Friday, March 12, 2010

Syeikh Tantawi Hafizahullah : Pemergian Mutiara Azhar dan Adab Dalam Menghormati Ulama


Saya menangguhkan post berkenaan perginya ketua bagi masyaikh Azhar, Syaikhuna al-Allamah Syaikhul Akbar Dr Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah kerana ingin menunggu berita dari akhbar-akhbar di Malaysia yang 'ada potensi' untuk mengkhabarkan berita kematian syeikh, di samping itu turut 'dihiasinya' dengan kontroversi yang memberi gambaran buruk kepada syeikh. Saya akan mengulas berkenaan ini di bawah nanti.

Saya mendapat berita berkenaan perginya sebutir permata Bumi Anbia ini ketika melangkah masuk ke rumah sahabat saya, Fauzan di Hussien daripapa Abg Aji. Rasa terkejut melanda fikiran dan juga rasa terkilan kerana perginya syeikh dalam keadaan saya belum bersua muka dengannya, apatah lagi meneguk kalam ilmu dari syeikh maulana.

Saya melayari internet pada hari itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut akan berita kematian syiekh. Syeikh dilaporkan menghembuskan nafas yang terakhir di Riyadh, Arab Saudi ketika dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke Mesir setelah berada di Riyadh untuk menerima anugerah daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

Syeikh dikatakan mengadu sakit dada dan kematian syeikh juga disebabkan oleh serangan jantung mengejut. Pada mula saya mengetahui bahawa syeikh menghembuskan nafas terakir di Saudi, saya mula menjangkakan satu perkara yang akan dikurniakan oleh Allah, Rabbul Jalil kepada insan berjaya ini. Tidak akan Allah matikan seseorang itu di suatu tempat mulia melainkan ada takdir yang telah Allah tetapkan untuknya.

Tekaan saya benar, berita di internet melaporkan bahawa jasad maulana syeikh akan disemadikan di kawasan perkuburan paling mulia dalam Islam setelah makam Rasulullah, iaitu perkuburan Baqi'. Rasa terharu sangat dengan perhormatan yang diberikan Allah kepada maulana syeikh.

Saya lantas teringat akan perbincangan yang berlansung dua hari sebelumnya bersama Abg Azam iaitu perbincangan berkenaan Masjid Nabawi sempena sahabat saya, Hakimi ingin berangkat menunaikan umrah pada hari itu. Di dalam perbincangan itu ada dicerita berkenaan kisah Syeikh Maulana Muhammad Al Ghazali hafizahullah, iaitu seorang ulama masyhur Mesir suatu ketika dahulu.

Maulana syeikh adalah ulama yang disegani dan dihormati oleh umat Islam pada ketika itu. Namun, lumrah ulama memang tidak akan lepas daripada fitnah. Syeikh difitnah sebagai ulama kerajaan dan sering membela kerajaan. Namun, seperti yang diceritakan oleh guru saya, Maulana Ust Zulkifli Ismail, berlaku kisah di mana maulana syeikh diminta untuk mewakili kerajaan di dalam perbicaraan kes pembunuhan seorang yang dikatakan agen sekular yang telah membuat sesuatu perkara yang menghina Islam (saya lupa apakah perbuatan itu).

Tujuan kerajaan adalah untuk membela hujah pihak pendakwa raya bagi menghukum si pembunuh itu dengan hujah bahawa membunuh si sekular itu merupakan satu dosa di sisi Islam. Namun, ketika maulana syeikh berhujah di mahkamah, dengan berani maulana syeikh mengatakan darah orang yang telah murtad halal dibunuh! Maka terkejutlah semua pihak yang pernah memfitnahnya sebelum ini dan maulana syeikh terus dilucutkan semua jawatan dalam kerajaan serta diharamkan untuk ke udara di dalam mana-mana stesyen televisyen.

Di sebalik segala tomahan dan kontroversi yang melanda syeikh, Allah menetapkan di hujung akhir hayatnya, maulana syeikh telah pergi ke Saudi kerana menghadiri satu majlis himpunan ulama walaupun pihak berkuasa Saudi sebelum itu sudah tidak membenarkan syeikh menjejakkan kaki ke Bumi Saudi.

Ditetapkan Allah, maulana syeikh akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Saudi dan jasadnya diberi penghormatan untuk dikebumikan di perkuburan Baqi', perkuburan yang mempunyai keistimewaan di sisi Islam yang diakui oleh jumhur ulama muktabar. Walaupun syeikh sering difitnah ketika hidupnya, namun Allah memadamkan semua fitnah itu dengan kurniaan nikmat dimakamkan di perkuburan yang dekat dengan Rasulullah SAW.

Sepeti yang melanda Maulana Syeikh Muhammad Al Ghazali, begitu juga berlaku kepada Maulana Syeikh Tantawi. Sangat sinonim cerita antara kedua tokoh ini. Saya berpendapat, tidak akan Allah kurniakan penghormatan semulia itu kepada maulana syeikh melainkan ada pengajaran yang ingin dizahirkan Allah kepada kita yang masih hidup.

Seharusnya dengan 'pembelaan' Allah terhadap maulana syeikh, maka kita tidak perlu lagi mengungkit apa jua cerita yang memburukkan syeikh yang tersebar sebelum ini. Diakui banyak kontroversi yang melanda dan ada antaranya tindakan maulana syeikh tidak dipersetuji oleh ulama muktabar lain. Namun, siapakah kita yang ingin menjadi hakim akan semua kontroversi ini?

Apabila ada antara ulama bercanggah pendapatnya, ia tidak lebih daripada pencanggahan ilmiah. Memang sikap ulama yang telah terdidik dengan ilmu, percanggahan antara mereka akan diselesaikan dengan penuh adab dan ilmiah. Tegur menegur dan saling menasihati menjadi kelaziman bagi mereka. Mereka bercanggah di dalam perkara ilmiah yang setaraf dengan tahap ilmu mereka yang sememangnya tidak dapat difahami oleh pandangan akal buta kita!

Percanggahan ilmiah mereka sama sekali tidak mengheret kepada pencanggahan peribadi. Maka, mengapa kita yang masih jahlun ini memandai nak menjadi hakim malah ada lebih berani menghukum ulama itu sebagai sesat dan sebagainya, seolah-olah mereka dan berada setaraf dengan nabi!!! Saya mengutuk keras pihak yang menjadikan maki hamun kepada ulama ini sebagai zikir harian mereka seolah-olah mereka adalah golongan dan sudah pasti masuk syurga.

Jika ingin menjadi orang yang berautoriti untuk melibatkan diri dalam percanggahan antara ulama, tuntutlah ilmu sehingga menjadi setaraf dengannya. Pendirian yang kita perlu ambil apabila ada pandangan ulama muktabar yang bercanggah dengan apa yang kita fikirkan, kita seharusnya merujuk kepada mereka yang lebih faham dan berilmu daripada kita agar kita mendapat pandangan yang betul terhadap satu-satu isu tersebut.

Apa yang saya katakan ini, tidak bermakna saya meletakkan ulama tersebut bertaraf maksum, tetapi saya katakan ini adalah dari sudut pandangan adab. Jika kita di pihak benar pun dan pandangan ulama itu salah, seharusnya kita tangani dengan baik dan beradab. Jika anda seorang berilmu dan yakin dengan dalil ilmiah bahawa ulama tersebut salah, betulkan dengan ilmiah dan bersangka baik dengan mengatakan kemungkinan ulama itu tersilap. Ulama adalah manusia biasa yang adakala melakukan kesilapan.

Jika kita hanya sekadar bertaqlid dengan pendapat orang yang lebih berilmu dari kita bahawa pendapat ulama itu salah, maka cukuplah kita berpegang dengan pendapat yang betul itu dan bersangka baik dengan ulama tersebut. Jika kita memang tidak tahu dengan tepat dan sekadar merasakan pendapat ulama itu salah mengikut pendapat kita yang masih jahil, jangan buat apa-apa pendirian malah berdiam diri dan serahkan perkara berkenaan terhadap orang yang ahli disamping terus berusaha mendapatkan kebenaran.

Inilah adab yang perlu kita pegang dan amalkan. Adab inilah yang menjadi amalan para ulama sehingga ilmu mereka diberkati dan mereka menjadi ulama muktabar. Maka, saya mengecam keras pihak yang masih mengungkit kontroversi yang melanda maulana syeikh sebelum ini sehinggakan boleh menimbulkan fitnah. Antaranya adalah Berita Harian.

Maulana syeikh sudah mendapat 'pembelaan' sewajarnya dari Allah dan kita sepatutnya sedar bahawa jika berlaku kesalahan pun kepada syeikh, syeikh hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Di dalam Islam kita dilarang untuk menceritakan keburukan orang yang telah mati walupun orang kafir. Inikan pula seorang ulama! Kita seharusnya mendoakan kerahmatan dan pengampunan ke atas roh syeikh dan merenung akan himkah Allah mentaqdirkan jasadnya disemadikan di tanah yang mulia.

Apa yang berlaku kepada Maulana Syeikh Muhammad Al Ghazali dan Maulana Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi hafizahumallah seharusnya menjadi pembangkit semangat kepada kita untuk menjadi seorang berilmu dan berjasa sepertinya. Semoga Allah melimpahkan segala kurniaanNya kepada maulana syeikh yang kita cintai. Selamat bertemu Allah dengan penuh rahmat. Al Fatihah...


Mohd Azrul Azuan bin Idris
4.00 pm, 12 Mac 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah

No comments: