Friday, August 13, 2010

Kahwin Awal : Ok, Tapi Tak Settle...

Pulang sahaja ke Malaysia, terdengar haruk pikuk orang membicarakan tentang isu pelajar dibenarkan berkahwin awal. Lontaran pendapat Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Mohd Ali Rustam itu mendapat banyak pandangan samada yang bersetuju atau yang tidak bersetuju.

Semalam, semasa dalam perjalanan ke Melaka Sentarl, isu yang sama dibicarakan di IKIM.fm. Panelis yang dijemput lebih berat kepada bersetuju kerana katanya lebih banyak faedah yang diperoleh daripada mudharat yang datang.

Saya secara peribadi bersetuju dengan idea ini, setelah melihat masalah dan kecelaruan fitrah berpasangan yang Allah kurniakan kepada manusia ini di kalangan remaja zaman kini. Kecelaruan yang dimaksudkan adalah apabila hubungan istimewa antara suami isteri yang sepatutnya mereka tahu setelah tiba waktunya, telah 'bocor' kepada mereka sehingga fitrah berkeinginan kepada orang berlainan jantina telah menguasai fikiran dan tingkah laku mereka.

Bayangkan kanak-kanak zaman kini telah mengetahui perkara ini seawal sekolah rendah iaitu 7 tahun. Ini kesan mendalam yang diterima oleh umat Islam setelah hidup mereka dan minda mereka dipenjara oleh penjara minda yang dipasang oleh musuh Islam. Pendedahan awal di media massa umpamanya menjadikan hubungan rahsia ini sudah jadi 'rahsia umum' yang tidak dapat disembunyikan lagi.

Pendedahan awal ini telah meranapkan emosi dan minda anak-anak umat Islam seawal usia yang amat muda. Mereka menanggung derita perasaan ini ini terlalu lama sementara menunggu gilirin mereka tiba untuk mendapatkannya secara halal. Bagi mereka yang lemah imannya, terlalu ramai yang gagal dan ranap hancur di medan yang penuh kesengsaraan ini.

Bagi saya, idea ini amat baik jika dilaksanakan pada sasaran yang betul. Sasaran yang saya maksudkan adalah mereka yang menjadi mangsa pendedahan awal yang sudah tidak terdaya menahan derita perasaan ini. Mereka perlu dibantu dengan menyalurkannya kepada jalan yang halal.

Dalam hal ini, mengelakkan mudharat yang besar (zina) lebih utama daripada risaukan mereka yang mungkin tidak bersedia dari sudut kewangan dan persediaan ilmu rumah tangga. Mudjarat kecil ini boleh dibimbing dan diringankan oleh pihak lain seperti pemerintah dan ibu bapa.

Namun, kemudahan ini perlu dielakkan kepada mereka yang tiada masalah perasaan yang dimaksudkan. Ini kerana jika mereka yang tidak bermasalah diberikan kemudahan ini, kemungkinan besar akan berlaku pengalihan perhatian mereka daripada tugas dan kerjaya mereka kepada perkara ini.

Sebagai contoh, pelajar yang cerdik yang sedang fokus kepada pengajiannya. Jika dilonggar kemudahan ini kepada mereka, tidak mustahil akan terpaling perhatian mereka daripada pelajaran kepada masalah cinta. Begitu juga dengan pelajar yang aktif dalam gerakan dakwah, pastinya hati mereka tercalar dengan perkara ini dan dakwah yang sepatutnya dijalankan dengan serius dan ikhlas, akan tersirna juga akhirnya.

Cuma, walaupun saya bersetuju secara dasarnya, saya tetap sangsi dengan keberkesanan dalam perlaksanaannya. Ini adalah kerana langkah ini hanya sekadar 'ubat tahan sakit', bukannya 'antibiotik' atau 'tonik pencegahan' yang berkesan untuk membanteras sepenuhnya masalah pokok akan perkara ini.

Ini adalah kerana, walaupun usaha 'tahan sakit' ini dijalankan, usaha untuk mencegah perkara ini dari akar umbi tidak kelihatan. Punca sebenar masalah ini adalah apa yang disajikan dan didedahkan kepada mereka sejak dari kecil. Masalah hiburan melampau, rancangan televisyen yang berunsur lucah, pergaulan bebas, sukatan pelajaran yang kurang penekanan agama, persekitaran yang tidak solehah dan pelbagai lagi masalah induk yang tidak pernah dihiraukan.

Saya bimbang jika terdapat motif politik di sebalik idea ini. Sangkaan ini adalah munasabah, bukan sekadar serkap jarang sahaja. Jika mereka betul-betul ingin membanteras perkara ini, maka sepatutnya usaha yang lebih gigih dijalankan terhadap usaha pembanterasan masalah sosial di kalangan masyarakat. Ini jauh lebih berkesan daripada hanya menyediakan ubat tahan sakit kepada virus yang merebak sedangkan puncanya langsung tidak disekat.

Sebagai analogi, ibarat dipasang CCTV di seluruh rumah si kaya untuk mengelakkan kecurian, namun rupanya pintu utama rumahnya terlopong 24 jam tanpa ditutup sedikit pun. Kalau begini, pasanglah 1000 CCTV pun, pasti licin semua barang di dalam rumah si kaya suatu hari nanti.

Maka, pihak pembangkang dan NGO lain di Melaka perlulah memfokuskan usaha pembanterasan ini agar pihak kerajaan menimbangkan juga dengan serius akan usaha pencegahan yang lebih penting ini. Alang-alang memancing si bilis, apa salahnya memukat si jerung?


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Kg Umbai, Melaka
13 Ogos 2010, 9.55 pm

No comments: