Wednesday, March 10, 2010

Jejak Auliya : Rancangan Terbaru Islam4peace,net Akan Ke Udara Minggu Hadapan


Assalamualaikum. Alhamdulillah, setelah menjalankan pengambaran siri rancangan terbaru islam4peace.net hampir sebulan lepas, hari ini telah disiapkan trailer pertama rancangan terbaru ini yang boleh ditonton secara terus melalui www.islam4peace.net.

Memang mencabar dalam usaha ingin menyunting satu ciri rancangan ala-ala Jejak Rasul TV3 ni, tambahan pula saya tidak ada pengalaman langsung dalam dunia rakaman dan pengambaran ni. Namun, atas kesedaran yang ditanamkan oleh rakan-rakan dan para senior yang banyak memberi tunjuk ajar, saya memaksa diri untuk mencari pengalaman meneroka dunia media ini yang kini menjadi antara senjata ampuh dalam menyebarkan dakwah.

Pandangan kita terhadap dunia kini adalah terbentuk oleh apa yang dipaparkan media kepada kita. Tidak kira apa jenis media pun, gambaran akan realiti dunia ini terbentuk dalam fikiran kita seperti mana yang digambarkan oleh media di sekeliling kita.

Namun, kita perlu sedar bahawa dunia media hari ini bukanlah dikuasai oleh pihak yang ikhlas dalam memberikan maklumat yang benar dan tepat kepada manusia. Tetapi media dunia hari ini dikuasai oleh kelompok manusia yang ingin mengongkong pemikiran manusia agar memandang dunia ini selari dengan apa yang mereka inginkan.

Hakikatnya, kesan media yang dikuasai oleh mereka yang berkepentingan ini telah menyebabkan apa yang kita lihat dunia hari ini adalah semuanya bukan dunia yang sebenarnya, tetapi dunia yang dilihat dari sudut jeriji penjara minda yang telah musuh-musuh Islam bina di dalam minda kita.

Kita sebagai daie jika menyedari hakikat ini, pastinya kita akan menyedari betapa pentingnya kita untuk mengetahui dan menguasai medan media ini untuk mematahkan serangan media yang dijalankan oleh musuh kita. Sebagai contoh sekumpulan anak muda yang menjalankan usaha dengan menubuhkan 'Wake Up Project' yang berjaya menerbitkan pelbagai dokumentari yang hebat. Melaluinya juga, ramai di kalangan penonton berjaya disedarkan akan hakikat dunia hari ini yang telah dikuasai oleh musuh-musuh Islam.

Maka, segala syukur kepada Allah yang telah memberi kesempatan kepada para krew islam4peace untuk mengorak setapak langkah ke hadapan dengan menerbitkan rancangan bersiri Jejak Aulia yang dirakamkan sekitar Kaherah. Rancangan ini dirakamkan dari makam-makam para aulia dan memaparkan berkisar tentang cerita para ulama dan kegigihan mereka dalam menuntut ilmu.

Semoga usaha yang sedikit ini dipandang sebagai ibadah di sisi Allah dan moga Allah jauhi hati kami daripada penyakit riya' dan 'ujub terhadap kemampuan yang Allah kurniakan ini. InsyaAllah, mulai minggu depan islam4peace.net akan mula menayangkan rancangan ini mengikut kemampuan masa dan kesempatan yang ada. Semoga dipermudahkan Allah, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
10.00 pm, 10 Mac 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

No comments: