Friday, June 19, 2009

Kerajaan Perpaduan : UMNO Bagai Si Tua Gila Talak

Salam. Bangun sahaja dari tidur, saya membuka web Malaysiakini untuk mendapatkan sarapan politik pagi ni. 3 post utama dalam web tersebut membuatkan saya terasa mual, mual kerana membaca kata-kata dan harapan yang dilontarkan oleh pemimpin UMNO terhadap idea Unity Government (UG).

Masing-masing berlagak baik, nak lihat kesatuan orang Melayu. Saya tidak nafikan apa yang dikatakan mereka adalah perkara baik, namun bila pencuri yang lemas terjatuh dalam sungai ketika larikan diri dari dikejar oleh orang yang dicurinya, adakah rayuannya untuk diselamatkan dari lemas itu kita akan pandang simpati 100%?

UMNO berada di era nazak, menghampiri tarikh kematiannya. UMNO ibarat si tua yang bertongkat, malah tidak berdaya untuk berjalan dengan bantuan tongkat, mengharapkan isteri muda yang ditalakkan dahulu membantunya berjalan!

Lidah UMNO yang kini sering bercakap untuk menyambut baik idea UG itu seharusnya dipandang dengan penuh hairan oleh kita. Semua yang pernah diterajang oleh UMNO atau terkena jerangkap lidah bercabangnya akan mengingati dan memahami sikap UMNO yang akan memperalatkan siapa sahaja untuk menyambung talian hayatnya.

Mereka berkata tentang UG ini penting untuk orang Melayu. Kenapa Tuan Guru Nik Aziz(TGNA) sanggup berkerjasama dengan Cina dan India, tetapi tidak mahu bersatu sesama Melayu.

Biasalah, UMNO bila dihujung nyawa akan memainkan sentimen Melayunya. Sebagai contoh dalam kem BTN, tidak habis-habis mereka memainkan isu Melayu hilang kuasa dan menghina kaum lain. Mengatakan kaum lain sebagai pendatang dan Malaysia adalah milik orang Melayu.

PAS menolak semangat kebangsaan yang membabi buta. PAS sayangkan Melayu dan tanda sayangnya adalah ingin orang Melayu kembali kepada ajaran Islam. Malah lebih unik PAS juga sayang Cina dan India dan mahukan mereka mengerti pengamalan Islam akan buatkan mereka juga mendapat faedah walaupun mereka bukan Islam.

Jika UMNO memandang UG adalah survival Melayu, jelaslah mereka salah faham dan bersetuju dengan UG hanya untuk mengekalkan kuasanya. PAS memandang UG dan bersetuju dengan UG jika dalam UG itu nanti menjadikan Islam sebagai dasar negara. Segala gerak kerja pentadbiran adalah berlandaskan hukum Allah.

Jika UMNO memandang kuasa sebagai matlamat mereka dalam UG, haruslah kita tinggalkan si tua ini meracau sorang2. Mereka sama sekali tidak bermatlamatkan UG untuk agamanya, mereka hanya bertopengkan Hang Tuah untuk mengekalkan kelangsungan kuasa mereka yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar.

Tan Sri Muhiydin Yasin pula berkata PAS perlu melupakan sengketa lama untuk melihat orang Melayu dan umat Islam bersatu. Saya bersetuju dengan kenyataan ini jika UMNO sendiri sudah mengubah dasar mereka dan menerima Islam sebagai panduan pentadbiran agama. Tetapi, hingga ke hari ini UMNO masih lagi bertuhankan sekular yang menolak Islam, maka bagaimana kita mahu menerima seruan TPM yang kelihatan 'ikhlas' ni?

Benar kata TGNA, umat Islam yang bijak tidak akan jatuh ke dalam lubang yang sama berkali-kali. UMNO masih lagi ditakuk lama, kemudian menghulurkan tangan untuk kita bersama dengan mereka sedangkan mereka masih lagi bertuhankan sekular, maka bagaimana kita mahu menjawabnya?

Ini yang saya katakan UMNO ibarat si tua yang gila talak. Isteri muda yang cantik menawan yang pernah diterajangnya pada 1970an dahulu kini dipinangnya semula kerana tulang sudah reput dan perlu bantuan orang untuk berjalan.

Isteri muda itu hanya mahukan si tua berubah, jadi si tua yang berpegang pada agama, namun si tua masih lagi ketegaq nak mengekalkan cara hidup lamanya. Maka adakah di isteri muda perlu menerima lamaran si tua? Tidak perlulah kerana bimbang si isteri akan sama-sama mati dengan si tua dalam keadaan menolak perjuangan Islam!

Walaupun terdapat polemik dalam perlaksanaan UG di kalangan ahli PAS, namun saya yakin mereka semua bersetuju bahawa UG hanya akan dilaksanakan jika UMNO berubah terima Islam sebagai dasar. UG juga bukanlah kerajaan perpaduan Melayu, tetapi kerajaan perpaduan semua kaum di Malaysia yang menjadikan Islam sebagai dasar.

Maka dengan sikap UMNO yang masih mengharap UG demi kelangsungan kuasanya, tidak sesekali menjadikan UG sebagai wadah mendaulatkan Islam, jelaslah UMNO tidak pernah berubah. UMNO masih UMNO sekular yang perlu PAS jauhi.

Terbit sinar harapan yang memancarkan cahaya panduan semalam ketika TGNA menyatakan mahu mengadakan mesyuarat ukhuwwah dengan pimpinan tertinggi PAS dalam mencari titk pertemuan semula dan menjelaskan pendirian PAS dalam UG ni. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan perkhabaran ini dan juga yakin mereka yang cintakan PAS dan mahu melihat pimpinannya berksih sayang semula juga gembira dengan hal ini.

Asasnya idea UG ini telah difahami dan dipersetujui oleh TGNA, Tuan Guru Haji Hadi (TGHH) dan Ust Nasa dengan syarat UMNO berubah menjadikan Islam sebagai dasar negara. Namun disebabkan putaran fakta oleh puak tertentu dan media menjadi mereka salah faham dan bercanggahan pendapat pada isu yang pernah dipersepakati dahulu.

Maka diharapkan mereka akan dibimbing Allah untuk berbincang dan membuat keputusan yang akan mengutamakan survival PAS, kepentingan Islam dan kehendak rakyat. Kita doakan!

Adapun buat si tua UMNO, selamat tinggal saya ucapkan. Bawalah dirimu yang lemah bersama dengan dasar sekularmu yang menyesatkan. Cuma, saya masih lagi menasihati UMNO untuk mengambil maajun kuat yang berada di hadapan matanya. Terimalah Islam sebagai dasar dan amalkan sepenuhnya, pastinya UMNO akan kelihatan awet muda dan gagah kembali.

Saya ambil kesempatan untuk menegaskan pendirian saya yang mungkin keliru di pandangan sesetengah sahabat. Saya penyokong Islam, Islam sebenar yang berlandasakan Al Quran dan Sunnah, tidak kira siapa. Hatta akan datang (na'uzubillah) jika PAS ubah dasar kepada sekular, saya akan musuhi PAS. Maka disebabkan PAS memperjuangkan Islam sebenar, maka saya akan setia dengan parti ini dan pemimpinnya.

Adapun tentang kerjasama dengan parti lain untuk menubuhkan kerajaan, saya terbuka dengan siapa sahaja asalkan memberi keuntungan pada Islam. Keputusannya saya ikut kata pimpinan parti. Kini, PAS memilih Pakatan sebagai rakan untuk melaksanakan Islam, maka saya sokong dan mencurahkan kesetiaan tidak berbelah bagi kepada PAS.

Namun, dalam masa yang sama saya juga tidak menolak kemungkinan andaikata akan datang PAS dikhianati oleh PKR dan DAP, atau Pakatan tidak menjadikan Islam sebagai dasar, maka pimpinan memutuskan untuk keluar dari Pakatan. Jika ini berlaku maka saya juga akan menyokongnya kerana apa guna kita bersama mereka jika Islam masih dipinggirkan.

Jika akan datang bergabung dengan UMNO itu beri keuntungan kepada Islam, maka saya juga akan bersetuju dan tidak akan membantah apa jua keputusan pimpinan kita. Maka saya berharap pada sesiapa pun janganlah cuba mengheret saya ke dalam kancah fitnah yang kini melaga2kan pimpinan yang kita sayang ini. Asas pegangan politik saya adalah Islam, bukan individu atau kuasa!!

Saya mahu mengulas komen dalam artikel saya sebelum ni. Mungkin saya masih kurang informasi tentang politik negara, juga masih mentah dalam pilik Malaysia. Maka kata-kata saya boleh disanggah. Namun selagi saya merasakan apa yang saya suarakan bertepatan dengan ajaran Islam, maka saya tidak akan mengundurkan kata-kata saya.

Maka jika sesiapa yang ingin menganggah pendapat saya, saya berharap kemukakan hujah yang ilmiah, yang ada asal ilmu dan selari dengan ajaran Al Quran dan Sunnah. Saya tidak suka melayan kata-kata yang emosi, tiada fakta dan bertentangan dengan pendirian Islam dalam mana2 isu pun.

Saya tegaskan, kenyataan saya tentang Puak Berakal Kemetot itu, bukan saya cedok dari mana-mana blog atau laman web. Mungkin perkataan kemetot tu berasal dari blog MSO, namun informasi tentang perkara itu saya peroleh dari sumber yang mengalaminya sendiri.

Saya katakan di sini, tiada apa yang boleh diharapkan dari informasi di blog2 politik. Kebanyakan mereka mentafsir politik ikut kepala lutut mereka dan terlalu banyak fitnah, salah faham, putar belit ayat dan cakap merapu.

Saya membaca banyak blog politik dan tidak beriman dengan semangat taksub pada mana2 blog. Adakah kerana pendapat saya selari dengan pandangan sat-satu blog, maka saya dikatakan taksub padanya? Ceteknya akal mereka.

Saya mendapat informasi awal tentang isu TGNA dan Ust Nasa daripada blog MSO, namun saya mengulasnya dengan info saya sendiri. Dengan kefahaman saya sendiri yang dibentuk dari pandangan para pimpinan PAS yang ikhlas.

Bagi saya terlalu bodoh jika percaya bulat2 pada blog politik kerana saya tidak mempercayai integriti kebanyakan mereka. Saya mengulas isu politik adalah berdasarkan pengamatan saya dan bersumberkan dari pihak yang hampir dengan isu tersebut dan paling penting saya cuba mengulas setiap isu selari dengan ilmu Islam itu sendiri. Jika ada ulasan saya yang membelakangkan ilmu Islam, maka diharapkan para sahabat dapat menegur saya.

Maka saya ingin tegaskan, saya bukan pro muqabalah, bukan anti Pakatan, bukan pentakbub MSO, bukan anti Husam dan bukan anti pimpinan PAS Kelantan!

Saya adalah penyokong Islam dan penentang sekular! Saya cintakan PAS dan pimpinannya termasuklah TGNA, TGHH, Ust Nasa, Husam, dan semua pimpinan. Disebabkan itu saya tidak mahu memanjangkan salah faham mereka dan bersetuju jika mereka menamatkannya di meja rundingan. Saya cintakan perpaduan pimpinan dan bencikan permusuhan dalam jemaah.

Saya penyokong Pakatan namun tidak mengisytiharkan permusuhan yang hakiki dengan UMNO. Saya sukakan blog politik, namun tidak terima bulat2 kata-kata mereka. Saya peminat politik, namun bukan pada politik kuasa, politik bangsa dan politik harta. Saya hanya sukakan dan minat pada politik Islam yang menjadikan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat. Semuanya DEMI ISLAM DITEGAKKAN!

No comments: