Wednesday, March 2, 2011

PRK Merlimau Dan Kerdau : Jijiknya Politik UMNO Gaya Bani Israel!

Di dalam Al Quran, cukup untuk kita jadikan panduan dalam apa jua bidang kehidupan masyarakat zaman kini. Al Quran ada menceritakan pelbagai kisah zaman lalu untuk kita tatapi, ambil ikhtibar dan pengajaran demi untuk mengelakkan kita mengulangi sejarah yang Allah rakamkan di dalam kitab suci ini.

Antara kisah yang Allah coretkan adalah kisah Bani Isarael dan Tholut di zaman Nabi Daud A.S. Kisah di dalam surah Al Baqarah itu menceritakan akan tindakan Bani Israel yang mempertikaikan akan perlantikan Allah kepada Tholut sebagai ketua mereka.

Bani Israel tidak berpuas hati kerana perlantikan itu padanya tidak relevan. Kenapa tidak relevan? Alasan utama mereka adalah kerana Tholut bukan seorang yang kaya dan berharta. Berbeza dengan mereka yang kaya dan berharta serta dirasakan mampu untuk membawa kemajuan, pembangunan dan kebahagiaan kepada umat.

Allah dengan mudah membalas akan apa yang dihujahkan Bani Israel itu. Perlantikan Allah kepada Tholut itu bukan kepada pertimbangan kebendaan, tetapi atas sebab Tholut lebih berilmu dan kuat malah Allah akan menambahkan lagi ilmu dan kekuatan Tholut itu.

Apa yang kita boleh perhatikan di sini adalah, pertimbangan terbesar dalam memilih pemimpin BUKANLAH harta, pangkat, pembangunan dan kebendaan. Namun yang lebih utama adalah ilmu dan kekuatan. Ilmu yang dimaksudkan di sini pastinya ilmu berkaitan dengan agama dan ketaqwaan, dan kekuatan yang dimaksudkan adalah kekuatan fizikal dalam menghadapi musuh Islam di dalam peperangan.

Maka, faktor utama yang menjadi gandingan mantap untuk memilih pemimpin adalah mereka yang bertaqwa, berilmu, beriman serta berani dan kuat dalam mempertahankan kalimah Allah. Tidak termasuk sesekali di dalam syarat menjadi pemimpin mampu membina sekolah, bina jambatan, beri bungkusan milo percuma dan banyak lagi gula-gula kebendaan.

Jika kita lihat senario PRK Merlimau dan Kerdau sekarang, tindakan UMNO saling tidak tumpah dengan sikap Bani Israel. Mendabik dada sebagai layak menjadi pemimpin hanya kerana kononya UMNO mampu mengkayakan rakyat, mampu beri itu dan ini, mampu menyuburkan tanah yang kontang, boleh beri apa sahaja yang diminta. Berlagak dengan kekayaan dan duit yang sebenarnya semuanya milik rakyat, untuk menunjukkan mereka layak menjadi pemimpin kerana dunia di tangan mereka.

Saya tidak kisah sedikit pun jika UMNO berlagak begitu jika UMNO telah memenuhi kateria yang Al Quran tetapkan tadi. Andai kata jika UMNO tiada kateria itu pun, saya masih tidak terlalu ambil kisah jika UMNO menaburkan kemajuan dan kebendaan itu kepada semua rakyat, pada semua tempat dan pada bila-bila masa, sebelum dan selepas pilihanraya.

Namun, kita semua tahu akan sikap dan wayang UMNO ini. Saya cuma ingin lontarkan persoalan dan meminta para pembaca menilainya sendiri. Andai kata tiada pilihanraya kecil ini, adakah SRJK (T) Merlimau akan mendapat bangunan baru? Adakah jeti nelayan Merlimau akan dinaik taraf? Adakah tuntutan PIBG sebuah sekolah di Pahang akan ditunaikan? Adakah mereka akan berarak mengagihkan milo, tepung dan susu di setiap rumah?

Semua tahu akan jawapannya. UMNO hanya akan kelihatan bersama kepulan awan emasnya apabila tiba pilihan raya. Kemudian, hujan emas akan diturunkan ke setiap inci kawsan pilihanraya. Cuma perlu diperhatikan di sini, dalam masa yang sama kawasan rakyat miskin, rakyat yang menderita di tempat lain usahkan kata hujan emas, hujan besi berkarat pun tidak turun walau setitik!

Najib, Muhyiddin dan Ali Rustam tidak akan sama sekali memandang mereka yang lain ini melainkan setelah diugut dengan kehilangan undi di dalam PRK. Hinggakan sekarang, rakyat seolah-olah perlu berdoa agar Allah mematikan wakil rakyat di kawasan mereka agar dengan kematian itu, barulah mata pemimpin ala-ala Bani Israel ini akan memandang mereka kemudian mengarahkan awan emas untuk berlayar ke kawasan itu dan menenggelamkan rakyat di sana dengan hujan emas.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa saya memandang mereka ini dengan pandangan yang amat jijik sekali. Berita yang dilaporkan di media yang menunjukkan mereka mengumumkan projek itu dan ini, saya pandang dengan penuh rasa mual dan jijik. Ini kerana, mereka sanggup menggunakan cara yang dipakai oleh Bani Israel yang terang-terang telah ditempelak oleh Allah di dalam Al Quran.

Bani Israel mengatakan bahawa dia layak jadi pemimpin kerana dia seorang yang kaya dan berharta, manakala UMNO mengatakan mereka layak menjadi pemimpin kerana mereka banyak duit (yang sebenarnya duit rakyat!), mampu menunaikan semua permintaan pengundi. Jadi apa bezanya UMNO dan Bani Israel? Jijiknya politik UMNO gaya Bani Israel ini!!

2 comments:

Faqih Ahmad Shuhaili said...

Assalamu Alaikum Abg Azrul, apa khabar? Lama kita xutus2 berita ツ...

Banyak (sangat) point yang saya agree dalam post ni. Cuma nak dapatkan clarification tentang Jalut ni:

"Antara kisah yang Allah coretkan adalah kisah Jalut bersama Tholut di zaman Nabi Daud A.S. Kisah di dalam surah Al Baqarah itu menceritakan akan tindakan Jalut yang mempertikaikan akan perlantikan Allah kepada Tholut sebagai ketua kaum mereka."

Bukankah yang pertikaikan pelantikan tersebut merupakan Bani Israel tu sendiri? Sedangkan Jalut merupakan ketua tentera musuh yang wataknya ditimbulkan Allah selepas peristiwa mereka bertemu sungai.

Ketua Bani Israel pada ketika itu merupakan Nabi Samuel as (Ref: Tafsir Ibn Kathir) sedangkan Nabi Daud as merupakan tentera yang berjaya membunuh Jalut semasa peperangan tersebut.

al Baqarah, 2:246 - 252

Nampak macam rumit sket senarai watak dalam cerita ni... Tolong clarify balik yer.

Btw, mesej sampai. Dalam situasi seperti sekarang ni, banyakkanlah kita berdoa sebagaimana dalam 2:249.
قالوا ربنا أفرغ علينا صبرا وثبت أقدامنا وانصرنا على القوم الكافرين

Jzkk.

Mohd Azrul Azuan said...

Jazakallah atas teguran dan pembetulan. Sememangnya ana terkeliru antara watak Bani Israel dan Jalut di dalam kisah ini. Ana dah betulkan semula. Harap nta tolong check ye, kalau ada salah lagi, gtau la ana. Jazakallah =)