Sebulan dua ni, kecoh tentang Gangnam Style. Seperti biasa, masyarakat
Islam Melayu terutama yang keliru identiti, tenggelam hanyut dibawa arus
tarian kuda ini. Bila kita mengkritik, mereka menjawab "kami hanya
meminatinya, adakah itu menjadi kesalahan?". Persoalan utamanya adalah,
adakah ia sekadar satu minat, ataupun lebih dari itu?
Bagi saya, saya tidak memandang penyebaran sebarang bentuk budaya
hedonisme yang kemudiannya diterima sebagai satu hiburan, ianya sekadar
minat atau suka-suka. Perlu difahami di sini, kita sebagai umat Islam,
neraca pertimbangan kita adalah iman, bukannya akal semata-mata. Akal
yang dikawal dengan iman akan melihat situasi ini dengan sudut pandang
yang lebih luas.
Ia membawa kepada budaya 'menerima yang lain lebih baik dari Islam'
secara halus, masuk ke dalam hati sanubari umat Islam. Ianya amat halus,
sehingga kita tidak perasan akan ancamannya. Apabila satu budaya
hedonisme, atau apa jua budaya yang bercanggah dengan Islam mula
diterima umat Islam, secara halus ia membawa satu trend menerima yang
lain itu lebih baik dari Islam.
Sebagai contoh, jika seorang remaja muslim itu sudah menerima dengan
positif budaya tarian kuda ini atau apa jua bentuk hedonisme, ketika
masa lapang apa yang akan dilakukannya? Menonton video-video Gangnam
Style atau mengambil Al Quran lantas membacanya? Ketika ingin
berpakaian, adakah dia akan memilih berpakaian yang memperlihatkan imej
muslim atau sebaliknya?
Dengan ayat mudah, apabila diberi pilihan antara cara Islam dan cara
bukan Islam di dalam kehidupan sehariannya, adakah kita akan memilih
cara Islam ataupun menjadi semakin malu untuk menampilkan cara hidup
Islam? Tidakkah ia telah menyuntik satu penerimaan bahawa cara Islam itu
memalukan dan terdapat cara hidup yang lain lebih meyakinkan? Tepuk
dada tanyalah iman.
Ya, ia satu suntikan budaya, budaya menerima selain dari Islam. Jika
dilihat kepada sikap anak muda kita, mereka sangat obses apabila
meminati sesuatu perkara. Akan dikaji siapa yang mengasaskan Gangnam
Style ini, ditiru pemakaian dan budayanya, ingin belajar bahasa
pertuturannya (kononnya satu budaya yang baik iaitu menguasai bahasa
lain), menghabiskan duit untuk membeli VCD, sanggup ke Korea untuk
menyertai konsertnya dan macam-macam lagi perangai 'gila' yang meresap
ke minda anak muda kita.
Cara hidup Islam, hiburan cara Islam, budaya Islam, pemakaian muslim,
bahasa Arab, membaca Al Quran, berzikir, ibadah dan pelbagai lagi
tuntutan agama, ianya mula dipandang sebagai tidak sesuai dan memalukan.
Ia tidak lahir dengan kata-kata, tetapi akan lahir dari tindakan,
pegangan dan pendirian yang jauh tersembunyi di lubuk hati. Cara Islam
hanya pada solat, puasa dan zakat, selain dari itu budaya kaum bermata
sepet ini menjadi ikutan.
Inilah bentuk sekularisme yang diterapkan melalui 'hantu hedonisme'.
Ianya amat halus hingga tidak nampak dengan mata, namun boleh diteropong
dengan mata hati yang disinari iman. Sepatutnya kita sebagai umat Islam
amat sensitit jika hati kita ingin disuntik dengan apa jua virus
sekular ini. Kita segera menolak mana-mana perkara yang cuba ditampilkan
sebagai trend terkini yang bercanggah dengan Islam.
Kita ada cara kita. Cara kita adalah cara Rabbani, cara hidup yang
digariskan oleh Allah SWT, tuhan sekelian alam. Bukankah dinamakan
'bodoh' bagi orang yang memilih kaca dalam keadaan sudah mengenali emas
yang terpampang di hadapan mata?
Mohd Azrul Azuan bin Idris
12 September 2012, 3.00pm.
No comments:
Post a Comment