Tuesday, March 30, 2010

Bandingan Dua Dunia : Islam Kelihatan, Muslim Di Mana?


Baru-baru ini, saya mendapat khabar berkenaan tiga peristiwa yang menyebabkan saya terfikir betapa ruginya umat Islam yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidupnya. Ini kerana, ramai di kalangan manusia yang masih bergelar ‘non-muslim’, tetapi mengamalkan adab dan akhlak Islam jauh lebih baik berbanding umat Islam sendiri.

Peristiwa yang saya maksudkan adalah semuanya sama, iaitu kehilangan handset. ‘Modus operandinya’ juga sama iaitu tercicir. Peristiwa pertama berlaku kepada kawan dan juga senior saya di Mesir ini. Beliau kehilangan handset yang bernilai agak mahal ketika menaiki teksi dari Masjid Azhar ke rumahnya.

Apabila menyedari kehilangan handsetnya, beliau terus menghubungi handsetnya dengan menggunakan handset kawannya dengan harapan sesiapa di dalam teksi itu yang terjumpa handset tersebut dapat menyimpannya dan mengembalikan kepadanya. Namun, panggilan itu diputuskan dan kemudian tidak dapat lagi dihubungi.

Peristiwa kedua berlaku juga di Mesir, berlaku kepada senior dan guru saya, Ust Hairul Nizam. Ketika berbincang berkenaan masalah handicam untuk rakaman kelas pengajian di Masjid Azhar, saya meminta Ust untuk menghubungi saya jika terdapat masalah. Namun, dijawab oleh ust dengan “handset ana orang arab ‘pinjam’, maaf ye..” Ayat yang sama juga dikatakan oleh ust tahun lepas.

Dengar dari cerita kawan-kawan saya, handset ust hilang sama macam sahabat saya yang pertama tadi, tertinggal di dalam teksi. Bila dihubungi semula, tidak dijawab dan dimatikan terus. Ini merupakan kehilangan kedua handset ust Hairul semenjak saya mengenali beliau. Mungkin sebelum itu, sudah hilang lagi, saya pun tidak tahu.

Peristiwa ketiga adalah berlaku kepada adik saya yang baru sambung belajar di Sydney, Australia. Sama juga dengan dua cerita di atas, handset iPhone 32GB yang baru diperolehnya tercicir di dalam troli supermarket di sana. Bila menyedari akan kehilangan handset itu, hilang semangatnya dan beliau berasa sedih sangat.

Dalam fikirannya, jika tercicir di dalam troli supermarket, memang tipislah harapan untuk berjumpa semula. Tambahan pula handset jenis itu yang sememangnya mahal dan digilai oleh ramai orang, jika ada yang menjumpainya pasti goyah iman dan berfikir samada untuk berlaku jujur atau tidak.

Namun, setelah dinasihatkan oleh kawan, beliau pergi juga ke supermarket tersebut untuk bertanyakan berkenaan handsetnya, jika ada sesiapa yang terjumpa dan memulangkan kepada pengurusan supermarket. Terkejut dan gembira tidak terkata apabila diberitahu handsetnya itu ada di dalam simpanan mereka.

Mereka memberitahu bahawa orang yang terjumpa handset itu memulangkan kepada casher supermarket tersebut. Begitu beruntung dan rasa bersyukur adik saya itu kerana menjumpai semula handsetnya yang tercicir sedangkan boleh sahaja sesiapa yang menjumpainya itu mengambilnya. Ataupun casher yang menerima handset itu berdiam diri dan menyimpan handset tersebut di dalam beg tangannya. Namun, semua itu tidak berlaku.

Saya berfikir, kenapalah negara yang dikenali sebagai negara bukan Islam ini, rakyatnya mengamalkan kejujuran yang tinggi dalam kehidupan mereka. Sedangakan negara Islam seperti Mesir mahupun Malaysia, amat kurang untuk berjumpa orang yang jujur.

Pasti ada yang berkata, jangan menghakimi umum dengan bukti yang kecil. Ataupun ada yang beranggap saya seolah-olah mengambarkan negara bukan Islam lebih baik dari negara Islam. Mungkin juga ada yang berkata, jika sudah ditakdirkan hilang, memang akan hilang. Ataupun , kebetulan handset adik saya itu dijumpai oleh orang Islam yang jujur dan casher itu pun seorang yang jujur. Kebetulan sahaja….

Saya pulangkan semua persoalan tadi kepada para sahabat semua. Saya tidak menafikan segala sanggahan yang timbul terhadap tulisan ini, namun apa yang saya ingin bawa para sahabat semua untuk renungi adalah reality sebenar yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia.

Jika kita bukakan mata luas-luas dan amati dengan jujur, benarkah ramai di kalangan umat Islam yang tidak berakhlak dan tidak kelihatan tingkah lakunya sebagai Muslim, manakala betapa ramai pula orang bukan Islam yang amat berakhlak di dalam kehidupan seharian, seolah-olah mereka lebih mengamalkan ajaran akhlak Islam lebih dari kita sendiri?

Masing-masing akan dapat jawapannya. Tidak perlu untuk memberitahu atau bertanya kepada orang lain, cukup dengan berfikir sendiri, pasti akan ada jawapannya.

Kita lihat dari aspek kebersihan, satu dunia kenal dengan sikap dan perangai orang Korea dan Jepun. Mereka dikenali sebagai orang yang sangat menjaga kebersihan sehinggakan diiktiraf oleh banyak pertubuhan dunia.

Antaranya, tindakan penyokong Jepun semasa Piala Dunia Bola Sepak di Perancis 1998, FIFA mengeluarkan satu kenyataan rasmi memuji mereka kerana membersihkan tempat duduk penonton seluruh stadium selepas tamat menonton pasukan negara mereka beraksi.

Namun, jika kita lihat negara kita, pergilah ke mana-mana juga acara dan majlis, baik dari majlis kecil hingga ke majlis peringkat antarabangsa. Kerajaan membazirkan berjuta ringgit tiap tahun semata-mata membiayai perbelanjaan untuk membersihkan tempat majlis-majlis besar selepas tamat majlis. Usah kata majlis maksiat sahaja, majlis ceramah agama dan majlis yang berunsur kebaikan juga seperti itu.

Di Jepun, pernah berlaku seorang pelajar Malaysia di sana mengira semua kos barangan yang ingin dibelinya dengan menggunakan kalkulator betul-betul di hadapan casher di sebuah supermarket. Tujuannya hanya untuk mengagak bajet belanjanya pada hari itu. Namun tindakannya itu tidak disenangi oleh casher tersebut dan dia merasa kecil hati dengan perbuatan pelajar itu. Ini kerana, dia beranggapan bahawa pelajar itu ragu akan kejujurannya dalam mengira jumlah kos barangan tersebut.

Hal ini berlaku kerana sudah menjadi budaya mereka, mereka akan menjalankan perniagaan dengan jujur tanpa ada usaha untuk menipu. Maka, apabila ada tindakan yang seolah-olah meragui mereka, mereka merasa tidak senang dan kecil hati.

Namun, kita nilailah dengan budaya di tempat kita dan negara umat Islam yang lain. Pantang jika ada yang tercicir duit, ataupun terjumpa barang berharga. Pernah berlaku, seorang pakcik terbabas motosikal di lebuh raya di Kuala Lumpur. Lalu datang dua orang anak muda, bukannya untuk menolong, malah merompak pula pakcik tersebut. Akhirnya, pakcik tersebut meninggal dunia di situ kerana lambat dirawat.

Banyak lagi contoh yang boleh difikirkan sendiri oleh para sahabat. Kita sepatutnya menjuarai akhlak mulia lebih daripada orang bukan Islam kerana akhlak mulia menjadi salah satu ajaran utama dalam Islam. Ehsan seperti yang disebut dalam ‘Hadith Saidina Jibrail’ adalah akhlak yang menjadi salah satu tunjang di dalam membentuk peribadi seorang Muslim.

Tidak rugi kita berakhlak dengan akhlak Islam, amat sesuai dengan jiwa dan emosi kita sebagai seorang manusia. Maka, saya amatlah pelik dengan orang Islam kita, terutama rakyat Malaysia di Mesir ini, amat suka berpenampilan seperti orang lain dan amat malu berpenampilan sebagai orang Islam sedangkan orang bukan Islam berlumba-lumba mengkaji dan mengamalkan akhlak Islam.

Di zaman fitnah sekarang, menjadi satu keperluan dhoruri untuk kita mengubah diri dan kembali berakhlak dengan akhlak Islam. Jika tidak, kita sebenarnya menyumbang lagi fitnah kepada agama Islam. Cukuplah kita difitnah dengan ‘agama pengganas’. Jika kita terus mengamalkan cara hidup yang ‘tidak tahu dari mana sumbernya’, maka jangan terperanjat jika akan datang Islam dilabelkan dengan ‘agama pencuri’ atau ‘agama pengotor’. Siapa salah? Kita antara yang menyumbangkan label itu…


Mohd Azrul Azuan bin Idris
5.12 pm, 30 Mac 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

No comments: