Saturday, February 12, 2011

Kejatuhan Mubarak : Paku Terakhir Untuk Keranda Israel!

Kebiasaannya, warga Mesir akan dikaitkan dengan perkara yang menyebabkan majoriti pelajar Malaysia di sana tidak akan sekali-kali akan merasa bangga dengan mereka. Kotor, kasar, kuat kelentong dan macam-macam lagi yang cukup membuatkan kami rimas berada di negera berhabuk ini. Saya sendiri, ketika marah dengan kerenah orang Mesir, pernah berkata "Mesir ini tinggal ulama dan Azhar sahaja. Kalau dua perkara ni xde, Mesir ni dah tak bermakna lagi..."

Namun, saya hari ini berkongsi dengan penuh bangga atas apa yang berjaya dibuktikan oleh rakyat Mesir pada hari ini. Entah apa angin yang melanda, gerakan kebangkitan rakyat Mesir tercetus dengan mendadak hinggakan saya sendiri tidak menyangka sama sekali akan berada di Bumi Melaysia seawal bulan Februari ini, kesan daripada gelombang kebangkitan mereka di Mesir.

Hari ini, setelah 18 hari berjuang dengan penuh semangat dan aman, mereka berjaya mencapai matlamat mereka iaitu mengusir Si Mubarak durjana. Rasanya Mubarak juga tidak pernah bermimpi bahawa nasib di hujung usianya adalah seburuk ini. Bak kata orang, jadi pemimpin biarlah sehingga pemergian kita ditangisi, namun apa yang berlaku pada pada Pak Mubarak ini adalah sebaliknya. Penyungkurannya dihambat dengan laungan 'IRHAL' (berambus), malah pemergiannya disambut dengan kegembiraan di seluruh pelusuk Bumi Anbia itu.

Saya sendiri sejak awal berdoa, agar revolusi kali ini biarlah sehingga Mubarak tersungkur...Sudah cukup memualkan dan meloyakan tekat saya tiap kali membaca dan melihat poster-poster membodek beliau di post-post tentera seperti ungkapan 'Misr....mubarak...' bermaksud 'Mesir....diberkati...' dengan menyamakan perkataan 'diberkati' itu bersama namanya, MUBARAK...

Suka saya mengatakan sedikit akan kedurjanaan beliau untuk tatapan dan pengajaran kepada kita.Pertama, penguasaan kuku besi yang akan mencantas sesiapa sahaja yang menjadi batu penghalangnya. Paling kita tidak boleh lupa adalah tindakan dia mengusir ulama mujtahid zaman ini iaitu As Syeikh Al Allama Dr Yusuf Al Qardhawi, hanya kerana As Syeikh tidak sebulu dengannya.

Kedua, mementingkan kedudukan dan kuasa dan dalam masa yang sama meminggirkan sama sekali rakyatnya hinggakan kami sendiri sebagai orang luar di Mesir bertanya, depa semua ni memang tak fikir langsung ke pasal rakyat depa? Rakyat miskin melarat hingga tingga di perkuburan, sistem pengangkutan dan trafik yang menyiksakan, pengabaian pendidikan rakyat, kebajikan rakyat dan banyak lagi...

Ketiga, menjadi boneka US dan Israel untuk menjaga Israel dari sebelah selatan. Semua sedia maklum akan tindakan peliknya (sebagai umat Islam) yang menyekat sempadan dan penyaluran bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza. Palestin hanya mampu berharap pada Mesir kerana tiada langsung sempadan Palestin yang tidak dijaga Israel kecuali Rafah yang dikawal Mesir. Kerana menjaga kedudukan dan takut kepada Israel laknatullah, Si Durjana ini lebih rela melihat saudara seIslamnya disembelih depan mata.

Cukuplah tiga perkara ini. Kalau nak senaraikan semua, memang takkan habis. Hari ini, rakyat Mesir sudah bebas dari cengkamannya. Alhamdulillah yang tidak terhingga saya ucapkan. Di sini, seluruh rakyat Mesir harus diucapkan tahniah dan diberikan penghargaan yang tidak terhingga kepada mereka. Samada yang demo, pihak tentera, para khatib yang melaungkan semangat, para ulama, para pemberita dan semua yang terlibat. Kemenangan menjatuhkan Mubarak ini sebenarnya permulaan kepadsa sesuatu yang kita semua kene telitikan bersama.

Tidak dinafikan, pihak yang sedang 'kecut perut' dengan apa yang berlaku adalah Israel laknatullah dan US. Israel terutamanya dapat bertahan sehingga kini sebahagian besarnya adalah atas ihsan dan jasa Si Durjana ini. Apa lagi yang tidak menakutkan mereka melainkan kambing hitamnya sudah mati kene sembelih. Kejatuhan Mubarak merupakan paku keranda terakhir untuk Israel!

Saya memandang, apa yang berlaku ini menepati janji Allah dan apa yang dikatakan oleh Sang Kekasih SAW. Kebangkitan rakyat Arab yang berada di sekeliling Isarel adalah menepati ramalan bahawa peperangan terakhir antara Muslimin dan Yahudi Zionis di Tanah Suci Baitul Muqaddis kian hampir. Peperangan akhir zaman yang menjadi permulaan kepada tamatnya umur alam dunia ini.

Selepas Mesir, kita akan perhatikan lagi revolusi demi revolusi di sebahagian besar negara Arab akan berlaku. Libya dan Yaman hampir pasti akan mengikut jejak Mesir. Jordan juga dikatakan tidak ketinggalan. Tidakkah ini memberikan petanda yang merujuk kepada pertembungan yang sama? Adapun ini adalah pendapat saya, mungkin betul dan mungkin tidak.

Namun, disebabkan kejatuhan Mubarak ini adalah kunci kepada kehancuran Israel, maka saya yakin perkara ini tidak berakhir dengan mudah. Kejatuhan Mubarak tidak dipandang ringan oleh mereka begitu sahaja. Apa yang berlaku hari ini adalah kejayaaan, namun bukan kejayaan yang mutlak. Siri kekacauan di Mesir kemungkinan besar akan berterusan terutama apabila puak musuh Islam akan mula campur tangan dan memasukkan jarumnya. Pasti akan ada dalang yang akan mencetuskan pula gelombang serangan balas terutama jika keadaan menunjukkan Ikhwan Muslimin akan kembali mengambil tempat di hati rakyat.

Sama-sama kita berdoa agar rakyat Mesir terus bertahan dan dibantu Allah di dalam usaha mereka untuk menubuhkan negara Mesir yang demokrasi dan Islamik. Doakan juga agar apa jua yang berlaku, Allah selamatkan khazanah berharga dunia Islam iaiti Al Azhar As Syarif. Doakan kesatuan hati mereka, agar jika ada jarum cuba membenamkan diri, jarum itu dapat dipatahkan dan dimusnahkan. InsyaAllah, kemenangan Islam di Mesir adalah permulaan kepada kemenangan Islam di seantero dunia.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai, Melaka.
12 Feb 2011, 8.30 am

No comments: