Sunday, August 22, 2010

Larang Berduaan Dalam Kereta : Siapa Penentu Maksiat Atau Tidak?


Saya memetik artikel yang saya baca di malaysiakini berkenaan larangan pelatih maktab perguruan daripada berkereta berdua-duaan. Saya membaca artikel ini dengan penuh minat, terutama kepada reaksi yang diberikan oleh seorang timbalan menteri bukan Islam ke atas isu ini yang saya kira ada kaitan rapat dengan ajaran agama kita.

Jika kita lihat dan ambil tahu keadaan dan realiti sebenar sikap pelatih di maktab perguruan seluruh negara, maka pastinya kita sambut baik cadangan dan arahan itu. Jangan antara kita tidak ambil endah akan perkara ini. Sebenarnya apa jua sikap dan kelakuan mereka ini memberikan kesan secara langsung kepada kita di masa depan.

Mengapa saya katakan begitu? Ini adalah kerana, mereka semua adalah bakal guru yang akan mendidik anak-anak kita, generasi yang akan menyambung perjuangan agama dan negara kita akan datang. Maka, siapa dan apakah sikap orang yang mendidik anak-anak kita adalah menjadi aspek paling penting untuk kita nilai.

Realiti yang berlaku di maktab perguruan kita adalah sangat menyedihkan. Adakah ia disebabkan keadaan mereka lebih teruk daripada remaja lain di luar sana? Bukan. Maksud saya menyedihkan itu kerana apabila menilai keadaan mereka sebagai bakal guru berbanding sikap yang sepatutnya ada pada seorang bakal guru.

Baik maktab yang asing jantina ataupun yang campur, maktab perguruan Islam ataupun yang biasa, semuanya alami perkara yang sama. Pergaulan bebas, kahlwat, zina, bersedudukan. Perkara yang berlaku pada remaja lain di luar dan di kampus lain juga terjangkit pada bakal murabbi anak-anak kita akan datang.

Adakah saya menghukum mereka? Tidak, saya tahu bahawa mereka bukanlah maksum hinggakan mesti bersih dari apa jua dosa. Saya juga bukan menghina mereka dengan mengatakan semua ini. Perkara ini adalah realiti yang kita mesti terima akibat daripada biah negara kita yang menjadikan pencegahan maksiat adalah urusan peribadi, bukan urusan pemerintah sama sekali!! Mereka, bakal-bakal guru ini bukan sahaja sebagai pesalah, malah yang lebih tepat mereka adalah mangsa!!

Maka, langkah pengcegahan yang dijalankan oleh istitut perguruan di Kuala Lipis itu merupakan satu langkah bijak untuk menyelamatkan mangsa-mangsa sosial yang mana penyakit mereka itu semakin merebak. Langkah ini yang dinamakan sebagai antara langkah antibiotik, bukan lagi langkah tahan sakit ala-ala Ketua Menteri Melaka (rujuk artikel lepas).

Apabila mendengar ulasan bekas menteri itu, timbul banyak persoalan di dalam fikiran saya. Beliau mengatakan bahawa apabila ada pasangan berlainan jantina naik kereta berdua-duaan, adakah ia sudah dikira melakukan maksiat? Beliau juga berkata, jika hendak mencegah maksiat, masih banyak cara lain yang boleh digunakan.

Saya mempersoalkan, apa pula tafsiran timbalan menteri itu terhadap perbuatan maksiat? Apakah indikator yang digunakan beliau dalam hendak menilai perbuatan itu maksiat atau tidak? Adakah apabila sudah terlondeh baju dan seluar, baru dinamakan maksiat? Timbalan menteri itu menggunakan kepala otaknya 100% dalam menilai perkara berkaitan akhlak, yang mana tiada seorang manusia pun yang mampu memberikan penilaian yang tepat berkenaannya kecuali yang berlandaskan pandangan Si Pembuat manusia itu sendiri.

Mungkin rakan Islam mereka dalam politik tidak mengajar mereka berkenaan indikator yang Islam gariskan dalam menentukan perkara itu maksiat atau tidak. Di dalam Islam, penentu maksiat atau tidak diberikan hak penuh kepada Si Engineer manusia untuk menetapkannya. Di dalam Al Quran, larangan berkenaan berzina bukan disebut seperi "Janganlah kamu berzina", tetapi dengan ayat yang lebih umum iaitu "Janganlah kamu menghampiri zina". Dengan kata lain, bukan sahaja Islam melarang perbuatan zina, malah segala perbuatan menghampiri zina juga Islam melarang umatnya daripada melakukannya.

Oleh itu, bagaimana pula dengan penilaian berkenaan perkara menghampiri zina itu? Perkara menghampiri zina, walaupun sebahagian besarnya adalah sama di mana-mana tempat, namun terdapat juga sesetangah perkara yang berbeza mengikut situasi dan tempat. Ini adalah kerana tafsiran dan kebiasaan perkara yang boleh menimbulkan ransangan mungkin berbeza mengikut orang dan adat setempat.

Perkara yang berbeza inilah perlu ditentukan dan ditafsirkan oleh penguasa di sesuatu tempat. Maka, apabila kementerian yang menjaga maktab perguruan sendiri tidak memandang berat perkara menghampiri zina ini, penguasa maktab sendiri mengambil inisiatif untuk mengharamkan para pelatihnya daripada berkereta berdua-duaan setelah memikirkan dan faham dengan masalah di kawasan mereka. Pada pandangan mereka, keadaan yang teruk itu memaksa mereka untuk menguatkuasakan peraturan ini sebagai salah satu langkah pencegahan berlakunya pergaulan bebas dan zina.

Gilakah mereka untuk menguatkuasakan sesuatu undang-undang yang dipandang kolot oleh golongan 'terlalu moden' dengan tanpa apa-apa sebab yang munasabah? Gilakah mereka mengaturkan undang-undang ini jika tiada masalah sosial yang melampau di tempat mereka? Sudah pastinya undang-undang ini telah ditimbang dengan masalah semasa di sana.

Bakal-bakal guru ini adalah pengajar kepada anak-anak kita akan datang. Sikap dan ciri seorang guru bukan sahaja cekap mengajar, malah akhlak dan tingkah lakunya juga menjadi ikutan. Jika guru-gurunya berdua-duaan dan berkhalwat, tidak hairanlah anak murinya berzina. Jika guru-guru sudah kencing berdiri, anak murid kencing berhunggah la...

Ciri agung seorang guru ada pada Kekasih SAW, iaitu nabi kita Muhammad SAW. Tidak hairanlah kita bagaimana para sahabat menjadi orang yang sangat kukuh imannya, sanggup korbankan nyawa demi agama. Ini kerana gurunya sendiri seorang ahli syurga. Oleh itu, jika mahukan anak-anak kita menjadi anak yang berakhlak dan berjaya, pastinya ciri-ciri dan sikap pada sang guru mesti berada di tahap terbaik yang mampu melahirkan lebih ramai 'para sahabat' di masa akan datang.

Maka, tindakan kementerian yang mengambarkan seolah-olah pengarah maktab perguruan itu melakukan kesalahan adalah satu tindakan yang menampakkan ketidakseriusan mereka dalam membanteras sejala ini. Inilah politik sekular yang menjadikan pencegahan maksiat sebagai perkara peribadi dan bukan lagi tanggungjawab pemerintah.

Tanggungjawab pemerintah mungkin adalah menyediakan konsert halal dan haram, dan tanggungjawab rakyat untuk menilai dan memilih mana yang baik. Tanggungjawab pemerintah juga menyediakan pusat hiburan, dan tangungjawab rakyat untuk memilih samada untuk pergi atau tidak. Mungkin ini antara 'cara lain' yang dimaksudkan oleh timbalan menteri itu untuk mebanteras perkara maksiat.

Jika terdapat kelemahan dalam perlaksanaan arahan itu, sepatutnya ianya diperkemaskan, bukannya dipersalahkan. Jika pada pandangan kementerian, mereka mempunyai banyak cara lain yang 'lebih berkesan', maka kita dengan gembiranya menunggu bilakah mereka akan laksanakan cara berkesan itu. Harap-harap, penantian kita ini berbalaslah, jangan pulak jadi macam "menunggu ayam jantan bertelur, pakcik!", bak kata Ajis Satar dalam cerita Pendekar Bujang Lapok.


Mohd Azrul Azuan bin Idris.
22 Ogos 2010, 8.42 am.
Kg Umbai, Melaka.

2 comments:

ijoks2009 said...

Salam,pandangan aya.
tdk ada satu carapun selain cara Islam yang boleh merawat masaalah sosial dan jiwa manusia selain dari cara yang di ajar oleh Rasulullah s.a.w.

puteri said...

bila undang2 Islam dipandang sepi,,