23, 2010

Cerita Yang Sepatutnya Ditonton Oleh Kita

Sejak kebelakangan ini, saya sering mendapat maklumat dan video-video yang sangat menarik untuk dikongsi dan ditonton oleh remaja zaman ini. Sejak kedatangan ke Mesir, saya sedia maklum pelajar kita di sini amat pantas dalam maklumat berkenaan filem terbaru yang dikeluarkan.

Namun, apa yang menjadi sebaran sekarang bagi saya amat bermanfaat dan seharusnya menjadi tontonan semua remaja sekarang untuk mereka kenali siapa mereka yang sebenarnya.

Kita sebenarnya berada dalam dunia yang telah diaturkan untuk dilihat melalui persepsi indah, di mana persepsi indah ini sebenarnya adalah satu penipuan reality yang dilakukan oleh musuh Islam demi untuk melekakan kita.

Ashabul Kahfi

Filem panjang berkenaan sirah para solehin, Ashabul Kahfi telah lama saya perolehi. Kira-kira setahun lalu. Namun apabila melihat file mini yang sememangnya panjang, iaitu kira-kira 10 episod yang mana setiap episod panjangnya tidak kurang satu jam setengah, saya menangguhkan untuk menontonnya sehingga terlupa filem ini ada di dalam simpanan saya.

Menjadi kebiasaan fatrah peperiksaan di Mesir, untuk mencari ketenangan setelah memerah otak membaca buku dan menjawab peperiksaan, saya meneliti harddisc saya untuk mencari mana-mana bahan video yang sesuai jadi santapan. Maka, sebelum peperiksaan kertas Mantiq, saya terbuka hati untuk menonton sedikit filem Ashabul Kahfi ini.

Menjadi sikap saya apabila sudah melihat awal cerita, saya akan menghabiskan tidak kira apa jua yang berlaku. Tertarik dengan cerita dan juga gambaran peristiwa yang dirakamkan di dalam Al Quran ini, saya terus menonton walaupun sedar akan menghadapi peperiksaan kertas Mantiq yang terkenal dengan soalan yang mencabar.

Selama ini, kita hanya mendengar kisah ini secara lisan dari para guru dan ustaz. Namun, di dalam filem ini kita digambarkan secara visual dan mendapat gambaran yang lebih jelas akan peristiwa yang berlaku. Sememangnya mendapat maklumat melalui lisan dan video akan menghasilkan kesan kefahaman dan gambaran yang berbeza.

Dengan menonton video yang mungkin tidak 100% tepat dengan kisah yang sebenar, namun kita dapat menjiwai dengan lebih mendalam dan menggerakkan otak dengan lebih ligat untuk memikirkan hikmah dan kehebatan kekuasaan Allah yang berlaku ke atas tujuh sahabat yang mulia ini bersama seekor anjing mereka.

Banyak Fakta Yang Benar

Saya cuba meneliti dengan membuka kitab sirah muktabar antaranya ‘Bidayah Wan Nihayah’ karangan Ibnu Kathir untuk membandingkan kesahihan fakta yang terdapat di dalam filem ini. Hasilnya pelbagai fakta yang disebut adalah bertepatan dengan pendapat paling kuat yang terdapat di dalam kitab-kitab sirah ini.

Antaranya, kitab Bidayah Wan Nihayah keluaran Darul Bayan Arabi, di dalam juzu yang pertama bermula muka surat 470 hingga 474 ada menceritakan berkenaan kisah Ashabul Kahfi. Dicoretkan di dalam kitab ini bahawa ramai di kalangan mufassirin dan ahli sejarah yang mengatakan kisah ini berlaku di zaman pemerintahan Raja Diqyanus (دقيانوس) di mana beliau adalah salah seorang dari anak pembesar ketika itu.

Perkara ini bertepatan dengan fakta yang terdapat di dalam filem ini yang menyebut gabenor ketika zaman itu juga sebagai Diqyanus, seorang penyembah berhala dan juga penyembah raja Rom ketika itu, iaitu Andrianus.

Terdapat banyak lagi rentetan peristiwa yang memetik pelbagai fakta sejarah seperti rentetan raja yang memerintah dan juga zaman yang berlaku seolah-olah pengambaran filem ini dibuat setelah satu kajian teliti telah dijalankan terhadap peristiwa bersejarah ini.

Kesedaran Mendalam

Cuba kita bayangkan, cerita yang kita dengar secara lisan selama ini, dapat digambarkan (walaupun tidak 100% tepat) di dalam fikiran kita, dapat kita lihat perjuangan mereka, keikhlasan mereka, keajaiban mereka ditidurkan selama 300 tahun (309 tahun mengikut kiraan Qamari) dan kemuncaknya mereka dibangkitkan dari tidur lama mereka sedangkan mereka sendiri merasakan bahawa mereka hanya tertidur cuma sehari!

Ikhlas saya katakan, timbul satu perasaan ‘ajib di dalam hati saya melihat akan kebesaran Allah terhadap mereka di dalam filem ini. Terasa seram dan bergetar hati bila melihat bagaimana Allah melakukan sesuatu yang tidak pernah kita fikirkan sebagai logic, namun tetap berlaku mengikut ketentuanNya.

Perkara yang menjadi asbab akan peristiwa besar ini berlaku menurut filem itu adalah mereka sering bertanya bagaimanakah Allah akan memenangkan golongan beriman terhadap golongan zalim sedangkan ketika itu dari sudut pandangan dhaif manusia, terlalu sukar untuk kebenaran terpancar di sebalik kezaliman yang mengganas.

Akhirnya, segalanya Allah tunjukkan kepada mereka, perubahan kebenaran mengatasi kezaliman hanya tempoh satu malam bagi mereka, namun 300 tahun bagi orang lain. Maha Suci Allah yang menjadikan segala yang mungkin, tidak mustahil satu perkara pun bagiNya pada setiap perkara yang Dia berkehendak walaupun mustahil bagi kita. Seperti petikan Injil yang disebutnya, “Kebenaran yang kamu sembunyikan di ceruk-ceruk rumah, akan datang akan berdiri megah di atas bumbungnya!”

The Arrival, Dokumentari Yang Akan Mengubah Persepsi Anda Terhadap Dunia!!


Satu lagi video yang menjadi sebaran di kalangan pelajar Azhar kini adalah dokumentari The Arrival yang dihasilkan oleh beberapa anak muda Islam yang pada hemat saya berasal dari Turki (bila melihat kepada nama mereka yang mirip bangsa Turki).

Dokumentari ini boleh saya simpulkan sebagai dokumentari paling hebat yang pernah dihasilkan berkenaan pendedahan kospirasi jahat golongan Illuminati terhadap dunia ini dari zaman Mesir Purba hingga ke zaman sekarang.

Saya pernah dan telah memahami berkenaan pergerakan ‘underground’ ini sejak dari Tingkatan 5 lagi setelah membaca buku ‘Gerakan Freemasonry, Musuh Dalam Menghancurkan Islam’ yang ditulis oleh Ust Nik Azran dan Ust Mohd Mahadi, terbitan Manhal PMRAM. Ditambah lagi dengan bacaan buku tulisan Harun Yahya bertajuk ‘Freemason Sedunia’ yang bagi saya lebih teliti dalam membongkarkan gerakan syaitan ini berbanding buku pertama.

Namun, apa yang dipaparkan oleh The Arrival, adalah jauh lebih factual dan mereka membongkarkan melalui pembuktian kajian yang mendalam terhadap apa yang berlaku di dunia zaman ini. Ini seolah-olah rentetan yang saya peroleh secara beransur iaitu setelah mendapat tasawwur awal yang umum, saya disajikan pula dengan dokumentari hebat ini seterusnya memberikan saya kefahaman yang lebih jelas terhadap apa yang saya pernah baca sebelum ini.

Anda Akan Kenal Dunia Anda Yang Sebenar!

The Arrival menceritakan dengan jelas akan segala perkara berkaitan Illuminati dengan teratur bermula dari pengaruh mereka, gerakan mereka, tindakan mereka terhadap dunia, matlamat mereka, peristiwa-peristiwa besar dunia yang mereka aturkan (antaranya peristiwa 11 September!!) dan yang paling penting, siapa mereka dan siapakah yang mendalangi gerakan mereka.

Antaranya, virus hiburan yang sebenarnya mempunyai signifikan tersembunyi matlamat mereka dan upacara syirik mereka. Sukar untuk dipercayai bahawa dunia hiburan yang kita ketahui dikawal oleh Yahudi sebenarnya menjadi pentas dan platform paling utama mereka dalam menyebarkan dakyah mereka dan juga menjadi pentas upacara syirik mereka terhadap ‘Tuhan’ mereka!

Juga diceritakan berkenaan bagaimana mereka mengekalkan ajaran sesat mereka dalam keadaan tiada dokumen atau kitab khas yang mereka jadikan asset untuk memastikan ajaran mereka berkekalan selamanya. Mereka dikatakan menjadikan seni bina pelbagai bangunan utama dunia yang direka dengan menggunakan symbol tertentu (symbol yang mengandungi makna ajaran mereka) sebagai penantaraan dalam memastikan ajaran mereka kekal.

Sebagai contoh, bentuk pyramid, heksagon, bangunan 2 berkembar (dikatakan termasuklah KLCC!!), ukiran patung, petak hitam putih, mata satu dan pelbagai lagi, semuanya memiliki makna tertentu dalam ajaran sesat mereka. Jangan terkejut bahawa bangunan tertinggi di dunia kini iaitu Burj Khalifa di Dubai juga antara mercu tanda symbol ajaran sesat mereka!

Kemudian, diceitakan juga bagaimana mereka menguasai ilmu teknologi yang begitu tinggi dan dikatakan 30 tahun lebih maju daripada apa yang kita lihat kini. Hinggakan UFO yang kita dimomokkan sebagai mahkluk asing yang ingin menakluk bumi ini sebenarnya juga adalah antara teknologi hebat yang mereka sorokkan dari masyarakat dunia.

Dengan ayat mudah, UFO dan makhluk asing itu sebenarnya adalah mereka sendiri di mana cerita palsu makhluk asing direka untuk mengabui kita daripada perkara sebenar. Teknologi yang hebat ini mereka simpan agar mereka lebih berkuasa dari kita dan mereka ingin membuatkan kita tunduk kepada mereka, menjadikan mereka sebagai tempat berserah.

Terakhir yang ingin saya kongsi berkenaan peristiwa besar yang kononnya dilakukan oleh pengganas atau pihak tidak bertanggungjawab, namun sebenarnya dilakukan oleh mereka sendiri dan yang lebih mengejutkan peristiwa ini direka sebagai upacara ‘korban’ besar yang mereka lakukan untuk ‘Tuhan’ mereka!!

Antaranya, peristiwa 11 September yang saya yakin semua telah ketahui bahawa peristiwa ini adalah buatan mereka sendri untuk dijadikan modal untuk menyerang umat Islam. Namun, The Arrival mendedahkan lebih dari itu. 11 September dilakukan sebagai upacara korban besar oleh penyembah syaitan yang terdiri daripada ‘orang-orang utama dunia’ demi untuk mendapatkan kekuatan jahat dari ‘Tuhan’ mereka.

Mesti Tengok!

Semua yang saya coretkan hanya sebahagian kecil dari apa yang The Arrival dedahkan. Terlalu kompleks untuk saya jelaskan dan hanya siapa yang melihat dokumentari ini dan berfikir sahaja yang akan memahaminya. Ringkasnya, The Arrival adalah dokumentari yang akan mengubah pandangan anda terhadap dunia secara total!!!

Setelah menonton hampir semua episod The Arrival, saya tertanya pada diri bagaimanakah kita umat Islam akan dapat mengatasi mereka dengan perancangan licik mereka sedangkan kita kini berada di dalam system mereka dan hampir semua umat Islam kini masih leka dan sedang berada dalam aturan system mereka yang telah melemahkan sama sekali pemikiran, semangat, aqidah dan iman kita.

Mereka bersama kuasa kejahatan yang menaungi mereka telah memerintah dunia ini secara total dan mereka kini mengaturkan kita dan kehidupan kita dengan jari jemari mereka yang mana jari jemari mereka ini berada di dalam tiap rumah umat Islam!!

Namun, apabila saya memikirkan semula hikmah dari kisah Ashabul Kahfi, saya menjadi yakin bahwa sejauh mana kelicikan mereka, perancangan Allah mengatasi segalanya. Biarpun mereka berhempas pulas berusaha agar kejahatn mereka menguasai dunia, namun semuanya akan Allah musnahkan dan kembali meletakkan kebenaran di puncak dunia ini dengan ‘hanya satu malam’.

Kemenangan Islam adalah pasti, ini menjadi perkara yang wajib diimani oleh semua umat Islam. Biarpun kita dikelilingi dengan kejahilan dan perancangan jahat yang hebat, namun seperti yang berlaku dalam peristiwa Ashabul Kahfi, perkara yang kita fikirkan agak mustahil (kebenaran tertegak di sebalik kehebatan kezaliman), akan tetap berlaku mengikut kehendakNya.

Kini tinggal kita membuat pilihan samada ingin bersama dalam jihad yang telah dijamin akan kemenangan ini, ataupun duduk diam menanti kemenangan di mana tindakan duduk diam ini adalah bala yang akan menyesatkan kita kelak. Duduk diam inilah yang akan menghakiskan keyakinan kita terhadap janji Allah dan akhirnya akan buatkan kita menyakini mereka yang bertopengkan ‘penyelamat’ di akhir zaman ini.

Cerita Seperti Inilah Yang Harus Ditonton Pelajar KISAS

Saya terkenangkan memori di KISAS yang mana kerap diadakan tanyangan perdana sempena program khas yang dianjurkan. Pernah berlaku ketika saya di KISAS, filem yang yang ditayangkan lebih kepada filem mistik, berunsur syirik, lebih kepada khayalan dan tidak ada faedah yang dapat diadaptasi darinya. Hinggakan saya rasa lebih baik menonton cerita kartun dari menonton filem yang tidak berfaedah ini (seperti yang saya bangkitkan dalam Muktamar BADAR 2007).

Seharusnya filem yang menginsafkan dan menggerakkan minda seperti Ashabul Kahfi dan The Arrival inilah menjadi tatapan kita. Filem yang akan menyedarkan tugas sebenar kita di bumi Allah ini dan juga dokumentari yang menceritakan akan ‘kisah sebenar dunia zaman kini’.

Ada mereka berpendapat bahwa dokumentari seperti The Arrival ini berat untuk difahami. Ini adalah hujah tidak masuk akal. Matematik Tambahan yang semua tahu sebagai subjek ‘pecah kepala’ kita paksakan diri untuk fahami, ini kerana kita tahu kepentingan MT ini dalam ranking batch dan juga permohonan university selepas SPM.

Begitu juga perkara penting seperti ancaman musuh Islam ini. Jika kita tahu dan sedar akan kepentingan kita untuk mengetahui dan memahami perancangan musuh Islam dalam menyesatkan kita ke jalan neraka, kita juga akan paksakan diri untuk melihat dan memahaminya perkara yang sebenarnya ringan ini (sengaja dikatakan berat oleh pihak yang malas berfikir!!)

Saya pernah cuba dihalang untuk berkata dan memperjelaskan perkara seperti ini di dalam tazkirah harian di KISAS dahulu. Pelik saya ada juga pelajar yang berfikiran sempit dalam menilai mana yang baik dan mana yang buruk. Mudah saya menjawab kepada mereka “Jangan halang saya nak katakan kebaikan, bagi mereka yang tidak berminat, pekakkan telingan antum daripada mendengarnya!”

InsyaAllah, jika berkesempatan pulang ke Malaysia, saya akan sebarkan filem Ashabul Kahfi ini kepada adik-adik di KISAS dan juga kepada sahabat yang berminat. Untuk dokumentari The Arrival pula, sahabat semua boleh menonton di YouTube dengan menaip ‘The Arrival’. Ada lebih kurang 52 episod tetapi setiap satunya hanya sepanjang 10 minit.

Semoga kita mendapat kefahaman yang lebih jelas akan peranan kita sebagai hamba Allah di muka bumi ini.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
4.20 pm, Selasa 23 Februari 2010
607, Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Friday, February 19, 2010

Islam4peace : Alhamdulillah, Pengambaran 'Jejak Aulia' Berjaya!


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang mengizinkan dan memberikan bantuanNya sehingga segala yang dirancang semalam berjalan dengan lancar. Hasil idea Ust Mohd Nazrul bin Abd Nasir, pengambaran untuk rancangan terbaru yang dirancang oleh islam4peace.net, 'Jejak Aulia' telah dilangsgungkan semalam.

Bermula jam 8.00 pagi, krew islam4peace dan beberapa orang sahabat lain bertolak dari Rumah Kedah Baru, Hayyu Sabiek menuju ke beberapa makam sekitar Darasah, Hayyu Syafie dan Jabal Muqattam. Pengambaran yang tidak seberapa ini dapat dijalankan dengan lancar hasil kerjasama krew dan semua sahabat yang terlibat dan tidak lupa juga kepada Ammu 'Azim yang sangat spotting dan sanggup membawa kami ke mana sahaja tanpa sebarang keluhan. Terima kasih semua.

Bagai perjalanan yang diberkati Allah, urusan kami dipermudahkan dengan kesanggupan Ammu Azim untuk meluangkan masa membawa kami memandangkan beliau adalah orang yang arif terhadap tempat-tempat makam yang ramai pemamndu arab lain tidak mengetahuinya.

Kami yang berhasrat ingin makan bekalan kami di pusat Khidmat Mujmak Assahatخدمة مجمع الساحات terbatal kerana pihak pengurusan pusat ini dengan berbesar hati ingin menjamu kami. Alhamdulillah, kami dijamu dengan isy bersama kuah dal kambing, makanan yang sememangnya akan mengeyangkan perut yang sedang lapar.

Kami juga berkesempatan pergi dan mencari makam yang tidak diketahui tempatnya dengan bantuan penduduk kawasan itu seperti makam ru'yah Ishak anak Nabi Yusuf. Namun semuanya ini hanya 'qill' dan tidak diketahui secara tepat akan kesahihannya.

Banyak juga makam yang selalunya tidak dapat masuk ke dalamnya, namun semalam kami diberi kesempatan utk masuk melawat. Alhamdulillah, perjalannan yang agak panjang ini berakhir dengan lancar dan dibantu oleh Allah.

Selepas solat Maghrib di Masjid 'Ibadur Rahman, Hayyu Sabiek, kami singgah sebentar ke rumah Ust Nazrul untuk sesi makan malam, makan bekalan makanan yang sepatutnya kami makan tengah hari tadi.

InsyaAllah, pihak krew islam4peace akan segera menyunting rakaman semalam dan akan disiarkan secara berkala di www.islam4peace.net. Pengalaman pertama ingin menyunting video seperti ini mungkin memakan masa yang agak lama dan kurang kemahiran. Semoga Allah membantu dan membimbing kami melaksanakan dakwah dengan ikhlas dan jayanya.

Mohd Azrul Azuan bin Idris
Jumaat, 19 Februari 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

Tuesday, February 9, 2010

Krisis MB Perak : Parlimen Dan DUN Diperbudakkan!


Setelah solat Subuh pagi tadi, saya bergegas untuk menyewa broadband untuk mengikuti perkembangan terkini kes perbicaraan Mahkamah Persekutuan tentang status siapa MB Perak yang ‘sebenar’. Bagi saya, perkataan ‘MB yang sebenar’ bukanlah bergantung kepada keputusan tersebut semata-mata, namun berdasarkan dari sudut pandangan apakah yang kita ambil dalam menilai perkara ini.

Saya tidak meletak harapan yang tinggi untuk mahkamah memberikan kemenangan kepada YAB Dato Seri Nizar Jamaluddin (DSNJ). Ntah kenapa perasaan itu muncul, mungkin kerana sudah ‘dapat membaca’ kesudahan perkara ini di mahkamah.

Namun, untuk berlaku adil, setelah mengetahui mahkamah menetapkan Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir (DSZK) sebagai MB Perak, saya menyiasat sedikit peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) dan juga Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP) untuk menilai kesahihan kertas keputusan yang dibacakan menurut penilaian saya sendiri. Saya akan mengulasnya berdasarkan tiga sudut pandangan iaitu pandangan perlembagaan, pandangan rasional dan pandangan moral.

Terpaksa Akui Sultan Ikut Perlembagaan!!

Pandangan berdasarkan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan tadi memutuskan bahawa DSNJ dikira hilang sokongan majority sebaik sahaja tiga ‘Adun Lompat’ mengisytiharkan keluar dari parti mereka dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN. Ini adalah selari dengan hujah barisan peguam DSZK yang mengatakan bahawa Sultan Perak bertindak memecat DSNJ berdasarkan peruntukan Perkara 16 (6) UNTP.

Perkara 16 (6) terdapat bahagian yang menyatakan :
“Jika Menteri Besar telah hilang sokongan majoriti ahli-ahli DUN, MB hendaklah (shall) meletakkan jawatan keseluruhan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dirinya sendiri sebagai Ketua Exco melainkan dengan permintaannya untuk pembubaran DUN diperkenankan oleh Sultan”

Peruntukan ini hampir sama dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 43 (3) yang menyebut :
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka PM hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri (termasuk dirinya) melainkan jika atas permintaannya Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen”

Maka, saya simpulkan bahawa 3 perkara yang akan membuatkan MB terlucut jawatannya adalah :
1. MB hilang sokongan majority dalam Dewan Undangan Negeri
2. MB meletakkan jawatannya (samada sukarela atau setelah kehilangan sokongan majority)
3. DUN dibubarkan dengan perkenan Sultan

Jelas di dalam krisis ini, perkara kedua iaitu MB meletakkan jawatannya serta perkara ketiga iaitu pembubaran DUN tidak berlaku. Sultan Perak telah tidak memperkenankan pembubaran DUN selaras dengan kuasa yang diberikan padanya oleh UTNP di dalam Perkara 18 (2) (b) iaitu Sultan berkuasa mutlak untuk memperkenankan atau menolak permohonan pembubaran DUN oleh MB. Maka, tumpuan dan apa yang perlu kita selidik dan fahami adalah perkara pertama dan bagaimana caranya untuk membuktikan DSNJ kehilangan sokongan majority ahli DUN.

Apakah Bukti Nizar Hilang Sokongan Majoriti?

Di dalam kertas keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2009 yang mengisytiharkan DSNJ sebagai MB Perak, hakim Abdul Azizi mengatakan bahawa “Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan,”

Usul undi tidak percaya yang dimaksudkan adalah usul yang dikemukakan oleh salah seorang ahli DUN ketika persidangan dewan untuk membuktikan bahawa MB kehilangan sokongan majority secara jelas dan bertulis. Ini pernah berlaku di Sabah dan Kelantan suatu masa dahulu sebagai jalan untuk menyingkirkan Ketua Negeri mereka.

Ini juga yang ingin dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada September 2008 apabila DSAI yang mengakui mempunyai sokongan majority di kalangan ahli Parlimen meminta Perdana Menteri untuk mengadakan siding Parlimen Khas untuk membuat usul undi tidak percaya terhadap PM. Namun PM tidak menyahutnya dan perkara ini terkubur begitu sahaja.

Jika berdasarkan ini, maka boleh dikatakan perkara pertama itu juga tidak berlaku iaitu tiada undi tidak percaya dilaksanakan terhadap DSNJ di dalam DUN Perak dan DSNJ tidak pernah disytiharkan hilang sokongan majority di dalam DUN.

Ini juga dihujahkan oleh peguam DSNJ dalam prosiding mahkamah dan menjadi asas kepada dakwaan mereka bahawa DSNJ tidak pernah kehilngan sokongan majority kerana ‘kehilangan sokongan’ yang diwar-warkan oleh BN tidak pernah dibuktikan melalui usul undi tidak percaya di dalam DUN.

Benarkah Undi Tidak Percaya Termaktub Dalam Perlembagaan?

Menurut amalan demokrasi dan semua negara Komenwel, kehilangan sokongan majority hanya boleh dizahirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen ataupun DUN. Namun, setakat manakah amalan ini menjadi kewajipan dan adakah amalan ini diwajibkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau UTNP di dalam peruntukannya?

Setelah meneliti dan mencari, saya dapati ‘Usul Undi Tidak Percaya’ yang menjadi amalan negara Komenwel TIDAK WUJUD SAMA SEKALI di dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP! Hal ini amat memeranjatkan saya kerana amalan yang dikatakan menjadi amalan kebanyakan negara demokrasi tidak pernah diusulkan menjadi salah satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP.

Saya menilai perkara ini berdasarkan maklumat dan bahan bacaan yang terdapat pada saya. Namun, saya terbuka kepada sesiapa sahaja yang boleh menampilkan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang mewajibkan secara jelas akan perlunya ‘undi tidak percaya’ sebagai jalan dan bukti MB kehilangan sokongan majority.

Kelemahan Perlembagaan Halalkan MB Haram!

Jika perkara ini benar (tiada peruntukan mewajibkan usul undi tidak percaya sebagai bukti MB hilang sokongan majority), maka dari sudut perlembagaannya BN telah berjaya memanipulasi kelemahan besar perlembagaan kita ini untuk merampas semula Perak dan rampasan ini pula disahkan sebagai ‘mengikut lunas undang-undang’ oleh Mahkamah Persekutuan hari ini!

Saya tersenyum sinis, senyum kerana terpaksa bersetuju segala tindakan UMNO-BN ini selari dengan undang-undang ciptaan mereka. Senyum kerana terpaksa akui bahawa system perlembagaan seperti termaktub di dalam Rukun Negara dan juga fungsi utama Parlimen dan DUN sudah diceroboh oleh undang-undang yang diluluskan di dalam Parlimen dan DUN sendiri!!

Kesimpulannya, keputusan mahkamah pada hari ini mengesahkan bahawa ‘tiada cara khusus yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP untuk membuktikan MB kehilangan sokongan majoriti’. Maka, tindakan BN mempersembahkan semua 28 ADUN mereka bersama 3 ADUN Lompat di hadapan Sultan Perak telah diisytiharkan sebagai cara yang boleh dilakukan untuk membuktikan DSNJ kehilangan sokongan majority dan UMNO-BN kembali mendapat majority untuk membentuk kerajaan!!

Dengan ini, berdasarkan peruntukan perkara 16 (6) UNTP iaitu “Jika Menteri Besar telah hilang sokongan majoriti ahli-ahli DUN, MB hendaklah (shall) meletakkan jawatan keseluruhan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dirinya sendiri”, walaupun DSNJ tidak meletakkan jawatan , beliau telah disahkan hilang sokongan majority di hadapan Sultan (bukan di dalam DUN), dan Sultan pun tidak perkenankan pembubaran DUN. Akhirnya DSNJ dipecat dan kerajaan baru diberi mandat oleh Sultan (bukannya rakyat!!) untuk mentadbir Perak.

Apa Gunanya Parlimen Dan DUN Dalam Menentukan Sokongan?

Pandangan kedua saya berdasarkan rasional, masalah dan kelemahan utama yang berlaku adalah tiadanya mekanisme khas yang dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan berkenaan cara untuk membuktikan seorang PM atau KM atau MB kehilangan sokongan majority. Amalan ‘usul undi tidak percaya’ yang diamalkan di kebanyakan negara hanyalah tinggal amalan yang sama sekali tidak pernah diiktiraf secara jelas di dalam Perlembagaan.

Maka, keputusan pada hari ini akan memberikan kesan yang sangat besar pada masa akan datang. Sebagai contoh, sepatutnya DSAI tidak perlu meminta PM mengadakan sidang Parlimen Khas semasa September 2008 dahulu. DSAI boleh sahaja membawa ahli Parlimen yang dikatakan telah menyokongnya terus berjumpa Yang Di Pertuan Agong sebagai bukti bahawa PM kehilngan majority dan Yang Di Pertuan Agong boleh sahaja memecat PM dan memperkenankan DSAI membentuk kerajaan baru!!

Satu lagi contoh, DUN Negeri Sembilan menyaksikan bahawa BN membentuk kerajaan hanya dengan majority tipis iaitu 5 kerusi. Maka, boleh sahaja diculik 3 orang ADUN BN dan membawanya berjumpa Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan dan YDPB NS boleh isytiharkan YAB Dato Seri Hasan Mohammad hilang majority. Esok lusa, BN culik balik 3 orang tadi dan tukar lagi kerajaan hanya dengan cara perkenan YDPB NS, Dewan Undangan Negeri tidak diperlukan dan boleh dijadikan muzium sahaja!!

Kesimpulannya, fungsi Parlimen dan DUN telah sebagai tempat yang melaksanakan system keluhuran perlembagaan telah dikurangkan apabila ‘kehilangan sokongan majoriti’ tidak diwajibkan untuk dibuktikan di dalamnya. Malah, ia boleh berlaku di mana sahaja asalkan ada bukti. Maka, persoalannya di manakah kedudukan keistimewaan Parlimen dan DUN sekiranya perkara sebesar ini tidak memerlukan proses di dalam kedua-duanya?

Kini, amat mudah untuk menukar kerajaan. Jumpa sahaja Sultan dan bawa sekali ADUN lompat tersebut, kemudian Sultan sahkan MB hilang majority dan bertukarlah kerajaan. Klu tidak sempat jumpa Sultan di istana, boleh sahaja jumpa Sultan yang sedang bermain golf di Kelab Golf dan kerajaan boleh diisytiharkan bertukar melalui siaran langsung RTM dari Kelab Golf!!!

Kerajaan Budak-budak!!

Keputusan mahkamah pada hari ini akan menjadi President Casses (PCP) pada masa akan datang. Jangan terperanjat Tok Jib akan tersungkur dengan cara yang sama dia lakukan dalam krisis Perak ini. Jika ini berlaku, Tok Jib bawalah kes ke mana-mana mahkamah pun, maka keputusannya akan mengikut apa yang diputuskan hari ini.

Secara tidak langsung, perkara berkaitan pertukaran kerajaan melalui ‘kehilangan sokongan majoriti’ ini akan jadi bahan lawak dan ketawa orang luar kepada kita. Kita yang berbangga dengan kemuliaan Parlimen dan DUN sebagai institusi tertinggi negara dalam memutuskan dasar dan perlembagaan negara, namun dalam perkara sebesar ini, institusi paling utama negara ini diketepikan dan kita kembali mengikut cara kedai kopi dan cara kebudak-budakkan bagaikan budak-budak main masak-masak.

Kita yang mengakui mengamalkan tamadun undang-undang yang tinggi, kembali menggunakan cara yang tidak pasti, tiada ketepatan dalam perlembagaan dan lebih memalukan pertukaran kerajaan yang kita akui sebagai mengikut lunas demokrasi ini boleh dilakukan sesuka hati mengikut apa jua cara yang difikirkan kreatif demi mendapatkan kuasa walaupun cara itu amat menjijikan dan memalukan.

Tidak perlu endah akan apa yang orang pandang pada kita, yang penting dapat kuasa dan tebus malu daripada kekalahan yang berlaku. Pedulikan kemarahan rakyat, asalkan undang-undang yang amat lemah ini membenarkan dan kemarahan rakyat boleh dilunturkan dengan memperbodohkan mereka dengan gula-gula material. Tidak ada gunanya mengadakan pilihan raya kerana akan datang mandat rakyat ini akan dikhianati dengan cara yang ‘mengikut lunas undang-undang’. Kini, cara untuk menukar kerajaan semudah 3 langkah. Culik, paksa, isytihar!!

Kembalikan Keluhuran Parlimen!!

Apa yang saya katakan semua ini bukanlah untuk mempertikaikan keputusan ini. Malah dari mula lagi saya sudah akui terpaksa bersetuju bahawa kemenangan DSZK adalah mengikut undang-undang, namun ia adalah undang-undng yang amat lemah sifatnya!

Saya mengkritik dari sudut cara ini yang dikatakan ‘mengikut lunas undang-undang’ berpotensi untuk memperbudakkan institusi Parlimen dan DUN dan merendahkan maruah negara kita sebagai negara demokrasi yang mempunyai system perlembagaan yang bertamadun.

Maka, kesimpulannya pada pandangan saya, perkara berkaitan pertukaran kerajaan melalui cara ‘kehilangan sokongan majoriti’ perlulah dijelaskan dengan tepat di dalam peruntukan Perlembagaan. Pindaan perlu dibuat agar di masa akan datang, pertukaran kerajaan akan berlaku dengan cara yang bertamadun dan terhormat. Ini adalah penting untuk mengelakkan pertukaran kerajaan ini berlaku dengan sesuka hati mengikut cara yang difikirkan ‘kreatif’ oleh sesetengah pihak dan jadilah perkara sepenting ini bagaikan main-main dan kebudak-budakkan!

Pertukaran kerajaan mengikut cara ini perlulah dijelaskan mekanismanya dengan tepat agar rakyat merasakan mereka ada tetap ada hak dalam memilih pemimpin. Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika mereka hilang percaya kepada system yang sedia ada dan memilih untuk berdiam diri ketika tiap kali pilihan raya.

Jangan salahkan rakyat jika mereka hilang hormat kepada institusi diraja jika hak mereka diperbodohkan. Mengapa saya kata diperbodohkan? Perkataan apa lagi yang sesuai jika semasa pilihan raya pelbagai kempen dan rayuan dijalankan untuk mengerahkan mereka keluar mengundi, namun akhirnya kuasa menentukan siapa ketua mereka adalah di tangan Sang Lompat dan Sultan di istana, bukan lagi di kertas undi yang dipangkah mereka!

Ibarat Ludah Ke Langit!

Sudut pandangan ketiga, adalah pandangan moral. Berdasarkan kes ini, maka pihak yang mempromosikan cara ‘terhormat’ ini hendaklah insaf dan menilai dirinya. Ketika mula-mula krisis Perak bermula lagi, saya sudah berfikir bahwa hendak diamukkan pun tiada berguna kerana idea melompat parti ini asalnya pun datang dari idea ‘pihak kita’.

Saya suka untuk menyatakan semula pendirian saya bahwa jika mana-mana wakil rakyat ingin melompat parti, seharusnya mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu sebagai menghormati para pengundi yang mengundinya. Perlu diingatkan, pengundi mengundi kebanyakannya adalah berdasarkan parti, bukannya berdasarkan siapa anda. Contoh terbaik adalah YB Arumugam, bekas ADUN Bukit Selambau yang meletakkan jawatan kerana menerima tekanan hebat untuk melompat parti.

Walaupun yang bermasalah dalam keputusan mahkamah pagi tadi adalah kelemahan perlembagaan dalam menuntukan cara khusus untuk membuktikan kehilangan sokongan majority, namun perlu disedari punca sebenar masalah adalah budaya melompat parti yang kita pernah bersetuju dan akhirnya menikam diri. Apa lagi yang hendak diamukkan, berani buat berani tanggunglah!

Sepatutnya kita menumpukan usaha untuk membuktikan kemampuan kita mentadbir di 5 negeri yang kita menangi dan menjadikannya sebagai bandingan terhadap kerajaan UMNO-BN untuk dinilai oleh rakyat. Jika kita focus dan rakyat melihat kemajuan pentadbiran kita, maka pastinya UMNO-BN akan dibuang oleh rakyat di PRU13.

Namun, disebabkan sikap tidak sabar, kita telah terlajak tindakan yang akhirnya menjahanamkan sebuah kerajaan negeri yang baru hendak memputikkan bunga kejayaan mentadbir sebuah negeri. Perak yang selepas PRU12 menjadi penanda aras kerjasama Pakatan Rakyat telah terkubur akibat panahan senjata makan tuan!

Maka, kesimpulannya mahkamah hari ini telah mengesahkan bahawa DSZK adalah MB Perak yang sah (sah mengikut tafsiran undang-undang yang lemah ini!) dan pertukaran kerajaan yang berlaku secara amat kebudak-budakkan telah diiktiraf sebagai ‘mengikut lunas undang-undang’. Saya berdoa semoga ada berlaku kesedaran dan perubahan terhadap peruntukan Perlembagaan di dalam masalah ini.

Jika tidak, jangan salahkan orang luar jika kita ditertawakan sebagai negara yang undang-undangnya seperti budak-budak. Jangan salahkan juga jika rakyat hilang percaya kepada pemimpin, institusi diraja dan system yang sedia ada jika hak mereka telah diketepikan dan pemimpin mereka telah ditentukan oleh sebuah percaturan licik yang dilakukan oleh pemimpin yang kononnya mengangkat diri mereka sebagai pemimpin berjiwa rakyat!