Bagi
saya, kesilapan besar dalam memahami dunia anak kecil adalah apabila menganggap
aktiviti bermain-main si anak adalah buang masa dan sia-sia.
Ini
menunjukkan sikap segelintir ibu bapa zaman sekarang yang sama sekali tidak
memahami minda si anak, apatah lagi cuba menyelami apa yang si anak fikirkan.
Mereka
pandang kanak-kanak seperti mereka pandang diri mereka sendiri yang sudah
dewasa.
Disebabkan
itu, kerap berlaku keadaan di mana kanak-kanak sekecil 2 tahun sudah mula
diatur sesi pembelajaran seperti kanak-kanak sekolah rendah.
Bagi
ibu bapa seperti ini, belajar seperti ini akan membuatkan anak menjadi cepat
pandai, lebih bermanfaat daripada buang masa bermain.
Malah
jika mereka melakukan kesilapan, ibu bapa cenderung untuk memarahi mereka
dengan keras, dan menghukum mereka seolah-olah mereka memahami kesalahan yang
mereka buat.
FAKTA
: Aktiviti bermain-main untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah adalah
PEMBELAJARAN TERBAIK buat mereka.
Bermain-main
adalah cara untuk mereka meneroka dunia, mengenal alam, memahami apa yang
berlaku di sekeliling mereka, belajar berkasih sayang, tahu cause and effect,
membangunkan minda kreatif dan kritis, dan mula belajar membezakan antara
perkara yang baik dan buruk.
APA
TUGAS IBU BAPA?
Mendorong
anak untuk bermain dengan betul, menegur mereka dengan lembut jika mereka
tersilap, menjaga mereka daripada aktiviti bahaya yang tidak sesuai dengan tahap
umur mereka.
Jika
lebih kreatif, aturkan aktiviti bermain bermodul, yang dapat membangunkan minda
anak secara langsung, dapat merangsang perkembangan daya pemikiran mereka.
Semua
ini dilakukan TANPA perlu kepada aturan disiplin yang ketat. Tidak perlu
memaksa, tetapi sentiasa gunakan ayat yang mendorong dan memujuk.
Teladan
yang baik itu lebih menjadi ikutan daripada jeritan kemarahan.
Hati
anak kecil umpama tisu, mudah terkoyak dengan kemarahan, tetapi mudah lembut
dengan dorongan dan pujukan.
JANGAN
JADIKAN ANAK SEBAGAI ALAT KEBANGGAAN KITA
Ramai
ibu bapa suka bandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Ini antara keegoan
ibu bapa yang akhirnya menjadikan anak mereka sebagai mangsa.
Anak-anak
kecil dipaksa untuk belajar agar menjadi lebih pandai dari anak orang lain,
sedangkan setiap anak itu mempunyai tahap kebolehan dan perkembangan yang
berbeza.
Disebabkan
itu, saya tidak pernah risau jika ada perkara yang anak orang lain lebih awal
menguasainya berbanding anak saya.
Saya
memahami tahap perkembangan anak saya, dan boleh jadi ada perkara yang anak
saya lebih menguasainya berbanding anak orang lain.
Apa yang penting adalah kita sebagai ibu bapa memahami apa yang anak kecil fikirkan. Tugas kita adalah mendorong dan menyungkil kebolehan mereka mengikut cara yang anak kecil mampu, mengikut tahap umur mereka.
Jangan dipaksa mereka untuk mencapai sesuatu yang mereka belum mampu untuk mencapainya. Beri mereka masa dan ruang untuk mempelajari tentang kehidupan dengan cara yang normal.
Buah durian jika dipetik sebelum tiba waktu ianya gugur sendiri, tidak akan menghasilkan buah yang baik, malah akan merosakkannya.