Monday, April 4, 2011

Isu Pengharaman Judi : MCA Tak Sokong Judi, Tapi Kenapa Marah Kelantan?

Saya merujuk kepada berita ini untuk memberikan sedikit ulasan berkenaan sikap pelik Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek terhadap tindakan kerajaan Kelantan yang mengharamkan segala perjudian (yang sememangnya haram) di negeri Serambi Mekah itu.

Dalam kenyataannya, beliau mengatakan tidak menyokong judi. Beliau pernah menyatakan sedemikian sebelum ini. Ketika orang berkata judi ini budaya orang Cina, beliau bingkas bangun dan marah dengan berkata judi ini bukan budaya Cina.

Tapi, tidak semena-mena beliau juga menentang tindakan pengharaman ini. Ini satu tindakan yang pelik. Sekejap kata tidak sokong, sekejap marah pulak orang nak haramkan judi.

Perlu diingatkan di sini, di dalam siasah Syariah, tidak pernah Islam menyekat atau menghapuskan apa jua amalan orang kafir walaupun amalan tersebut dilarang di dalam Islam. Islam hanya mewajibkan para pemerintah Islam mengawalnya agar perkara tersebut tidak diamalkan pula oleh orang Islam.

Sebagai contoh, arak. Islam mengharamkan arak secara mutlak, manakala ada agama yang menghalalkan arak serta menjadikan arak sebagai salah satu perkara yang penting di dalam upacara keagamaan mereka. Maka, Islam membenarkan penghasilan dan penjualannya terhadap golongan bukan Islam ini disamping mengawal pengeluarannya agar tidak diamalkan oleh umat Islam.

Di dalam isu judi ini, kerajaan Kelantan telah mengadakan dialog dengan semua ketua agama yang ada di Kelantan. Hasil daripada dialog tersebut dapat disimpulkan bahawa semua agama mengharamkan judi. Malah, jika orang tidak ada agama pun dapat berfikir dengan akal akan bahayanya judi di dalam kehidupan masyarakat.

Maka, apabila beliau menentang tindakan kerajaan Kelantan, kita ingin bertanya, apakah agama beliau ini? Buddha? Kristian? Tao? Ataupun tiada agama? Jika beliau ini beragama, maka pastinya belau seorang penganut yang ingkar terhadap agamanya sendiri. Bukankah tindakan kerajaan Kelantan itu bukan sahaja menepati ajaran Islam, malah semua ajaran agama lain?

Jika beliau tidak beragama sekali pun, beliau tidak ada akal dan fikiran? Tidak mampu berfikir dan melihat sendiri malapetaka yang menimpa masyarakat disebabkan tabiat berjudi ini? Alasan melanggar hak asasi bukan Islam tidak lagi boleh dipakai kerana semua agama mengharamkan judi. Maka, di manakah rasionalnya dalam mempertahankan judi?

Kemungkinan yang ada adalah, beliau atau MCA sendiri mempunyai kepentingan di dalam mana-mana syarikat perjudian di negara kita ini. Ataupun, ini merupakan strategi murahan untuk mendapatkan undi daripada para penagih judi ini. Maka, dapat kita lihat, betapa bahaya judi kepada masyarakat tidak langsung dipandang sebagai sesuatu yang penting untuk mereka ambil peduli malah lebih mementingkan keuntungan peribadi.

Pendirian MCA ini samalah dengan pendirian DAP yang merupakan parti kompenan di dalam Pakatan Rakyat. Stand mereka sama dan alasan mereka pun sama. Malah DAP juga dengan mudah mengatakan bahawa antara faktor kekalahan PAS di dalam pilihanraya kecil adalah disebabkan oleh tindakan mengharamkan judi ini.

Maka, kita berdoa dan mengharapkan agar PAS dan kerajaan Kelantan kekal dengan keputusan yang telah dibuat. Bergabung kita dengan DAP dan PKR hanyalah penggabungan di dalam isu yang dipersetujui bersama. Namun, di dalam perkara yang Islam menetapkan secara jelas halal dan haramnya, maka hendaklah kita kekal dengan kehendak Islam itu. Di samping itu, penjelasan dan dakwah hendaklah terus dijalankan agar masyarakat kita dapat memahami hikmah di sebalik pengharaman ini.

Selain itu, kita dapat melihat dengan jelas sikap munafiq kelompok yang selama ini kuat bertempik sebagai 'penjaga agama dan bangsa'. Jika MCA dan DAP boleh bersatu suara dalam mempertahankan pendirian mereka, mengapa tidak UMNO yang mengaku sebagai 'parti Islam' menyokong tindakan PAS dalam menegakkan syariat Islam ini.

Di manakah suara Amirul Mukminin UMNO, Datuk Seri Najib? Di manakah suara bekas pemimpin yang lantang mencari salah orang lain? Di manakah suara ulama muda UMNO yang sebelum ini lantang mempertahankan isteri pemimpinnya? Tidak perlulah kita mengharap, mereka sangat jelas sikapnya dalam memperkatakan berkenaan Islam ini. Jika, perkara itu menguntungkan PAS walaupun juga menguntungkan Islam, maka mereka akan membisu seribu bahasa hanya kerana akan memberikan liabiti kepada mereka.

Kita tidak pelik juga akan datang, kata-kata yang keluar di Tenang akan keluar juga di Putrajaya. "Bagus juga MCA mengingatkan masyarakat Cina akan siapa PAS!". Itulah kata orang yang mengaku sebagai 'pembela agama dan bangsa'!

No comments: