Saturday, October 29, 2016

ANAK KECIL BERMAIN ADALAH BUANG MASA?

Bagi saya, kesilapan besar dalam memahami dunia anak kecil adalah apabila menganggap aktiviti bermain-main si anak adalah buang masa dan sia-sia.

Ini menunjukkan sikap segelintir ibu bapa zaman sekarang yang sama sekali tidak memahami minda si anak, apatah lagi cuba menyelami apa yang si anak fikirkan.

Mereka pandang kanak-kanak seperti mereka pandang diri mereka sendiri yang sudah dewasa.

Disebabkan itu, kerap berlaku keadaan di mana kanak-kanak sekecil 2 tahun sudah mula diatur sesi pembelajaran seperti kanak-kanak sekolah rendah.

Bagi ibu bapa seperti ini, belajar seperti ini akan membuatkan anak menjadi cepat pandai, lebih bermanfaat daripada buang masa bermain.

Malah jika mereka melakukan kesilapan, ibu bapa cenderung untuk memarahi mereka dengan keras, dan menghukum mereka seolah-olah mereka memahami kesalahan yang mereka buat.

FAKTA : Aktiviti bermain-main untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah adalah PEMBELAJARAN TERBAIK buat mereka.

Bermain-main adalah cara untuk mereka meneroka dunia, mengenal alam, memahami apa yang berlaku di sekeliling mereka, belajar berkasih sayang, tahu cause and effect, membangunkan minda kreatif dan kritis, dan mula belajar membezakan antara perkara yang baik dan buruk.

APA TUGAS IBU BAPA?

Mendorong anak untuk bermain dengan betul, menegur mereka dengan lembut jika mereka tersilap, menjaga mereka daripada aktiviti bahaya yang tidak sesuai dengan tahap umur mereka.

Jika lebih kreatif, aturkan aktiviti bermain bermodul, yang dapat membangunkan minda anak secara langsung, dapat merangsang perkembangan daya pemikiran mereka.

Semua ini dilakukan TANPA perlu kepada aturan disiplin yang ketat. Tidak perlu memaksa, tetapi sentiasa gunakan ayat yang mendorong dan memujuk.

Teladan yang baik itu lebih menjadi ikutan daripada jeritan kemarahan.

Hati anak kecil umpama tisu, mudah terkoyak dengan kemarahan, tetapi mudah lembut dengan dorongan dan pujukan.

JANGAN JADIKAN ANAK SEBAGAI ALAT KEBANGGAAN KITA

Ramai ibu bapa suka bandingkan anak mereka dengan anak orang lain. Ini antara keegoan ibu bapa yang akhirnya menjadikan anak mereka sebagai mangsa.

Anak-anak kecil dipaksa untuk belajar agar menjadi lebih pandai dari anak orang lain, sedangkan setiap anak itu mempunyai tahap kebolehan dan perkembangan yang berbeza.

Disebabkan itu, saya tidak pernah risau jika ada perkara yang anak orang lain lebih awal menguasainya berbanding anak saya.

Saya memahami tahap perkembangan anak saya, dan boleh jadi ada perkara yang anak saya lebih menguasainya berbanding anak orang lain.

Apa yang penting adalah kita sebagai ibu bapa memahami apa yang anak kecil fikirkan. Tugas kita adalah mendorong dan menyungkil kebolehan mereka mengikut cara yang anak kecil mampu, mengikut tahap umur mereka.

Jangan dipaksa mereka untuk mencapai sesuatu yang mereka belum mampu untuk mencapainya. Beri mereka masa dan ruang untuk mempelajari tentang kehidupan dengan cara yang normal.


Buah durian jika dipetik sebelum tiba waktu ianya gugur sendiri, tidak akan menghasilkan buah yang baik, malah akan merosakkannya.

No comments: