Saturday, April 16, 2011

Sejuk Hati Melihat Senyum Para Aulia


Sekarang ni, giat berlangsung pelbagai kelas baru di Masjid Al Azhar. Lebih menguntungkan, kebanyakan kelas baru itu adalah dengan membuka kitab asas untuk kita semua para mubtadiin. Amat beruntunglah bagi mereka yang sedar dan tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan manfaat daripadanya. Kalau dulu ramai beralasan kitab yang dibuka adalah terlalu tinggi, namun kini jika masih tidak mahu mengambil peluang, maka jelaslah kita apakah alasan yang sebenarnya...

Alhamdulillah, antara kelas baru yang dibuka adalah kelas Pendengaran Hadith oleh Al Allama Al Muhaddith Syeikh Usamah Al Azhari yang dimulai dengan kitab Syamail Muhammadiah. Kitab ini menceritakan berkenaan perihal Sang Kekasih SAW dari sudut diri dan peribadi baginda. InsyaAllah, bacaan kitab ini akan khatam pada hari Rabu 20 April ini di dalam satu majlis besar yang akan dihadiri oleh Kibar Ulama di seluruh Mesir, bertempat di Masjid Azhar jam 9.00 pagi.

Saya cuma mahu mengulas berkenaan satu tajuk yang terdapat di dalam kitab ini. Ia adalah perihal bagaimana Nabi Muhammad SAW ketawa. Walaupun pada tajuknya disebutkan sebagai 'ketawa', namun hakikatnya ketawa baginda bukanlah seperti ketawa kita. Ketawa baginda tidak lebih dari senyuman yang sangat manis dan menawan. Diberikan tajuk sebagai 'ketawa' sedangkn hakikatnya adalah senyuman untuk menunjukkan bahawa baginda tidak sesekali merasa gembira keterlaluan sehingga ketawa terbahak-bahak dan lalai dari mengingati Allah. Ketawa baginda cukuplah sekadar dengan senyuman yang manis, yang menjadi penawar kepada sesiapa yang melihatnya.

Bila mendengar hadith ini, saya terus teringat kepada guru dan murabbi saya yang saya kasihi di Bumi Mesir ini, iaitu Al Allama Syeikh Ahmad Al Hajain. Ini adalah kerana, beliau memiliki sifat yang sangat menenangkan jiwa iaitu senyum. Masih teringat pertama kali melihat syeikh dan syeikh tersenyum, senyumannya cukup untuk membuatkan hati yang gundah menjadi tenang.

Amat susah untuk melihat syeikh bermasam muka. Sentiasa bermanis muka dan senyum kepada sesiapa sahaja. Dengan membaca hadith berkenaan, dapatlah saya lihat qudwah yang berada pada diri seorang ulama dalam menghayati dan mengamalkan sunnah Kekasih SAW. Semoga Allah memberikan keberkatan dan kesihatan serta umur yang panjang kepada guruku ini, agar ilmu yang melaut di dalam hatinya dapat dicurahkan terus menerus kepada kami sehinggalah kepada satu masa yang Allah tetapkan kelak.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
Hayyu Qal'ah
16 April 2011, 11.30 pm

1 comment:

Anonymous said...

subhanallah,sesungguhnya rugi lah bagi mereka yg mensia-siakan peluang yg ada didepan mata...
doakan diri ku juga berpeluang untuk memenuhi majlis2 ilmu di sane suatu hari nanti...moga Allah kabulkan..allhumma ameen...