Friday, October 19, 2012

Empat Perbuatan Yang Melambangkan Diri Kita

Terdapat empat perbuatan yang selalu kita lakukan, yang kita anggap kecil, tetapi ia sebenarnya berkemungkinan besar memberikan gambaran akan diri kita yang sebenar. Ini adalah kerana perbuatan tersebut yang lahir secara spontan ini merupakan kesan dari peribadi dan sikap diri kita yang mungkin kita tidak sedar.

Pertama - Apabila kita mendengar azan dari komputer kita, dalam masa yang sama kita sedang mendengar lagu atau menonton cerita, maka kita akan segera 'off'kan azan tersebut kerana tidak mahu azan itu menganggu aktiviti kita.

Kedua - Sedang kita mencari-cari siaran radio semasa memandu kereta, maka terbuka siaran IKIM yang sedang memperdengarkan bacaan Al Quran. Lalu, kita ubah kepada siaran lain yang lebih menarik.

Ketiga - Selepas tamat menonton satu drama di Astro Oasis, rancangan seterusnya adalah 'Indahnya Iman' yang memperdengarkan zikrullah. Lalu kita ubah kepada channel yang lain.

Keempat - Selepas solat di masjid, diumumkan bahawakan diadakan majlis ilmu selepas solat. Lantas kita pulang ke rumah walaupun ketika itu kita tiada apa-apa urusan.

Melengahkan Solat Dan Tidak Khusyuk Dalam Solat

Perbuatan kita yang pertama tadi berkemungkinan besar melambangkan kita adalah seorang yang suka melengahkan solat dan tidak khusyuk dalam solat. Bunyi azan adalah simbol kepada seruan solat. Jika kita seorang yang cinta dengan solat dan suka melakukan solat diawal waktu, kita pasti akan menghayati azan tersebut, lantas bersiap untuk melakukan solat.

Perbuatan kita menutup bunyi azan tadi adalah disebabkan hati kita merasa berat dengan solat. Laungan azan itu membuatkan kita terasa berat dan malas untuk bergerak. Cerita atau lagu yang ditonton lebih menarik minat kita berbanding seruan azan. Ini membuktikan kita seorang yang tidak khusyuk di dalam solat dan berasa sangat berat apabila masuknya waktu solat.

Firman Allah SWT di dalam surah AL Baqarah ayat 45 :
واستعينوا بالصبر والصلاة وإنها لكبيرة إلا على الخاشعين
Bermaksud : Bertolang bantulah kamu dengan bersabar dan menunaikan solat, sesungguhnya keduanya ini amat besar kecuali bagi orang yang khusyuk.

Tindakan yang seharusnya kita buat adalah apabila mendengar azan, tidak kira dari mana sekalipun, hendaklah kita menghayati dan menjawab setiap lafaz azan tersebut seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Selepas tamat azan, hendaklah kita membaca 'doa selepas azan'. Kemudian, segera menunaikan solat dengan khusyuk dan menghadirkan diri kita bersama Allah SWT. Ini adalah kerana, solatlah ibadah yang menghubungkan secara terus hati manusia bersama Tuhannya.

Hati Kita Tidak Terhibur Dengan Al Quran

Hiburan di dalam Islam mempunyai makna yang sangat luas. Manakala hiburan yang utama buat orang yang beriman adalah hiburan yang datang dari Tuhannya iaitu bacaan Al Quran. Al Quran merupakan Kalamullah yang diturunkan Allah SWT khusus buat kita umat Rasulullah SAW. Al Quran bukan sahaja mengandungi hukum hakam, malah menjadi hiburan utama buat Rasulullah SAW.

Saidina Umar Al Khattab ketika sebelum memeluk Islam, beliau memerangi Islam dengan penuh kebencian. Setelah mendapat tahu adiknya sendiri memeluk Islam, beliau lantas ke rumah adiknya, namun terhenti di pintu rumah adiknya lantaran mendengar bacana Al Quran yang sangat indah. Bacaan Al Quran dari surah Toha itu berjaya melembutkan hati Saidina Umar yang keras, lantas Allah SWT menurunkan hidayah buatnya. Hati yang keras mampu dileburkan dengan bacaan Al Quran.

Namun apabila kita mendengar siaran bacaan Al Quran, lantas menukarnya dengan siaran lain yang lebih menarik, apakah petandanya? Itu petanda kecil bahawa hati kita adalah keras dan tidak mampu terhibur dengan Al Quran. Mendengar Al Quran membuatkan kita gelisah dan serta merta menjadi bosan. Gelora hati kita itu akhirnya membuatkan kita lebih tertarik kepada hiburan lain yang akan menghiburkan hati kita secara kosmetik, sedangkan hakikatnya kita tidak pernah terhibur dengannya.

Sepatutnya, apabila mendengar bacaan ayat Al Quran, kita mengikut saranan Allah di dalam surah Al A'raf ayat 204 :
وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا لعلكم ترحمون
Bermaksud : Apabila dibacakan Al Quran (kepadamu), maka dengarlah padanya dan diamlah, semoga kamu dirahmati.

Para ulama amat menitik beratkan adab ketika mendengar bacaan Al Quran. iaitu mendengar dengan teliti, mengamati bacaan dan tajwidnya, menikmati kemerduan suara qari yang mengalunkan bacaan tersebut, dan jika mampu, kita hendaklah menghayati maksudnya. Dengan adab beginilah, kita mampu menjadikan bacaan Al Quran itu sebagai hiburan dan sumber hidayah buat kita.

Hati Kita Keras Dari Mendengar Zikrullah

Sifat orang beriman, apabila mendengar ayat dan nama Allah SWT, maka akan bergetar hatinya. Bergetar kerana berasa kagum dan takut akan kebesaran Allah. Firman Allah SWT di dalam surah Al Anfal ayat 2 :
إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله وجلت قلوبهم وإذا تليت عليهم آياته زادتهم إيمانا وعلى ربهم يتوكلون
Bermaksud : Sesungguhnya orang yang beriman jika disebutkan padanya nama Allah akan bergetarlah hatinya, dana apabila dibacakan ayat-ayatNya akan bertambah imannya dan kepada Tuhannya mereka bertawakkal.

Di dalam ayat lain, Allah SWT mengingatkan kita bahawa hanya dengan mengingati Allah SWT, jiwa kita akan menjadi tenang. Maka, apakah signifikannya apabila kita tidak merasa tertarik dengan alunan zikrullah? Ini menunjukkan hati kita keras dan tidak mempu menjadi tenang dengan zikrullah. Malah, kita lebih berminat untuk meneliti siaran lain yang lebih menarik minat kita untuk menontonnya.

Sedikit sebanyak, hati kita sudah terjerat dengan virus sekular yang sangat halus. Apabila kita sudah mampu menggantikan makanan hati kita daripada zikrullah kepada keduniaan, bukankah itu bermakna kita sudah mula menerima ada yang lain lebih baik dari apa yang Islam ajarkan. Ianya sangat halus, sukar untuk dikesan. Ia menghasilkan perbuatan yang kecil ini, namun memberikan signifikan yang sangat besar buat diri kita.

Sepatutnya, kita memaksakan diri kita untuk menghayati alunan zikir tersebut. Benar, akan timbul rasa berat dan malas untuk mendengarnya. Namun, bertepatan dengan janji Allah SWT, jika kita terus menerus mendengarnya dengan penghayatan, lama-kelamaan akan datang perasaan tenang, menyelinap masuk ke dalam hati kita. Ianya akan menghadirkan rasa keinsafan dan penghayatan yang mendalam, sehingga mampu mengalirkan air mata.

Sombong Dari Mendapat Hidayah Allah

Imam Al Ghazali menggariskan beberapa petua untuk mendapatkan kekuatan di dalam mujahadah. Pertama adalah berpakaian dengan pakaian muslim. Kedua merapati para ulama. Manakala yang ketiga adalah melazimi majlis ilmu.

Signifikan majlis ilmu dikatakan sebagai salah satu petua untuk kekal dalam mujahadah adalah kerana majlis ilmu merupakan antara tempat yang paling banyak diturunkan hidayah. Majlis ilmu juga disebut sebagai salah satu daripada taman-taman syurga. Tidak berada seseorang itu di dalam majlis ilmu melainkan didoakan keampunan untuknya oleh ikan-ikan di laut. Banyak lagi ganjaran yang disebutkan di dalam hadith berkenaan kelebihan majlis ilmu.

Majlis ilmu juga adalah medan untuk kita mendapatkan peringatan dan ilmu untuk kita muhasabah dan memperbaiki diri. Firman Allah SWT di dalam surah Az Zariyat ayat 55 :
وذكر فإن الذكرى تنفع المؤمنين
Bermaksud : Dan berilah peringatan, sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang-orang mu'min.

Tindakan kita beredar dari majlis ilmu walaupun ketika itu kita berkelapangan, bukakah itu petanda bahawa kita sombong dengan rahmat dan hidayah Allah SWT? Majlis ilmu yang memberikan peringatan kepada kita dan mampu membuat kita muhasabah diri, namun kita melarikan diri. Majlis ilmu dinamakan sebagai majlis pengagihan 'harta' peninggalan Rasulullah SAW yang sepatutnya kita rebut dan manfaatkan, namun kita bertindak sebaliknya.

Biarpun kita mempunyai urusan, rasanya tidak luak masa kita jika kita duduk sebentar dan mendengar pengisian ilmu yang ingin disampaikan. Di dalam majlis yang penuh dengan rahmat dan hidayah itu, walaupun kita duduk hanya sebentar, tidak mustahil ianya menjadi asbab untuk kita peroleh hidayah, seterusnya memperbaiki diri dan meningkatkan iman kita.

Empat perbuatan di atas hanyalah simbolik kepada empat isi yang ingin saya sampaikan. Namun, jika kita berfikir sejenak dan bermuhasabah, kita tidak akan melakukan empat perkara di atas melainkan kita mempunyai sedikit penyakit-penyakit hati seperti yang dijelaskan.

Hakikatnya, itulah perbuatan yang pernah berlaku kepada diri kita dalam aktiviti harian kita. Maka, hendaklah kita bermujahadah dalam melakukan solat, sentiasa mebasahkan lidah kita dengan zikrullah dan bacaan Al Quran, malah jangan sesekali kita meninggalkan majlis ilmu yang penuh barakah. Semoga dengan usaha mujahadah kita, kita akan dipelihara Allah SWT dari sebarang ancaman iman dan meningkatkan kedudukan kita di sisiNya, insyaAllah.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
12.30 am, 20 Oktober 2012

No comments: