
Sehingga kini, pelbagai filem bertaraf box office dihasilkan di Malaysia. Penghasilan filem tersebut seterusnya dikaji dan dikomen akan 'kehebatannya' untuk dijadikan penanda aras akan kemajuan dan tahap pembikinan filem di negara kita.
Tiap tahun, berpuluh juta dihabiskan untuk membuat pelbagai filem yang ditonjolkan dengan pelbagai tema. Malah, beratus juta pula wang dikumpul oleh syarikat produksi, hasil keuntungan yang mereka dapat daripada penghasilan filem yang 'hebat' ini.
Daripada kenyataan ini, jika dinilai dari sudut keberhasilan komersial, pengiat filem Malaysia sudah mencapai tahap yang sama dengan pembikinan filem barat yang sememangnya menjadikan keuntungan komersial itu sebagai hadaf utama. Seperti setarafnya mereka di dalam kaca mata material, begitulah sama tarafnya mereka di dalam kaca mata pembangunan moral dan minda!
Di Mesir, kemajuan teknologi maklumatnya boleh dikatakan lebih maju berbanding Malaysia. Perkembangan massa dan juga kepantasan internet membuatkan kepentingan alam maya jauh lebih tinggi berbanding dengan telefon dan bentuk perhubungan lain.
Membawa kepada apa yang saya ingin katakan pada kali ini, berkaitan dengan penghasilan filem, pelajar Malaysia di Mesir adakalanya lebih pantas berkenaan dengan filem-filem baru yang dihasilkan di seluruh dunia berbanding di Malaysia. Hinggakan ada filem-filem baru yang belum ditayangkan di Malaysia, namun pelajar Malaysia di Mesir sudah lama mengkhatamkannya. Ada juga filem yang memang tidak dijumpai di Malaysia, namun bertebaran dan tersebar luas di kalangan pelajar Malaysia di sana.
Situasi ini membawa kepada perkembangan yang sihat dan tidak sihat. Terpulang kepada masing-masing untuk memilih antara yang sihat dan yang tidak sihat. Pada yang memilih perkara tidak sihat, maka tidak hairanlah ramai di kalangan lepasan Mesir mempunyai akal yang tidak berapa sihat. Begitulah sebaliknya.
Di sini, saya ingin mengulas berkenaan 'nikmat' yang dapat disantapi oleh minda pelajar Malaysia yang memilih perkara sihat. Nikmat yang dimaksudkan adalah mereka dapat menonton pelbagai cerita dan filem yang membangunkan minda dan mencorakkan pemikiran yang sihat serta terbuka mengikut nilai-nilai yang diterapkan Islam.
Dengan itu, kami dapat menilai sejauh mana kehadapannya pembikinan filem di setengah-setengah negara yang menjadikan bidang pembikinan filem sebagai satu medan untuk membangunkan minda rakyat mereka. Mereka sama sekali tidak mengetepikan soal keuntungan, namun dalam masa yang sama berjaya juga menyampaikan mesej yang menyedarkan minda masyarakat dan juga menyampaikan mesej kritikal kepada pihak tertentu.
Jika kita ingin katakan filem-filem berkenaan adalah filem yang terpencil yang tidak dipandang di peringkat antarabangsa, ini tidak tepat. Ini adalah kerana ada antaranya mengaut untuk berlipat kali ganda daripada filem di negara kita, malah ada yang memenangi anugerah berprestij di peringkat antarabangsa.

Cuba kita lihat perbezaan filem-filem antara negara kita dan beberapa filem luar yang saya katakan berjaya membawa mesej berkesan kepada masyarakat. Kita lihatlah filem-filem Malaysia seperti Evolusi KL Drift, Cuti-cuti Cinta, Hikayat Merong Mahawangsa dan lain-lain filem yang jika kita nilai lebih bertunjangkan fantasi dan ilusi. Sejauh mana filem-filem ini berjaya membawa mesej yang membangunkan minda masyarakat? Sejauh mana filem-filem ini membawa teguran yang kritikal kepada perkara yang tidak betul di negara kita?
Secara kasarnya, penggiat filem di negara kita tidak beberapa mementingkan isi yang membangunkan minda di dalam filem-filem mereka. Mereka seolah-olah tidak mampu untuk berfikir dan menggabungkan konsep komidi, alam remaja, lasak dan ngeri bersama dengan pengisian yang membangunkan minda. Jika filem lawak, maka lawaklah dari awal hingga tamat. Jika ganas, maka ganaslah dari awal hingga tamat. Lebih meluat, jika cinta, maka jiwang karatlah daripada awal hingga akhir.
Jika ada penggabungan pun, penggabungan itu melibatkan konsep-konsep basi yang langsung tidak membangunkan minda. Ilusi digabungkan dengan seram dan jiwang. Ganas, digabungkan dengan ngeri dan khurafat. Lawak, digabungkan dengan jiwang dan angan-angan. Maka, tidak hairanlah jika kita melihat masyarakat negara kita ini memiliki minda yang mundur, dikaburkan dengan material dan cinta, percaya kepada perkara tahyol dan khurafat dan dijangkiti pula dengan kerosakan akhlak yang teruk.

Jika boleh saya petik pula beberapa filem luar yang berjaya membawa kesan baik kepada masyarakat, saya memilih untuk mengulas dua filem daripada India dan dua filem daripada Jepun. Filem '3 Idiots' dan 'Slumdog Milionaire' antara filem box office peringkat antarabangsa yang membawa mesej yang kritikal berkenaan keadaan masyarakat India yang berada dalam keadaan dhaif.
Slumdog Milionaire berjaya memberitahu dunia akan realiti kehidupan rakyat India yang berada di dalam kemiskinan dan terpinggir daripada mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan. Kemiskinan, penganguran, penindasan, pencabulan hak asasi manusia dan juga menganiayaan terhadap anak yatim dan miskin. Filem itu berjaya memberi satu penampar yang tepat ke muka pemimpin India yang lebih suka mengaut keuntungan peribadi dan sama sekali tidak mempedulikan nasib rakyatnya.

3 Idiots pula memberikan mesej yang kritikal terhadap sistem pendidikan yang hanya menghasilkan pelajar yang lulus peperiksaan dan mendapat pekerjaan yang hebat. Ini mengakibatkan para pelajar bukan menguasai ilmu, tetapi menguasai cara lulus peperiksaan dan cara mendapatkan kerja yang hebat.

Dua drama Jepun yang ingin saya ulas adalah 'Change' dan 'Mr Brain'. Change mengisahkan seorang guru yang secara tidak sengaja menceburkan diri di dalam politik dan dengan pantas dilantik menjadi Perdana Menteri Jepun. Setelah itu berlakulah pertembungan apabila dia berdepan dengan orang politik yang berteraskan politik semata-mata. Kita boleh melihat betapa pentingnya minda akademik di dalam dunia politik agar politik berjaya menghasilkan faedah yang besar di dalam sesebuah negara.

Mr Brain pula adalah drama sains fiksyen yang berteraskan kajian sains di dalam penyiasatan jenayah. Bagi orang yang meminati sains, pastinya drama ini membangkitkan satu perasaan minat yang mendalam terhadap dunia sains dan membuka minda dalam memahami dunia sains.
Saya tidak katakan bahawa semua filem di Malaysia berada di tahap yang rendah jika dinilai dari sudut ini. Ada juga beberapa filem yang membawa mesej yang cukup baik kepada masyarakat. Namun, nilai baik yang teramat sedikit itu ibarat tidak kelihatan apabila ditenggelami oleh taufan ilusi, fantasi filem-filem lain.
Kepada mereka yang bercita-cita untuk menjadi penggiat filem, diharapkan anda mengutamakan nilai dan moral daripada semua yang lain termasuk keuntungan material. Tidak lupa juga untuk menghindarkan sama sekali unsur-unsur maksiat dan keingkaran kepada Allah di dalam filem-filem anda.
Manis juga jika akan datang, di dalam kumpulan produksi filem, dilibatkan juga mereka yang berada di luar profesyen ini. Lantiklah mereka dari kalangan ulama untuk menjadi penasihat syariah, para akedemik menjadi penasihat nilai dan moral, para sejarahwan untuk memberikan idea berdasarkan nilai yang boleh diambil dari sejarah. Jika ini berlaku, impian untuk melihat terhasilnya filem yang hebat, mempunyai nilai moral, kritis, membuka minda dan jauh dari perkara yang diharamkan Allah akan menjadi kenyataan, insyaAllah.
Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kampung Umbai, Melaka.
10 Mac 2011, 1.50 pm