Monday, February 23, 2009

Serangan Bom Di Mesir : Pengalaman Yang Mengerikan


Selama ini, aku sering membaca berita berkenaan serangan bom oleh pihak tidak bertanggungjawab ke atas tempat-tempat awam seperti yang berlaku di Indonesia, London dan banyak lagi negara lain. Aku tidak terbayang akan keadaan yang berlaku itu.

Namun, semalam tanggal 22 Februari 2009, berlaku suatu peristiwa yang aku tidak pernah sangka akan aku alami sendiri dalam hidup ini. Aku dan kawan-kawna pergi ke kelas di Masjid Azhar seperti biasa. Kami berbincang sebelum kelas berkenaan kitab yang akan dipelajari pada hari itu iaitu Ihya Ulumuddin, Hasyiah Baijuri dan Iqnaa’ yang akan disampaikan oleh Syeikh Al ‘Allamah Ahmad Al Hajain.

Kelas Ihya Ulumuddin berjalan seperti biasa dan aku berpuas hati kerana dapat memahami sebahagian besar apa yang diterangkan syeikh. Tidak seperti sebelum ini yang mana aku tidak dapat menangkap apa yang diajar syeikh.

Selepas Maghrib, kelas talaqqi bersambung untuk pengajian kitab Hasyiah Baijuri. Hari tu syeikh akan menyambung perbahasan menutup aurat di dalam solat. Kami memasuki kelas dan kelas bermula kira-kira jam 6.20 malam.

Namun, kira-kira selepas 9 minit bermula, terdengar satu bunyi letupan yang kuat, menggegarkan Masjid Azhar. Aku terperanjat dan cuba meneka apa yang berlaku. Jika di Malaysia, aku biasa dengan bunyi dentuman kuat begini iaitu ketika guruh. Namun, bunyi letupan ini berbeza. Amat kuat, bergegar hingga terasa pada tangan aku, dan tiada tanda-tanda ia datang daripada kemalangan kenderaan.



Semua terdiam dan syeikh juga terkesima. Semua saling bertanya dan hairan dengan bunyi letupan itu. Syeikh meminta seorang muslimat Arab untuk melihat apa yang berlaku. Setelah itu, muslimat itu mengkhabarkan berlaku letupan bom.

Syeikh meneruskan kelas sehingga azan Isyak tanpa mempedulikan apa yang berlaku. Dalam hati aku agak seram takut-takut berlaku letupan di Masjid Azhar pula. Selepas Isyak, syeikh menyambung perbahasan kitab Hasyiah Baijuri dan tamat kira-kira jam 8.10 malam.

Ketika keluar dari kelas, semua membuat andaian sendiri. Ada yang kata kemalangan, ada yang kata gas meletup, ada yang kata mungkin puak Wahabi dok bom Masjid Hussien. Tapi aku sendiri mengandaikan letupan bom di Masjid Hussien kerana bunyi itu memang datang dari sana.

Setelah keluar Masjid Azhar, kelihatan orang ramai di seberang jalan menuju ke Masjid Hussien. Jalan raya di depan Kompleks Azhar sesak dengan kenderaan awam, kereta polis dan ambulans. Dari cakap-cakap oarang di situ, mereka berkata sebuah bas diletupkan dan ada orang yang mati.

Aku mengambil side yang jelas untuk mengambil gambar. Setelah dapat menangkap sekeping gambar, aku dimarahi senior. Memang aku tahu keadaan di Mesir, amat sensitif jika mengambil gambar dalam keadaan begitu. Silap-silap diheret ke penjara bawah tanah. Pernah pelajar Malaysia ditangkap semata-mata bergambar di hadapan pejabat Kementerian Pertahanan Mesir.

Dalam perjalanan ke stesen bas, aku lihat keadaan memang sesak. Polis di mana-mana dan orang ramai cuba untuk mendekati tempat kejadian. Ketika melewati Hospital Hussien bersebelahan Masjid Azhar, aku lihat keadaan juga kelam kabut. Kelihatan ramai polis mengawal keadaan dan tidak membenarkan orang ramai masuk ke hospital. FRU mereka sudah siap mengawal dengan cota dan perisai mereka.

Jalan jadi sesak. Mujurlah jalan ke ARMA (tempat tinggal aku) tidak sesak dan setelah mendapat bas, kami balik ke ARMA. Dalam perjalanan ada pula dok kata 8 orang mati, 4 orang la, masing-masing wat andaian sendiri. Di ARMA, kami berhenti di pejabat guard dan join sama menonton berita Al Jazeirah berkenaan letupan itu.

Apa yang aku dapat tahu, letupan itu datang dari bom tangan yang dilemparkan oleh seseorang. Ada yang mengatakan oleh seorang yang membonceng motosikal, ada juga yang mengatakan dicampak dari bumbung bangunan sekitar. Dilaporkan seorang warga France mati dan 19 cedera. Mujurlah tiada pelajar Malaysia terlibat. Memang ada pelajar Malaysia yang berada sekitar tempat kejadian ketika itu, namun Alhamdulillah mereka selamat.

Tempat kejadian adalah di sebelah taman di hadapan Masjid Hussien yang terletak tidak sampai 100 meter dari Masjid Azhar. Sedangkan aku yang di Masjid Azhar pun dengar letupan yang amat kuat, yang ada di sana mesti lagi power. Silap-silap bleh pekak kot..Untuk pengetahuan semua, Masjid Hussien terletak di dalamnya Makam Kepala Saidina Hussien yang wafat di pancung di Baghdad. Kepalanya dibawa ke Mesir oleh kakaknya dan disemadikan di situ.

Bom yang dilontarkan 2 biji. Meletup hanya sebiji dan sebiji lagi diletupkan oleh unit pemusnah bom mereka. Patutlah ketika keluar dari Masjid Azhar aku ada terdengar bunyi letupan, tapi tidak berapa kuat. Tapi aku memang rasa ngeri. Mahunye tidak, tempat kene bom tu memang jadi tempat tumpuan membeli belah pelajar Malaysia. Aku pun pernah ke situ beberapa kali. Mujurlah ketika aku ke sana tiada apa yang berlaku.

Kejadian ini bukan pertama kali. Tahun 2005 di tempat yang sama, 2 mati dan 18 cedera dalam peristiwa letupan bom. Ini merupakan pengalaman yang tidak akan aku lupakan. Selama ini aku hanya mendengar berita, namun kali ini aku sendiri yang mendengar letupan bom itu. Masih dapat aku ingat kuatnya letupan itu. Kebetulan aku sedang merakam audio pengajian syeikh, maka secara tidak sengaja terakam sekali bunyi letupan tu. Bila dengar balik, memang meremang bulu roma.

Dari sudut hukum, membunuh orang awam yang tidak tahu apa-apa hatta orang kafir memang haram hukumnya. Hanya kafir harbi, orang murtad dan penderhaka (Bughah) sahaja yang dibenarkan dibunuh dalam Islam, itupun dengan pelbagai syarat dan panduan. Namun, aku serahkan pada Allah akan hukum pada siapa dalangnya. Tidak diketahui apa motifnya, dituju kepada siapa mesej letupan itu.

Jika ditujukan mesej ini kepada pengkhianat Husni Mubarak, kalau aku nilai dari sudut kepala otak sendiri, memang padankan muka si Husni ni. Kalau bom tu kene kat die lagi bagus. Pengkhianat rakyat Mesir, zalim, kuku besi dan bersetongkol dengan Amerika dan Israel dalam membunuh rakyat Palestin.

Tapi, sebagai umat Islam, kita patuh kepada hukum Islam. Jika Islam tidak benarkan, sampai bila pun ia tetap haram. Cuma kita sebagai pemerhati akan kejadian ini tidak mengetahui cerita sebenar-benarnya apa yang berlaku. Nak salahkan si penyerang, mungkin mereka ada ijtihad sendiri. Nak setuju dengan serangan ini pula, dari apa yang kita lihat memang haram hukumnya. Maka jalan terbaik, serahkan sahaja pada Allah. Moga Allah membimbing dan menginsafkan si penyerang dan menyedarkan kesilapan yang kene serang.

Beginilah keadaan politik Mesir, ekstrim sehingga membawa kepada bom mengebom. Nasib baik politik Malaysia ok lagi walaupun ada juga orang PAS dizalimi dan dibunuh oleh pemerintah kita seperti peristiwa Memali. Kita doakan, apa jua pergolakan yang berlaku, janganlah mereka mensasarkan Masjid Azhar yang penuh dengan keberkatan ilmu ini. Aku bimbang jika mereka tidak terarah dan hilang pertimbangan sehingga tempat yang berjasa ini menjadi mangsa.

Semoga Mesir menuju ke arah keamanan dan pejuang Islamnya berjaya menumbangkan kerajaan kuku besi Husni Mubarak dan menegakkan kerajaan Islam dengan mengikut cara dan kaedah yang dibenarkan syarak. Semoa semua negara umat Islam aman damai dan terhindar daripada kejadian berdarah ini.

No comments: