Thursday, March 10, 2011

Filem Pembangun Minda : Ke Mana Arah Tuju Pembikinan Filem Malaysia?


Sehingga kini, pelbagai filem bertaraf box office dihasilkan di Malaysia. Penghasilan filem tersebut seterusnya dikaji dan dikomen akan 'kehebatannya' untuk dijadikan penanda aras akan kemajuan dan tahap pembikinan filem di negara kita.

Tiap tahun, berpuluh juta dihabiskan untuk membuat pelbagai filem yang ditonjolkan dengan pelbagai tema. Malah, beratus juta pula wang dikumpul oleh syarikat produksi, hasil keuntungan yang mereka dapat daripada penghasilan filem yang 'hebat' ini.

Daripada kenyataan ini, jika dinilai dari sudut keberhasilan komersial, pengiat filem Malaysia sudah mencapai tahap yang sama dengan pembikinan filem barat yang sememangnya menjadikan keuntungan komersial itu sebagai hadaf utama. Seperti setarafnya mereka di dalam kaca mata material, begitulah sama tarafnya mereka di dalam kaca mata pembangunan moral dan minda!

Di Mesir, kemajuan teknologi maklumatnya boleh dikatakan lebih maju berbanding Malaysia. Perkembangan massa dan juga kepantasan internet membuatkan kepentingan alam maya jauh lebih tinggi berbanding dengan telefon dan bentuk perhubungan lain.

Membawa kepada apa yang saya ingin katakan pada kali ini, berkaitan dengan penghasilan filem, pelajar Malaysia di Mesir adakalanya lebih pantas berkenaan dengan filem-filem baru yang dihasilkan di seluruh dunia berbanding di Malaysia. Hinggakan ada filem-filem baru yang belum ditayangkan di Malaysia, namun pelajar Malaysia di Mesir sudah lama mengkhatamkannya. Ada juga filem yang memang tidak dijumpai di Malaysia, namun bertebaran dan tersebar luas di kalangan pelajar Malaysia di sana.

Situasi ini membawa kepada perkembangan yang sihat dan tidak sihat. Terpulang kepada masing-masing untuk memilih antara yang sihat dan yang tidak sihat. Pada yang memilih perkara tidak sihat, maka tidak hairanlah ramai di kalangan lepasan Mesir mempunyai akal yang tidak berapa sihat. Begitulah sebaliknya.

Di sini, saya ingin mengulas berkenaan 'nikmat' yang dapat disantapi oleh minda pelajar Malaysia yang memilih perkara sihat. Nikmat yang dimaksudkan adalah mereka dapat menonton pelbagai cerita dan filem yang membangunkan minda dan mencorakkan pemikiran yang sihat serta terbuka mengikut nilai-nilai yang diterapkan Islam.

Dengan itu, kami dapat menilai sejauh mana kehadapannya pembikinan filem di setengah-setengah negara yang menjadikan bidang pembikinan filem sebagai satu medan untuk membangunkan minda rakyat mereka. Mereka sama sekali tidak mengetepikan soal keuntungan, namun dalam masa yang sama berjaya juga menyampaikan mesej yang menyedarkan minda masyarakat dan juga menyampaikan mesej kritikal kepada pihak tertentu.

Jika kita ingin katakan filem-filem berkenaan adalah filem yang terpencil yang tidak dipandang di peringkat antarabangsa, ini tidak tepat. Ini adalah kerana ada antaranya mengaut untuk berlipat kali ganda daripada filem di negara kita, malah ada yang memenangi anugerah berprestij di peringkat antarabangsa.


Cuba kita lihat perbezaan filem-filem antara negara kita dan beberapa filem luar yang saya katakan berjaya membawa mesej berkesan kepada masyarakat. Kita lihatlah filem-filem Malaysia seperti Evolusi KL Drift, Cuti-cuti Cinta, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain filem yang jika kita nilai lebih bertunjangkan fantasi dan ilusi. Sejauh mana filem-filem ini berjaya membawa mesej yang membangunkan minda masyarakat? Sejauh mana filem-filem ini membawa teguran yang kritikal kepada perkara yang tidak betul di negara kita?

Secara kasarnya, penggiat filem di negara kita tidak beberapa mementingkan isi yang membangunkan minda di dalam filem-filem mereka. Mereka seolah-olah tidak mampu untuk berfikir dan menggabungkan konsep komidi, alam remaja, lasak dan ngeri bersama dengan pengisian yang membangunkan minda. Jika filem lawak, maka lawaklah dari awal hingga tamat. Jika ganas, maka ganaslah dari awal hingga tamat. Lebih meluat, jika cinta, maka jiwang karatlah daripada awal hingga akhir.

Jika ada penggabungan pun, penggabungan itu melibatkan konsep-konsep basi yang langsung tidak membangunkan minda. Ilusi digabungkan dengan seram dan jiwang. Ganas, digabungkan dengan ngeri dan khurafat. Lawak, digabungkan dengan jiwang dan angan-angan. Maka, tidak hairanlah jika kita melihat masyarakat negara kita ini memiliki minda yang mundur, dikaburkan dengan material dan cinta, percaya kepada perkara tahyol dan khurafat dan dijangkiti pula dengan kerosakan akhlak yang teruk.


Jika boleh saya petik pula beberapa filem luar yang berjaya membawa kesan baik kepada masyarakat, saya memilih untuk mengulas dua filem daripada India dan dua filem daripada Jepun. Filem '3 Idiots' dan 'Slumdog Milionaire' antara filem box office peringkat antarabangsa yang membawa mesej yang kritikal berkenaan keadaan masyarakat India yang berada dalam keadaan dhaif.

Slumdog Milionaire berjaya memberitahu dunia akan realiti kehidupan rakyat India yang berada di dalam kemiskinan dan terpinggir daripada mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan. Kemiskinan, penganguran, penindasan, pencabulan hak asasi manusia dan juga menganiayaan terhadap anak yatim dan miskin. Filem itu berjaya memberi satu penampar yang tepat ke muka pemimpin India yang lebih suka mengaut keuntungan peribadi dan sama sekali tidak mempedulikan nasib rakyatnya.


3 Idiots pula memberikan mesej yang kritikal terhadap sistem pendidikan yang hanya menghasilkan pelajar yang lulus peperiksaan dan mendapat pekerjaan yang hebat. Ini mengakibatkan para pelajar bukan menguasai ilmu, tetapi menguasai cara lulus peperiksaan dan cara mendapatkan kerja yang hebat.


Dua drama Jepun yang ingin saya ulas adalah 'Change' dan 'Mr Brain'. Change mengisahkan seorang guru yang secara tidak sengaja menceburkan diri di dalam politik dan dengan pantas dilantik menjadi Perdana Menteri Jepun. Setelah itu berlakulah pertembungan apabila dia berdepan dengan orang politik yang berteraskan politik semata-mata. Kita boleh melihat betapa pentingnya minda akademik di dalam dunia politik agar politik berjaya menghasilkan faedah yang besar di dalam sesebuah negara.


Mr Brain pula adalah drama sains fiksyen yang berteraskan kajian sains di dalam penyiasatan jenayah. Bagi orang yang meminati sains, pastinya drama ini membangkitkan satu perasaan minat yang mendalam terhadap dunia sains dan membuka minda dalam memahami dunia sains.

Saya tidak katakan bahawa semua filem di Malaysia berada di tahap yang rendah jika dinilai dari sudut ini. Ada juga beberapa filem yang membawa mesej yang cukup baik kepada masyarakat. Namun, nilai baik yang teramat sedikit itu ibarat tidak kelihatan apabila ditenggelami oleh taufan ilusi, fantasi filem-filem lain.

Kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi penggiat filem, diharapkan anda mengutamakan nilai dan moral daripada semua yang lain termasuk keuntungan material. Tidak lupa juga untuk menghindarkan sama sekali unsur-unsur maksiat dan keingkaran kepada Allah di dalam filem-filem anda.

Manis juga jika akan datang, di dalam kumpulan produksi filem, dilibatkan juga mereka yang berada di luar profesyen ini. Lantiklah mereka dari kalangan ulama untuk menjadi penasihat syariah, para akedemik menjadi penasihat nilai dan moral, para sejarahwan untuk memberikan idea berdasarkan nilai yang boleh diambil dari sejarah. Jika ini berlaku, impian untuk melihat terhasilnya filem yang hebat, mempunyai nilai moral, kritis, membuka minda dan jauh dari perkara yang diharamkan Allah akan menjadi kenyataan, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai, Melaka.
10 Mac 2011, 1.50 pm

9 comments:

Anonymous said...

Kaki filem...

Mohd Azrul Azuan said...

Adakah bila memberi komentar berkaitan filem, maka dikatakan kaki filem? Maka orang yang memberikan komentar berkaitan judi, kaki judi la ye? Ceteknya cara fikir....

Anonymous said...

antara memberi komentar dan menceritakan tentangnya seterusnya memberi komentar.. dua benda yg berbeza.

Orangfilem said...

sebenarnya pembikinan filem ialah ibarat suatu perniagaan bukan sekadar pembikinan filem mahupun seni pembikinan filem dari segi kualiti sahaja..setiap penerbit filem mementingkan untung dan rugi. sebenarnya kalau kita nak contohi pembikinan filem yang baik ialah pembikinan filem dari Hollywood dari segi pemasaran dan perniagaan. Tahukah anda pemasaran itu sangat2 penting? Kalau kita nak banding pembikinan filem mesir atau iran yang dikatakan pembikinan filem lebih baik dari segi kualiti,saya rasa tidak biarpun dikatakan filem itu islamik tetapi padahal dari segi pemasaran dan perniagaan boleh dikatakan fail dan gagal..ia gagal mendapat penonton majoriti di peringkat antarabangsa dan gagal meletakkan ranking filem tertinggi di mata dunia atau mahupun antarabangsa lagi..(tak caya check imdb.com)

bukan saya nak banggakan filem barat. tetapi tahukah anda hanya pembikin filem sahaja tahu keadaan industri filem bagaimana, hanya penonton filem dan pengkritik filem hanya tahu bercakap dan menilai kelebihan, kebaikan ,keburukan dan kelemahan sesebuah filem dilakukan oleh pembikin filem?

Sebagai penonton filem atau pengkritik filem, anda sepatutnya memahami bukannya membandingkan...melalui pembacaan, saya dapati pandangan anda tidak lebih sekadar penonton filem yang biasa dan anda tidak memahami industri filem Malaysia sebenar
bagaimana

Bagi saya, Hikayat Merong Mahawangsa merupakan filem Malaysia baik dari segi pembikinan filem,dari segi pemasaran dan berkualiti biarpun dari pandangan anda merupakan fantasi dan ilusi. anda harus ingat penonton filem menonton filem untuk berhibur dan ini dikenali 'escapism' terlebih dahulu selain mendapat mesej dan pengajaran..Fantasi dan ilusi adalah sebahagian Imaginasi dan kreativiti pengarah dan pembikin filem. Kreativiti tiada jawapan betul atau salah. dan filem setakat ini untuk berdakwah,dan kebanyakan gagal,fail...misalnya syukur 21,Qaisy dan laila dan lain2. Mengenai 3 Idiot dan slumdog millionaire saya tak nafikan filem tersebut bagus , terbaik dan wajar dicontohi. dan anda punya hujah mengenai boleh saya setujui..


Mengenai drama jepun pula, satu sahaja saya nak kata, industri drama dan industri filem tak sama walaupun bagi anda, ia hampir sama sebenarnya tidak. Drama melibatkan televisyen dan Filem melibatkan panggung wayang dan penggunaan format penggambaran amat berbeza Drama menggunaakn format video, Filem menggunakan format filem.Faham? dua-dua berbeza keadaan, format dan industrinya anda harus faham...

jadi, kesimpulannya,saya tak nafikan pandangan akhir anda, amat bernas. saya sebagai pembikin filem mengambil nasihat anda dengan hati terbuka dan fikiran terbuka. cuma pesan saya,anda nak kritik industri filem, anda kena tahu industri filem bagaimana, jangan cakap ikut sedap mulut...satu sahaja,bikin filem..
bila anda bikin filem, baru anda tahu apa itu industri filem..Peace no War :)

Mohd Azrul Azuan said...

Memberi komentar dengan menceritakan tentangnya, adakah bermakna perlu menonton setiap saat filem tersebut dan menghayati setiap detik di dalamnya?

Tujuan artikel ini untuk mengajak orang berfikir akan realiti dunia hari ini. Kpd org yg komen yg tak ada nama, jika anda kekal dengan minda tertutup yang tidak mahu berfikir dan memahami mesej utama yang ingin disampaikan, anda diminta membaca blog lain yang lebih menepati minda anda.

Kepada orang filem, saya akui saya sebagai penonton biasa yang tidak memahami selok belok industri filem. Namun, saya juga sebagai orang awam biasa seperti rakyat Malaysia yang lain, yang pastinya mahukan penerbitan filem yang baik dari segala sudut, pembikinan, mesej, moral, akhlak, nilai Islam dan pembangun minda.

Di awal artikel, saya tidak sama sekali menafikan akan teknologi dan kualiti pembikinan filem Malaysia yang semakin maju dan setanding filem2 Barat.

Saya sebagai orang awam membangkitkan, mengapa filem2 di Malaysia tidak menjadikan elemen moral, pembangun minda, kritis dan ilmiah sebagai elemen yang penting, sepenting elemen komersial dan kreativiti pembikinan? Adakah nilai2 itu tidak dapat bergerak seiring dengan nilai komersial?

Saya membuat perbandingan kerana saya berpendapat jika negara lain boleh melakukannya, mengapa tidak di Malaysia. 'Kegagalan' filem Syukur 21 dan lain-lain, bukanlah satu hujah untuk mengatakan kita tidak boleh melakukannya.

Filem yang ilmiah, pembangun minda, kritis dan inovatif tidak semestinya berbentuk dakwah dan Islamik. Malah bagi saya, nilai dakwah dan Islamik itu sendiri boleh diterapkan sebagai nilai yang terkandung di dalam sesebuah filem secara total tanpa mengangkat dan mengwar-warkan itu sebagai filem dakwah.

Saya tetap tidak bersetuju dengan pembikinan filem atau drama yang SEMATA-MATA berunsurkan lawak, ilusi dan sebagainya. Ini kerana, elemen lawak, ilusi, dan lain-lain itu boleh digabungkan dengan isi dan jalan cerita yang ilmiah, pembangun minda, kritis dan inovatif.

Saya ulangi, saya memberikan komentar berdasarkan nilai-nilai yang saya sebutkan tanpa sedikit pun menafikan akan teknologi pembikinan filem di Malaysia. Saya yakin, semua elemen pembangun minda tetap boleh diterapkan seiring dengan nilai komersial di dalam sesebuah filem. Semua ini demi melihat pembikinan filem dapat dijadikan salah satu sebagai medan pembangun minda, moral dan nilai Islamik yang efektif kepada masyarakat kita.

Mohd Azrul Azuan said...

Apa-apa pun, terima kasih atas komentar orangfilem. Semoga dapat berkongsi pendapat lagi. Saya doakan anda boleh melakukan yang terbaik untuk umat Islam dan rakyat Malaysia di dalam pembikinan filem, insyaAllah. Peace, no war =)

fatin nasibah said...

penulis yg baek azrul.. semoga istiqamah di jalan-Nya =)

Anonymous said...

perbincangan yg sangat menarik!!! pendapat penulis serta komen orangfilem, bagi saya ada betulnya..

bagi penulis ( a_z_ayief )saya setuju dgn pendapat encik bahawa kebanyakan filem di m`sia ini seperti `tin kosong`... hanya mementingkan hiburan ringan serta tiada pengisian.. lebih kpd keuntungan sahaja... lebih banyak filem yg dihasilkn sesebuah syarikat, lebih bykla pendapatan yg dihasilkn... negara kita mmg kekurangan filem yg berkualiti dr segi `pemikiran`nya.. hanya segelintir filem sahaja yg benar2 berkualiti dan meninggalkan impak kepada penonton... malah ada penerbit filem yg mengatakan, untuk apa buat filem untuk menang anugerah, sedangkan kutipan sedikit.. ini jelas membuktikan bahawa penerbit filem itu tidak begitu mementingkan soal kualiti
( filem yg berkualiti shj yg menang anugerah), kan , tetapi lebih mementingkan soal kutipan...

bagi `orangfilem`, saya juga setuju bahawa sebelum kita mengkritik hebat industri filem kita ini, kita mesti mengenali dulu industri filem ini.. Tak semudah yg dikatakan..

Saya seorang pelajar universiti di bidang kejuruteraan.. walaubagaimanapun, saya sangat berminat dengan bidang perfileman.. Cuma satu yang menjadi halangan buat saya, adalah apabila memikirkan soal pendapatan tetap dan risiko membabitkan diri di bidang ini...Mungkin ramai diluar sana yang berfikiran seperti saya, maka ramai anak2 muda yg berbakat utk menerbitkan filem2 berkualiti takut untuk menyertai bidang ini kerana memikirkan masa depan mereka.. Takut masa depan kami tidak terjamin... Oleh itu, pengarah2 di malaysia yg jumlahnya tidak ramai ini, terpaksa mengerah idea untuk memastikan panggung wayang tidak kontang dgn filem malaysia.. Disebabkan itu, produk filem malaysia kurang variasi.. Itu shj pendapat sy..

Mohd Azrul Azuan said...

Maaf kerana tidak membalas komentar terakhir.baru perasan pagi ni.berkenaan masalah itu,saya sedari dilema orang2 filem di Malaysia hadapi.

Antara usaha yg saya akan gerakkan adalah menyertai pelbagai jenis perniagaan untuk memperoleh simpana wang yang banyak.selepas itu,antara yg saya ingin laburkan adalah dalam industri pemfileman dgn membawa satu pendekatan baru baik dr sudut ceritanya mahupun sudut proses pembikinannya.

Doakan usaha saya ini berjaya.