Thursday, April 22, 2010

Khabar Seberang : Minum Arak Tanda Kerjasama?


Baru-baru ini saya dapat berkongsi dengan seorang sahabat dari Jepun berkenaan dia ditanya oleh 'sensei'nya berkenaan bagaimana dia dapat rapat dan bekerjasama dengan rakan sekerjanya di Jepun andaikata akan datang dia ingin mencari pekerjaaan di sana.

Ini adalah kerana salah satu budaya di Jepun ialah mengadakan makan malam untuk mengeratkan kerjsama antara pekerja dan salah satu acara penting di dalamnya adalah meminum arak bersama-sama. Jika ada yang ber'muhkalafah' dengan budaya ini, pastinya akan timbul sangkaan yang kurang enak daripada sahabat sekerja lain terhadapnya.

Saya lantas menjawab, cuba tanya semula kepada sensei tersebut, apakah makna sebenar kerjasama? Apakah aspek dan sikap yang perlu ada kepada orang yang ingin bekerja sama dengan orang lain?

Bagi saya, kerjasama ada 3 prinsip yang perlu disemat ke dalam jiwa setiap orang yang ingin bekerjasama dengan orang lain. Pertama terbuka, kedua hormat dan ketiga faham.

Di dalam kerjasama, sikap terbuka amat penting. Terbuka adalah memandang sahabat sekerja kita dengan pandangan positif dan sentiasa menerima mereka walau siapa jua mereka; walaupun dari segi budaya dan agama, mereka berbeza dengan kita.

Maka, saya katakan kepada sahabat saya, jika orang Jepun adalah orang yang memilih untuk tidak beragama dan menjadikan minum arak sebagai minuman harian, mereka perlu terbuka dan terus menjalinkan kerjasama dengan rakan yang tidak melalui cara hidup yang sama dengan mereka, seperti mana kita tidak pernah kisah dan ambil kira cara hidup mereka yang bertentangan dengan agama dan budaya kita. Inilah kerjasama.

Mereka teruslah dengan cara mereka dan kita dengan agama kita. Seperti di dalam Surah Al Kafiruun "untuk kamu agama kamu dan untuk aku agamaku". Ini tidak bermakna kita redha dengan kekufuran mereka, ini lebih kepada rasa terbuka dan hormat dengan mereka atas prinsip Islam yang menghormati kebebasan beragama.

Kedua, prinsip hormat. Jika mereka merasakan hak mereka untuk meminum arak yang sesuai dengan budaya mereka perlu dihormati, maka mereka juga perlu hormat dengan hak kita untuk mengamalkan dan taat dengan perintah agama kita.

Adalah tidak dinamakan kerjasama jika prinsip ini tidak diikuti. Kita tidak boleh mengatakan ia adalah 'kerjasama' jika rakan sekerja kita dipaksa untuk mengikut perkara yang mereka tidak mahu, hanya sekadar untuk memenuhi tuntutan simbolik kerjasama yang mereka cipta.

Kerjasama adalah sikap dan prinsip, dan simbolik tidak melambangkan sepenuhnya sikap kerjasama itu. Ini bermakna, tidak mematuhi simbolik disebabkan wajib patuh kepada tuntutan yang lebih utama sama sekali tidak boleh disimpulkan bahawa dia itu sudah tidak ada sikap kerjasama.

Ketiga, faham. Jika kita boleh faham tuntutan dan sangkaan mereka bahawa minum arak merupakan cara menyatukan manusia dan merupakan cara untuk melepaskan tekanan kerja, mereka juga perlu faham kepada tuntutan agama kita yang mengharamkan arak kepada penganutnya.

Jika tiada prinsip ini, di mana kita dipaksa minum ataupun akan dipandang dingin hanya kerana tidak mahu melakukan simbolik itu, maka tidak dinamakan kerjasama. Ini kerana, kerjasama bukan hanya sekadar di dalam skop pekerjaan.

Di dalam Islam, faktor dalaman iaitu perasaan dan ketenangan hati menjadi antara asas utama kehidupan beragama. Kerjasama di dalam Islam tidak terbatas kepada luaran sahaja, malah mengcakupi hingga kepada aspek dalaman.

Ini bermakna, kerjasama itu tidak sekadar kerjasama dalam melakukan sesuatu kerja hingga berjaya. Kerjasama juga adalah memberikan suasana dan keadaan yang selesa kepada rakan sekerja kita agar dia merasa tenang dan dapat melakukan kerja dengan baik

Dengan kata lain, menghormati hak rakan sekerja untuk melakukan cara hidup yang dapat memberikan ketenangan padanya untuk melakukan kerja adalah salah satu daripada bahagian di dalam kerjasama itu sendiri.

Jika ketiga-tiga aspek ini tidak difahami sehinggakan kita lebih memandang sesuatu simbolik itu lebih besar daripada hak asasi manusia itu sendiri, maka ia bukanlah kerjasama sama sekali. Ini lebih kepada pelanggaran hak asasi manusia dan amat tidak profesional kerana mengetepikan hak manusia sekadar untuk memenuhi tuntutan simbolik.

Sedangkan, perkara yang paling utama yang perlu dinilai oleh seseorang berkenaan dengan sikap kerjasama adalah gerak kerja, disiplin, kecekapan, kesungguhan dan interaksi sesama rakan sekerja.

Bila saya berfikir berkenaan perkara ini, saya dapati betapa kalutnya sebahagian orang kafir yang pantas menghukumkan umat Islam sebagai kolot, tidak profesional, tidak terbuka dan ekstrem. Ini kerana mereka menilai kita dengan indikator mereka sendri yang tidak adil; dan apa yang lebih penting mereka menilai kita tanpa melihta sendiri kepada diri mereka.

Mereka kata kita pengganas. Amat malang apabila mereka sendiri tidak melihat kepada punca dan sejarah keganasan ini berlaku. Jika kita ingin senaraikan keganasan atas nama agama yang pernah berlaku di dalam dunia ini, agama lain lebih berlumuran darah dan busuk dengan mayat manusia berbanding Islam.

Contohnya seperti di Palestin, tidak tahukah mereka bahawa kita tidak akan meyerah sama sekali kerana ini soal prinsip. Kita dirompak dan sekarang kita menuntut hak daripada si perompak. Lalu muncullah ramai 'pencacai Israel' yang mengatakan kita yang bersalah kerana menyerang Israel. Ya, si kene rompak bersalah kerana menuntut hak daripada si perompak! Amerika yang selama ini mengaku sebagai kerajaan yang bijak, menjadi teramat bodoh di dalam hal ini!

Mereka kata kita tidak menghormati agama mereka dan memaksa mereka mengikut ajaran kita. Sedangkan Islam tidak sama sekali memaksa mereka untuk mengikut agama kita, apa yang kita mahukan adalah hak kita untuk menganut agama kita dengan tenang dan tanpa gangguan.

Tanpa mereka sedar, dalam mereka menyerang Islam, mereka sendiri telah memaksa kita untuk mengikut cara hidup mereka dan meninggalkan cara hidup kita. Maka, bolehkan mereka berbangga sebagai manusia yang kononnya terbuka sedangkan mereka sedang mencabuli prinsip terbuka itu sendiri dengan memaksa kita untuk mengikut cara mereka.

Mereka menghalang wanita kita dari bertudung (Perancis), mereka menghalang kita dari membina menara masjid (Swiss), mereka menghina Nabi kita (Denmark), mereka menghalang pekerja mereka dari menutup aurat (syarikat penerbangan seluruh dunia termasuk Malaysia!). Inikah bukti mereka terbuka? Mereka sebenarnya lebih tidak profesional berbanding haiwan yang lebih 'profesional', menjalani kehidupan dengan cara yang diatur Allah tanpa sebarang bantahan.

Namun, kita umat Islam tidak perlu mengikut cara mereka yang kolot, tidak profesional dan ekstrem ini. Kita teruskan bermuamalah dengan rakan manusia lain secara adil dan terbuka seperti yang agama kita sarankan. Jika mereka menzalimi kita tidak perlu kita balas dengan kezaliman pula.

Seperti sikap As Syahid Omar Mukhtar yang memarahi pengikutnya kerana menembak musuh yang menyerah diri. Pengikutnya membalas bahawa dia melakukan seperti itu kerana musuhnya juga melakukan seperti itu malah lebih teruk. Lalu dijawab Omar Mukhtar "mereka bukanlah guru kita!"

Jika orang kafir bersikap tidak adil kepada kita, tidak usah kita membalas dengan tidak adil juga. Ini kerana mereka bukan guru kita, bukan contoh yang baik untuk kita ikut. Kita ada guru yang maksum dari dosa iaitu Kekasih Muhammad Rasulullah SAW, itulah sebaik-baik contoh untuk kita ikuti.

p/s : bahagian yang menggunakan perkataan yang keras, bukan ditujukan kepada sensei sahabat saya itu. Saya memahami bahawa dia sebenarnya menghormati orang Islam, cuma terdapat bahagian yang dia tidak faham dan perlu diterangkan dengan hikmah. Perkataan keras hanya ditujukan kepada pencacai zionist yang berlagak hero di dalam dunia ini.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
6.36 am, 22 April 2010
Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah.

1 comment:

Hasrul Nizam said...

salam ziarah dan salam perjuangan azrul,
rindu laa kat hang he3