Tuesday, August 31, 2010

YB Bukan Islam Masuk Ke Masjid : Nilailah Mengikut Keadaan Sebenar!

Saya memerhatikan isu yang sekarang sedang panas dibicarakan, makin panas jadinya apabila ia menjadi satu isu politik yang pastinya akan diambil kesempatan sepenuhnya oleh mereka yang suka akan sesuatu yang orpotunis dan populis.

Saya tidak sempat untuk meneliti secara ilmiah akan hukumnya terutama sekali mengikut waqi masalah yang berlakau itu sendiri. Ini disebabkan saya kekurangan rujukan sepanjang berada di Malaysia sekarang. Namun hati ini teringin untuk menegur dan menlontarkan sedikit panduan bagi sesiapa yang berminat untuk membahaskan perkara ini dengan lebih luas.

Dalam sesuatu perkara yang melibatkan isu semasa, tambahan dengan situasi sekarang di mana apa jua isu semasa amat suka dipolitikkan, adalah perlu kita semua jelas bahawa pendapat yang kita lontarkan perlulah berlandaskan kepada keadaan sebenar isu itu dan juga berdasarkan kaedah memberi fatwa yang betul.

Saya berpendapat kepada mereka yang ingin melontarkan pendapat, berilah pendapat dengan ilmiah dan ikhlas mengikut pandangan sebenar dalam Islam berpandukan keadaan yang sebenar yang berlaku. Sebarang penambahan cerita ataupun menggunakan perkataan yang memberi makna yang keterlaluan akan memesongkan gambaran keadaan sebenar perkara ini, seterusnya pendapat yang diberikan menjadi tidak tepat dan termasuk di dalamnya sentimen samada membodek ataupun memfitnah.

Keadaan sebenar isu itu seperti yang saya ketahui adalah seorang YB bukan Islam daripada sebuah parti sekular, DAP, dijemput masuk ke dalam surau atas oleh penduduk di kawasan itu. Beliau datang ke surau itu asalnya adalah bertujuan untuk menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Apabila dijemput, beliau memenuhinya dan melangkah ke dalam surau dalam keadaan tidak bertudung kepala. Beliau kemudiannya diminta berucap kepada orang ramai dan beliau memenuhinya dengan menyampaikan ucapan berkisar dengan rancangan kerajaan Selangor.

Saya seru kepada mereka yang berminat untuk memberikan pendapat, lontarkanlah pendapat anda dengan berdasarkan cerita yang sebenar ini (jika ada kesilapan daripada apa yang saya dengar ini, tolong betulkan). Penambahan cerita seperti YB itu sendiri mahu masuk ke dalam surau, ataupun yang paling popular adalah penukaran perkataan 'ucapan' kepada 'tazkirah', semua ini akan melahirkan pandangan yang tidak tepat dan bersifat fitnah.

Hukum bagi orang kafir yang sendiri ingin masuk ke dalam surau tanpa ada apa2 tujuan adalah berbeza dengan keadaan sebenar perkara ini iaitu dijemput. Begitulah juga keadaan menyampaikan ucapan atas kapasiti pemimpin atau memberikan tazkirah, kedua-dua ini amat berbeza dan pastinya melahirkan dua hukum yang berbeza.

Maka, mereka seharusnya meneliti dari cerita yang sebenar, tanpa ada sebarang penukaran cerita ataupun bagi saya dengan sengaja mengambarkan gambaran keadaan yang berlebihan demi mempengaruhi orang lain bahawa pandangannya sahaja yang tepat dan betul. Lebih teruk, semua ini dilakukan lebih kepada bertujuan peribadi dan melagakan antara dua puak yang berbeza pendapat. Atau tidak keterlaluan saya katakan di sini, gambaran berlebihan ini juga untuk memecahkan keharmonian kepelbagaian kaum di negara kita.

Seterusnya, mereka yang bersikap suka dengar cakap orang dan bersemangat tak tentu pasal ni terus memetik cerita tidak benar ini dan menyebarkan pandangan kurang tepatnya kepada masyarakat. Seharusnya mereka perlu ada sikap meneliti sesuatu berita dan mendapatkan cerita sebenar dari sumber asal perkara itu. Adakah disebabkan isu ini melibatkan orang kafir yang disifatkannya sebagai 'kafir harbi', maka apa jua berita yang didengarnya terus dipercaya dan dipetik sebagai sumber utama?

Pandangan yang sebenar dalam Islam yang saya maksudkan pula bukanlah dengan berlandaskan kepada ilmu yang dipetik secara zahir dari dalam kitab semata-mata. Ilmu dalam kitab sesuatu yang lain, memberi fatwa juga adalah perkara lain. Ini perkara yang seharusnya difahami oleh semua orang.

Bila berlaku sesuatu isu, amatlah salah dari sudut disiplin pengeluaran fatwa jika kita menilai secara zahir sesuatu nas, ataupun memetik kata-kata dan frasa dari mana-mana kitab, seterusnya membuat kesimpulan umum dan mutlak kepada isu tersebut. Ini adalah kerana kita tidak mengetahui perbahasan sebenar akan nas itu dan juga tidak memahami pandangan yang tepat seseorang ulama itu dengan hanya berdasarkan beberapa petikan isi kitab tulisannya.

Sebagai contoh, ada orang yang menyokong YB tersebut akan memetik nas yang mengatakan boleh, manakala orang yang menentangnya akan mengatakan ada nas mengatakan haram. Ini akan memperlihatkan percanggahan nas Islam sedangkan tiada percanggahan langsung.

Dua nas yang kelihatan berbeza itu sebenarnya berbeza dari sudut keadaan dan waqi, tetapi disebabkan ketidakikhlasan kita yang ingin memenangkan sesuatu pihak, maka kita sendiri memalukan umat Islam apabila memperlihatkan kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam itu bercanggah dari sudut dalil dan nasnya sendiri.

Bagi saya, banyak perkara yang perlu dinilai satu persatu di dalam isu ini. Antaranya, hukum orang kafir memasuki surau, keadaan apa yang dibolehkan dan keadaan apa yang diharamkan. Kemudiannya, adab yang wajib dipatuhi jika dibenarkan. Hukum boleh atau tidak pemimpin yang kafir menyampaikan UCAPAN di dalam surau kepada rakyatnya.

Bagi sesiapa yang mempersoalkan samada duit sumbangan pemimpin kafir itu boleh diterima atau tidak, bolehlah menilai hukumnya mengikut pandangan yang sebenar. Juga sesiapa yang ingin menilai juga samada pemimpin yang masuk ke dalam surau itu harbi atau tidak, bolehlah mengkajinya dengan lebih teliti!

Kemudian dari penelitian yang pelbagai ini, barulah kita dapat melihat isu ini dengan lebih tepat dan adil. Barulah jelas akan mana perkara yang boleh dan mana perkara yang salah dan perlu diperbetulkan. Kemudian barulah pandangan kita menjadi pandangan yang lebih adil dan tepat, seterusnya menggambarkan akan keadilan hukum Islam kepada semua termasuk yang bukan Islam.

Saya tidak menyokong sepenuhnya apa yang berlaku dan tidak juga mengatakan haram secara mutlak akan isu ini. Ini adalah kerana bagi saya hanya ada beberapa perkara yang salah dalam isu ini, bukannya secara mutlak ianya haram dan menghina Islam. Terdapat banyak nas yang membenarkan dan ada juga nas yang mengharamkan apabila berlaku sesuatu keadaan yang lain.

Maka, setelah kita menimbang semua ini dengan adil dan ikhlas, kita seharusnya menyimpulkan hukum sebenar dan memperbetulkan mana yang salah. Mengatakan haram secara mutlak dan tidak memperbetulkan adalah sikap yang tidak bertanggungjawab. Dalam isu yang melibatkan umum ini, perlulah dijelaskan hukumnya dan mengatakan mana yang haram seterusnya diperbetulkan dan diberitahu cara yang menjadikannya dibolehkan.

Sebenarnya, pertelagahan dari sudut pandangan berkenaan isu ini adalah lahir dari sikap segelintir kita yang suka mengeksploitasi isu untuk kepentingan peribadi. Tidak kurang juga mereka yang bersemangat, tetapi suka mengambil pendapat secara surface kemudiannya taksub dengan pandangannya sahaja. Lebih teruk lagi ada yang menjadikannya sebagai medan untuk mempopularkan diri.

Serahkanlah isu ini kepada ahlinya. Ini adalah kerana jika isu ini diulas oleh orang yang tidak layak, ia akan memalukan Islam itu sendiri. Mana boleh diterima akal, penjual ikan menggunakan pengalamannya menjual ikan untuk memperbaiki kapal terbang?

p/s : Saya ada pendapat saya sendiri yang tidak mahu dikongsikan dengan pembaca. Ini adalah kerana saya bimbang ianya tidak tepat memandangkan saya masih tidak layak untuk mengulasnya selagi tidak alim dan faham sepenuhnya akan isu yang dibincangkan ini.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
2.34 pm, 31 Ogos 2010
Kg Umbai, Melaka

3 comments:

selenggara terowong said...

Tuan,

Tambah Ilmu lagi...

a_z_ayief said...

Ya. Terima kasih kepada selenggara terowong. Disebabkan itulah saya tidak berani mengulasnya kerana sedar akan hakikat ilmu pada diri saya dan mencadangkan supaya sesiapa yang 'sudah berilmu' itu bercakap mengikut keadaan sebenar, bukan suka-suka menambah cerita atau bercakap berkenaan hukum secara surface.

Fakeh said...

Assalamualaikum,

Berikut ialah beberapa kajian dan bahan bukti yang akan memberi kita faham dengan jelas tentang gerakan senyap Kaum Muda dan Wahabbi Salafi yang sedang mengancam aqidah umat islam di negara ini.

SILA KLIK http://www.docstoc.com
UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
• Bangsa Melayu Mengikut Ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah
• Tok Ayah Zid Kedai Lalat
• Kuasa Tiang Kepada Cita-Cita
• 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah
• Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
• Jom Kenali Dr Maza & Co
• Ahlul Bait Yang Dicerca

SILA KLIK http://www.4shared.com
UNTUK CARIAN TAJUK-TAJUK BERIKUT
• Rasulullah Budak Kampung
• Maulid Tandingi Krismas
• Sifat 20 Tidak Wajib (Nik Aziz)
• Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 1)
• Wahabbi Adalah ASWJ (Hadi Awang – Part 2)
• Asma’ Wa Sifat (Hadi Awang)
• Sifat 20 – Dr Mohd Asri al-Wahabbi
• Sifat 20 – Rasul Dahri al-Wahabbi
• Sifat 20 – Fathul Bari al-Wahabbi

Taklif pengkaji telah pun selesai, maka terserahlah kepada budi bicara pembaca sekalian untuk menerima ataupun sebaliknya. Bagi mereka yang mendapat hidayah, maka bertindaklah mengikut kadar upaya tangan (kuasa/undi), lidah (dakwah/hebahan) atau hati (doa) bagi mempertahankan aqidah hakiki Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang bersendikan mazhab tauhid Imam Abu Hasan Ali bin Ismail al-Asy'ari ra dan Imam Abu Mansur al-Maturidi ra; mazhab feqah Imam Abu Hanifah ra, Imam Malik bin Anas ra, Imam Muhammad as-Syafie ra atau Imam Ahmad bin Hanbal ra; mazhab tasauf Imam Ghazali qsa dan Imam Junaid al-Baghdadi qsa.


FAKEH KHALIFAH SAKA