Tuesday, February 9, 2010

Krisis MB Perak : Parlimen Dan DUN Diperbudakkan!


Setelah solat Subuh pagi tadi, saya bergegas untuk menyewa broadband untuk mengikuti perkembangan terkini kes perbicaraan Mahkamah Persekutuan tentang status siapa MB Perak yang ‘sebenar’. Bagi saya, perkataan ‘MB yang sebenar’ bukanlah bergantung kepada keputusan tersebut semata-mata, namun berdasarkan dari sudut pandangan apakah yang kita ambil dalam menilai perkara ini.

Saya tidak meletak harapan yang tinggi untuk mahkamah memberikan kemenangan kepada YAB Dato Seri Nizar Jamaluddin (DSNJ). Ntah kenapa perasaan itu muncul, mungkin kerana sudah ‘dapat membaca’ kesudahan perkara ini di mahkamah.

Namun, untuk berlaku adil, setelah mengetahui mahkamah menetapkan Dato Seri Dr Zambry Abd Kadir (DSZK) sebagai MB Perak, saya menyiasat sedikit peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) dan juga Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP) untuk menilai kesahihan kertas keputusan yang dibacakan menurut penilaian saya sendiri. Saya akan mengulasnya berdasarkan tiga sudut pandangan iaitu pandangan perlembagaan, pandangan rasional dan pandangan moral.

Terpaksa Akui Sultan Ikut Perlembagaan!!

Pandangan berdasarkan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan tadi memutuskan bahawa DSNJ dikira hilang sokongan majority sebaik sahaja tiga ‘Adun Lompat’ mengisytiharkan keluar dari parti mereka dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN. Ini adalah selari dengan hujah barisan peguam DSZK yang mengatakan bahawa Sultan Perak bertindak memecat DSNJ berdasarkan peruntukan Perkara 16 (6) UNTP.

Perkara 16 (6) terdapat bahagian yang menyatakan :
“Jika Menteri Besar telah hilang sokongan majoriti ahli-ahli DUN, MB hendaklah (shall) meletakkan jawatan keseluruhan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dirinya sendiri sebagai Ketua Exco melainkan dengan permintaannya untuk pembubaran DUN diperkenankan oleh Sultan”

Peruntukan ini hampir sama dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam Perkara 43 (3) yang menyebut :
“Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan Rakyat, maka PM hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri (termasuk dirinya) melainkan jika atas permintaannya Yang Di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen”

Maka, saya simpulkan bahawa 3 perkara yang akan membuatkan MB terlucut jawatannya adalah :
1. MB hilang sokongan majority dalam Dewan Undangan Negeri
2. MB meletakkan jawatannya (samada sukarela atau setelah kehilangan sokongan majority)
3. DUN dibubarkan dengan perkenan Sultan

Jelas di dalam krisis ini, perkara kedua iaitu MB meletakkan jawatannya serta perkara ketiga iaitu pembubaran DUN tidak berlaku. Sultan Perak telah tidak memperkenankan pembubaran DUN selaras dengan kuasa yang diberikan padanya oleh UTNP di dalam Perkara 18 (2) (b) iaitu Sultan berkuasa mutlak untuk memperkenankan atau menolak permohonan pembubaran DUN oleh MB. Maka, tumpuan dan apa yang perlu kita selidik dan fahami adalah perkara pertama dan bagaimana caranya untuk membuktikan DSNJ kehilangan sokongan majority ahli DUN.

Apakah Bukti Nizar Hilang Sokongan Majoriti?

Di dalam kertas keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2009 yang mengisytiharkan DSNJ sebagai MB Perak, hakim Abdul Azizi mengatakan bahawa “Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan,”

Usul undi tidak percaya yang dimaksudkan adalah usul yang dikemukakan oleh salah seorang ahli DUN ketika persidangan dewan untuk membuktikan bahawa MB kehilangan sokongan majority secara jelas dan bertulis. Ini pernah berlaku di Sabah dan Kelantan suatu masa dahulu sebagai jalan untuk menyingkirkan Ketua Negeri mereka.

Ini juga yang ingin dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim pada September 2008 apabila DSAI yang mengakui mempunyai sokongan majority di kalangan ahli Parlimen meminta Perdana Menteri untuk mengadakan siding Parlimen Khas untuk membuat usul undi tidak percaya terhadap PM. Namun PM tidak menyahutnya dan perkara ini terkubur begitu sahaja.

Jika berdasarkan ini, maka boleh dikatakan perkara pertama itu juga tidak berlaku iaitu tiada undi tidak percaya dilaksanakan terhadap DSNJ di dalam DUN Perak dan DSNJ tidak pernah disytiharkan hilang sokongan majority di dalam DUN.

Ini juga dihujahkan oleh peguam DSNJ dalam prosiding mahkamah dan menjadi asas kepada dakwaan mereka bahawa DSNJ tidak pernah kehilngan sokongan majority kerana ‘kehilangan sokongan’ yang diwar-warkan oleh BN tidak pernah dibuktikan melalui usul undi tidak percaya di dalam DUN.

Benarkah Undi Tidak Percaya Termaktub Dalam Perlembagaan?

Menurut amalan demokrasi dan semua negara Komenwel, kehilangan sokongan majority hanya boleh dizahirkan melalui undi tidak percaya di Parlimen ataupun DUN. Namun, setakat manakah amalan ini menjadi kewajipan dan adakah amalan ini diwajibkan oleh Perlembagaan Persekutuan atau UTNP di dalam peruntukannya?

Setelah meneliti dan mencari, saya dapati ‘Usul Undi Tidak Percaya’ yang menjadi amalan negara Komenwel TIDAK WUJUD SAMA SEKALI di dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP! Hal ini amat memeranjatkan saya kerana amalan yang dikatakan menjadi amalan kebanyakan negara demokrasi tidak pernah diusulkan menjadi salah satu peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP.

Saya menilai perkara ini berdasarkan maklumat dan bahan bacaan yang terdapat pada saya. Namun, saya terbuka kepada sesiapa sahaja yang boleh menampilkan mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan yang mewajibkan secara jelas akan perlunya ‘undi tidak percaya’ sebagai jalan dan bukti MB kehilangan sokongan majority.

Kelemahan Perlembagaan Halalkan MB Haram!

Jika perkara ini benar (tiada peruntukan mewajibkan usul undi tidak percaya sebagai bukti MB hilang sokongan majority), maka dari sudut perlembagaannya BN telah berjaya memanipulasi kelemahan besar perlembagaan kita ini untuk merampas semula Perak dan rampasan ini pula disahkan sebagai ‘mengikut lunas undang-undang’ oleh Mahkamah Persekutuan hari ini!

Saya tersenyum sinis, senyum kerana terpaksa bersetuju segala tindakan UMNO-BN ini selari dengan undang-undang ciptaan mereka. Senyum kerana terpaksa akui bahawa system perlembagaan seperti termaktub di dalam Rukun Negara dan juga fungsi utama Parlimen dan DUN sudah diceroboh oleh undang-undang yang diluluskan di dalam Parlimen dan DUN sendiri!!

Kesimpulannya, keputusan mahkamah pada hari ini mengesahkan bahawa ‘tiada cara khusus yang dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun UTNP untuk membuktikan MB kehilangan sokongan majoriti’. Maka, tindakan BN mempersembahkan semua 28 ADUN mereka bersama 3 ADUN Lompat di hadapan Sultan Perak telah diisytiharkan sebagai cara yang boleh dilakukan untuk membuktikan DSNJ kehilangan sokongan majority dan UMNO-BN kembali mendapat majority untuk membentuk kerajaan!!

Dengan ini, berdasarkan peruntukan perkara 16 (6) UNTP iaitu “Jika Menteri Besar telah hilang sokongan majoriti ahli-ahli DUN, MB hendaklah (shall) meletakkan jawatan keseluruhan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) termasuk dirinya sendiri”, walaupun DSNJ tidak meletakkan jawatan , beliau telah disahkan hilang sokongan majority di hadapan Sultan (bukan di dalam DUN), dan Sultan pun tidak perkenankan pembubaran DUN. Akhirnya DSNJ dipecat dan kerajaan baru diberi mandat oleh Sultan (bukannya rakyat!!) untuk mentadbir Perak.

Apa Gunanya Parlimen Dan DUN Dalam Menentukan Sokongan?

Pandangan kedua saya berdasarkan rasional, masalah dan kelemahan utama yang berlaku adalah tiadanya mekanisme khas yang dinyatakan secara jelas di dalam Perlembagaan berkenaan cara untuk membuktikan seorang PM atau KM atau MB kehilangan sokongan majority. Amalan ‘usul undi tidak percaya’ yang diamalkan di kebanyakan negara hanyalah tinggal amalan yang sama sekali tidak pernah diiktiraf secara jelas di dalam Perlembagaan.

Maka, keputusan pada hari ini akan memberikan kesan yang sangat besar pada masa akan datang. Sebagai contoh, sepatutnya DSAI tidak perlu meminta PM mengadakan sidang Parlimen Khas semasa September 2008 dahulu. DSAI boleh sahaja membawa ahli Parlimen yang dikatakan telah menyokongnya terus berjumpa Yang Di Pertuan Agong sebagai bukti bahawa PM kehilngan majority dan Yang Di Pertuan Agong boleh sahaja memecat PM dan memperkenankan DSAI membentuk kerajaan baru!!

Satu lagi contoh, DUN Negeri Sembilan menyaksikan bahawa BN membentuk kerajaan hanya dengan majority tipis iaitu 5 kerusi. Maka, boleh sahaja diculik 3 orang ADUN BN dan membawanya berjumpa Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan dan YDPB NS boleh isytiharkan YAB Dato Seri Hasan Mohammad hilang majority. Esok lusa, BN culik balik 3 orang tadi dan tukar lagi kerajaan hanya dengan cara perkenan YDPB NS, Dewan Undangan Negeri tidak diperlukan dan boleh dijadikan muzium sahaja!!

Kesimpulannya, fungsi Parlimen dan DUN telah sebagai tempat yang melaksanakan system keluhuran perlembagaan telah dikurangkan apabila ‘kehilangan sokongan majoriti’ tidak diwajibkan untuk dibuktikan di dalamnya. Malah, ia boleh berlaku di mana sahaja asalkan ada bukti. Maka, persoalannya di manakah kedudukan keistimewaan Parlimen dan DUN sekiranya perkara sebesar ini tidak memerlukan proses di dalam kedua-duanya?

Kini, amat mudah untuk menukar kerajaan. Jumpa sahaja Sultan dan bawa sekali ADUN lompat tersebut, kemudian Sultan sahkan MB hilang majority dan bertukarlah kerajaan. Klu tidak sempat jumpa Sultan di istana, boleh sahaja jumpa Sultan yang sedang bermain golf di Kelab Golf dan kerajaan boleh diisytiharkan bertukar melalui siaran langsung RTM dari Kelab Golf!!!

Kerajaan Budak-budak!!

Keputusan mahkamah pada hari ini akan menjadi President Casses (PCP) pada masa akan datang. Jangan terperanjat Tok Jib akan tersungkur dengan cara yang sama dia lakukan dalam krisis Perak ini. Jika ini berlaku, Tok Jib bawalah kes ke mana-mana mahkamah pun, maka keputusannya akan mengikut apa yang diputuskan hari ini.

Secara tidak langsung, perkara berkaitan pertukaran kerajaan melalui ‘kehilangan sokongan majoriti’ ini akan jadi bahan lawak dan ketawa orang luar kepada kita. Kita yang berbangga dengan kemuliaan Parlimen dan DUN sebagai institusi tertinggi negara dalam memutuskan dasar dan perlembagaan negara, namun dalam perkara sebesar ini, institusi paling utama negara ini diketepikan dan kita kembali mengikut cara kedai kopi dan cara kebudak-budakkan bagaikan budak-budak main masak-masak.

Kita yang mengakui mengamalkan tamadun undang-undang yang tinggi, kembali menggunakan cara yang tidak pasti, tiada ketepatan dalam perlembagaan dan lebih memalukan pertukaran kerajaan yang kita akui sebagai mengikut lunas demokrasi ini boleh dilakukan sesuka hati mengikut apa jua cara yang difikirkan kreatif demi mendapatkan kuasa walaupun cara itu amat menjijikan dan memalukan.

Tidak perlu endah akan apa yang orang pandang pada kita, yang penting dapat kuasa dan tebus malu daripada kekalahan yang berlaku. Pedulikan kemarahan rakyat, asalkan undang-undang yang amat lemah ini membenarkan dan kemarahan rakyat boleh dilunturkan dengan memperbodohkan mereka dengan gula-gula material. Tidak ada gunanya mengadakan pilihan raya kerana akan datang mandat rakyat ini akan dikhianati dengan cara yang ‘mengikut lunas undang-undang’. Kini, cara untuk menukar kerajaan semudah 3 langkah. Culik, paksa, isytihar!!

Kembalikan Keluhuran Parlimen!!

Apa yang saya katakan semua ini bukanlah untuk mempertikaikan keputusan ini. Malah dari mula lagi saya sudah akui terpaksa bersetuju bahawa kemenangan DSZK adalah mengikut undang-undang, namun ia adalah undang-undng yang amat lemah sifatnya!

Saya mengkritik dari sudut cara ini yang dikatakan ‘mengikut lunas undang-undang’ berpotensi untuk memperbudakkan institusi Parlimen dan DUN dan merendahkan maruah negara kita sebagai negara demokrasi yang mempunyai system perlembagaan yang bertamadun.

Maka, kesimpulannya pada pandangan saya, perkara berkaitan pertukaran kerajaan melalui cara ‘kehilangan sokongan majoriti’ perlulah dijelaskan dengan tepat di dalam peruntukan Perlembagaan. Pindaan perlu dibuat agar di masa akan datang, pertukaran kerajaan akan berlaku dengan cara yang bertamadun dan terhormat. Ini adalah penting untuk mengelakkan pertukaran kerajaan ini berlaku dengan sesuka hati mengikut cara yang difikirkan ‘kreatif’ oleh sesetengah pihak dan jadilah perkara sepenting ini bagaikan main-main dan kebudak-budakkan!

Pertukaran kerajaan mengikut cara ini perlulah dijelaskan mekanismanya dengan tepat agar rakyat merasakan mereka ada tetap ada hak dalam memilih pemimpin. Jika tidak, jangan salahkan rakyat jika mereka hilang percaya kepada system yang sedia ada dan memilih untuk berdiam diri ketika tiap kali pilihan raya.

Jangan salahkan rakyat jika mereka hilang hormat kepada institusi diraja jika hak mereka diperbodohkan. Mengapa saya kata diperbodohkan? Perkataan apa lagi yang sesuai jika semasa pilihan raya pelbagai kempen dan rayuan dijalankan untuk mengerahkan mereka keluar mengundi, namun akhirnya kuasa menentukan siapa ketua mereka adalah di tangan Sang Lompat dan Sultan di istana, bukan lagi di kertas undi yang dipangkah mereka!

Ibarat Ludah Ke Langit!

Sudut pandangan ketiga, adalah pandangan moral. Berdasarkan kes ini, maka pihak yang mempromosikan cara ‘terhormat’ ini hendaklah insaf dan menilai dirinya. Ketika mula-mula krisis Perak bermula lagi, saya sudah berfikir bahwa hendak diamukkan pun tiada berguna kerana idea melompat parti ini asalnya pun datang dari idea ‘pihak kita’.

Saya suka untuk menyatakan semula pendirian saya bahwa jika mana-mana wakil rakyat ingin melompat parti, seharusnya mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan itu sebagai menghormati para pengundi yang mengundinya. Perlu diingatkan, pengundi mengundi kebanyakannya adalah berdasarkan parti, bukannya berdasarkan siapa anda. Contoh terbaik adalah YB Arumugam, bekas ADUN Bukit Selambau yang meletakkan jawatan kerana menerima tekanan hebat untuk melompat parti.

Walaupun yang bermasalah dalam keputusan mahkamah pagi tadi adalah kelemahan perlembagaan dalam menuntukan cara khusus untuk membuktikan kehilangan sokongan majority, namun perlu disedari punca sebenar masalah adalah budaya melompat parti yang kita pernah bersetuju dan akhirnya menikam diri. Apa lagi yang hendak diamukkan, berani buat berani tanggunglah!

Sepatutnya kita menumpukan usaha untuk membuktikan kemampuan kita mentadbir di 5 negeri yang kita menangi dan menjadikannya sebagai bandingan terhadap kerajaan UMNO-BN untuk dinilai oleh rakyat. Jika kita focus dan rakyat melihat kemajuan pentadbiran kita, maka pastinya UMNO-BN akan dibuang oleh rakyat di PRU13.

Namun, disebabkan sikap tidak sabar, kita telah terlajak tindakan yang akhirnya menjahanamkan sebuah kerajaan negeri yang baru hendak memputikkan bunga kejayaan mentadbir sebuah negeri. Perak yang selepas PRU12 menjadi penanda aras kerjasama Pakatan Rakyat telah terkubur akibat panahan senjata makan tuan!

Maka, kesimpulannya mahkamah hari ini telah mengesahkan bahawa DSZK adalah MB Perak yang sah (sah mengikut tafsiran undang-undang yang lemah ini!) dan pertukaran kerajaan yang berlaku secara amat kebudak-budakkan telah diiktiraf sebagai ‘mengikut lunas undang-undang’. Saya berdoa semoga ada berlaku kesedaran dan perubahan terhadap peruntukan Perlembagaan di dalam masalah ini.

Jika tidak, jangan salahkan orang luar jika kita ditertawakan sebagai negara yang undang-undangnya seperti budak-budak. Jangan salahkan juga jika rakyat hilang percaya kepada pemimpin, institusi diraja dan system yang sedia ada jika hak mereka telah diketepikan dan pemimpin mereka telah ditentukan oleh sebuah percaturan licik yang dilakukan oleh pemimpin yang kononnya mengangkat diri mereka sebagai pemimpin berjiwa rakyat!

No comments: