Thursday, May 26, 2011

Blog Mencerca Islam : Jangan Dilayan! Biasalah Tu, Budak-budak.......

Mengucap panjang saya ketika membaca blog yang memaparkan penghinaan demi penghinaan yang sangat jijik kepada agama Islam, yang mana penghinaan itu semua kalau dinilai dari sudut syariat, pasti pelakunya sudah disabitkan dengan terkeluar daripada Islam.

Sejak akhir-akhir ini, kita dapat lihat trend mereka yang sangat iri hati dan sangat terdesak dengan perkembangan dakwah Islam, menggunakan cara 'budak belum matang' untuk menyaingi pencapaian agama Islam di seluruh dunia.

Islam diakui melalui kajian sebagai agama yang paling cepat berkembang di dunia. Situasi ini menjadikan agama Islam wujud di mana-mana negara di dalam dunia, tidak kira samada negara itu majoriti penduduknya beragama Islam atau sebaliknya. Semua ini adalah kurniaan Allah ke atas usaha yang dijalankan oleh pendakwah Islam di seluruh dunia. Semoga Allah merahmati kita semua.

Dengan perkembangan terkini ini, pihak yang iri hati dan terancam dengan kemajuan yang dicapai oleh agama Islam menjadi hilang punca dan blur dalam mencari jalan untuk menyaingi agama Islam. Setelah hampir semua jalan 'profesional' yang mereka cuba, Islam tetap berkembang seolah-olah tiada kesan akan semua tindakan mereka.

Maka, kita tidak perlu hairan dengan tindakan golongan terdesak ini yang menggunakan cara kebudak-budakkan dalam menyaingi Islam. Ibarat budak-budak yang bermain bola, apabila team yang kuat menang dengan gol yang banyak, maka team yang lemah ini merasa malu dan terdesak, lalu bermulalah acara ejek mengejek. Ini bertujuan untuk membakar kemarahan team yang menang tadi dan mengheret mereka ke kancah perkelahian. Situasi ini selalunya diakhiri dengan pergaduhan ala budak-budak...biasalah tu, budak-budak.....

Apa yang berlaku kini, samalah seperti ibarat tadi. Bila cara bermaruah tidak berjalan, mereka akan melakukan dengan cara tidak bermaruah. Maki hamun, sumpah seranah, fitnah melampau, manipulasi hadith dan Al Quran, menghina Allah dan Rasul dan macam-macam lagi.

Semuanya ini bertujuan untuk memanaskan hati orang Islam dan berhasrat untuk melihat orang Islam bangun dan bertindak luar kawalan macam mereka. Setelah orang Islam bertindak begitu, dilemparkan pula orang Islam sebagai ganas dan sebagainya...Trick ini adalah trick lama yang sudah diamalkan berdekad-dekad di kalangan budak-budak kampung.

Apa yang perlu kita lakukan? Macam kita layan budak-budak la....kalau budak-budak mengamuk tak tentu pasal, apa yang perlu kita buat? Biarkan mereka dan buat kerja kita. Lama-lama diam la tu...

Bagi saya, apa yang mereka buat tidak akan berkesan. Sesetengah manusia ni, walau macam mana tidak suka Islam pun, namun Allah mencipta manusia ni dengan batasan-batasan fitrah dan keintelektualan. Kalau orang yang berotak waras, mereka akan bertindak dengan berfikir. Setiap penerimaan dan penolakan terhadap sesuatu, pasti berteraskan sebab dan hujah.

Maka cara maki hamun ini, adakah orang dewasa yang waras dapat menerimanya? Walau mereka mungkin tidak suka pada Islam, namun mereka berpuas hati ke jika ketidaksukaan mereka pada Islam itu bertunjangkan hujah maki hamun ni? Mereka pastinya inginkan hujah yang intelek yang mampu dijadikan stand yang kukuh akan sebab penolakkan mereka terhadap Islam (walaupun mungkin tidak akan jumpa sama sekali hujah tersebut!)

Seterusnya, semua salakan sampah ini tidak sedikit pun menjejaskan Islam. Ini adalah kerana, Islam terbina dengan segala nas naqliyah dan hujah aqliyah yang sama sekali tidak mampu dinafikan kebenarannya. Islam terbukti benar dengan hujah pokok yang asas, bukan hujah kebudak-budakan yang akan terjejas dengan hujah maki hamun ini. Telah berjalan beratus-ratus dialog dan debat antara agama oleh ahli intelek Islam dan pelbagai ketua agama yang tahap keintelektualan mereka setaraf PhD dan Prof, tiada satu pun yang mampu menggegarkan asas hujah kebenaran Islam.

Namun, menjadi keperluan kepada pihak berkuasa untuk menyekat perkara ini untuk mengelakkan berlaku keadaan yang tegang. Ini bukan lagi soal kita takut berhujah. Nak berhujah macam mana? Kita berhujah pada perkara yang terbina dengan asas hujah. Adakah caci maki itu bertaraf hujah yang perlu kita layan dengan cara berhujah?

Saya khuatir, ini adalah usaha untuk mencetuskan huru hara di negara kita. Menjaga keamanan lebih penting daripada melayan budak-budak seperti ini. Lebih-lebih lagi jika ada yang terpengaruh dan membawa fahaman budak-budak ini kepada anak-anak, generasi muda kita. Peneyekatan ini adalah atas dasar kewajipan agama Islam yang mewajibkan penganutnya memelihara Islam daripada diperkecil dan dihina oleh orang lain.

Kepada kita umat Islam biasa ini, jalan terbaik adalah biarkan sahaja budak-budak itu bertempik. Kita tumpukan kerja kita dalam berdakwah dan menerangkan Islam kepada masyarakat. Tidak perlu membuang masa melayan mereka ini. Lagi dilayan, lagi bertambah syok mereka dan menjadi-jadi. Macam budak-budak la, makin dilayan, makin kuat tempiknya...Biasalah tu, budak-budak....


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Hussien, Kaherah.
26 Mei 2011, 1150 am.