Selepas menonton trailer filem biadap yang menghina Nabi Muhammad SAW,
secara tidak langsung ia mencerminkan imej tidak bertamadun pembuat
filem itu dalam berhadapan dengan persaingan yang diberikan oleh agama
Islam terhadap mereka. Pelik, dalam keadaan mereka menjual imej
profesional mereka, tetapi rupanya tersembunyi di sebalik itu sikap kuno
dan rimba mereka terhadap orang Islam.
Agama Islam dikenali sebagai agama yang paling cepat berkembang di
dunia. Peristiwa 11 September direka oleh Bush dan kerajaan Amerika
bertujuan untuk merosakkan imej Islam di mata masyarakat dunia. Namun
apa yang berlaku adalah sebaliknya. Masyarakat dunia yang celik maklumat
dan bersikap kritis lantas mengkaji akan apa yang dimomokkan oleh media
Barat terhadap Islam dan hasilnya, bukan keburukan yang ditemui namun
keindahan Islam tersingkap dan menyinari hati mereka.
Para musuh Islam menjadi semakin tertekan. Strategi menjatuhkan imej
yang mereka jalankan tidak berapa berjaya, malah memberikan kesan yang
lebih buruk terhadap jumlah penganut agama mereka. Agama Islam kekal
berkembang dan umat Islam juga semakin bertambah, lebih-lebih lagi di
Eropah dan Amerika.
Maka, muncul sekelompok orang yang terdesak, melakukan perkara yang
bagi mereka amat memuaskan hati mereka, namun dipandang jelek oleh
masyarakat dunia. Filem penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW yang
dibuat mereka, mencerminkan mentaliti dan kepandiran pembuatnya sendiri.
Pembohongan terhadap sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW, memutar belit
ayat Al Quran, melakukan fitnah kepada baginda, mereka-reka cerita yang
melampau terhadap Islam dan pelbagai lagi perbuatan jelek, semuanya
tidak lain hanya akan menggambarkan wajah mereka sendiri.
Masyarakat dunia yang akan menonton, tidak semuanya rela menjadi bodoh
dan percaya dengan apa yang dilakonkan. Mungkin ramai yang rela
diperbodohkan dan akan bergelak ketawa dengan aksi yang ditunjukkan,
merasa puas melihat Islam dipermaiankan. Namun, lebih ramai lagi akan
mencari dan terus mencari, apakah benar apa yang dilakonkan mereka itu?
Benarkah peribadi Nabi Muhammad SAW begitu, benarkah ajaran Islam itu
ganas dan zalim, benarkah wanita dalam Islam dihina, benarkah warga tua
dan kanak-kanak dibunuh dengan kejam di dalam undang-undnag peperangan
Islam, benarkah Islam mengajar kehidupan songsang kepada penganutnya,
semua perosalan ini akan mereka cari dan kaji sendiri melalui sejarah
Islam sebenar yang kini boleh didapati meluas di alam maya.
Hasilnya, kebenaran akan tersingkap. Keindahan Islam dan kemuliaan
peribadi Nabi Muhammad SAW akan tersebar. Sejarah membuktikan bagaimana
seorang penulis Yahudi, Michael H. Hart menulis di dalam bukunya 'The
100' pada tahun 1978 berkenaan tokoh manusia yang paling berpengaruh
dalam sejarah dunia, telah meletakkan Nabi Muhammad SAW di kedudukan
pertama selaku manusia paling berpengaruh di sepanjang sejarah manusia
di atas muka bumi ini.
Kebenaran yang akan terpancar itu akan mencurahkan hidayah buat mereka
yang mengkaji dan terus menerus mahukan kebenaran. Andai hidayah lewat
menjengah mereka, mereka sendiri menjadi pembela agama Islam daripada
fitnah-fitnah jahat ini walaupun mereka sendiri bukan penganutnya.
Perkara sebaliknya yang berlaku pula adalah, akan terserlah sikap tidak
bertamadun dan akal rimba pembuat filem yang biadap dan terdesak ini.
Hinanya mereka disebabkan ingin menandingi ajaran Islam yang berpaksikan
kebenaran, dengan berbekalkan tipu daya, fitnah, penghinaan dan ejekan
yang penuh kebudak-budakkan. Profesionalkah mereka? Tidak sama sekali,
yang kelihatan jelas hanyalah kebodohan yang sangat kebudak-budakkan.
Dalam menzahirkan tindak balas, kita sebagai umat Islam diajar dengan
baik oleh Allah berkenaan ini. Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat
108:
وَلاَ تَسُبُّوْا الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوْا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ
Bermaksud "Dan janganlah kamu cerca benda-benda Yang mereka sembah Yang
lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara
melampaui batas Dengan ketiadaan pengetahuan".
Ibnu Kathir berkata dalam tafsirnya “Tafsir Al-Quranil Azim (Jilid 2,
m/s 262)”: “Allah melarang Nabi s.a.w dan orang-orang yang beriman
daripada menghina sembahan orang-orang musyrikin, walaupun ada
kepentingannya, sekiranya kemudharatan lebih besar, iaitu tindakbalas
orang kafir yang akan menghina Allah S.W.T.
Maka, apa yang perlu kita lakukan adalah menzahirkan kemarahan dengan
penuh bertanggungjawab dan hikmah, namun jangan sesekali membalas dengan
menghina pula agama mereka. Tunjukkan kemarahan kita sebagai respon dan
tanda kesatuan umat Islam, agar musuh Islam ini tidak mudah untuk
mengulanginya di masa hadapan. Paling penting, kita ikhlas dalam
perbuatan kita dan marah kita itu kerana Allah semata-mata. Biarlah
marah itu menjadi saksi akan cinta kita kepada agama kita di hadapan
Allah kelak.
Kemudian, bagi yang mampu berhujah dan berjidal, berjidallah dengan
baik. Penghinaan mereka kepada Islam itu berdasarkan kejahilan, maka
perlulah dibalas dengan penerangan dan menyingkapkan kebenaran. Jika
kita membenci tindakan mereka, jangan pula kita mengambil mereka sebagai
guru dengan cara meniru apa yang mereka lakukan iaitu menghina dan
mengejek agama mereka.
Islam adalah agama bermaruah dan juga rahmat. Dalam kita menzahirkan
kemarahan kita dalam membela agama kita, jangan lupa pula menyebarkan
kerahmatan Islam kepada mereka.
Mohd Azrul Azuan bin Idris
13 September 2012, 2.30 pm.
No comments:
Post a Comment