Monday, March 1, 2010

Sambutan Hari Kelahiran Kekasih SAW : Benarkah Majlis Maulidur Rasul Majlis 'Ke Neraka'?


Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran teramat sangat pada tahun ini kerana dapat meraikan sambutan Hari Kelahiran Kekasih Tercinta, Rasulul Amin, Khatam Nabiyyin, Nabi Muhammmad, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Pada tahun lepas saya terlepas peluang untuk menghayati hari bersejarah ini disebabkan kealpaan saya terhadap kalendar Hijrah hinggakan terlupa akan tarikh 12 Rabiul Awal.

Pada tahun ini, 12 Rabiul Awal disambut dengan hujan lebat seluruh Kaherah. Saya yang kebetulan buat pertama kali di Mesir diundang untuk menyampaikan tazkirah sempena Hari Kelahiran Kekasih ini, telah pergi ke Saidah Zainab dengan mengharungi banjir di beberapa jalan utama di Kaherah ini.

Berat rasa hati ingin mengingatkan orang lain tentang Rasulullah sedangkan hati ini belum ikhlas menyintai baginda. Bimbang akan dikatakan sebagai penipu di akhirat kelak apabila lidah mengatakan cinta, tapi hati bersarang dengan maksiat. Ya Allah, tebalkan hati ini dengan cinta kepadaMu dan Rasul kesayanganMu ini dengan mengikis segala tompok hitam di hati ini, kesan perbuatan maksiat yang berterusan.

Saya yang pada mulanya dipujuk untuk menyampaikan tazkirah ini oleh Akh Azuan, mengandaikan saya akan memberi pengisian kepada ikhwah Medic sahaja. Namun petang tersebut, 2 jam sebelum majlis, saya dihubungi oleh penganjur bahawa saya akan menyampaikan tazkirah kepada akhawat Medic sahaja!! Makin terasa berat di hati, akan berada di pentas yang terdedah kepada panah-panah yang akan membunuh keikhlasan jika hati tidak dikawal dengan iman.

Alhamdulillah, saya dapat menyampaikan hingga tamat, tidak tahulah mesej yang saya sampaikan difahami atau tidak oleh mereka. Namun, kesungguhan mereka perlu dipuji kerana biar pun saya lambat tiba dan program bermula agak lewat (disebabkan hujan), namun mereka tetap memberi tumpuan hingga tamat. Moga Allah menerima amalan kami di malam itu.

Keesokkan harinya, saya dapat menyertai sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al Asyraf, Muqattam. Majlis ini dianjurkan setiap tahun oleh Maulana Syeikhuna Al 'Allamah Dr Yusri Al Hasani Hafizahullah dan akan dijemput juga masyaikh lain seperti Al 'Allamah Syiekh Usama Al Azhari dan juga Al 'Allamah Syeikh Dr Jamal Farouk.

Agak ramai juga pada petang itu, terutama pelajar Malaysia. Majlis dimulai dengan solat Jumaat dan khutbahnya disampaikan oleh Maulana Syeikh Dr Yusri sendiri yang menyentuh pelbagai peristiwa dan keistimewaan Rasulullah SAW. Terasa lain dan bergetar di hati apabila mendengar apa yang ditututkan oleh syiekh tambahan pula darah Nabi Muhammad SAW juga mengalir di dalam salur darah maulana syeikh.

Setelah tamat solat Jumaat, majlis diteruskan dengan bacaan zikir dan qasidah oleh munsyid yang amat merdu suaranya. Terasa asyik sebentar mendengar alunan qasidah yang tersirat makna memuji Rasulullah SAW, tambahan lagi dialunkan oleh munsyid yang bersuara merdu.

Ucapan pertama pada hari itu dimulakan oleh Syeikh Maulana Usamah Al Azhari yang terkenal dengan bunga bahasa yang tinggi. Tidak dapat saya menangkap apa yang diucapkan syeikh, namun pastinya mengandungi pelbagai isi yang penting untuk menambah lagi kesedaran kita dalam meningkatkan cinta kepada Rasulullah SAW bukan sahaja di hati, malah di dalam kehidupan seharian kita.

Sementara menunggu kedatangan Syeikh Maulana Dr Jamal Farouk, majlis diteruskan dengan bacaan qasidah hingga waktu Asar. Selepas Asar, makanan diagihkan untuk santapan semua hadirin. Saya dikhabarkan makanan daging kambing pada hari ini adalah 'aqiqah anak kepada Maulana Syeikh Usamah sendiri yang baru lahir beberapa minggu yang lepas bernama, Fatimah. Semoga menjadi srikandi agama yang hebat, seperti ayah dan datuknya.

Ketika makan, Maulana Syeikh Dr Jamal tiba dan beliau mempersilakan hadiran menghabiskan makanan terlebih dahulu sebelum beliau memberikan kalam mutiara dalam majlis ini. Dalam ucapannya, syeikh menceritakan akan keberkatan dan keisitmewaan mereka yang menyambut Hari Kelahiran Rasulullah SAW dan menolak dakwaan mereka yang bersangka buruk dan memfitnah orang lain yang menyambut hari mulia ini.

Selepas itu, majlis diakhiri dengan doa. Setelah tamat doa, saya bergegas mendapat ketiga-tiga syiekh, Syeikh Yusri, Syeikh Usamah dan Syeikh Jamal untuk bersalaman. Alhamdulillah, majlis berjalan dan tamat dengan jayanya. Semoga Allah mengurniakan rahmat dan keberkatan kepada semua yang hadir.

Saya terkenang dan terkilan kepada sesetengah pihak yang pantas menghukum mereka yang menyambut Hari Kelahiran Rasulullah SAW ni. Hinggakan majlis yang memuji Rasulullah ini dikatakan sebagai 'majlis yang membawa ke neraka'. Mengapa hingga begitu jadinya? Adakah mereka yang hadir ke majlis memperingati Rasulullah ini dihukum dengan begitu berat hinggakan sama tarafnya dengan orang yang membuat maksiat besar seperti berzina? (disebabkan kedua-duanya masuk neraka!)

Memanglah khilaf dalam agama itu rahmat, tapi jika kamu tidak bersetuju dengan pendapat lain, jangan pula menghukum pandangan lain itu sesat dan akan masuk neraka. Jika kamu tidak mahu meraikannya, tidak mengapa. Sememangnya tiada hukum wajib dalam menyambut Hari Kelahiran Rasulullah ini. Namun, hormatilah orang lain yang menggunakan pendapat yang berlainnan dengan kamu.

Saya ingin berhujah dengan dua potong hadith sahaja. Pertama adalah hadith sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya "tidak beriman seseorang itu hinggalah aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anak-anaknya dan seluruh manusia", riwayat Imam Ahmad, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasaie, Imam Ibnu Majah, Imam Ad Darimi dan Imam Ibnu Hubban. Hadith ini jelas akan kewajipan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk menyintai baginda melebihi sesiapa pun.

Hadith kedua pula adalah sabda Rasulullah SAW mafhumnya "Sesiapa yang melakukan (menggubal) di dalam Islam suatu perbuatan baik, maka padanya pahala perbuatan itu dan juga pahala orang lain yang mengikuti perbuatan itu selepasnya dengan tidak berkurang walau sedikit pun pahala itu. Juga sesiapa yang melakukan (menggubal) di dalam Islam suatu perbuatan buruk, maka padanya dosa perbuatan itu dan juga dosa orang lain yang mengikuti perbuatan itu selepasnya dengan tidak berkurang walau sedikit pun dosa itu", hadith ini dan hadith seumpamanya terdapat dalam Musnad Adi Daud, Musnad Imam Ahmad, Sahih Muslim, Sunan Tarmizi, Sunan Nasaie, Sunan Ibnu Majah dan Sunan Ad Darimi.

Hadith kedua ini pula sebagai dalil bahawa apa jua amalan baik yang dilakukan ataupun diwujudkan dalam Islam, akan diterima dan juga diberi pahala. Seperti di dalam Syarah Sahih Muslim, karangan Imam Nawawi (1) ada mengatakan bahawa "kedua-dua hadith ini (bukannya dua hadith di atas, tetapi dua hadith di dalam Sahih Muslim yang membawa maksud yang sama seperti hadith yang kedua) menjelaskan akan galakan (istihbab) melakukan perkara baik dan mengharamkan (tahrim) perbuatan buruk. Dan sesiapa melakukan sunnah yang baik, baginya pahala seperti mana pahala setiap yang melakukannya hingga ke hari kiamat dan sesiapa yang melakukan sunnah yang buruk, ke atasnya dosa seperti mana dosa orang yang melakukannya hingga ke hari kiamat.

Juga siapa yang menyeru kepada kebaikan (huda), baginya pahala seperti mana pahala mereka yang mengikutinya (mengikut perbuatan baik itu). Atau juga mereka yang menyeru kepada kesesatan (dholalah), ke atasnya dosa seperti mana dosa mereka yang mengikutnya (perbuatan sesat itu). Sama sahaja samada kebaikan dan kesesatan itu mereka mulakan, ataupun mereka mengikutnya dari orang lain. Sama sahaja jika isu semua (kebaikan dan kesesatan itu) dalam pengajian ilmu, atau ibadah, atau adab atau apa sahaja selain itu"


Maka, jika kita gabungkan kefahaman akan kedua-dua hadith ini, kita akan lihat bahawa majlis sambutan Hari Kelahiran Rasulullah ini adalah perkara yang baik yang tidak perlu dipertikaikan aqidah mereka yang mengikutinya. Majlis seperti ini adalah baik kerana ia majlis yang menzahirkan cinta kita kepada Rasulullah (walupun hati kita masih tidak sempurna menyintai baginda) dan ini menepati mafhum hadith pertama.

Majlis ini juga terdapat kebaikan yang di dalamnya diadakan majlis zikir, nasihat, bacaan qasidah (hiburan yang tidak melalaikan), dan juga jamuan. Semuanya ini adalah amalan baik dan memberi faedah kepada umat Islam. Ini adalah bertepatan dengan mafhum hadith kedua.

Maka, menyintai Rasulullah dengan menggunakan apa jua cara yang baik dan selagi tidak bercanggah dengan syarak dan aqidah, adalah harus dan digalakkan. Ini kerana Rasulullah tidak pernah menetapkan cara khusus yang wajib diikuti oleh umat Islam dalam menzahirkan rasa cinta padanya. Sedangkan tindakan Ibnu Zubair yang meminum darah bekam Rasulullah SAW juga tidak dimarahi baginda, inikan pula kita yang sekadar menjalankan majlis sebegini yang pastinya memberi faedah kepada masyarakat.

Kesimpulannya, majlis sambutan Maulidur Rasul ini harus untuk dilaksanakan dan boleh juga jika tidak dilaksanakan. Maka, jika ada orang yang melaksanakannya janganlah pula kita memfitnah mereka kerana mereka menghadiri majlis 'yang membawa ke neraka' mengkut fahaman sesetengah golongan. Ini adalah kerana majlis seumpama itu adalah majlis yang menzahirkan rasa cinta kita pada Rasulullah dan juga majlis yang baik untuk kemaslahatan umat Islam berdasarkan kefahaman kedua-dua hadith tadi.

Semoga kita mendapat rahmatNya dan mendapat syafaat Rasulullah SAW di akhirat kelak. Amin.


MOhd Azrul Azuan bin Idris.
12.50pm, Isnin, 1 Mac 2010
607, Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah.

(1) Kitab Syarah Sahih Muslim, karangan Imam An Nawawi. Keluaran Darul Makrifah, Jilid ke 8, juzu ke 16, bab Kitab Al Ilmu, muka surat 442.

2 comments:

Mohd Fadeer Pauzi said...

Alhamdulillah dah maju penulisan.. ada hujah dalil dan nota kaki :) keep it up!
*Sheikh Muhammad Ibrahim Al-ketani kata td d masjid Hussein menyambut maulidur Rasul itu sunnat hukumnya, Ingat dan cinta Rasulullah wajib hukumnya. - (Fauzan)

fania linda said...

Agen Judi
Bandar Judi Online
Agen Judi Bola
Bandar Bola Terpercaya
Agen Casino
Bandar Poker Online
Agen Judi Terpercaya
Prediksi Bola
Agen Bola
Bola Judi
Agen SBOBET
Agen IBCBET
Agen Casino
Casino Online
Poker Online