Sunday, November 29, 2009

Antara Doa Kemusnahan Dan Sekular, Yang Mana Lebih Hina?

Salam. Hasrat ingin tidur terhenti seketika setelah membaca laporan buletin yang terkenal dengan berita yang penuh kehairanan, Berita Harian. Tertulis di situ bahawa tokoh agama di Malaysia mengkritik Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) berkenaan kenyataan TGNA berkenaan doanya agar masa depan PM dan kerajaan UMNO-BN musnah.

Dengan memetik kenyataan dari tokoh agama yang kita kira boleh dibaca apa yang akan dikomen oleh mereka itu, kenyataan TGNA itu dianggap seperti satu dosa besar yang menyamai syirik serta boleh terbatal iman TGNA. Bagi orang yang mudah ditipu dan kurang berfikir berlandaskan ilmu, maka tertipulah mereka dulu kini dan selamanya.

Saya ingin komen isu ini dari beberapa perkara. Berkenaan komen seorang tokoh agama bahawa tidak boleh mendoakan kemusnahan bagi orang Islam hatta orang kafir kecuali kafir harbi. Saya berdoa semoga beliau membuat satu kenyataan panjang yang jelas cuma tidak disiarkan sepenuhnya agar menjaga kepentingan orang tertentu.

Orang Zalim Layak Didoakan Kemusnahan

Saya rasa kurang tepat jika dihukumkan bahawa semua umat Islam tidak dibenarkan mendoakan kemusnahan kepada orang Islam lain. Ini kerana dalam Islam, ada keadaan kita berhak mendoakan kemusnahan kepada orang lain walaupun orang Islam dan tindakan mendoakan kemusnahan itu adalah berhak!

Keadaan yang dimaksudkan adalah doa orang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya. Ia ada dua pilihan terhadap yang dizalimi. Pertama adalah orang yang dizalimi memaafkan dan mendoakan kebaikan kepada pihak yang zalim. Ini adalah terpuji dan afdhal daripada fadhilat yang lain berdasarkan mafhum hadith.

Namun, adakah ini bermaksud tidak boleh mendoakan kemusnahan kepada si zalim? Tidak sama sekali. Ini termasuk dalam pilihan kedua iaitu yang dizalimi berhak mendoakan kemusnahan kepada si zalim. Hak ini bukan sifat yang hina kerana ia dibenarkan syarak.

Ini adalah kerana yang menanggung sensara adalah dia dan hanya dia yang tahu betapa pedihnya kezaliman itu. Maka Allah memberikan hak yang penuh kepada mereka untuk mendoakan apa sahaja terhadap si zalim dan doa itu pasti akan dimakbulkan Allah berdasarkan banyak dalil syarie.

Rampas Royalti, Tidak Zalimkah?

Persoalan yang membuatkan terpacul doa itu dari TGNA adalah masalah royalti. Adakah berhak atau tidak Kelantan menerima royalti atau tidak, saya tidak mahu mengulasnya kerana prosesnya masih berjalan. Yang jelas, pihak kerajaan Kelantan masih memperjuangkannya dan kerajaan pusat pula menukarkannya kepada Wang Ihsan.

Cuma apa yang boleh saya komen, pelbagai usaha dan bukti yang diutarakan oleh kerajaan Kelantan, mengapa takut untuk dijawab dan diselidik oleh Pusat? Kaukus yang dicadangkan oleh pihak pembangkang yang akan dipengerusikan oleh orang UMNO sendiri pun tidak dilayan oleh Pusat. Mengapa? Jika anda benar, sahut cabaran dan kemukakan bukti untuk membela diri. Ataupun sahut cabaran Kelantan untuk bawa ke mahkamah.

Seperti selalu, kita tidak pelik dengan keadaan ini. Bukan pertama kali mereka melakukan begini. Tahun 2000 dulu pun mereka sudah merompak hak rakyat Terengganu, kini giliran Kelantan pula hanya kerana rakyat Kelantan berdosa besar memilih PAS sebagai kerajaan mereka.

Menafikan hak rakyat sekian lama, adakah itu tidak zalim? Membiarkan rakyat Kelantan sensara dengan kemiskinan sedangkan mereka juga mencanang PAS tidak pandai urus negeri, padahal mereka yang sekat hak rakyat Kelantan, ini tidak zalim? Andaikata kita dirompak, tidakkah perompak itu dikira zalim?

Perkara ini amat mudah difahami. Maka jika itu asbab dan punca doa TGNA itu dilafazkan, itu adalah haknya kerana ia dizalimi. Dia dicerca kononnya tidak pandai jaga negeri, sedangkan dalam masa yang sama dipencerca itu sendiri yang rompak wang rakyat, adakah TGNA tidak berhak mendoakan kemusnahan kepada si zalim. TGNA sebagai ketua negeri telah membuat pelbagai ikhtiar untuk menuntut hak rakyat Kelantan namun tinafikan oleh Pusat, maka adalah layak untuk TGNA berdoa apa sahaja dan itu dibenarkan syarak.

Wang Ihsan Bukan Royalti?

Timbul hujah kononnya Pusat sudah beri wang ihsan. Ada dua persoalan yang ingin saya bangkitkan. Pertama ia berkaitan maruah. Kerajaan Kelantan bukan meminta sedekah dari Pusat, kita menuntut hak! Dalam Islam, ada konsep yang dinamakan 'Al Mannun' iaitu keadaan yang mana kita dibenarkan menolak suatu sedekah jika sedekah itu boleh menjatuhkan maruah kita.

Sebagai contoh, dalam kitab Hasyiah Baijuri ada membangkitkan masalah solat tanpa pakaian. Jika kita di dalam keadaan darurat yang membuatkan kita tidak mempunyai pakaian untuk solat. Kemudian datang seseorang mensedekahkan kita pakaian untuk dipakai dalam solat.

Maka, jika kita yakin bahawa memerima sedekah itu boleh menjatuhkan maruah kita, atau orang yang sedekahkan kepada kita itu akan mengungkit tentang pertolongannya itu di masa depan, maka syarak mengaulakan kita solat tanpa pakaian daripada menerima pakaian sedekah itu kerana dalam masalah ini, menjaga maruah itu lebih diutamakan dalam Islam.

Soal maruah adalah sangat besar dalam Islam. Ia sangat dititikberatkan sehinggakan kita dihukumkan wajib untuk menjaga maruah dan nama baik. Dalam isu ini, boleh dianalogikan seperti perompak yang merompak rumah kita. Kita pergi ke balai polis untuk menuntut hak kita yang telah dirompak. Kemudian si perompak memulangkan kepada kita dengan berkata "Aku sedekahkan ini kepada engkau."

Adakah kita akan terimanya? Mungkin kita akan terimanya bersama balasan hadiah penampar ke mukanya. Royalti adalah hak rakyat, milik mereka yang termaktub dalam Perlembagaan. Maka apabila PM menukarkannya kepada Wang Ehsan, ini bukannya bantuan tapi satu penghinaan.

Tindakan TGNA menolak wang ehsan itu adalah patut dan selaras dengan syarak. Walaupun disifatkan sebagai tidak bersyukur oleh orang yang berakal sekular, namun tindakan menolak wang itu adalah betul kerana kita bukan makan budi mereka. Yang kita inginkan adalah hak kita. Patutkah kita ucap syukur kepada perompak?

Kerajaan Kelantan Atau JPP?

Persoalan kedua yang sudah saya fikirkan sejak mendengar berita wang ehsan ini. Kemanakah dan melalui apakah wang itu akan disalurkan? Adakah ia benar-benar milik rakyat atau akan jadi santapan UMNO Kelantan? Apa yang saya persoalkan ini bukan fitnah semata-mata, kita sudah melalui perkara ini sekian lama.

Saya jakin, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang akan menjadi salurannya. JPP adalah badan yang ditubuhkan oleh Pusat untuk menyalurkan peruntukan daripada Pusat kepada negeri yang diperintah pembangkang. Bunyinya macam menarik, namun melalui JPP lah berjuta wang rakyat pernah dighaibkan.

Siapa lupa wang PPRT yang pernah digelapkan? Sehingga kini kes itu dipencilkan dan mereka yang bersalah dilepaskan. Maka, wang ehsan ini juga akan menerima nasib yang sama, bukan akan sampai kepada rakyat, namun akan sampai ke poket-poket orang tertentu.

Tidak Wajar Seorang Ulama Mendoakan Kemusnahan?

Ada pula mulut yang mengatakan bahawa tidak wajar ulama seperti TGNA mendoakan seperti itu walau apa jua salah PM dan konconya. Bagi saya kata-kata ini tidak berlandaskan panduan ilmu yang betul. Benar, seorang ulama perlu bersabar, namun apa yang TGNA doakan itu adakah untuk kepentingan dirinya?

Perlu diingatkan, TGNA buat semua itu adalah untuk menunaikan tanggungjawab kepada rakyat, tanggungjawab yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat. Apa yang TGNA pertahankan adalah perintah Allah yang mewajibkan pemimpin untuk memelihara hak rakyatnya. Maka, marah dan doa TGNA itu adalah berhak demi maruah, rakyat Kelantan dan mentaati perintah Allah.

Dalam syarak juga, tidak mengehadkan doa mazlum (orang yang dizalimi) terhadap Zholim (si zalim) kepada jenis-jenis orang. Tidak ada dinyatakan bahawa jika seorang yang dizalimi itu ulama, maka haram doakan kemusnahan kepada zholim. Yang tepat adalah Allah membuka ruang kepada mazlum untuk berdoa apa sahaja kepada zholim kerana doa itu bukan hak sesiapa, tetapi hak mazlum yang Allah berjanji akan ditunaikan.

Satu lagi yang ingin saya ulas, mengenai perkataan 'musnah' yang dilafazkan oleh TGNA. Saya membaca dengan teliti kata TGNA itu dan amat memahami maksud perkataan itu. TGNA melafazkan perkataan 'musnah' itu adalah menurut pandangan dan kata politik. Turut di'atafkan di belakang perkataan 'PM' adalah 'UMNO dan konco-konconya'.

Maka jelaslah apa yang dimaksudkan oleh TGNA bukanlah kemusnahan hidup PM dari sudut peribadinya seperti mati cacat, muflis atau terkena musibah besar, tetapi apa yang dimaksudkan adalah kemusnahan PM sebagai pemimpin UMNO dan kedudukannya sebagai PM. Juga yang dimaksudkan adalah kemusnahan parti UMNO itu sendiri.

Jika Doa Kemusnahan Itu Dosa, Sekular Pula Tidak Dosa?

Persoalan yang sudah terlalu lama yang ingin saya dengar jawapannya daripada tokoh agama yang pantas memberikan apa jua 'fatwa' terhadap PAS. PAS sering digambarkan bahawa telah melakukan 'dosa besar' seperti doa kemusnahan, isu undi untuk pahala, isu bai'ah talak tiga dan macam-macam lagi 'dosa' yang sebenarnya tidak sama sekali jika ditimbang dengan ilmu Islam yang tepat.

Namun, tidak pernah terulas oleh mereka akan hukum dan apa jenis parti UMNO ni dengan segala kemungkaran yang dipelihara dan dicambahkan oleh mereka. Tidak pernah mereka mengulas akan tindakan UMNO yang membuang peranan Allah Rabbul Jalil sebagai pengatur peraturan dunia dan menggantikannya dengan kitab sekular.

Seperti dalam ayat Al Quran, surah Al Baqarah ayat 217 bermaksud "Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan haram, Katakanlah : Berperang dalam bulan haram itu adalah berdosa besar, tetapi menghalang (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (mengahalang masuk) Masjid Haram dan mengusir penduduknya dari sekitarnya lebih besar dosanya di sisi Allah"

Dalam ayat ini, Rasulullah dipertikaikan oleh golongan munafiq akan tindakan berperang dalam bulan Haram (bulan Muharram) yang diharamkan Allah. Mereka membuat pertikaian kononnya itu untuk menampakkan bahwa mereka mentaati Allah hinggakan mereka tidak mahu pergi berperang. Namun Allah menemplak mereka dengan mengatakan bahawa tindakan mereka meninggalkan jihad dan kufur kepada Allah itu jauh lebih besar dosanya.

Maka saya ingin bertanya kepada UMNO dan juak-juaknya, antum pantas memfatwakan bahawa PAS berdosa itu dan ini (walaupun tidak jika berpandukan syarak), namun adakah semua dakwaan itu boleh menutup dosa akbar kamu yang sanggup menolak panduan Allah dan mengantikannya dengan sekular?

Maka saya menyeru kepada semua sahabat-sahabat, jangan sesekali tertipu dengan tindakan UMNO yang mempergunakan agama dan ulama untuk memperlihatkan topeng Islam mereka. Apa yang berlaku iaitu UMNO sering menggambarkan PAS sebagai melanggar ajaran Islam dengan isu picisan yang diulas dengan penuh motif politik dan tanpa panduan ilmu yang betul, semuanya ini hanya cara mereka untuk menutup dosa akbar UMNO iaitu menolak Islam dan mengambil kitab sekular sebagai panduan.

Jika berlaku apa jua isu yang melibatkan tuduhan PAS melanggar syariat, maka rujuklah kepada mereka yang ahli dan nilailah dengan kaca mata ilmu Islam yang benar. Jika benar PAS salah, maka janganlah disuarakan secara melulu kepada khalayak ramai. Suarakanlah teguran melalui cara yang betul iaitu kepada pimpinan untuk disampaikan kepada pihak yang lebih tinggi.

Kita berdoa agar PM dan UMNO berfikiran waras untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan. Jika tidak, maka kita serah kepada Allah untuk menentukan bila kerajaan UMNO-BN jatuh tersungkur menyembah bumi.


Mohd Azrul Azuan bin Idris
29 November 2011, 10.07 pm.

3 comments:

detik_perjuangan said...

mintak izin copy.... http://detik-perjuangan.blogspot.com

Puteri said...

brdosa knon..
abes tu, yang juak2 diorg mndoakan
kjtuhan, kmusnhan PR di slagor itu apa?

mreka sja ble brdoa sdmkian?
tak brdosa pulak...?

p/s:

tdk trtrik dgn isu enjin yg hilang..?

Anonymous said...

Janji Allah akan tiba.... Yang dizalimi akan terbela. Amin