Monday, February 28, 2011

UMNO Amal Fatwa Ikut Nafsu?

Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhiddin Yasin berkenaan PAS yang dikatakan kononnya mengeluarkan fatwa sesuka hati. Boleh rujuk di artikel ini.

Bagi saya, saya tidak menafikan ada di kalangan mereka di dalam PAS yang bercakap ikut suka. Saya akui dan tidak bersetuju dengan sikap itu. Seperti yang saya dengar sendiri semasa penamaan calon di Merlimau pada hari Sabtu lepas. Banyak perkataan yang tidak manis didengari.

Namun kita semua tahu, tindakan di kalangan ahli PAS yang bercakap ikut suka ini adalah perangai biasa yang ada pada setiap manusia. Semua manusia ada sikap mulut kepoh ini dan ianya perlu dihentikan kerana dosa mulut adalah lebih mudah terjadi berbanding dosa anggota lain. Dosa mulut juga lebih berbisa daripada dosa-dosa lain.

Berbalik kepada isu ini, banyak yang pemimpin PAS katakan yang dipetik sebagai 'fatwa' oleh pemimpin UMNO sebenarnya tidak sebesar mana. Kenapa saya katakan tidak sebesar mana? Kerana kata-kata itu ada banyak kemungkinan yang menyebabkannya diperbesarkan oleh pemimpin UMNO yang berlagak perwira Islam ini...

Kemungkinan pertama, kenyataan yang diperbesarkan itu adalah merupakan petikan beberapa saat dari ceramah lengkap pemimpin PAS yang kebiasaannya setengah ke satu jam. Kita semua tahu perangai UMNO dan media sampah mereka. Petik 10 saat kata-kata pemimpin PAS, dan disensasikan. Tidak lupa juga diminta komentar dari 'ust-ust' berpangkat Tun, Dato Seri, Tan Sri di dalam UMNO. Dihangatkan selama berminggu-minggu di dalam media hinggakan termuntah rakyat mendengarnya...


Contoh mudah, isu 'Tuhan Samseng' sekitar 2001 dahulu. Petikan 10 saat ucapan Tuan Guru Nik Abd Aziz diolah dengan begitu bodoh hinggakan haru biru rakyat Malaysia. Perkara yang sebenarnya mudah difahami daripada ucapan penuh itu, dikelirukan oleh UMNO-BN. Hinggalah apabila diterangkan secara ilmiyah oleh Tuan Guru Hj Abd Hadi di Parlimen, barulah UMNO-BN tertunduk mengaku kebodohan diri.

Kedua, kenyataan itu diulas oleh orang yang tidak layak dan wujud putar belit serta penambahan cerita. Ini kerap berlaku. Orang yang tidak berkenaan secara tiba-tiba muncul sebagai 'tok guru' dan mengulas mengikut ligat kepala otak masing-masing. Untuk menyedapkan cerita, ditokok tambah agar kelihatan real.

Contoh yang masih segar dalam ingatan kita adalah apabila dikatakan Tuan Guru Nik Aziz mengakui akan keperluan perjuangan bangsa, sedangkan ayat sebenar adalah Tuan Guru mengatakan keperluan penekanan dakwah kepada bangsa Melayu disebabkan Melayu antara bangsa terawal mendapat dakwah Islam di Nusantara ini.

Ketiga, tidak dipandang dan tidak ditimbang mengikut kaca mata ilmiyah. Masing-masing pandang dengan kaca mata sekular, terutama puak yang memisahkan politik dan agama. Banyak kenyataan yang dikeluarkan PAS adalah bertitik tolak daripada ilmu yang hanya boleh dibaca dan difahami dengan ilmu juga. Jika dibaca oleh otak sekular seperti UMNO, maka akan terjadilah salah sangka yang teruk.

Seperti contoh, kenyataan 'undi PAS masuk syurga', 'undi PAS dapat pahala', 'khianati perjuangan PAS dapat dosa', 'UMNO tolak Islam', semua ini adalah kenyataan yang mempunyai perkaitan antara politik dan Islam dan hanya akan difahami apabila kita memandangnya dari sudut ilmiyah. Bagi mereka yang memandang dari sudut bangsa, sudut sekular, sudut kepala otak sendri dan juga sudut semangat Melayu pepsi-cola, maka pastinya tidak akan faham selamanya.

Dengan ini, apa yang dikatakan 'fatwa' sesuka hati itu (sebenarnya bukan fatwa pun), bukanlah sebesar yang digambarkan. Saya akui memang ada kenyataan-kenyataan yang salah, namun kebanyakkannya dikelirukan oleh faktor-faktor di atas tadi.

Saya sebenarnya memandang TPM ini dengan pandangan pelik. Jika benar mereka katakan PAS keluarkan fatwa sesuka hati, maka saya ingin bertanya adakah UMNO-BN mentaati setiap fatwa yang Majlis Fatwa Kebangsaan keluarkan ataupun UMNO mengamalkan fatwa mengikut nafsu dengan hanya mengamalkan fatwa yang memberi untung kepada UMNO-BN?

Itu hanya fatwa, bagaimana pula dengan hukum Fiqh yang qadie di dalam Al Quarn dan hadith serta hukum yang disepakati ulama? Masalah aurat rambut di kalangan Wanita UMNO, masalah rasuah, masalah hukum Islam. Adakah UMNO ambil tahu dan mengambil berat akan perlaksanaannya?

Anda semua tahu akan jawapannya. Saya sebenarnya amat meluat dan menyampah apabila UMNO berlagak jaguh dalam isu agama yang dipolitikkannya. Ini adalah kerana dalam keadaan UMNO mengangkat keris, mengaku sebagai pejuang agama, UMNO sendiri yang jadi jaguh dalam memisahkan Islam daripada kehidupan rakyat Malaysia. Anda semua boleh nampak? Eh, Bob Lokman pun boleh nampak, takkan la korang tak boleh nampak? =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai,
28 Feb 2011, 5.30 pm.

No comments: