Sunday, June 9, 2013

Antara Konda Kondi dan iPad

Saya rasa, zaman persekolahan saya merupakan antara zaman akhir kehidupan kanak-kanak yang berpersekitaran tradisional. Ayat permainan kami pasca tadika paling canggih pun Lego System. Permainan dalam rumah pula paling seronok adalah bina rumah kecil dengan menggunakan kusyen dan main bola gunakan bantal.

Permainan di luar rumah popular dengan Kayu Tiga, Konda Kondi, Rounders, guli, gasing, bola pot, layang-layang. Kalau permainan yang sedikit 'ekstrem', kami pergi mandi parit atau sungai, berbasikal jelajah kampung, berkhemah di hujung kampung. Kalau yang sukan yang moden, main badminton dengan jadikan basikal di tengah-tengah sebagai net.

Permainan yang memupuk kerjasama rakan sebaya pula pastinya bola sepak. Siap ada jelajah kampung dan berlawan dengan kampung seberang. Padang 'rasmi' budak kampung kami pula adalah halaman sebuah rumah tinggal yang kami renovate jadi padang bola, siap ada tiang gol buatan sendiri dari kayu buluh.

Ada satu lagi yang best, kami sesama budak-budak kampung pernah anjurkan Sukan Desa, kumpul duit sama-sama untuk membeli jajan sebagai hadiah. Ada pertandingan merentas desa, masuk air dalam botol, bawa bola pingpong dalam sudu, rebut kerusi, lari dalam guni.

Permainan yang berteras pendidikan pastinya main 'Cikgu-cikgu'. Belajar jadi cikgu, ajar kawan-kawan lain BM, BI, Matematik dan lukisan. Lengkap ada exam hujung minggu. Minggu seterusnya Hari Penyampaian Hadiah.

Acara tahunan yang memupuk semangat cintakan negara pula pastinya ketika musim bulan kemerdekaan. Kami bangga sangat kibar bendera Malaysia di basikal. Lebih besar bendera, lebih bangga rasanya. Pergi sekolah, semua dengan basikal yang dipasang bendera. Bagi mereka yang kreatif tu, siap pasang lampu neon di basikal. Malam Merdeka dan siang Hari Merdeka ada konvoi berbasikal keliling kampung. Bukan anjuran JKKK pun, kami yang anjur sendiri.

Kami membesar dengan persekitaran ini. Ya, ianya amat tradisional dan kampungan, tetapi dengan semua inilah kami membesar dengan normal. Kami diajar untuk berdikari dalam bermain, menggunakan apa yang ada di sekeliling kami untuk dijadikan permainan. Minda kami dididik dengan inovasi, kreativiti dan fleksibiliti. Unsur pendidikan, pembangunan minda, kepimpinan, patriotik dan keagamaan lengkap dalam pakej permainan harian kami yang memberikan persedian dan asas kukuh sebelum kami melangkah ke alam sekolah menengah yang lebih mencabar.

Itu semua cerita dahulu, cerita era 1990 hingga 2000. Ketika saya masuk sekolah menengah, peralihan zaman berlaku. Teknologi bercambah sehingga ke kampung saya, makin pesat sehingga kini. Tidak boleh dinafikan, percambahan teknologi adalah berkadar songsang dengan perkembangan pendidikan tradisional.

Kini, kanak-kanak dibesarkan dengan handphone, iPhone, iPad, internet, Facebook dan pelbagai lagi teknologi terkini. Permainan mereka kini semuanya di hadapan mata dan di hujung jari. Tidak perlu lagi berpanas, berhujan, berpenat untuk keliling kampung dan memerah otak mencari permainan baru untuk dimain.

Hanya pergi ke iTunes atau Play Store, jutaan permainan moden terbaru samada percuma atau berbayar boleh dimuatnaik dalam masa beberapa minit. Mereka sangat arif bagaimana untuk memenangi sesuatu games, memikirkan strateginya, dan mencipta kod untuk menang dengan jalan pintas. Fikiran mereka maju, tetapi semuanya hanya di screen iPad, bukan di alam realiti.

Saya mula berfikir, jika kanak-kanak sekarang membesar, apa agaknya keadaan mereka 10 atau 20 tahun akan datang? Berdaya saingkah mereka, mampukah mereka berfikiran kreatif dan inovatif, mampukah mereka memupuk gaya dan ciri kepimpinan dalam diri mereka? Jika mereka tercampak di tengah-tengah dunia moden tanpa sebarang kawalan dan mereka perlu berdikari, mampukah mereka mengekalkan jati diri mereka sebagai seorang muslim dan adat ketimuran mereka sebagai orang Melayu?

Mampukah mereka hidup bermasyarakat dengan baik, berinteraksi dengan persekitaran mereka? Atau mereka akan menjadi kera sumbang yang tidak reti untuk menyuaikan diri mereka di tengah-tengah kejiranan tempat tinggal mereka? Apabila mereka besar dan berkerja dengan kerja yang hebat, adakah mereka gunakan kelebihan itu untuk menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat atau disimpan untuk kemewahan dan kenikmatan diri mereka sahaja?

Kanak-kanak kini belajar melalui fantasi terlebih dahulu, sebelum merasai realiti. Segala kehebatan yang mereka bina dalam diri mereka tidak lebih daripada kehebatan di ruang fantasi minda mereka dan di alam maya sahaja. Adakah generasi seperti ini akan hidup dengan normal apabila mereka terjun ke alam realiti? Mereka akan menjadi manusia tulen atau menjadi manusia yang berfikiran robot?

Saya agak buntu apabila memikirkan perkara ini dan apa yang perlu saya sediakan kepada anak-anak saya yang bakal lahir kelak agar mereka membesar secara normal, terbina kekuatan minda dan fizikal, rohani dan jasmani secara sekata. Persoalan ini perlu kita semua jawab dan fikirkan bersama, samada kita ingin kekal dalam arus moden yang tidak terkawal atau menjenguk sebentar ke zaman lampau, mengambil apa yang mujarab untuk dijadikan pedoman bagi kita meneruskan langkah..

Antara konda-kondi dan iPad apakah pilihan kita?


Mohd Azrul Azuan bin Idris
9 Jun 2013, 9.30 pm.
Hussien, Kaherah, Mesir.

No comments: