Thursday, December 25, 2008

Benarkah Malaysia Negara Islam?

Saya mendapat ilham untuk berkongsi dengan kawan-kawan tentang status Malaysia samada boleh kita kategorikan sebagai negara Islam atau sebaliknya. Hal ini menjadi persoalan yang perlu dijawab kerana status ini menentukan samada agama Islam benar-benar dalam keadaan selamat di bawah Perlembagaan Perseketuan atau tidak. Menjadi kewajipan bagi umat Islam memastikan agar Islam dijaga sepenuhnya oleh perlembagaan agar dapat dilaksanakan dengan berkesan meliputi seluruh manusia kerana Islam syumul untuk semua manusia.

Saya ingin berkongsi pengalaman di kem Biro Tata Negara (BTN) yang mana saya mendapat banyak maklumat berkenaan perlembagaan negara. Saya bersyukur kerana Allah menyelamatkan saya daripada diselewengkan pemikiran dalam kem tersebut kerana sebelum ini saya mengetahui sedikit sebanyak berkenaan perlembagaan terutama selepas tercetus isu murtad pada pertengahan tahun 2006.

Ketika itu, hangat diceritakan berkenaan Lina Joy atau nama asal Azalina Jailani yang memfailkan kes terhadap Jabatan Pendaftaran Negara dan Kerajaan Malaysia kerana menghalangnya untuk membuang status Islam dalam Mykad. Dia yang asalnya beragama Islam murtad pada tahun 1997 dan bertindak menukar namanya dan status agamanya dalam Mykad. Saya yang ketika itu baru memasuki Lower 6 di KISAS amat tertarik berkenaan isu ini dan mengikuti beberapa siri ceramah dan penerangan berkenaan kedudukan dan kepentingan kes ini untuk kita menangi. Ramai beranggapan bahawa kes ini tiada makna jika kita menang atau kalah kerana Lina Joy tetap akan murtad jua. Namun setelah mencari maklumat dan gambaran sebenar kes tersebut, saya menyedari bahawa apa yang dibimbangi adalah implikasi daripada kes tersebut kerana jika kita kalah, implikasinya terlalu besar dan amat merbahaya kepada Islam.

Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan kes tersebut kerana ianya juga telah tamat dibicarakan dengan Lina Joy kalah dalam tuntutan tersebut walaupun tersebar SMS yang mengatakan Lina Joy menang semula dan Persatuan Kristian Melayu telah ditubuhkan, ia tidak lebih sebagai fitnah dan khabar angin. Jika ingin diulas sedikit, keputusan kes Lina Joy adalah keputusan Mahkamah Persekutuan yang mana ianya adalah mahkamah tertinggi dan keputusannya tidak boleh dicabar. Alhamdulillah, saya mendapat banyak manfaat daripada kes ini dan mendapat sedikit sebanyak ilmu berkenaan perlembagaan negara dan kedudukan Islam dalam perlembagaan. Terima kasih tidak terhingga kepada peguam YB Zulkifli Noordin yang banyak menyampaikan maklumat dan kefahaman berkenaan perlembagaan negara kepada masyarakat melalui siri ceramahnya di seluruh negara.

Kembali kepada tajuk kita, dalam BTN, saya mendapat penjelasan bahawa negara kita adalah sebuah negara Islam yang menjaga kepentingan semua rakyatnya yang berbilang kaum. Walau bagaimana pun, kem tersebut lebih memfokuskan berkenaan hak-hak orang Melayu dan betapa pentingnya kita mempertahankan hak Melayu yang telah diceroboh dan digugat oleh kaum lain. Mari sama-sama kita pertahankannya! Hidup Melayu!! (baca semula dengan menggunakan nada Dato Hishamuddin, Ketua Pemuda UMNO) Termuntah kami semua dihidang dengan nasi dan lauk kebangsaan sehingga tidak boleh masuk lagi ke dalam kepada otak ini. Amat memualkan. Saya tidak diajar untuk taksub pada bangsa kerana tiada apa-apa makna dengan bangsa. Kemuliaan hanya dengan iman dan taqwa. Apa guna kita orang Melayu jika kita tinggalkan Islam? Perlu diingat, Kesultanan Melayu Melaka gemilang ketika mereka berpegang teguh kepada Islam dan tumbang ketika mereka lalai dengan kuasa dan maksiat!

Saya tidak mahu mengulas tentang segala doktrin taksub pada bangsa yang diterapkan dalam kem tersebut. Ia hanya membuang masa! Saya hendak fokuskan berkenaan kandungan modul dalam kem berkenaan yang mengatakan Malaysia negara Islam dan dijamin kedudukannya dalam perlembagaan. Manakala kerajaan hari ini melaksanakan Islam sejajar dengan perlembagaan. Mereka membacakan berkenaan Artikel 3 dalam perlembagaan yang menyebut ”Agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan Malaysia”. Kata mereka, ini adalah bukti tertinggi betapa perlembagaan kita adalah selaras dengan Islam dan menjunjung tinggi agama samawi ini.

Saya ingin menyanggah kenyataan ini dengan tiga hujah. Pertama adalah melalui peruntukan artikel dalam perlembagaan iaitu artikel 4 berbunyi ”Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan ini adalah terbatal” Semua boleh faham dengan apa yang dikatakan oleh artikel ini. Ia sekali gus menasakhkan artikel 3 yang meletakkan keistimewaan pada agama Islam. Maknanya, Islam adalah agama Persekutuan tetapi yang tertinggi adalah Perlembagaan Persekutuan! Jika ada undang-undang Islam yang bercanggah dengan perlembagaan, maka undang-undang Islam tersebut akan terbatal! Adakah ini yang dikatakan keistimewaan pada Islam? Fasi BTN tidak menyebut langsung tentang artikel 4 ini. Begitu bijak mereka nak memperbodohkan kami pelajar agama. Apa mereka fikir kami pelajar agama bodoh undang-undang?

Dalam hujah kedua, saya hendak menjelaskan lagi hal ini dengan lebih mendalam. Setiap perkataan yang tidak jelas dalam perlembagaan akan mempunyai tafsiran terperinci. Perkataan ’agama’ dalam artikel 3 (rujuk artikel 3 di atas) mempunyai tarsiran tersendiri dalam perlembagaan. Apakah tafsiran ’agama’ dalam artikel 3? Saya sudah lupa tentang ayatnya tetapi ia lebih kurang bermaksud ’tafsiran agama dalam artikel 3 adalah religion seperti tafsiran agama-agama lain’. Maksudnya, yang dikatakan ’agama’ dalam artikel 3 bukanlah seperti tafsiran Islam iaitu ’ad-deen, cara hidup’ tetapi ’religion’ yang hanya berkisar kepada perbuatan retual sahaja. Inilah tafsiran Islam dalam perlembagaaan!!! Islam hanya sekadar dalam perbuatan ritual (ibadah) sahaja manakala yang lain tiada sangkut paut dengan Islam. Adakah ini keistimewaan yang diberikan kepada Islam ataupun penghinaan?

Maka tidak hairanlah timbulnya Aktikel 4 yang menafikan Islam sebagai undang-undang yang tertinggi kerana Islam sekadar dalam ibadah sahaja. Hakikatnya, Islam telah dihina dan diletakkan di bawah sesuatu yang dicipta sendiri oleh Lord Reid iaitu perlembagaan kita yang sekular. Kenapa saya katakan sekular? Kerana Islam hanya dalam ibadah dan terpisah daripada kehidupan dan pentadbiran negara. Bukankah ini sekular? Maka benarlah seperti yang dikatakan perlembagaan, Islam adalah Agama Persekutuan dalam hal ehwal ibadah sahaja manakala undang-undang tertinggi dalam perjalanan pentadbiran negara adalah Perlembagaan Persekutuan yang sekular! Inilah hakikatnya. Maka, bolehkah kita katakan Malaysia adalaj negara Islam?

Hujah ketiga yang ingin saya ketengahkan adalah Artikel 11 yang menyebut ”mereka yang berumur 18 tahun ke atas bebas menganut agama pilihannya sendiri”. Nampak macamlah rakyat Malaysia diberi kebebasan beragama, tetapi hakikatnya adalah sebaliknya! Dalam perlembagaan, ada yang dinamakan maksud yang terselindung. Sebagai contoh, kita pergi ke kedai mamak dan order ”mamak! Kasi itu teh, mu letak dalam cawan, letak susu, letak air panas dan mu tarik ye!”. Nampak sangat orang yang order itu bodoh kerana sepatutnya cukuplah dia berkata ”Mamak, kasi teh tarik satu!” Bila kata teh tarik, mamak tahulah maksud yang terselindung adalah letak teh dalam cawan, letak susu, tuang air panas dan tarik. Begitu juga dengan Artikel 11.

Bila sebut berkenaan ’bebas menganut agama pilihannya’ ia juga bermaksud ’bebas untuk tidak menganut’. Maksud di sini, tiada halangan untuk orang Islam murtad dan ini dijamin oleh perlembagaan. Sebagai contoh, Jamaluddin Othman merupakan seorang bekas Islam dan sekarang adalah paderi Melayu pertama di negara kita. Dia pernah didakwa kerana menyebarkan Kristian kepada remaja Islam yang lain. Maka dia ditangkap dan dibicarakan, namun dia dibebaskan kerana peruntukan Artikel 11. Keputusan perbicaraan menyebut bahawa Jamaluddin sudah berumur 18 tahun dan dia memilih agama Kristian. Maka dia berhak untuk menyebarkan agama pilihannya kepada orang lain. Lihatlah, artikel ini bukan sahaja menjamin hak untuk murtad malah membenarkan si murtad memurtadkan orang lain. Selain itu juga, Aktikel 11 mempunyai maksud terselindung bahawa mereka yang berumur 17 tahun ke bawah tidak bebas menganut agama pilihannya sendiri. Apakah kesannya? Kita lihat contoh di bawah.

Saya berikan contoh terakhir sebagai kesimpulan. Pada tahun 1980-an terdapat kes seorang gadis Cina bernama Suzy Teow, 16 yang memeluk Islam di Kelantan. Ibu bapanya yang beragama Buddha memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Kelantan untuk mendapatkan perintah mahkamah agar Suzy kembali kepada agama Buddha. Semua saksi dipanggil dan mengesahkan Islam Suzy sah kerana dia sudah baligh dan memeluk Islam dengan kerelaannya sendiri. Jika mengikut Islam, Suzy sah sebagai Islam dan sepatutnya tiada dakwaan baginya. Tetapi peguam pendakwa raya ketika itu, Karpal Singh (pengerusi DAP) mendakwa bahawa mahkamah Malaysia menggunakan Sivil Law, bukannya Islamic Law. Maka berdasarkan Sivil Law dalam Artikel 11, Suzy berumur 16 tahun dan tidak boleh menentukan agama pilihannya. Islam Suzy adalah terbatal dan hendaklah kembali kepada agama Buddha.

Jelas tak kedudukan Islam di negara kita? Suzy yang sudah memeluk Islam ’terbatal’ Islamnya kerana bercanggah dengan Perlembagaan Perseketuan. Namun, atas kebijaksanaan Ketua Hakim Negara ketika itu iaitu Tun Salleh Abbas, fail kes Suzy disorokkan selama 2 tahun. Apabila ingin dibacakan semula keputusan kes tersebut, Suzy diminta untuk mengumumkan agama pilihannya kerana dia sudah berumur 18 tahun. Lalu dengan lancar Suzy menyebut lafaz 2 kalimah syahadah. Dia sekarang Islam dan menjadi pendakwah yang mana ramai orang memeluk Islam di tangannya. Kes ini juga menjadi salah satu sebab kenapa Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara. Maka terkorbanlah seorang ketua hakim demi menyelamatkan aqidah seorang gadis. Tahniah Tun Salleh!!

Dengan ini, jelaslah kita akan kedudukan Islam di negara kita. Islam di bawah dan terdedah kepada ancaman. Lebih malang, mereka yang berkuasa mempertahankan perlembagaan ini dan sama sekali tidak berusaha untuk mengubahnya ke arah mempertahankan Islam sedangkan mereka mempunyai kuasa. Saya ingin simpulkan bahawa Malaysia adalah negara sekular kerana memisahkan Islam dengan pentadbiran negara dan juga kerana Islam tidak dijaga malah terdedah kepada ancaman di bawah perlembagaan sekular ini. Perlembagaan Persekutuan adalah perlembagaan sekular dan tidak berpandukan Islam. Tunku Abdul Rahman juga pernah menegaskan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan dikuatkan lagi dengan keputusan mahkamah pada 1980-an yang menjelaskan kedudukan bahawa Malaysia adalah negara sekular.

Kawan-kawan, Islam di negara kita berada dalam keadaan terancam dan akan terus diancam oleh pihak yang bencikan Islam. Islam tidak pernah memusuhi sesiapa dan kita hanya mahukan Islam tertegak dengan sempurna dan ia akan membawa kebaikan kepada semua. Menjadi tugas kita sebagai rijal-rijal Islam untuk mempertahankannya. Tugas kita sekarang cuma belajar bersungguh-sungguh dan beramal dengan kehidupan Islam sepenuhnya. Kelak nanti, kita semua akan bertemu kembali dengan membawa kepakaran bidang masing-masing dan kefahaman Islam yang syumul dalam pengembelingan tenaga yang akan mendaulatkan Islam di negara kita. Sentiasa berjemaah dan pelihara iman kita. Kita ada tugas besar dan mulia menanti kita di masa depan. Adakah kita mahu sertai? Tepuk dada tanyalah iman.

1 comment:

Unknown said...

Salam kpd anda semua,

NEGARA DEMOKRASI MALAYSIA ADALAH KAFIR KERANA :

1) Negara Malaysia mengakui Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi dalam Malaysia (artikel 4 Perlembagan Malaysia), padahal agama Islam dan undang-undang Islam adalah yang tertinggi di sisi Allah swt (Quran 9:33);

2) Negara Malaysia menyerahkan Daulat kpd manusia – perkara 39, Perlembagaan Malaysia, padahal di sisi Allah swt manusia tidak ada Daulat – Quran 4:53 kerana Daulat itu hanyalah hak Allah sahaja – Quran 3:26;

3. Negara Malaysia membuat undang-undang manusia (artikel 44 Perlembagan Malaysia), padahal Allah saja yang berhak dan berkuasa untuk membuat undang-undang (Quran 12:40, 6:57);

4) Negara Malaysia menguat kuasakan undang-undang manusia (artikel 43 Perlembagan Malaysia), padahal undang-undang Allah adalah diperintahkan untuk dikuat kuasakan ke atas manusia (Quran 5: 48,49,50);

5) Negara Malaysia menghukum manusia dgn undang-undang manusia (artikel 121 Perlembagaan Malaysia), padahal menghukum dgn undang-undang manusia adalah kafir (Quran 5:44);

6) Negara Malaysia mewujudkan sistem manusia menjadi para hamba kpd manusia dan tidak menjadi para hamba kpd Allah kerana manusia berada di bawah kuat kuasa undang-undang manusia – Quran 5:44, 16:116;

7) Negara Malaysia mewujudkan sistem manusia menyembah manusia dan tidak menyembah Allah kerana manusia taat dan patuh kpd undang-undang manusia – Quran 9:31;


8) Mengikut interpretasi Mahkamah Agung mengenai kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan Negara ( fasal 3 (1) Perlembaaan Negara), ianya tidak bermaksud bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara ( Che Omar bin Che Soh versus Public Prosecutor dan Wan Jalil bin Wan Abdul Rahman & anor versus Public Prosecutor, 1988, 2 mlj 55). Sempena penghakiman terhadap rayuan kes tersebut, Mahkamah Agung memutuskan bahawa agama Islam mengikut fasal 3(1) hanyalah terhad kepada hal-hal adat istiadat dan peribadatan ritual sahaja, bukan agama rasmi negara, dan ia (Mahkamah Agung) juga mengisytiharkan dalam keputusannya itu bahawa MALAYSIA BUKANLAH SEBUAH NEGARA ISLAM, tetapi sebuah negara sekular yang mengamalkan undang-undang British;

9) Kita hendaklah mengakui bahawa Malaysia adalah kafir kerana itu adalah keputusan dpd Allah dan Rasul-Nya, sebaliknya sekiranya kita mengakui bahawa Malaysia adalah Islam, kita jadi kafir kerana itu ertinya kita menolak keputusan dpd Allah dan Rasul-Nya – Quran 33:36;

10) Kita diperintahkan supaya tidak mengamalkan sistem politik demokrasi dan untuk menolak dan mengingkarinya serta untuk memusuhi dan membencinya – Quran 35:10, 4:60, 60:4.

Wan Solehah al-Halbani

Lubok Terua, Temerloh, PAHANG DM