Thursday, January 24, 2013

Manifestasi Cinta Kepada Rasulullah

Salam Maulidur Rasul kepada semua umat Islam. Tenang dan gembira rasa hati apabila alunan selawat dialunkan di mana-mana, baik dalam televisyen, radio dan juga majlis-majlis sambutan. InsyaAllah, kecintaan kepada baginda yang diserapkan ke dalam masyarakat, semoga menjadi asbab turunnya hidayah mencurah-curah kepada kita semua. 

Di kesempatan ini, ingin saya mengulas berkenaan beberapa kekeliruan yang timbul berkenaan sambutan Hari Keputraan Rasulullah SAW, di mana terdapat segelintir di kalangan umat Islam yang melarang dan membidaahkan sambutan ini berdasarkan beberapa nas yang mungkin tidak dipandang secara menyeluruh.

Nabi Melarang Mengagungkannya?

Dalil popular yang dinaqalkan adalah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Ahmad yang menyebut :

لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kamu mengagung-agungkan aku seperti mana kaum Nasrani mengagung-agungkan Ibn Maryam (Nabi Isa a.s), sesungguhnya aku adalah hambaNya maka katalah: Hamba Allah dan RasulNya”. [al-Bukhari & Ahmad].

Secara kasar, hadith ini kelihatan larangan Rasulullah SAW kepada umatnya untuk mengagungkan baginda. Namun begitu, jika diteliti dengan baik maka kita akn peroleh kefahaman yang sebenar akan maksud hadith ini.

Hadith ini mengaitkan larangan mengagungkan baginda dengan perbandingan kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa. Oleh itu, cuba kita telitikan pula bagaimana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa yang dilarang itu? Disebut dengan jelas dalam banyak ayat Al Quran berkenaan celaan kepada kaum Nasara yang mengangkat Nabi Isa sebagai anak Tuhan dan mentaqdiskan baginda setaraf dengan Allah.

Antara ayat Al Quran yang menjelaskan penafian Nabi Isa di hari kiamat berkenaan dakwaan kaum Nasara bahawa baginda mengaku sebagai anak Allah adalah ayat 116 dan 117 dari Surah Al Maaidah bermaksud :

"Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: "Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?". Isa menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib". Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. (Surah Al Maa'idah ayat 116-117)

Ini yang dimaksudkan sebenarnya dalam hadith di atas iaitu Rasulullah SAW melarang umatNya mengagungkan baginda seperti mana kaum Nasara mengagungkan Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Ini diperkuatkan lagi dengan ayat di hujung hadith tersebut yang menyatakan "seseungguhnya aku adalah hambaNya, maka katalah : Hamba Allah dan rasulNya." Larangan ini sama sekali tidak bermaksud larangan berlebihan dalam mencintai Rasulullah SAW.

Apatah lagi jika ingin dinisbahkan dengan sambutan Maulidur Rasul. Sambutan ini adalah manifestasi kecintaan kepada baginda yang sama sekali tidak sampai kepada menganggap baginda sebagai Tuhan, seperti yang dilakukan oleh kaum Nasara. Aktiviti berqasidah, berselawat, menganjurkan jamuan, berarak dan lain-lain aktiviti adalah perkara yang harus dilakukan, malah mendapat pahala sekiranya niat kita ikhlas dalam melakukan semua ini.

Mengkhususkan Ibadah

Banyak persoalan timbul berkenaan hukum mengkhususkan ibadah sunat di hari-hari kebesaran Islam seperti Hari Maulidur Rasul. Di sini saya suka untuk menurunkan kalam Al Allamah Sheikh Dr Sayyid Muhammad Ramadhan Al Buti ketika berforum bersama Al Allamah Al Mahbub Habib Ali Al Jufri dalam satu slot forum di salah satu stesen TV UAE.

Terdapat satu hadith berkenaan fadhilat puasa sunat Isnin iaitu :

Abu Qatada al-Ansari meriwayatkan didalam Sahih Muslim, kitab as-siyam (puasa), bahawa Rasulullah (s.a.w) kenapa beliau berpuasa pada hari Isnin, dan baginda bersabda,"Itulah hari aku dilahirkan dan itulah juga hari aku diangkat menjadi Rasul."

Sheikh memandang hadith ini dari sudut kacamata usul sunnah iaitu Rasulullah menzahirkan rasa gembira di hari tersebut dengan melakukan ibadah iaitu puasa.

Maka umat Islam diharuskan untuk mengkhususkan ibadah sunat ketika ingin meraikan sesuatu yang mengembirakan dengan syarat perkara yang mengembirakan itu bukan perkara yang haram di sisi agama. Kita juga tidak boleh menghukumkan ibadah sunat yang ingin dilakukan itu sebagai wajib dan jauhi sama sekali menisbahkan ibadah sunat yang dikhususkan itu sebagai sesuatu yang pernah dilakukan Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, kita gembira dengan keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka kita raikan dengan solat sunat tasbih. Kita gembira menyambut Maal Hijrah, maka kita berpuasa pada hari tersebut. Kita gembira dengan kedatangan Maulidur Rasul, maka kita alunkan selawat khusus yang istimewa untuk meraikannya. Maka, semua ini diharuskan dalam Islam.

Malahan, jika dinilai dari satu sudut, ianya membawa satu sikap yang mulia iaitu apabila rasa gembira dan dikurniakan nikmat oleh Allah, kita menyambutnya dengan melakukan ibadah, mengingati Allah dan mengabdikan diri padaNya.

Berlapang Dada Sikap Terbaik

Namun begitu, ini termasuk dalam perkara khilafiat di mana kita bebas untuk memilih samada untuk bersetuju atau tidak. Jika kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan selawat khusus atau berpuasa atau apa sahaja ibadah sunat lain, dipersilakan. Jika kita ingin menyambut dengan cara yang lain pun dipersilakan. Jika tidak mahu menyambut pun, tiada masalah sama sekali.

Apa jua bentuk sambutan kita, perkara yang terlebih utama tetaplah menyerapkan ajaran Islam dan akhlak Rasulullah dalam kehidupan seharian kita. Apa yang menjadi masalah adalah apabila kita tidak berlapang dada dan menghukumkan sesat kepada mereka yang tidak sependapat dengan kita, apatah lagi perkara ini hanyalah salah satu dari permasalahan khilafiat.

Salam Maulidur Rasul untuk semua =)


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.22 pm, 12 Rabiul Awal 1434H
24 Januari 2013

No comments: