Saturday, February 19, 2011

Gembira Petang : Sejuk Hati Melihat Bob Lokman!


Alhamdulillah, walaupun saya tidak dapoat sertai Himpunan 30K Pemuda PAS di Kedah, namun berita menyejukkan hati dari sana seolah-olah meresap ke pelusuk negara dan terasa akan kedinginannya di Melaka ini.

Setelah kagum dengan perubahan artis, pelawak dan pelakon terkenal, Bob Lokman ke arah imej Islam, ditambah pula dengan 'lakonan spontan'nya ketika berundur daripada menjadi pengkritik Raja Lawak, hari ini Bob Lokman secara rasmi menyahut seruan perjuangan siasah Islam dengan menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Tidak seperti kemasukan orang lain ke dalam PAS, penyertaan artis seperti Bob Lokman akan menyemarakkan lagi penyertaan golongan muda dan para karyawan seni ke dalam gerakan Siasah Islam ini. Bob Lokman telah menyambung kesinambungan penyertaan artis ke dalam PAS seperti artis-artis sebelum ini seperti Akil Hay, Ito, dan juga Amy Search yang juga dilihat semakin mesra kepada PAS.

Ini juga membuktikan bahawa fitnah UMNO-BN bahawa PAS melaksanakan pendekatan Islam yang eksrem juga ternafi dengan tindakan Bob Lokman pada hari ini. Jika PAS seperti yang difitnah itu, pastinya tidak akan terbuka atau terlintas di pemikiran orang seni seperti ini untuk mendekati PAS. PAS sudah pasti telah diteliti seni Islamnya oleh para artis ini sebelum membuat keputusan menyertainya.

Diharapkan, kemasukan Bob Lokman akan memberikan faedah besar kepada dakwah dan perjuangan PAS terutama kepada golongan muda dan para seniman. Doakan semoga Bob Lokman, artis-artis di Malaysia dan kita semua terus mendapat hidayah agar sinar Islam terus memancar di hati kita semua, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai, Melaka.
Sabtu, 19 Feb 2011, 4.10 pm

No comments: