Tuesday, March 8, 2011

Sejuk Hati : Lawatan Tuan Guru Nik Aziz Ke Baitul Qurra'



Tiga hari selepas saya tiba di Bumi Malaysia, pada 12 Feb 2011 telah berlaku satu peristiwa yang amat menyejukkan hati saya. Ketika itu, ulama muaddib dan murabbi Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd Aziz bin Nik Mat sedang melakukan lawatan ke Melaka bersempena dengan berlangsungnya pilihan raya kecil DUN N27 Merlimau.

Pada sebelah pagi, Tuan Guru menyempurnakan pelancaran jentera pilihan raya kecil N27 Merlimau di Madrasah As Solihin, Merlimau Pasir. Setelah itu, Tuan Guru bertanya kepada tuan guru saya, Tuan Guru Hj Zulkifli Ismail yang merupakan mudir Madrasah Baitul Qurra', Sg Udang Melaka akan lokasi madrasah yang diasaskan oleh Tuan Guru Muallim Hj Abd Wahid yang merupakan antara ulama terkenal Melaka di Sg Udang sekitar tahun 60-90an.

Ust Zulkifli yang juga cucu saudara kepada Muallim Hj Abd Wahid dengan senang hati mengatakan tapak madrasah itu kini telah terbinanya Madrasah Baitul Qurra yang disambung kesinambungannya oleh Ust Zulkifli sendiri. Kemudiannya, Tuan Guru Nik Abd Aziz menyatakan hasratnya untuk menziarahi madrasah Baitul Qurra'.

Alhamdulillah, pada sebelah petang 12 Februari itu, Tuan Guru telah berkunjung ke Sungai Udang dan menziarahi Madrasah Baitul Qurra'. Kehadiran Tuan Guru yang mengejut itu disambut dengan sederhana dan penuh gembira oleh penduduk setempat dan para pelajar madarasah.

Setelah diberi taklimat ringkas akan sejarah Baitul Qurra dan juga perkaitan Baitul Qurra dengan madrasah yang dibina oleh Muallim Hj Abd Wahid, Tuan Guru telah meluangkan masa untuk berdoa di dalam madrasah yang sedang di dalam proses ubah suai itu dan diaminkan oleh orang ramai.

Lawatan yang ringkas itu amat memberi makna kepada semua warga pelajar Madrasah Baitul Qurra yang kini bertebaran di seluruh Malaysia. Semoga lawatan ini memberikan keberkatan yang melimpah ruah kepada madrasah seterusnya memberikan suntikan semangat untuk kelangsungan dakwah Islam di Bumi Melaka, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai, Melaka.
8 Mac 2011, 8.10 pm.

No comments: