Thursday, December 13, 2012

Isteri Cermin Buat Suaminya


Timbul di news feed Facebook saya berkenaan satu artikel di dalam satu web milik sebuah NGO di Malaysia berkenaan pandangan perkahwinan antara lelaki jemaahnya dengan wanita luar dari jemaahnya. Digelarkan di situ perkahwinan ikhwah dengan bukan akhwat. Mungkin itu panggilan istilah yang mereka gunakan. Namun, di situ pun saya merasa sedikit janggal kerana bukankah semua wanita muslim itu akhwat kita?

Kita tinggalkan persoalan itu. Cuma saya rasa terpanggil untuk memberikan komentar berkenaan isi yang ditulis di dalamnya yang bagi saya ada beberapa bahagian yang tidak dipersetujui. Pertama sekali apabila kita bicarakan soal jodoh, maka kita mestilah memahami bahawa ianya termasuk di dalam persoalan qada' dan qadar yang telah diaturkan oleh Allah sejak kita lahir. Siapakah jodoh kita, ianya telah tertulis sejak azali.

Saya sendiri tidak pernah menyangka sejak kecil, bahawa saya yang tinggal di Melaka akan bertemu jodoh dengan isteri tercinta saya yang tinggal di Pulau Pinang. Ada seorang rakan saya yang mulia, kisah cintanya lebih dramatik. Dia yang tinggal di Kajang, Selangor akhirnya bertemu jodoh dengan isterinya seorang muslimah di Kaherah, Mesir. Ianya adakala pelik bagi kita, tetapi tidak bagi Allah, pengatur jodoh pertemuan buat hamba-hambaNya.

Panduan Mencari Jodoh Oleh Rasulullah

Rasanya semua kita arif berkenaan sebuah hadith yang menggariskan ciri-ciri wanita yang perlu dicari oleh lelaki yang ingin berkahwin, iaitu rupanya, hartanya, keturunannya dan agamanya, maka ciri agamanya itu lebih utama dari ciri yang lain. Kemudian disyarahkan oleh para ulama dengan menambahkan sedikit lagi ciri-ciri sampingan yang juga perlu diambil kira untuk melengkapkan lagi panduan mencari jodoh seperti sekufu, pekerjaan yang sama, tahap pendidikan yang sama dan lain-lain.

Perlu difahami di sini, segala panduan yang digariskan adalah merupakan panduan ikhtiar yang perlu dilakukan oleh kita sebagai orang Islam, di mana Islam menekankan kita untuk berikhtiar sebagai asbab untuk memperoleh sesuatu. Namun, panduan ini bukan merupakan kewajipan ataupun ketetapan yang mesti diikuti secara adat oleh kita, hinggakan sekiranya panduan ini tidak dipatuhi, maka perkahwinan itu akan dikira sebagai tidak sempurna dan tidak secocok.

Ini adalah kerana, hal ehwal jodoh adalah ketetapan Allah dan kita sebagai manusia tidak boleh mengatakan ketetapan yang Allah gariskan ini sebagai tidak sempurna hanya kerana bercanggah dengan pandangan zahir kita. Walaupun kita mempunyai penilaian kita sendiri, tetapi kita diajar bahawa apa jua yang ditetapkan oleh Allah adalah terbaik untuk kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan ia sebagai baik jika ia tidak sempurna di sudut pandangan kita.

Pertautan Dua Hati

Cinta tidak mengenal siapa. Itu ungkapan yang popular kita dengar. Di dalam Islam, kita diajar apabila menemui wanita yang kita sukai, maka lihat dahulu ciri yang digariskan oleh Rasulullah SAW terutamanya pada agamanya. Sekiranya agamanya adalah baik dan terjaga, kemudian terdapat ciri-ciri lain yang tidak seperti yang kita harapkan, maka terimalah cinta itu seadanya kerana cinta yang berlandaskan iman itu mampu untuk mengatasi perbezaan yang lain.

Iman adalah matlamat utama, manakala ciri lain adalah pelengkap. Jika semua kita ingin mencari wanita yang lengkap dan menepati semua ciri-ciri yang digariskan ulama, dibimbangi kesibukan mencari kesempurnaan itu akan mengatasi kewajipan berkahwin itu sendiri. Selain rupa paras dan keturunan yang digariskan Rasulullah yang tidak boleh diubah, semua ciri lain adalah bersifat mendatang yang boleh kita capai dengan usaha kita selepas perkahwinan, dan itulah antara tujuan utama perkahwinan iaitu perkara yang tidak sempurna boleh disempurnakan oleh pasangannya.

Maka, apabila kita telah menemui wanita yang kita sukai dan agamanya adalah baik dan terjaga, maka usahalah ke arah perkahwinan dan atasilah semua perbezaan. Ini adalah kerana semua perbezaan itu adalah lumrah kehidupan manusia yang akan sentiasa wujud tanpa henti. Malah, semua perbezaan ini mampu diuruskan dengan baik hasil kekuatan dan keikhlasan cinta kita yang ingin disatukan mengikut jalan yang diredhai Allah.

Mendidik Isteri Dan Membantunya Adalah Tanggungjawab Suami

Ramai yang berpegang kepada pandangan bahawa perkahwinan seorang lelaki adalah untuk mengurangkan bebanan pada dirinya, di mana setelah berkahwin, si isteri akan membantu menguruskan dirinya. Benar, itu antara hikmahnya, tetapi bukan matlamat utama perkahwinan. Perkahwinan adalah perkongsian tanggungjawab di mana si suami juga memiliki tanggungjawab untuk menjaga dan membantu isterinya. 

Adalah teramat salah apabila kita beranggapan jika isteri tidak mampu menanggung tugasan di rumah dan mendidik anak, lalu meminta si suami untuk membantunya, ianya akan mengurangkan produktiviti dakwahnya. Anggapan ini jika kita jadikan sebagai pegangan, maka kita akan menganggap bahawa membantu isteri menguruskan anak dan rumah tangga, adalah perkara yang membebankan dan mengganggu tugasan suami di lapangan dakwah, sedangkan hakikatnya ianya bukan beban tetapi tanggungjawab!

Saya teringat kalam Al Allama Al Mahbub Habib Ali Al Jufri yang mengatakan bahawa terdapat suami yang selalu berkata "pemerintahan Islam, dakwah Islam, bla...bla...bla..." dan tidak memberikan tumpuan kepada rumah tangganya. Maka, hendaklah dipanggil si suami itu dan berkata padanya "setiap dari kamu adalah pemimpin dan kamu bertanggungjawab ke atas apa yang berada di bawah tanggunganmu (mafhum hadith)". Maka isteri, anak dan keluarga kamu juga termasuk di dalam tanggungjawab yang sama besar dengan apa yang kamu selalu laungkan itu.

Pendapat asal di dalam Mazhab Syafie juga menegaskan bahawa tanggungjawab isteri kepada suami hanya pelayan dan penghiburnya sahaja. Manakala semua makan minum, pakaian dan menjaga anak-anak adalah tanggungjawab si suami. Jika si suami tidak mampu menguruskannya, maka wajib bagi si suami menggajikan pembantu untuk menguruskannya. Namun, pendapat dan fatwa ulama mazhab Syafie selepasnya memberikan keringanan kepada suami dan menetapkan tanggungjawab pengurusan rumah tangga dan anak-anak juga perlu diuruskan oleh isteri.

Cukup dua contoh ini memberikan gambaran kepada kita betapa suami juga memiliki tanggungjawab secara syarie terhadap isterinya dan tanggungjawab ini sama besar dengan tanggungjawab dakwah dan jihad amar makruf nahi mungkar. Si isteri, jika dia masih mampu menguruskan rumah tangga sendirian, pastinya dia tidak akan meminta suaminya untuk turut bersama membantunya. Namun, jika kita mendapat seorang isteri yang sakit, mempunyai penyakit yang tidak mampu untuk membuat kerja-kerja berat, maka adakah patut kita menganggap isteri itu sebagai beban dan meninggalkannya untuk mengutamakan urusan dakwah?

Perlu difahami di sini, jika berlaku pertembungan antara tanggungjawab rumah tangga dan dakwah, selagi tuntutan dakwah itu tidak mencapai hukum fardhu ain, maka si suami perlu mengaulakan keluarganya kerana keluarga tiada sesiapa yang boleh dijadikan tempat bergantung selain darinya, sedangkan jemaah dakwah kita memiliki ramai pembantu yang mampu menguruskan kerjanya. Di sinilah terletaknya cabaran kepimpinan suami untuk mengatur masa dan tenaga bagi memastikan tangungjawab terhadap keluarga dan dakwah dapat dijalankan seiring dengan jayanya.

Tanggungjawab Suami Adalah Rahmat dan Pengikat Cinta

Jangan sesekali kita menganggap bahawa tanggungjawab itu adalah beban. Jika kita menganggap begitu, maka ianya akan menjadi beban kepada kita. Tanggungjawab adalah amanah oleh Allah, di mana jika kita melaksanakan dengan baik dan ikhlas, kita akan beroleh pahala dan Allah akan membantu kita untuk melaksanakannya.

Cinta yang sejati adalah cinta yang memberi, bukan sekadar menerima. Jika kita selesa dan rasa ringan dengan khidmat yang isteri kita berikan kepada kita, maka bantuan dan perhatian yang kita berikan kepadanya merupakan pengikat cinta dan kasih suami isteri. Maka, kita yang sibuk dengan dakwah, jika terdapat permintaan isteri berkaitan dengan hal ehwal rumah tangga yang perlukan perhatian kita, hendaklah kita memandang permintaan itu dengan penuh kasih sayang dan memenuhinya dengan baik. Jadikan tugasan membantu isteri ini sebagai satu kerja yang menghiburkan dan menjadi sumber kekuatan kita untuk berkerja di dalam medan dakwah. Tidakkah itu satu kemanisan hidup rumah tangga?

Kita sebagai suami perlu memahami jiwa dan naluri seorang isteri. Lelaki sifatnya adalah mementingkan fungsi, manakala wanita mementingkan estatika. Di dalam menguruskan rumah tangga, jika si isteri meminta si suami membantunya, sebenarnya si isteri tidak mengharapkan si suami untuk membantu sehingga selesai semua kerjanya. Jika itu yang diharapkan, suami sebagai orang yang mementingkan fungsi dan penyelesaian masalah, boleh menggajikan pembantu untuk menolong isterinya.

Namun, yang dikehendaki oleh isteri adalah perhatian dan kebersamaan. Mungkin kita sebagai orang yang sibuk memandang dakwah itu kerja yang besar, adakala memandang tugas memenuhi naluri si isteri ini adalah tugas kecil yang perlu diatasi sendiri oleh isteri dengan berkorban dan memahami tugas suami. Kalau begitu, apa tujuan kita berkahwin? Adakah untuk memudahkan diri kita sahaja sedangkan keperluan perkahwinan si isteri iaitu memenuhi nalurinya tidak kita endahkan.

Rasulullah SAW adalah pemimpin dakwah yang paling sibuk. Kesibukan baginda bukan sahaja urusan dakwah, malah urusan negara, urusan wahyu, urusan para jin dan makhluk lain juga berada di bawah tanggungan baginda. Baginda juga memiliki sembilan isteri yang pastinya mempunyai ragam-ragam yang berbeza. Namun, baginda tidak pernah mengajar untuk memandang ragam, masalah dan membantu isteri sebagai beban. Baginda sendiri mengaturkan masa baginda dengan baik hinggakan produktiviti baginda di dalam tugas dakwah tidak berkurang, malah makin bertambah lantaran berkat dan rasa terhibur hati yang dicapai semasa bersama isterinya.

Isteri Cermin Buat Suaminya

Apabila seseorang pendakwah mendapat isteri yang kurang kefahaman dakwah sepertinya, kita sering memandang kurang faham si isteri itu sebagai kelemahannya yang akan menganggu kerja dakwah kita. Saya sangat kasihan pada isteri yang menerima nasib begini. Sedangkan, tahukah kita kurang faham isteri itu memerlukan kita untuk memimpinnya? Naluri isteri mana yang tidak mendambakan kepimpinan suaminya terhadapnya? Mengapa kita mampu untuk berkorban siang malam kerana untuk berdakwah kepada anak usrah kita dan ahli jemaah kita, tetapi tidak pula kepada isteri kita? Sangat pelik bukan sikap begini.

Ingatlah, siapakah isteri kita, itulah cermin buat kita. Isteri merupakan pantulan imej kejayaan dakwah si suami. Jika kita mengatakan isteri kita seorang yang tidak faham dakwah, maka kata-kata itu akan terpantul kepada kita sebagai daie yang gagal berdakwah pada isterinya sendiri. Tanggungjawab dakwah kita terhadap masyarakat adalah fardhu kifayah di mana jika sudah ada pihak yang menjalankan tanggungjawab itu, kita telah terlepas darinya. Tetapi tanggungjawab dakwah kita terhadap isteri kita adalah fardhu ain, tidak akan terlepas selamanya hingga ke Padang Mahsyar dan di pintu neraka!

Alasan tidak mampu berdakwah kepada isteri kerana sikap isteri yang tidak mahu menerima adalah alasan yang tidak boleh diterima. Jika kita mampu menghimpunkan sekian ramainya ahli di dalam jemaah kita, dalam keadaan kita berjumpa mereka hanya seminggu sekali di dalam usrah, bagaimana kita boleh gagal mendidik isteri yang kita temui setiap hari, setiap masa di dalam rumah kita. Jangan mengatakan gagal jika kita belum berusaha, dan usaha dakwah kepada isteri ini adalah terbuka hingga ke akhir hayat kita.

Isteri Jalan Suami Ke Syurga

Kepada mereka yang mendapat isteri yang kurang kefahaman dakwah, yakinlah, dakwah kepada isteri adalah jalan yang mampu membawa si suami ke syurga. Dengan mendidik isteri, didikan itu akan terpantul pada anak-anak kita. Mendidik isteri bukan seperti mendidik orang awam, mendidik isteri perlulah dengan hikmah dan kasih sayang. Jangan ditekankan dahulu perkara yang sunat dan tahsiniyat, jagalah perkara wajib yang perlu dilakukan si isteri. Ketahuilah, menekankan perkara sunat kepada orang yang baru berjinak dengan dakwah adalah faktor utama kegagalan dakwah.

Jangan mendidik isteri dengan arahan dan mewajibkan itu ini, didiklah dengan qudwah hasanah dari diri kita sendiri. Sesungguhnya, 80% kejayaan dakwah adalah hasil qudwah hasanah yang lebih memaut hati manusia untuk mendekati Islam dan dakwah daripada berkata-kata. Apa jua kelemahan isteri di mata kita, itulah isteri kita yang kita cintai dan akan hidup dengannya hingga kahir hayat. Terimalah isteri seadanya dan usahalah untuk mendidiknya hingga ke pintu syurga.

Mendidik isteri penuh dengan seribu satu ragam, maka sabarlah dan teruskan berdakwah. Yakinlah, pahala yang kita akan dapat jika kita mampu mendidik isteri kita menjadi seorang muslimah solehah, yang mentaati agama dan menyusuri jalan dakwah, jauh lebih besar daripada pahala yang kita perolehi di dalam dakwah kita kepada masyarakat.

Alhamdulillah, Allah kurniakan saya seorang isteri yang menyejukkan mata, mendamaikan jiwa dan menenangkan hati. Dalam saya mendidik isteri saya, saya juga terdidik dengan sifat-sifatnya yang mulia. Semoga kita bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita melalui isteri kita, tidak kira walalu siapapun dirinya, dialah isteri kita yang kita cintai dan telah terpikul amanah untuk mendidiknya di bahu kita sejak kita melafazkan "aku terima nikahnya...".


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.03 pm, 13 Disember 2012.

No comments: