Friday, June 26, 2009

Terjaminkah Orang Yang Mengaku Beriman Mati Dalam Husnulkhatimah?

Salam. Setelah beberapa post berturut-turut bercerita tentang politik, pastinya membuahkan rasa bosan bagi penjenguk blog ni. Sebenarnya hasrat hati nak mengulas kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) berkenaan UMNO parti sesat, tapi saya dahulukan post berkenaan persoalan hidayah untuk renungan kita bersama.

Tradisi di Malaysia, asalkan seorang wanita Melayu melahirkan anak, maka ditetapkan ke atas bayi itu sebagai beragama Islam. Itulah cara kebanyakan kita di Malaysia terutama bagi umat Melayu, memeluk Islam dan penganugerahan nikmat Islam oleh Allah dengan cara paling mudah, paling ringan tanpa perlu usaha iaitu Islam melalui warisan kelahiran.

Syukur Allah memilih roh kita untuk ditempelkan kepada janin yang berada dalam rahim seorang ibu ynag beragama Islam. Lebih beruntung jika roh itu berada di dalam janin yang terbentuk hasil hubungan kasih sayang bapa dan ibu yang beriman dan bertaqwa.

Kita sering mengucapkan Alhamdulillah dalam aktiviti seharian kita, namun berapa ramai kita yang menghayati dengan baik akan kesyukuran kita itu. Apa yang kita syukurkan? Adakah lafaz kesyukuran itu hasil daripada rasa keinsafan yang tinggi atau sekadar budaya dan adat yang membiasakan lidah melafazkan kata mulia itu?

Kita umat Melayu Islam di Malaysia telah dianugerahkan dengan pelbagai nikmat kesenangan, kemewahan, ilmu pengetahuan. Nikmat yang zahir di hadapan mata inipun teramat sedikit yang mensyukurinya. Inikan pula nikmat terbesar tetapi tersembunyi jauh dilubuk hati nurani kita iaitu nikmat iman. Berapa ramai kita yang bersyukur?

Kita mendapat nikmat terbesar ini dengan jalan yang mudah tanpa usaha sedikit pun, mungkin inilah faktor kita tidak menghiraukan nikmat iman yang Allah berikan. Kenapa saya mengatakan kita tidak menghiraukan? Sila lihat diri dan peribadi masing-masing..

Lihat pada fizikal kita. Adakah kita sudah cukup berusaha kelihatan seperti orang beriman? Kita lebih suka berpakaian dan berpenampilan bagaikan orang yang tiada iman dan amat malu berimej yang melambangkan kesucian agama kita.

Lihat pada amalan harian kita, kita berpuas hati dengan ibadah wajib yang kita lakukan ala kadar tanpa kita berminat untuk melakukan ibadah wajib itu dengan sempurna. Kita lebih suka meniru 'sunnah' kehidupan para musuh Islam dan teramat malu untuk menjalani kehidupan dengan cara yang ditetapkan Islam.

Lihat pada aktivit harian kita, kita sama sekali tidak prihatin dan menjaga setiap perbuatan kita. Kita teralu bermudah hinggakan tidak menghiraukan samada perbuatan kita itu selaras dengan Islam atau tidak, adakah tindakan kita selaras dengan iman atau boleh mencederakan iman kita.

Terlalu banyak penilaian yang kita boleh muhasabahkan untuk kita mengenali adakah kita datang dari golongan yang menghargai iman kita atau tidak. Kebanyakkan kita tidak menghiraukan iman dengan menjalani kehidupan pemberian Allah ini dengan cara yang berlawanan hukum Allah, mengamalkan Islam separuh dan tinggalkan separuh, berpakaian menutup aurat tapi macam bertelanjang, merosakkan hati dan iman dengan perkara lalai yang menyesatkan. Bukankah ini semua tanda kita memandang nikmat iman itu ibarat sampah sarap yang tidak perlu dipedulikan?

Ini adalah kerana kita mendapat nikmat iman ini dengan jalan yang mudah. Tidak sekali pun kita berfikir andaikata Allah pilih roh aku untuk masuk ke dalam janin milik orang kafir, bagaimanakah keadaan aku sekarang? Jelas, kita umat Melayu Islam telah diperbodohkan dengan dunia dan syaitan durjana sehingga memandang enteng akan permata iman yang Allah berikan percuma tanpa perlu berkorban nyawa untuk memiliknya!

Disebabkan itu kita melihat, orang Barat yang memeluk Islam lebih menyayangi iman mereka berbanding Melayu yang bodoh dan tidak sedar diri akan nikmat iman ini. Kita lihat sejarah para sahabat yang berkorban nyawa untuk pertahankan iman. Mereka membayar iman dan dakwah dengan harga yang cukup tinggi demi memastikan Islam tersebar dan sampai kepada kita.

Kita lihat pada Sumaiyah, walaupun dia seorang wanita hamba, namun dia berjaya peroleh syurga dengan bergelar wanita pertama mati syahid di kalangan sahabat Rasulullah Sallahu Alaihio Wasallam. Lihat sahaja Bilal yang rela dijemur dan dihempap oleh batu besar di tengah gurun yang amat panas demi memelihara imannya.

Kita juga boleh merenung kepada pejuang Palestin yang mempertaruhkan nyawa mereka dan keluarga mereka demi mempertahankan aqidah, iman dan Bumi Palestin. Kita lihat juga kegigihan para daei yang asalnya adalah beragama kafir menyebarkan Islam ke seluruh dunia seperti Yusuf Islam dan Yusuf Istet.

Semuanya kerana mereka menghargai iman dan tahu betapa payahnya usaha mereka untuk memperolehi iman itu. Tapi sayangnya kita yang dapat iman percuma ini tidak menyedarinya dan menghumbankan nikmat iman itu ke dalam tong sampah! Maka persoalan di sini, terjaminkah kita yang mengaku beriman ini akan mati dalam keadaan beriman?

Hari ini kita dikejutkan dengan kematian Raja Pop Dunia iaitu Micheal Jackson. Ramai yang terkejut dan ras ahiba dengan pemergiannya. Namun, ada juga yang merasa lega kerana MJ sempat memeluk Islam sebelum menghembuskan nafas terakhir. Dunia seninya yang pasti banyak mengundang maksiat sebelum ini, kita doakan terhapus semua dosa itu dengan lafaz syahadahnya.

Saya pada mulanya agak sangsi dengan berita pengIslaman MJ kerana ada juga yang mengatakan ia sekadar kontroversi. Namun setelah melihat di YouTube di mana kelihatan mayatnya diusung dalam keadaan berkafan dan tidak seperti amalan Kristian yang menggunakan keranda mahal, saya menjadi yakin. Ditambah pula dengan video pengislamannya dalam YouTube, saya bertambah yakin, Kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat.



Saya terkenang juga seorang pelakon popular di Malaysia yang berlakon dalam cerita Anak Mami The Movie, Ismail Din. Kisah kematiannya sangat menginsafkan. Setelah sekian lama di dalam dunia lakonan yang melalaikan, beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di hadapan Kaabah, di awal pagi di bulan Ramadhan ketika mengerjakan umrah di sana. Subhanallah, mungkin ketika itu beliau sedang bercucuran air mata memohon keampunan dari Allah yang Maha Pengampun, Allah pun menjemputnya ketika dia berada di waktu yang mulia (awal pagi), di tempat mulia (Masjidil Haram), di hadapan pemandangan yang mulia (Kaabah) dan di bulan yang mulia (Ramdahan). Kita doakan semoga rohnya juga dicucuri rahmat.

Di zaman Rasulullah Sallahu Alaihio Wasallam, seorang kafir datang menemui Rasulullah Sallahu Alaihio Wasallam dan berkata bahawa dia ingin menyertai perang bersama baginda dan kemudian itu barulah dia akan memeluk Islam. Rasulullah Sallahu Alaihio Wasallam membetulkan hasrat lelaki itu dengan mengatakan bahawa peluk Islam dahulu kemudian baru berjihad. Lelaki itu mengikuti nasihat baginda dan pergi berperang. Beliau mendapat syahid walaupun baru sebentar memeluk Islam. Ketika Rasulullah Sallahu Alaihio Wasallam melihat mayat para syuhada selepas tamat perang, baginda ternampak akan jasad lelaki itu lalu baginda mengatakan amal yang sedikit tetapi beliau memperolehi ganjaran yang sangat besar!

Kita terharu dengan cerita di atas, namun kita yang kononnya mengaku benar-benar beriman, di manakah kedudukan kita? Allah telah memuliakan mereka semua dengan kematian yang baik (menurut pandangan zahir kita, adapun baik atau buruk hanya Allah yang tahu), kita pula bagaimana? Sudah ada yang berani jamin dia pasti jadi ahli syurga?

Berapa banyak pula kisah bahawa orang yang beramal sepanjang hayat, namun kafir di hujung hayatnya. Kisah Qarun, Barsishah dan ramai lagi mereka yang rapat dengan Allah dan para rasulNya, namun mati dalam seadaan kufur. Bila kita renungkan ini, kita akan terkedu dan tersedar dari diperbodohkan syaitan bahwa iman kita tidak terjamin akan melekat selama-lamanya dalam hati kita.

Iman perlu dijaga, perlu ada usaha untuk memelihara iman kita. Kita mesti syukuri nikmat iman kita dengan melakukan 3 perkara. Melaksanakan segala perintah Allah, tinggalkan segala larangaNya dan memperjuangkan agamaNya. Adakah kita sudah tergolong di kalanngan mereka yang berusaha menjaga imannya?

Iman ibarat pokok, perlu sentiasa dijaga dan disiram malah perlu juga diberi baja. Jia kita biarkan iman kita layu, tidak dijaga, jangan pelik akan datang Tuan Empunya pokok akan mencabutnya dan tidak akan memberinya kembali!

Bagi mereka yang sedang berada dalam kemanisan iman, jangan terlalai dan teruskan istiqamah dengan keadaan halwah iman itu. Bagi mereka yang pertengahan, berlumbanya untuk meningkatkan iman agar ia menjadi semakin matang dan mantap. Bagi orang yang masih segan untuk berbangga dan menghargai imannya, sedarlah kita dan berubahlah kepada kehidupan yang beriman sebelum permata itu diambil semula oleh Tuannya!

No comments: