Monday, February 16, 2009

Zuhud : Cerita Monyet Panjat Kelapa

Salam. Setelah sekian lama tidak menulis, saya luangkan masa sedikit pagi ni untuk memperkatakan dan memperingatkan kepada diri saya dan kawan-kawan tentang ujian sebagai seorang pendakwah.

Ujian dalam dakwah bersamaan dengan cerita monyet dihujung pokok kelapa. Si monyet memanjat pokok kelapa dengan berhasrat untuk mendapatkan buah kelapa muda untuk diminum airnya. Si monyet memanjat dengan berhati-hati demi untuk mencapai matlamatnya.

Ketika memanjat, terdapat pelbagai ujian yang si monyet mesti lalui. Ujian terbesarnya adalah dugaan angin kuat yang boleh menjatuhkannya bila-bila masa. Terdapat pelbagai angin di atas sana. Angin kuat, angin ribut, angin taufan dan tidak lupa juga angin sepoi-sepoi bahasa.

Ketika angin ribut datang, si monyet bersedia untuk menghadapinya. Dipeluknya batang pokok kelapa dengan erat untuk memastikan dia tidak terlepas dan jatuh. Maka, makin kuat angin itu, makin berpegang kuat si monyet pada pokok demi untuk mempertahankan dirinya dari jatuh.

Akhirnya, dia berjaya menghadapinya. Ujian yang hebat dan nampak besar itu dapat dilaluinya dengan usaha gigih dan penuh hati-hati. Ini adalah kerana bencana dan ujian yang datang itu adalah nyata dan kuat maka dia juga kuat untuk melawannya. Dia bersedia dari awal dan berazam kuat untuk menghadapi angin ribut itu.

Namun ketika angin sepoi-sepoi bahasa datang, menghembus lembut dan mengasyikan, si monyet jadi leka. Terasa nyamannya udara seolah-olah angin itu mengurut-urut belakangnya. Lekanya dia hinggakan dia terlupa bahawa dia sekarang dalam usaha memanjat pokok kelapa. Setelah sekian lama, terlelaplah si monyet maka jatuhlah dia menyembam bumi. Matlamat untuk memetik kelapa berkecai.

Mengapa ini berlaku? Ini disebabkan ujian yang datang itu diam-diam, nampak indah. Angin sepoi-sepoi bahasa dianggap nikmat oleh si monyet tanpa menyedari itu adalah ujian kesedapan yang akan membawa malapetaka. Maka dia tidak bersiap sebaiknya malah bersedap-sedap dengan ujian yang nyaman itu. Akhirnya, si monyet lupa diri, maka terlepaslah tangannya dan jatuh ke tanah.

Begitu juga kita dalam dakwah, kita diuji dengan pelbagai ujian. Ujian kedukaan, kesakitan, tekanan, ancaman dan kelukaan sering dianggap ’ujian besar’ dan ujian yang menyakitkan. Maka dengan ini, kita bersiap dengan rapi dan kuat untuk menghadapinya. Kita sedar bahawa jika gagal kita akan tercampak dari medan dakwah ke lembah hina.

Ujian ancaman kerja, tiada duit, dicemuh, ditindas, dituduh pengganas dan dibunuh menyebabkan kita makin kuat ketika berhadapannya. Tidak dinafikan, semakin kuat kita bermujahadah melawan ujian yang sakit ini, kita akan makin kuat kerana ujian itu nyata dan pedih. Makin kuat kepedihan itu datang, makin kuat kita pertahankan iman kita.

Namun pabila ujian kesenangan, pangkat, wanita, harta, pujian dan sanjungan datang, kita sering mengangapnya sebagai nikmat dan menerimanya dengan hati yang gembira. Kita langsung lupa bahwa ujian kesenangan ini merupakan ujian hebat yang boleh membunuh jiwa kita!

Bila dapat harta, gaji puluh ribu, menang pilihan raya, ramai penyokong dan mendapat kuasa, kita lalai dan terbuai bersama kesenangan itu dan terlupa untuk bersiap menghadapinya. Ini adalah kerana ujian itu indah, nyaman dan menyegarkan nafsu kita. Ujian kesenangan ini secara sembunyi membunuh hati kita hingga tersemai dengan cinta dunia dan takut mati.

Hati kita makin rosak dan mula takabbur dalam dakwah. Menggunakan dakwah untuk kepentingan dunia dan melonjakkan nama.Maka makin besar ujian kesenangan datang, maka makin lalai kita dan terleka sehinggakan kita makin terhanyut jauh dan akhirnya tersungkur, tewas dalam perjuangan. Islam dan iman kita tergadai, Na’uzubillah.

Sahabat-sahabat, tidak salah berharta, berpangkat dan berkedudukan kerana ia juga senjata dakwah. Namun, bersikap zuhudlah dalam segala tindakan dan langkah kita. Fahamilah bahawa zuhud itu bukanlah meninggalkan harta dan hidup miskin papa kedana.

Zuhud bukanlah tinggalkan dunia dan kejar akhirat semata-mata. Tetapi zuhud sebenar adalah dunia tiada langsung dalam hatinya walaupun dunia berada dalam genggamannya. Inilah kefahaman dan intipati sebenar zuhud. Seseorang itu belum boleh dikatakan zuhud jika dia hidup susah semata-mata. Tetapi dia adalah zuhud jika dunia dihadapannya, tetapi langsung tiada dalam hatinya.

Antara penanda aras bahawa kita sudah mencapai kefahaman zuhud adalah ketika kita memilki sesuatu benda yang amat kita sayang, sama sahaja perasaannya ketika benda itu hilang dari kita. Maksudnya, ada atau tiada benda yang disayangi itu tidak memberi apa-apa kesan dan kerisauan di hatinya.

Orang miskin pun tidak bersikap zuhud apabila dia tetap beriya dan terkesima dengan kemewahan jika kemewahan dihidang di hadapannya. Orang kaya apatah lagi jika harta miliknya sebolehnya ingin dibawa ke dalam kubur.

Kita boleh memupuk sifat zuhud dari sekarang dengan memulakan dari sekecil-kecil perkara. Lazimi bersedekah walaupun sepuluh sen. Biasakan diri dengan menghulur wang kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Jika terasa menyampah dan sakit hati terhadap si peminta, lawanlah lagi dengan menghulurkan lebih banyak duit kepadanya.

Jika terlintas di hati kita untuk berlebihan dalam sedekah sebagai contoh, baru mendapat gaji, maka sambutlah dia dengan menghulurkan bantuan seperti yang terlintas tadi. Jika terlintas ingin menderma RM100, hulurkan RM100. Jangan dibiarkan lintasan hidayah itu kerana jika dibiarkan lama, maka akan datang pula lintasan syaitan yang akan membisikkan rasa rugi jika berlebihan dalam sedekah.

Jangan kita menyayangi isteri dan anak-anak berlebihan hinggakan meletakkan kepentingan Islam di belakang. Sedarlah bahawa isteri dan anak-anak adalah ujian Allah terhadap pejuangNya. Kita diminta menjaganya dan mencintainya kerana itu perintah Allah. Dari kasih sayang itu lahirnya tolong menolong dan bantu membantu dalam keluarga sehingga melahirkan keluarga yang harmoni dan bertolong bantu dalam dakwah.

Cinta yang beralas dengan cinta Allah akan membuatkan kita sayang seseorang dengan kefahaman. Kita akan fahami bahawa sayang pada isteri dan anak-anak adalah untuk membimbing mereka ke arah keredhaan Allah. Sayang isteri kepada suami pula adalah dengan membantu perjuangan suami dan merelakan diri untuk berjauhan dan menghadapi ujian kesusahan dalam menjalani perjuangan.

Sayang yang berlebihan akan menyebabkan suami lebih rela berkepit dengan isteri di rumah daripada keluar menyebarkan dakawah. Lebih berminat mengumpul kekayaan demi membina rumah besar dan membeli emas permata untuk isterinya daripada menginfaqkannya ke jalan dakwah.

Sayang yang tidak berasas isteri pula akan menyebabkannya menjadi batu penghalang perjalanan dakwah suami. Isteri sebolehnya inginkan suami sentiasa di sisi dan amat tidak menyukai suaminya sibuk dengan perjuangan. Terpesona dengan cinta ini merupakan antara ujian dunia yang sangat hebat yang akan membunuh jiwa pejuang!

Ujian pangkat pula perlu di atasi dengan ikhlas dalam perjuangan. Didiklah diri dengan sentiasa memandang tinggi orang lain dan menganggap dirinya sentiasa kekurangan. Sentiasa hormatkan pendapat orang lain dan memuliakan mereka. Hendaklah kita wala kepada pemimpin selagi mana pemimpin tersebut tidak menyalahi hukum Allah.

Apabila kita pula diamanahkan untuk memimpin, peganglah dengan amanah. Jangan menggunakan kuasa untuk kepentingan diri. Jangan gunakan nama untuk melonjakkan diri dan mengangkat kehebatan diri. Ikhlaslah dalam menjalankan tugas dan terbukalah untuk mendengar teguran.

Kita kene sedar bahawa Allah yang mengangkat kita sebagai pemimpin, maka jalankan dengan amanah seperti mana yang disuruh oleh Allah. Gunakan kuasa untuk menyebarkan Islam dan ingatlah bahawa, pendakwah sebenar adalah orang yang berdakwah untuk menyeru kepada Allah, bukan untuk menyeru kepada dirinya.

Ayuh kita berdoa moga Allah mengukuhkan iman kita agar kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan. Tidak kira angin ribut atau angin nyaman menyapa iman kita, kita tetap teguh kerana tiada yang lebih mulia melainkan berada di dalam saf bersama saudara-saudara kita yang lain yang memperjuangkan Islam.