Tuesday, January 6, 2009

PRK Kuala Terengganu : Benarkah Tiada Dosa Pahala Dalam Politik?


Saya tertarik untuk mengulas berkenaan kenyataan Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang mengatakan bahawa mengundi parti yang mendukung Islam akan peroleh pahala dan yang mengundi parti yang mendukung sekular akan mengundang dosa dan kemurkaan Allah. Kenyataan ini dianggap sebagai ’bola tanggung’ oleh UMNO lalu mengambil peluang melakukan ’smach’ kencang kepada PAS untuk dijadikan modal murahan pilihanraya. Mereka berkata bahawa dosa pahala adalah urusan Allah dan tidak ada manusia yang boleh menentukan.

Dalam setiap kali solat, kita memulakan dengan doa iftitah. Kita akan menyebut bahagian doa yang bermaksud ”sesengguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam. Kita ikrarkan setiap hari tetapi adakah kita memahami maksudnya?

Sebenarnya lafaz doa iftitah mengandungi lafaz taat setia kita kepada Allah. Kita mulakan dengan pujian Maha Besar Allah, segala puji bagi Allah dan Maha Suci Allah. Juga kita menyembahkan wajah kita kepada ’wajah’ yang menjadikan langit dan bumi. Kita mengakui bahawa kita adalah pengikut jalan yang lurus dan benar serta bukanlah kita ini tergolong dalam golongan musyrikin. Doa tersebut kita akhiri dengan pengakuan bahawa tiada sekutu bagi Allah dan ikrar bahawa kita adalah orang mukmin.

Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz hidup dan matiku kerana Allah? Para ulama berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ’hidupku’ bukanlah hidup menarik nafas semata-mata, malah ia membawa maksud seluruh aktiviti kehidupan. Maknanya di sini, kita lafaz ikrar bahawa kita akan lakukan segala aktiviti kehidupan hanya kerana Allah. Dalam solat, kita dididik untuk melakukan bukan sahaja ibadah, malah semua aktiviti kita kerana Allah. Apabila Islam menyuruh kita melakukan semua aktiviti kehidupan kerana Allah, maka ada timbangan baik dan buruk dalam setiap tindakan kita.

Di sinilah letaknya kecantikan Islam. Ajarannya bukan sekadar amalan ritual sahaja, malah mencakupi segala aktiviti manusia di atas muka bumi. Tidak seperti agama lain yang mana mereka hanya beragama di rumah ibadah mereka dan pada hari-hari tertentu sahaja. Manakala di tempat dan hari yang lain, mereka tidak beragama dan terlepas daripada pemerhatian tuhan mereka. Maka, mereka menjalani kehidupan mengikut pemikiran mereka sendiri, tiada pertimbangan baik buruk yang menyebabkan mereka mencampakkan diri mereka ke arah kehancuran.

Manusia bodoh berkenaan hakikat mereka sendiri kerana bukan manusia yang mencipta manusia, tetapi Allah yang mencipta manusia dan sudah pastinya ’Jurutera’ yang mencipta manusia ini ada menetapkan ’manual’ kepada manusia tentang bagaimana hendak menguruskan kehidupan mereka di dunia. Dalam Islam, Allah mengajar manusia bahawa setiap aktiviti kehidupan hendaklah dibuat keranaNya. Maka setiap perbuatan yang ada suruhan untuk dilakukan keranaNya akan ada pertimbangan baik dan buruk. Apabila ada pertimbangan baik dan buruk, maka akan wujudlah konsep dosa pahala yang mana ianya jadi ’matawang’ utama di Padang Mahsyar. Konsep pelaburan yang Allah perkenalkan ini sangat adil kerana dosa dan pahala boleh dimilki semua manusia. Jika Allah mengambil pertimbangan duit, maka yang kayalah yang akan masuk syurga. Apabila Allah gunakan konsep dosa pahala, maka setiap orang berpeluang masuk syurga kerana yang berat timbangan pahalanya akan ke syurga dan begitulah sebaliknya.

Allah bukakan ’ladang’ yang luas bagi memberi peluang kepada manusia untuk menuai pahala. Ladang yang dimaksudkan adalah seluruh aktiviti kehidupan manusia ini. Allah lebarkan rahmatNya dengan memberi pahala bukan sahaja dalam ibadah khusus (solat, puasa, zakat) malah dalam ibadah umum (aktiviti kehidupan manusia). Allah menjanjikan balasan baik kepada mereka yang menjalani kehidupan mereka berpandukan panduanNya dan melakukan kebaikan dalam segala aktiviti kehidupan.

Maka ingin ditegaskan di sini, dalam Islam Allah tidak menilai perbuatan kita sekadar dalam solat, puasa dan zakat, tetapi Allah menilai kita dari sudut seluruh aktiviti kehidupan kita dari kita lahir hingga mati. Semua aktiviti akan berakhir dengan dua balasan, samada pahala atau dosa. Dalam makan ada pahala dosa, dalam bermain ada pahala dosa, dalam belajar ada pahala dosa, dalam bekerja ada pahala dosa, dalam pentadbiran ada pahala dosa, dalam ekonomi ada pahala dosa, dalam kehakiman ada pahala dosa dan DALAM POLITIK PUN ADA DOSA PAHALA!

Bila kita sebut politik, ia tidak boleh lari dengan persoalan memilih pemimpin. Dalam Islam, memilih pemimpin adalah persoalan yang besar dan merupakan salah satu bentuk ibadah yang bersifat ijtima’iyyah. Ini disebabkan pemimpin yang akan mencorakkan orang yang dipimpin. Jika pemimpin beriman, maka dia akan mencorakkan iman kepada rakyat dan jika pemimpin berfikiran sekular, maka dia juga akan menerapkan sekular dalam kehidupan rakyat.

Dalam Islam, kita berdoa setiap hari yang bermaksud ”Wahai Tuhan kami, berikanlah kami isteri dan zuriat yang menyejukkan mata dan jadikanlah pemimpin kami di kalangan orang bertaqwa”. Allah mengajar kita untuk memohon kepadaNya agar pemimpin kita diangkat dari kalangan yang bertaqwa kerana yang pemimpin bertaqwa sahaja yang akan menjaga Islam dan menyuburkannya dalam masyarakat. Manakala pemimpin yang sekular dan zalim kepada Allah (dengan mengetepikan panduan Allah dalam pentadbiran negara) hanya akan membawa kehancuran dalam masyarakat.

Allah melarang keras hambaNya daripada melantik orang yang zalim menjadi pemimpin. Ini adalah kerana jika si zalim menjadi pemimpin dan melaksanakan dasar menentang hukum Allah, sedangkan kuasa pemimpin yang dia peroleh itu adalah hasil sokongan kita, maka kita juga dikira bersubahat dan menyokong kezaliman tersebut. Perlu diketahui bahawa, orang yang zalim dan penyokongnya akan sama-sama diazab oleh Allah dalam neraka seperti firaun dan penyokongnya, Haman.

Dalam kisah silam ada menyebut bahawa seorang tukang jahit mendapat arahan daripada si Raja yang zalim untuk menjahitkan butang bajunya yang tercabut. Maka ketika ditanya akan hukum menolong raja tersebut kepada seorang ulama, maka jawab si ulama bahawa menolong menjahit butang baju itu juga dikira sebagai membantu kezaliman! Kita boleh lihat betapa Allah memandang berat akan orang yang zalim terutama yang zalim kepadaNya malah betapa orang yang zalim ini perlu diboikot seluruhnya!

Sedangkan menjahit butang pun dikira bersubahat dengan kezaliman, inikan pula memberi undi kepada parti sekular yang menzalimi Allah yang mana kuasa yang mereka dapat hasil daripada undi tersebut akan mereka gunakan untuk meneruskan dasar zalim yang membelakangkan Allah dalam urusan pentadbiran negara! Sehingga kini, kita melihat UMNO masih lagi meneruskan dasar kebangsaan dan dasar memisahkan Islam dengan pentadbiran negara, maka dengan ini UMNO tergolong di kalangan parti yang menzalimi hak Allah selaku pembuat hukum dan peraturan kehidupan manusia. Mengundi dan memberi mandat kepada UMNO samalah memberi undi kepada pihak yang zalim. Memberi kuasa kepada UMNO samalah seperti menyokongnya untuk meneruskan dasar yang menetang hudud, menentang kempen menutup aurat, membenarkan pergaulan bebas, membenarkan huburan dan pesta maksiat dan membenarkan pelbagai lagi kemungkaran dalam negara kita.

Saya sebenarnya tidak suka untuk menyentuh persoalan politik dalam suasana perkabungan kita terhadap penderitaan rakyat Palestin. Namun, saya dapati perkara ini bukan lagi persoalan politik tetapi persoalan jihad menentang kefasikan politik dalam negara kita. Ini persoalan yang menjangkau kepentingan politik dan saya menulis artikel ini sebagai usaha memberi peringatan bahawa betapa kezaliman sekular (zalim terhadap Allah) ini perlu ditentang kerana ia berlaku sangat hampir dengan kita, iaitu dalam negara kita sendiri.

Saya tegaskan di sini, saya mengatakan demikian bukan kerana dia UMNO, tetapi kerana UMNO menolak dan tidak beramal dengan Islam. Kita tidak perlu taksub pada parti. Jika PAS ubah dasar kepada sekular, saya akan menentangnya juga. Malah jika UMNO melaksanakan Islam, saya pun akan turut kempen sahabat-sahabat saya di Mesir ini untuk daftar Kelab UMNO Mesir. Harapan pada UMNO cuma satu. Terima dan laksanakan Islam sepenunhnya, bukan Islam yang ada Had Harinya.. Jika ini berlaku, UMNO layak menerima sokongan kita. Jika tidak, dulu kini dan selamanya UMNO akan ditentang sehinggalah parti yang mendukung Islam menjatuhkan UMNO dan mengambil alih pentadbiran negara!

Saya menyeru kepada pengundi Parlimen Kuala Terengganu, disebabkan hingga kini PAS kekal sebagai parti yang mendaulatkan Islam dan UMNO kekal sebagai parti yang menolak Islam, maka saya harap pengundi akan mengundi calon PAS kerana mengundi parti yang melaksanakan Islam samalah seperti membantu menegakkan Islam dan akan mendapat pahala. Manakala mengundi parti yang zalim pada Allah dan sekular samalah seperti mengisytiharkan perang terhadap Allah dan pastinya akan mendapat dosa! Wallahua’lam.

No comments: